Rabu, 17 Julai 2013

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


APA ERTI DIBUANG DAERAH ATAU TAHANAN RUMAH

Posted: 17 Jul 2013 04:47 PM PDT

Kita tak perlu mencari definisi house arrest ni.  Bahasa kasarnya sangat mudah difahami.  Tahanan rumah bererti ditahan didalam rumah.  Ditahan didalam rumah selepas dibebaskan bersyarat di bawah ISA membawa erti bahawa kamu tidak bebas.  Kamu ditahan didalam rumah dari 6.00 petang hingga 6.00 pagi; dan jika kamu seorang ahli politik, kamu juga tidak dibenarkan berpolitik.

Daripada 6.00 petang hingga 6.00 pagi itu kamu mesti berada didalam rumah.  Akan menjadi satu kesalahan jenayah jika kamu langgar syarat ini.

Dibuang daerah ini juga membawa makna bahawa kamu tidak boleh meninggalkan daerah yang kamu ditetapkan berada melainkan dengan kebenaran Ketua Polis Daerah.  Jika kamu melanggari syarat ini, kamu melakukan satu kesalahan jenayah.

Jika kamu melanggar mana-mana syarat di bawah perintah itu kamu boleh ditangkap tanpa waran dan dimasukkan ke dalam lock-up menunggu tarikh kamu dibawa ke Mahkamah untuk dibicarakan dibawah undang-undang yang telah kamu langgar itu.  Kamu boleh dipenjarakan selama 2 tahun jika didapati bersalah.

Itulah keadaan yang saya hadapi semasa saya dibuang daerah ke Daerah Melaka Tengah selepas dibebaskan bersyarat di bawah ISA.

Ada lagi satu syarat yang dikenakan iaitu kamu kena melapurkan diri beberapa kali seminggu di Balai Polis berdekatan atau Balai Polis yang dinamakan, kegagalan melapur diri boleh menyebabkan kamu ditangkap dan ditahan untuk menghadapi tuduhan jenayah.

Ini bererti bebas bersyarat di bawah ISA tidak membawa maksud bahawa kamu bebas.  Kamu tidak bebas!!!

Saya dibuang ke Daerah Melaka Tengah dan saya tinggal di sebuah rumah sewa di Taman Ehsan, bersama isteri dan anak saya.

Kehidupan memang amat sukar kerana saya tidak mempunyai apa-apa pendapatan.  Bagaimana pun, ipar-ipar saya cukup perihatin dengan kehidupan saya dan ahli keluarga saya.  Mereka bantu saya secukupnya dan dapatlah saya dan keluarga saya menyambung hidup.

Pada masa itu saya sudah mempunnyai 3 orang anak, yang tua Surina yang sedang bersekolah di Sekolah Tengku Kursyiah, Seremban.  Anak kedua Mohd Syukri di Sekolah Rendah iaitu sekolah yang berdekatan dengan rumah dan anak saya ketiga belum masuk sekolah lagi.

Semasa tinggal di Taman Ehsan itu ramailah penyokong-penyokong PAS yang melawat saya, hanya sedikit teguran yang ingin saya sebut bahawa jika ada kawan-kawan kita yang dibuang daerah seperti yang saya kena itu, bila-bila melawat itu, bawa-bawalah juga teh dan gula dan mungkin juga biskut kerana apabila kawan-kawan datang kita kena juga buatkan minuman, keran almaklum pada waktu itu saya tidak bekerja dan tidak mempunyai apa-apa pendapatan.  Mungkin ahli-ahli PAS pada waktu itu tersilap pandang menjangkakan bahawa pendapatan saya sama seperti saya belum ditahan.

Itu hanya untuk peringatan penyokong-penyokong parti jika berlaku keadaan seumpama ini. Bukan semua pemimpin parti itu terdiri daripada orang senang atau pun kaya.

Sebelum dibebaskan dari tahanan di Kem Kemunting itu saya ditahan di sebuah dormitory yang boleh muat seramai tidak kurang dari 500 orang tahanan tetapi saya ditahan berseorangan itu, di dormitory yang berkembar pula terdapat 4 orang dari kaum Cina, tetapi di waktu malam, dormitory saya dikunci dari luar dan di dormitory rakan-rakan Cina itu juga dikunci dari luar dan tidak ada hubungan antara saya dan mereka.  Selepas jam 8.00 pagi barulah kedua-dua dormitory itu dibuka kunci dari luar dan dapatlah saya bergaul dengan rakan-rakan Cina itu.

4 orang Cina itu sudah ditahan melebihi 6 tahun, mereka itu dituduh sebagai komunis.  Memang pihak Kerajaan mahu membebaskan mereka jika mereka mengaku bahawa mereka itu komunis.  Tetapi 4 orang tahanan itu tidak mahu membuat pengakuan itu kerana mereka bertegas bahawa mereka bukan komunis.  Mereka ditahan semasa mereka masih belajar di Sekolah Tinggi Cina dan mereka turut terlibat dengan demonstrasi yang diadakan oleh Parti Boroh Malaya walaupun mereka itu bukan ahli parti itu.

Setiap bulan selepas 6 tahun mereka ditahan itu mereka dibawa untuk bertemu dengan SB dan permintaan dari SB ialah supaya mereka mengaku mereka itu komunis sebagai syarat mereka dibebaskan.

Syarat ini cukup aneh.  Mereka ditahan di bawah ISA diatas tuduhan bahawa mereka itu komunis, dan syarat yang dikenakan oleh Kerajaan untuk pembebasan mereka adalah mereka mesti mengaku mereka itu adalah komunis.  Habislah segala bodoh pihak si Kerajaan yang mengenakan syarat seumpama ini.

Semasa saya dibebaskan bersyarat itu kawan-kawan saya ini masih belum dibebaskan.

Di dormitory yang berjiran dengan dormitory saya di hadang dengan pagar dan pagar atap zinc adalah dormitory yang didiami oleh Ustaz Abu Bakar Chik.  Walaupun kami ditahan bersama tetapi saya tidak pernah bertemu dengan Ustaz Abu Bakar Chik melainkan ternampak dari jauh apabila kami dibawa ke Masjid di dalam Kem itu untuk menunaikan Solat Jumaat.  Rakan-rakan PAS dari Taiping dapat juga bertemu kami di Kem itu jika mereka itu dibenarkan bersolat Jumaat di Masjid itu.  Ada juga diantara mereka yang dapat bersolat di situ, tetapi saya diarahkan tidak berkata apa-apa kepada ahli-ahli PAS yang solat di Masjid itu kecuali saya memberikan salam dan mereka menjawab salam atau mereka memberi salam dan saya menjawab salam mereka, dan menarik muka senyum.  Itu sahaja.  Semasa solat Jumaat itu saya dikawal dengan sangat rapi.

Sebelum saya dibebaskan dari syarat tahanan rumah di Batu Berendam, Melaka, 4 orang rakan-rakan Cina itu sudahpun dibebaskan tanpa syarat, dan mereka datang melawat saya dan apabila saya tanyakan samada mereka membuat pengakuan bahawa mereka itu Komunis mereka dengan senyum mengatakan "Tidak Sekali-kali".

Dari rakan-rakan itulah saya belajar Tai Chi, satu exercise yang cukup menyihatkan.  Satu round Tai Chi mengambil masa dalam 20 minit, dan jika setiap hari saya lakukan senaman Tai Chi ini, saya berasa cukup segar.  Tetapi selepas saya dibebaskan dari Kem Tahanan Kemunting, saya tidak meneruskan senaman Tai Chi (amat rugi kerana saya tidak meneruskan), lama-kelamaan saya terlupa langsung senaman Tai Chi itu.

Semasa didalam Tahanan Kem Kemunting itu ada beberapa kali saya dapat keluar dari Kem dibawa keluar oleh Penguasa Kem itu.  Beliau adalah bekas Pemain Bolasepak Malaysia.  Saya sentiasa diajak keluar menjadi referee (pengadil) apabila diaturkan perlawanan bolesepak diantara pegawai/kakitangan Kem Tahanan itu apabila dia mengetahui bahawa saya adalah seorang Pengadil Bolasepak yang bertauliah.

Di masa lain saya juga dibawa keluar oleh Penguasa itu untuk makan satay bersamanya di Bandar Taiping.
Dia mengajak saya makan satay ini apabila dia berjaya melakukan tugas yang dikatakan bahawa dia ada kemahiran, iaitu menjalankan hukuman gantung sampai mati kepada pesalah-pesalah jenayah yang menjalani hukuman itu.  Kononnya, peguasa ini cukup tertib dan pandai mejalankan penggantungan, kononnya mereka yang digantung itu tidak merasa kesakitan.  Ukurannya ialah apabila orang yang digantung itu tidak berlawan tetapi senyap sahaja.

Dia mengambil risiko yang besar dengan membawa saya keluar, dan dia sanggup mengambil risiko itu kerana dia yakin bahawa saya tidak akan melarikan diri, hubungan saya dengan dia terbina melalui keacapan pertemuan di bilik penguasa dan kami dapat berbual secara intelektuil dan selain dia itu menjalankan tugas, saya juga nampak dia ini tidak sombong, dan mempunyai sikap yang neutral didalam politik.

Orang yang saya sangat hormati semasa di Kem itu adalah Ustaz yang diarahkan mengajar ugama kepada saya, dia mengajar 2 kali seminggu, di samping ugama dia juga mengajarkan kepada saya Bahasa Arab.  Bagi saya Bahasa Arab adalah bahasa yang sangat susah.  Walaupun saya meneruskan pelajaran itu, tetapi hingga sekarang saya masih belum boleh bertutur bahasa itu, walaupun banyak perkataan Arab saya tahu akan maknanya.

Kerja saya selain dari membaca Quraan, saya berkebun.  Saya boleh dibekalkan dengan cangkul dan parang untuk tujuan berkebun itu. Selain itu saya boleh mendapat biji-bijian untuk saya semai dan tanam, maka di kawasan Kem bersebelahan dengan dormitory saya saya penuhkan dengan tanaman kacang, timun, sawi, cili, petola, keledek, kacang mia atau kacang bendir, dan saya tukarkan dengan kontraktor yang menghantar bahan makanan kepada saya dengan ayam, daging dan juga rokok.

Warden-warden di Kem itu sangat mudah berkawan dengan saya kerana saya sentiasa membekalkan rokok berkarton juga, akhirnya warden-warden ini mengambil peluang memasak bersama-sama saya dan mereka tidak perlu lagi membawa makanan ke Kem semasa mereka bertugas, bahkan mereka juga membawa balik sayur-sayuran.  Di Musim buah Durian pula saya diarahkan menunggu Kebun Durian untuk buah durian jatuh untuk saya kumpulkan dan durian-durian ini adalah untuk pegawai-pegawai dan kakitangan Kem, dan tentulah saya juga dapat makan durian yang ditanam begitu banyak di sudut Kem itu.

Saya sebenarnya tak perlu memasak kerana masakan boleh diberikan kepada saya oleh pihak Kem, tetapi jika saya memilih untuk memasak sendiri, itu bererti saya makan gaji, dan upah bagi saya (tak ingat dah, berapa sen sehari saya diberi gaji itu).

Dengan melakukan berbagai kerja dan membaca Quran, masa dapat berlalu dengan cepat, jika tidak menjalankan aktiviti masa berjalan dengan begitu slow.

Semasa dihujung penahanan saya, ada seorang rakan dari PAS ditahan bersama-sama saya didalam satu dormitory iaitu Sdr Yusof Husin yang terlibat didalam kes Memali.  Beberapa bulan selepas Yusof Husin ditahan disitu, saya dibebaskan bersyarat dan dibuang daerah ke Melaka Tengah, dan saya tinggal di Taman Ehsan.

(...bersambung...)


DITAHAN DIBAWAH ISA

Posted: 17 Jul 2013 09:17 AM PDT

Kemuncak kepada perjuangan saya membela peneroka Felda saya ditahan dibawah ISA, kisah penahanan ini telah saya catetkan di dalam buku tulisan saya bertajuk PROFIL TAMU 1985 dan saya tidak berhajat untuk mengulangi kisah itu di ruang ini.  Ruang ini hanya untuk saya catatkan saat-saat penahanan dan tempoh siasatan serta tempoh penahanan di Kemunting.

Tidak saya sangka-sangkakan bahawa postponement mengejut semasa saya mengendali suatu kes jenayah di Mahkamah Magistrate Alor Gajah, suatu postponement yang pelik iaitu Magistrate tidak memberikan tarikh perbicaraan baru adalah permulaan episode saya ditahan di bawah ISA.

Saya kembali ke Temerloh dan pada malam itu saya dijadualkan berceramah di Markaz PAS di Kerdau, dan saya mengambil masa untuk pergi ke pejabat saya di Jalan Tok Muda Awang Ngah Temerloh untuk mengkaji beberapa fail untuk saya kendalikan di Mahkamah Magistrate Temerloh hari esuknya.

Setelah saya selesai maka saya pun berkemas-kemas untuk meninggalkan pejabat guaman saya untuk pergi ke Kerdau.  Pada masa itulah datang 3 orang yang segak-segak berpakaian baju Melayu, berkain dan berkopiah, memberi salam kepada saya.  Saya jawab salam mereka. Saya sangkakan bahawa mereka itu adalah ahli-ahli PAS untuk sama-sama dengan saya pergi ke tempat ceramah di Kerdau.

Mereka bertemu saya di pintu masuk ke pejabat saya dan menunjukkan kad masing-masing.  Rupa-rupanya mereka itu adalah pegawai-pegawai polis dan terus salah seorang mereka memberitahu saya bahawa saya ditahan dibawah ISA dan saya diperintahkan mengikut mereka didalam kereta mereka, saya duduk di tengah-tengah diantara dua orang pegawai polis itu di seat belakang.

Saya terus dibawa ke Balai Polis Mentakab, diletakkan saya didalam lock-up disana, kemudian mereka bawakan nasi bungkus untuk saya dan saya kesempatan untuk solat Isya'.

Setelah itu saya dikehendaki menaiki sebuah kereta, saya diletakkan di seat belakang diantara dua orang pegawai menuju ke Kuala Lumpur.  Lebih kurang 2 jam perjalanan kami sampai di sebuah balai polis, saya diperintahkan turun dari kereta tadi.  Disana saya diberikan cermin mata besar cat hitam dan saya terus digari dan dimasukkan didalam sebuah van black maria, maka berkelilinglah van itu di Kuala Lumpur.  Saya sudah agak bahawa perjalanan itu adalah dekat sahaja, tetapi dipandu berpusing-pusing di Kuala Lumpur untuk mengelirukan saya bahawa kononnya perjalanan itu amat jauh.

Apabila sampai ke suatu destinasi, van itu diparkir dibawah sebuah bangunan, saya dipimpin keluar dari van itu, menaikki beberapa anak tangga ke beberapa tingkat bangunan, dan apabila sampai ke tempat untuk saya masuk ke sebuah bilik, gari di tangan saya di tanggalkan dan cermin mata cat hitam itu juga ditanggalkan.

Saya ditinggalkan di dalam sebuah bilik dengan lampu yang  tidak boleh nampak lebih dari 5 kaki jauhnya di sebelah sebuah bilik air, semua pakaian saya ditanggalkan dan saya diberikan pakaian semacam Cina Apek menanam sayur.  Saya tidak dibekalkan dengan kain, berus gigi, sabun dan towel.  Diatas lantai yang langsung tidak ada tilam itulah saya membaring dan tempat saya tidur.  Oleh kerana keletihan, saya dapat tidur nyenyak juga sehinggalah saya dikejutkan.  Setelah dikejutkan saya digari semula dan dipakaikan cermin mata cat hitam dan dipimpin menaiki anak-anak tangga ke suatu tingkat yang lebih tinggi.

Di sana ada 6 orang pegawai SB yang sudah bersedia untuk membuat siasatan terhadap saya.  Apakah siasatan yang dijalankan keatas saya dari day one kepada day 59, silalah baca buku saya PROFIL TAMU 1985.

Saya disoalsiasat hingga 59 hari dan siasatan itu langsung tidak ada kena mengena dengan isu keselamatan negara bahkan sebahagian besar daripada topik soalsiasat itu adalah mengenai beberapa orang pimpinan PAS dan yang paling panjangnya ialah berhubung dengan Fatwa Haji Hadi.  Isu Abu Bakar Hamzah mahu bertanding sebagai Naib Presiden PAS juga mengambil masa yang panjang.

Jelaslah bahawa ISA ini adalah suatu fitnah untuk menganiaya mangsa-mangsa politik, bukan untuk keselamatan negara.

Isu yang lebih tertumpu kepada saya ialah isu peneroka Felda bahawa saya memecahkan masyarakat peneroka Felda.  Saya bersetuju bahawa isu melibatkan perjuangan hak peneroka Felda sudah tentu ada yang menyokong dan ada yang menentang, dan saya terangkan bahawa itulah amalan demokrasi.  Amalan demokrasi itu sendiri menggalakkan perbezaan pandangan di kalangan masyarakat dan itu bukan bermakna memecahkan masyarakat peneroka felda, melainkan sistem politik yang hendak diterapkan di negara ini adalah sistem politik satu parti yang tidak membenarkan perbezaan pandangan dari kalangan masyarakat.

Soalan-soalan ini ditanyakan berbalik-balik agar mengujudkan keadaan menjemukan dengan tujuan saya akan membuat konfesyen untuk memberikan alasan kepada Kerajaan untuk menahan saya.

Tidak ada konfesyen yang perlu saya buat kerana perjuangan saya membela nasib peneroka-peneroka Felda adalah diatas fakta yang terang bahawa peneroka-peneroka Felda ditindas dan penindasan perlu mendapat pembelaan.

Mereka juga mempersoalkan kenapa saya menyokong Raja didalam isu Pindaan Perlembagaan.  Saya tidak nampak kenapa isu menyokong Raja tidak boleh diperjuangkan sedangkan negara ini mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, adakah salah bahawa saya menyokong kedudukan Raja-Raja Melayu?

Pada peringkat awal mereka mahukan supaya saya mengaku bahawa saya adalah seorang komunis, saya tolak tuduhan ini sebagai tindakan jahat mereka.  Saya minta bukti daripada mereka bila mana kah saya menyokong perjuangan komunis atau menyertai gerakan komunis didalam gerakan politik saya.  Tetapi isu untuk mengaitkan saya dengan perjuangan komunis ini tidak mereka panjangkan.

Setelah 59 hari saya disiasat dan pada masanya saya diberikan lawatan oleh isteri, Pak Itam dan anak-anak saya, pada waktu itu saya diminta bergunting rambut dan bercukur untuk kelihatan sihat dan segak, dan bertemulah saya dengan keluarga saya briefly di Balai Polis Jalan Bandar.

Pada hari ke-60 saya diberikan perintah tahanan dibawah ISA selama 2 tahun.

Kisah saya di Kemunting akan saya catatkan sedikit sebanyak, bahagian besarnya sudah saya ceritakan didalam buku saya Profil Tamu 1985.

(...bersambung...)

Tiada ulasan: