The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
AKTIF MEMBELA KAKITANGAN DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR Posted: 11 Jul 2013 08:34 PM PDT Setelah beberapa bulan saya bertugas di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, wakil-wakil dari Persatuan Kebajikan Kakitangan Melayu Dewan Bandaraya telah datang menemui saya dan meminta saya memimpin Persatuan itu. Setakat hari itu belum adalah lagi pegawai-pegawai kanan Dewan Bandaraya mahu terlibat dengan badan tersebut kerana keanggotaan badan itu hanyalah terdiri daripada kakitangan biasa dan buruh-buruh kasar. Badan ini bukan kesatuan sekerja, tetapi ia adalah sebuah badan yang menjaga kebajikan kakitangan. Ia membantu jika berlaku kemalangan kepada kakitangan. Ia juga memberi bantuan pendidikan kepada anak-anak kakitangan yang berjaya didalam pendidikan seumpama apabila anak-anak kakitangan berjaya memasuki persekolahan tinggi. Persatuan ini cukup aktif memberikan kebajikan kepada ahli-ahlinya, dan hampir keseluruhan kakitangan Melayu (bukan pegawai-pegawai kanan) menjadi ahli kepada Persatuan ini. Saya diberitahu akan kedudukan Persatuan itu, Jawatankuasanya, dan kedudukan kewangannya. Saya diminta oleh Jawatankuasa yang menemui saya itu menjadi ahli Persatuan dan didalam beberapa bulan lagi apabila Mesyuarat Agung Tahunan itu berlangsung saya diminta bertanding jawatan Presidennya. Presiden kepada Persatuan itu yang sedia ada bersedia memberikan laluan kepada saya. Maka menjadilah saya ahli kepada Persatuan itu dan semasa pemilihan Presidennya, saya menang tanpa bertanding. Didalam mesyuarat Jawatankuasa yang diadakan selepas itu saya melantik jawatankuasa-jawatankuasa tertentu untuk bertanggungjawab di dalam bidang-bidang yang menjadi sasaran tugas persatuan seperti Setiausaha Kebajikan, Setiausaha Pendidikan dan Setiausaha Kewangan. Kami juga mengusahakan bantuan-bantuan pendidikan dan biasiswa dari badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk anak-anak Persatuan ini. Kewangan Persatuan itu amatlah kukuh kerana setiap ahli membuat caruman bulan secara otomatik dengan masing-masing memotong daripada gaji mereka sebanyak RM5.00 sebulan. Kalau saya tidak silap, keahlian Persatuan itu semasa saya mengambil alih tidak kurang dari 1500 orang. Di hujung tahun kami akan menyenaraikan nama-nama pelajar dari kalangan anak-anak kakitatangan itu yang akan diberikan bantuan. Bermacam bantuan yang kami berikan dari segi kemudahan buku, alat tulis, dan bantuan kewangan. Kami juga mengadakan Majlis Makan Malam dengan setiap seorang mencarumkan RM5.00 supaya Majlis itu tidak menggunakan wang persatuan. Saya sempat hampir 3 tahun menjadi Presiden Persatuan itu sehinggalah saya menamatkan khidmat saya dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Dan setelah saya tidak lagi berkhidmat dengan DBKL, saya dengar ramai pulak pegawai-pegawai kanan yang berentap untuk memimpin Persatuan itu. Baguslah. Saya yakin Persatuan itu masih ujud hingga ke hari ini. Didalam semasa saya berkhidmat itu, Persatuan Kebajikan Kakitangan India DBKL melantik saya sebagai Penasihat Persatuan mereka. Persatuan itu juga bertegak seumpama Persatuan Kebajikan Kakitangan Melayu DBKL dan juga berjaya memberikan khidmat kebajikan kepada ahli-ahlinya. Di peringkat Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur saya dipilih sebagai Presiden, tetapi badan ini lebih eksklusif, almaklum, sebuah badan untuk pegawai-pegawai sahaja. Namun begitu, Persatuan ini diterima seolah-olah sebagai Kesatuan Sekerja (walaupun bukan) dan diterima sebagai salah satu badan di DBKL seperti Kesatuan-Kesatuan Sekerja yang lain seumpama IMG (Kesatuan Sekerja yang mewakili kakitangan biasa dan buruh kasar, ANULAE (kesatuan sekerja untuk pengkeranian), Kesatuan Bomba Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Dan di dalam Badan Bersama yang diujudkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, saya selaku mewakili badan-badan kesatuan sekerja yang diiktiraf dilantik sebagai Pengerusi Bersama seiring Datuk Bandar Kuala Lumpur. Maka pada masa itu berlaku mogok di semua setesyen Bomba di bawah kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan saya telah dilantik oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Bomba itu untuk berunding dengan Dewan Bandaraya. Tuntutan mereka ialah penambahan gaji dan elaun gelap. Saya bersama-sama wakil-wakil dari Bomba dijadualkan untuk bertemu dengan Datuk Bandar. Tetapi Datuk Bandar mempunyai perancangannya tersendiri. Dia melantik saya sebagai Pegawai yang bertanggungjawab untuk mewakili Dewan Bandaraya berunding dengan Bomba. Semasa itu Dewan Bandaraya adalah badan yang bebas dari Kerajaan. Dewan itu boleh mengadakan sistem penggajiannya sendiri, dan oleh kerana itu, seseorang yang berkelulusan SPM, tetapi menunjukkan prestasi kerja yang baik, boleh menjadi pegawai. Gaji-gaji di Dewan Bandaraya pula tidak terikat dengan gaji Kerajaan. Saya mengambil peluang ini untuk merundi ngkan supaya Bomba dapat menerima tangga kenaikan gaji dan elaun-elaun yang munasabah dan diterima oleh Bomba. Tangga gaji dan kenaikan gaji itu adalah jauh lebih tinggi daripada yang ditetapkan oleh kerajaan untuk Bomba seluruh negara. Apabila saya bentangkan kepada Datuk Bandar, beliau menerimanya dengan senang hati, dan mogok di setesyen-setesyen Bomba diberhentikan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melalui Perjanjian dengan Kerajaan Pusat dan Bank Dunia telah diperuntukkan sejumlah kewangan yang besar untuk memperbaiki sistem traffik di Kuala Lumpur. Syarat yang dikenakan ialah tindakan cepat dan tegas keatas kenderaan-kenderaan yang rosak di atas jalanraya. Saya dilantik oleh Datuk Bandar untuk mengujudkan Unit Kenderaan Terkandas. Saya bahagikan Kuala Lumpur kepada empat zon, tujuan zon itu ialah supaya setiap zon dikendalikan oleh seorang kontraktor yang berwibawa yang boleh mengeluarkan kenderaan-kenderaan terkandas di jalan-jalan raya. DBKL telah menetapkan bayaran penarikan kereta-kereta terkandas dan semua kereta-kereta yang terkandas itu ditarik ke depo DBKL di Jalan San Peng; DBKL sendiri tidak mengeluarkan sebarang belanja untuk kontraktor berkenaan kerana upah tarik yang dibayar oleh pemilik-pemilik kereta itu sudah menjadi pendapatan lumayan kepada kontraktor itu. Lain-lain khidmat menarik kereta dari kontraktor-kontraktor yang bukan dilantik oleh DBKL tidak dibenarkan semata-mata. Sebagai sebuah bandar besar akan mendatangkan kesesakan jalanraya apabila kenderaan-kenderaan meletakkan parkir kenderaan mereka tidak di tempat yang dikhaskan walaupun memparkir untuk seketika. Datuk Bandar telah melantik saya menjadi Superintendent Warden Traffic untuk DBKL bagi mengatas masaalah parkir di Kuala Lumpur. Saya diberikan kuasa untuk memilih 50 orang daripada kalangan kakitangan DBKL dari mana-mana Jabatannya untuk dijadikan warden traffik ini. Saya diminta mengujudkan didalam tempoh 6 bulan satu pasukan Traffic Warden dan saya tidak diberikan sebarang vote (peruntukan) untuk mengujudkan bahagian ini. Gaji mereka tetap ditanggung oleh Jabatan mereka sendiri, dan wujudlah gaji yang berbeza-beza. Jabatan-jabatan pulak memberikan kepada saya dari kalangan kakitangan yang mereka kurang kehendaki, dan kalau dilihat kepada 50 orang yang diberikan kepada saya itu, alamak, gemuk, perut buncit, langsung tak sesuai menjadi traffik warden. Masa untuk memberikan latihan kepada mereka ialah dari bulan Ramadhan dan berakhir 6 bulan selepas itu. Saya telah rundingkan dengan Superintendent Abdul Samad dari Police Depot untuk memberikan latihan. Abdul Samad ketawa melihatkan 50 orang itu. Tetapi dia berkata, "Tak apa Suhaimi, kita tengoklah 6 bulan lagi, macam mana mereka ni." Saya juga turut berlatih, tetapi saya berlatih hanya mengikut masa dan keupayaan yang ada pada saya. Tetapi latihan basic itu saya lalui kesemuanya. Mereka bermula berlatih dari jam 6.00 pagi dan berakhir 6.00 petang. Almaklumlah bahawa mereka akan menjadi Polis Traffic di dalam tempoh 6 bulan, dari gemuk gedempul untuk menjadi slim dan dipandang segak menjadi polis. Walaupun saya hadir di tempat latihan, tetapi saya tidaklah berlaltih mengikut jadual mereka. Kadang-kadang saya berlatih untuk jangka masa satu jam sahaja. Didalam pada itu saya mencarikan rekruit dari Unit Penguatkuasa seorang yang boleh saya lantik sebagai Ketua Inspektor. Saya pilih seorang yang cukup cergas di Unit itu (unit itu pun berada dibawah seliaan saya), seorang yang kelihatan cukup cergas dan sihat, dan pernah bertugas di dalam Angkatan Tentera. Beliau juga dikehendaki berlatih bersama-sama dengan 50 kakitangan yang lain itu. Sebelum saya menghantarkan mereka ini ke Police Depot, saya bariskan mereka itu di hadapan Pejabat Unit Penguatkuasa untuk diperiksa oleh Datuk Bandar. Mengeleng kepada Datuk Bandar melihat mereka itu. Dan dia berkata, "Good Luck to you Suhaimi!" Maka sampailah ke tempoh 6 bulan yang ditetapkan. Saya menerima tabik hormat dari anggota-anggota saya, saya sendiri terperanjat melihat keadaan mereka. Benarkah mereka itu yang saya hantar ke Depot 6 bulan lalu! "Maaf Suhaimi ya," kata Superintendent Samad. "Kami terpaksa gril mereka habis-habisan, takut nanti DBKL kata kami buat latihan main-main." Saya semacam dah tak kenal mereka, mereka fit, slim dan bergaya. Esuknya saya paradekan 50 orang Traffic Warden saya dengan seorang Ketua Inspektor di hadapan pejabat Unit Penguatkuasa untuk diperiksa oleh Datuk Bandar dan pegawai-pegawai tinggi DBKL. Datuk Bandar terperanjat sampai dia berkata, "Ni ke kakitangan dulu?" dan saya kata, "Ya, Datuk" Ya macam mana mereka nak bertugas. Motosikal pun tak ada, kalau berjalankaki tak tercover oleh 50 orang ini ke seluruh kawasan Bandaraya. Saya rundingkan dengan Bahagian Sekretariat agar mereka itu diberikan sebuah motosikal seorang sebuah, sebuah van untuk jabatan, seorang pemandu, dan pistol untuk Ketua Inspektor dan 2 orang Inspektor Jawapan kepada saya bahawa mereka tidak layak mendapat sebuah motorsikal, dan tidak layak juga untuk pinjaman membeli motorsikal. Saya perjuangkan habis-habisan mengenai tangga gaji mereka yang terlalu rendah. Gaji mereka memanglah mengikut scale kelulusan mereka yang hanya tamat darjah 5 atau 6. Tetapi bagi saya tugas yang mereka pertaruhkan ini adalah berat, memberi notis kepada kenderaan-kenderaan yang tidak parkir ditempat yang ditentukan. Saya bimbang akan berlaku kongkalikong, almaklum. Tugas ini boleh mendapatkan kewangan. boleh disalahgunakan. Boleh saja traffic warden itu tidak mengeluarkan saman diatas imbuhan seringgit dua. Saya bincangkan dengan Datuk Bandar dan beliau bersetuju supaya scale gaji baru dan elaun tertentu diberikan kepada mereka ini supaya mereka menjadi pasukan yang berdedikasi. Permohonan saya untuk mendapatkan sebuah van dan pistol untuk pegawai-pegawai tertentu tertangguh, tetapi akhirnya dapat juga. Saya sendiripun mendapat sepucuk pistol, oi..oi..mana ada Superintendent "bertelanjang?" maknanya tak pakai pistol. Saya diberikan 3 helai uniform berwarna biru yang kelabu. Semua traffic warden juga mendapat 3 helai uniform. Memang segaklah. Dan sebelum operasi menjalankan kerja setiap dari mereka akhirnya mendapat pinjaman membeli motorsikal diatas scale gaji mereka yang baru. Kisah-kisah saya di DBKL akan saya ceritakan di laman yang lain. (...bersambung...) |
BERTUGAS SEBAGAI PEGAWAI UNDANG-UNDANG DAN MAGISTRATE Posted: 11 Jul 2013 04:14 PM PDT Saya memang tidak ghairah langsung untuk bekerja makan gaji. Seperti kata Ahmad Boestamam semasa dia menggalakkan saya mengambil undang-undang di London, dia kata, "Kalau kita ada ijazah undang-undang kita boleh kerja sendiri, dan kita boleh membantu terutama kes-kes yang melibatkan penganiayaan terhadap rakyat." Tetapi kerja yang pertama yang saya buat sebagai Pegawai Undang-Undang di Kamar Peguam Negara adalah didalam bahagian drafting, dan ada beberapa orang pegawai atasan saya, dan yang tertingginya ialah Razak Abu Samah, seorang boss yang bengkeng. Kerja saya tidak ada kena mengena dengan masyarakat luar. Kerja saya hanya membuat drafting, yang akan ditapis oleh beberapa orang boss atasan saya sebelum sampai kepada Razak. Saya tidak bertemu dengan sebarang manusia luar didalam melaksanakan kerja saya. Bilik yang diberikan kepada saya adalah bilik yang agak usang dan kipas anginnya berbunyi keriuk-keriak, macam dah tak sesuai lagi untuk menjadi bilik pejabat. Saya diberikan sebuah meja yang agak berumur dan kerusi kayu. Ini macam bilik pejabat di beberapa abad yang lalu. Cukup panas didalam bilik itu, dan di waktu tengah hari saya akan berpeluh duduk di bilik itu. Walaupun saya pergi kerja dengan memakai baju putih lengan panjang dan bertali leher, tetapi apabila sampai ke bilik itu saya akan gulungkan lengan panjang itu sampai ke siku dan saya akan tanggalkan tali leher dan beberapa butang sebelah atas baju saya itu saya tanggalkan. Razak tidak pernah menjenguk ke bilik itu walaupun boss-boss yang lain itu datang juga berbincang dengan saya kalau mereka tidak panggil saya ke bilik mereka. Entah apa gilanya, tengah hari itu Razak menjenguk ke bilik saya, dia buka pintu dan segera menutupnya. Sebentar lagi saya mendapat panggilan talipon, saya angkat, ya, memang Razak yang menalipon saya, dan dengan keras dia memerintahkan, "You come to my room now!!!". Saya kenakan balik baju saya dan tali leher saya dan saya pun pergi ke biliknya. Saya ketuk biliknya dan apabila saya masuk saya terus mengucapkan, "Good Afternoon, Sir," Dia masih nampak marah dan langsung tak mempelawa saya untuk duduk. Biliknya sejuk, ada air cond. Dia bukan sahaja berbaju putih bertali leher tetapi dia memakai coat. Kemudian dia memandang kepada saya seraya berkata, "You, fishmonger, you're not fit to become Legal Officer in this office. You are from Temerloh? Memalukan orang kampung saya sahaja. Awak Pegawai Undang-Undang tetapi berpakaian macam orang menjual ikan di pasar!! Tak layak jadi pegawai di sini." Dia tak henti-henti marah, dan saya merasakan amat tidak adil baginya berkata begitu. Dia bolehlah berpakaian dengan bertali leher dan coat, biliknya ada air cond. Cuba dia menduduki bilik macam saya, yang panas menyebabkan saya berpeluh, tentu dia pun berpakaian macam saya. Malangnya saya tidak belajar untuk patuh membuta tuli. Saya menjawab dia dengan mengatakan, "If you were to sit in my room day in and day out, I think you'll do the same thing as I did." Wow, marah betul dia bila saya menjawab. Dia terus angkat talipon saya tak tahu kepada siapa. "Is that Judiciary? Is there any vacancy there?" Entah apa jawapan yang dia terima, dia terus memandang kepada saya dan mengarahkan saya, "You report to Court Hill tomorrow, we don't need an Officer like you here." Apa jawapan saya, "Terima kasih, saya pun tak berminat kerja di sini." Dan sebelum dia berkata apa-apa saya sudah pun keluar dari bilik dia dan mengemaskan barang-barang saya yang tak seberapa di dalam bilik saya dan saya terus pulang ke rumah saya di Petaling Jaya. Pada waktu itu saya tidak memiliki sebuah kereta, saya hanya memiliki sebuah motosikal pemberian daripada kawan karib saya, Kamarzaman Yaacob, bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, yang juga berasal dari Kg Lubok Kawah. Pagi-pagi esuknya saya terus melapurkan diri ke Bukit Mahkamah di mana terletaknya beberapa Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Magistrate. Saya diberikan sebuah Mahkamah untuk saya kendalikan. Tetapi sebelum saya boleh menduduki meja Magistrate saya dipinta belajar dengan Magistrate-Magistrate yang terdahulu untuk memahamkan saya dengan perjalanan Mahkamah, perjalanan Mahkamah Civil dan Mahkamah Jenayah termasuk Mahkamah Traffic. Setelah dua minggu saya menjalankan kes-kes saya bersendirian. Di peringkat itu saya diberikan mengendalikan Mahkamah Traffic. Tak sangka begitu banyak kes-kes traffic yang dibawakan ke Mahkamah itu. Polis yang mendakwa kes-kes traffic ini sentiasa mengingatkan saya supaya mengenakan denda-denda yang setimpal (maksudnya denda-denda yang tinggi) supaya pesalah-pesalah itu tidak melakukan lagi kesilapan masing-masing. Saya diberikan satu scale supaya mengenakan denda tidak kurang dari 1/7 dari denda maksima, dan itu pun saya merasakan masih sangat tinggi. Saya berbincang dengan boss saya, Special Presiden, mengenai denda ini. Dia mengatakan bahawa tujuan Mahkamah adalah untuk memberikan keadilan, "Fines need not to be standard," katanya. "Ability to pay fines should be determined, if one cannot pay higher fines, and if you impose high fines, he has to go to prison if he is not able to pay. You have to find out the kind of work he is doing, his salary, and has he any family members to take care of. Determine for yourself what kind of fines you want to impose." Pandangan boss saya ini melegakan tetapi magistrate-magistrate lain nampaknya terlalu ghairah mengenakan denda yang tinggi atau didalam kes jenayah mengenakan hukuman penjara yang lama. Saya tidak gemar! Saya hanya bertugas tiga bulan sahaja di Mahkamah Kuala Lumpur ini dan selepas itu saya menerima perintah untuk bertukar ke Ipoh. Saya diberikan beberapa hari untuk membuat persediaan. Durian runtuh. Selepas saya menjadi Magistrate selama satu bulan, saya mendapat durian runtuh. Pada masa itu saya menumpang di rumah abang ipar saya, Yusof Jaafar, di Jalan Gasing, Petaling Jaya. Suatu hari apabila saya balik ke rumah, saya nampak sebuah kereta baru, kereta buatan Jepun, 2-door, saya ingatkan ada kawan abang ipar saya yang datang ke rumah. Saya masuk kerumah dengan memberi salam, ada Bapa Mertua saya di sana. "Mi, takkanlah dah jadi Magistrate masih pakai motosikal. Tu, Wak dah belikan kereta untuk kau." Malu juga saya menerima hadiah begitu berharga dari bapa mertua, tetapi saya nampak dia benar-benar ikhlas. Pada masa itu saya belum ada lesen memandu tetapi saya sudah boleh memandu tanpa lesen. Saya pun pergi ke Sekolah Memandu dan belajarlah apa yang patut seperti berhenti di pertengahan bukit, dan bila nak ke hadapan mempastikan kereta tidak menggelungsur ke bawah; belajar parking dan sebagainya. Saya memang sudah pandai memandu. Maka notis diberikan untuk saya mengambil ujian di RIMV (sekarang ni JPJ) Petaling Jaya. Tarikh dan masa telah ditetapkan untuk ujian. Sampai saja saya di RIMV, saya dikehendaki mengambil ujian lisan. Nampaknya saya lulus dengan baik. Maka tester itu perintahkan saya untuk memandu. Kereta yang digunakan ialah kereta yang saya belajar. Saya pun pandulah sekitar Petaling Jaya. Tetapi langsung tidak diuji untuk berhenti dipertengahan bukit, namun saya tetap menghulur tangan saya ke kanan untuk membeluk ke kanan dan menggunakan tangan kanan saya juga dengan memusing-musingkan tangan saya menunjukkan saya nak membeluk ke kiri. Tiba-tiba tester itu kata, "Nampaknya Encik dah cekap betul memandu?" Saya jawab saya sudah biasa memandu dengan kereta abang saya. Dia terus mengatakan kepada saya bahawa dia tak perlu menguji saya lebih lanjut, dan dia kata bahawa saya sudah lulus. Untuk bertukar ke Ipoh, saya diberikan waran untuk menginap di Station Hotel, Ipoh dan Station Hotel ini terletak tidak jauh dari Kompleks Mahkamah Ipoh. Saya berjumpa dengan pihak Registry Mahkamah Ipoh dan menunjukkan surat dari Judiciary dan saya mahu bantuan untuk mendapatkan sebuah rumah sewa. Saya juga diberikan sebuah Mahkamah untuk saya kendalikan; dan Interpreter Mahkamah itu, Tengku (?) dan tak ingat namanya membantu saya mendapatkan rumah sewa terletak di Jalan Rajaratnam. Dia jugalah yang mendapatkan keperluan-keperluan saya yang lain dari JKR seperti beberapa buah katil, tilam, bantal, cadar, dan alat-alat memasak. Setelah selesai, saya kembali semula ke Petaling Jaya untuk memunggah barang-barang saya, penuhlah sebuah lori kecil. Sampai di Ipoh saya tidak berjumpa dengan rumah sewa saya itu tetapi alamat rumahnya ada pada saya. Saya singgah di sebuah Balai Polis dan memohon bantuan polis untuk menunjukkan rumah itu, dan disinilah berlaku sedikit kelucuan. Polis itu bertanya saya, "Rumah siapa tu, Encik", dan saya jawab rumah sayalah. "Ai, rumah sendiri pun tak tau di mana?" Dan beberapa orang Polis yang ada di Balai itu ketawa sesama sendiri. Saya biarkan saja, maklumlah saya yang perlukan bantuan. Tetapi Polis ini dengan menunggang motosikalnya mendahului kereta saya dan lori tadi, berkata kepada saya, "Encik ikut saya, saya bawakan Encik ke rumah Encik." Rupanya rumah itu tidaklah jauh sangat daripada Balai Polis itu. Saya ucapkan terima kasih kepada anggota Polis yang membantu itu. Tetapi dia macam tak sudah-sudah nak perli saya, "Jangan pulak esuk-esuk tak jumpa lagi rumah sendiri!!" Saya ketawa bersama-sama dia. Pada pagi esuknya, saya sudah menjalankan tugas saya di Mahkamah. Selesai sahaja kes "mention" dan tinggal lagi kes untuk dibicarakan, seorang anggota Polis telah masuk ke kamar saya, "Saya minta maaf, Tuan. Saya tak tahu tuan seorang Magistrate." Saya tak faham kenapa dia berkata begitu. Rupa-rupanya dialah anggota Polis yang mempersendakan saya semalam. "Tak apa-apa," kata saya, "kalau saya pun tentu ketawa kalau orang itu tak tahu di mana rumahnya sendiri." Dia hulurkan tangannya dan bersalam dengan saya dan katanya lagi, "Minta maaf banyak-banyak, ya, Tuan," dan saya jawab, "Tak apa." Di Ipoh kami diketuai oleh sorang Special President, di bawahnya President dan 2 orang Magistrate iaitu Sdr Mah Weng Kwai dan saya. Selang sebulan selepas itu, seorang lagi Magistrate bertugas di Ipoh iaitu Mr Fernando. Saya dan Fernando bersilih ganti menjadi Magistrate di Batu Gajah, kadang-kadang sampai ke Kampar, kerana pada waktu itu memang kekurangan Magistrate. Mahkamah Batu Gajah tidaklah sesibuk mana tetapi Mahkamah Kampar agak sibuk juga kerana bandarnya lebih besar. Enam bulan saya menjadi Magistrate di Ipoh, saya mendapat perintah bertukar ke Teluk Intan. Teluk Intan memang sesuai kerana di sana ada rumah untuk Magistrate. Sebelum tarikh pertukaran itu saya pergi melawat Teluk Intan, dan saya suka bertukar ke sana. Hanya masalahnya ialah kerana anak saya Surina sudah mula bersekolah. Dia terlalu baru bersekolah di Ipoh dan nanti kena lagi menyesuaikan diri di Teluk Intan. Dan saya sudah uruskan pertukaran sekolah bagi Surina ke Teluk Intan. Tetapi kerja gila dari pihak Ketua Pendaftar Mahkamah menghantar satu lagi perintah bertukar bagi saya iaitu ke Sungai Petani. Ini betul-betul kerja gila. Dan apabila saya menalipon ke Pejabat Ketua Pendaftar, mereka nyatakan bahawa Magistrate dari Ipoh boleh datang on circuit ke Mahkamah Teluk Intan, tetapi di Sungai Petani betul-betul tidak ada Magistrate yang bertugas. Rupa-rupanya bukan saya seorang sahaja yang mendapat pertukaran secara gila ini. Ada seramai 15 orang Magistrate lain yang juga kena bertukar walaupun mereka baru saja ditempatkan di Mahkamah-Mahkamah yang mereka sedang bertugas. Kami berhubung antara satu samalain dan menetapkan satu hari untuk bertemu dengan Ketua Pendaftar di Kuala Lumpur. Kehadiran kami tidak dilayan, bahkan Ketua Pendaftar itu dengan angkuhnya berkata,"The only option left for you all is to resign." Yes, resign what we did. Kami semua letak jawatan dengan Notis 24 jam. Kemudian saya balik ke Ipoh untuk mengemaskan barang-barang saya di rumah sewa dan memberi notis kepada tuan milik rumah dan kepada JKR untuk mengambil alat-peralatan milik Kerajaan. Selang beberapa hari saya pun kembali ke Petaling Jaya, kali ini menumpang di rumah abang ipar saya bernama Ismail bin Haji Jaafar yang pada waktu itu bertugas di RIMV Petaling Jaya. Saya berazam tidak lagi mahu bertugas makan gaji dan saya bertemu dengan sahabat saya, Mr.S.T. Gamany untuk membuat chambering di firmanya. Seorang kenalan saya dari London terjumpa saya di Kuala Lumpur dan bertanya saya samada saya bekerja di mana-mana. Saya jawab bahawa saya baru saja berhenti dari menjadi Magistrate dan berhajat untuk menjalani chambering. "Kalu mu nok, marilah ke DBKL, ado kerjo kosong sebagai Pegawai Undang-Undang. Ambo pun Pegawai Undang-Undang di DBKL." Saya tanya dia tentang gaji di DBKL. Dia jawab gaji tak berapa besar, mula kerja dapat RM2,150.00 ada COLA dan ada elaun perumahan. Saya buat temujanji dengannya di Bahagian Undang-Undang DBKL, dan dia bawakan saya kepada Pegawai yang bertanggungjawab mengambil pegawai-pegawai baru. Setelah diadakan perbincangan dengan pegawai itu, saya terus ditawarkan menjadi Pegawai Undang-Undang di Bahagian Undang-Undang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Oleh kerana saya ada pengalaman di Mahkamah Magistrate maka saya juga diberikan tugas untuk membuat kerja-kerja mention di Mahkamah Magistrate Kuala Lumpur, kes-kes perbicaraan diserahkan kepada Peguambela dan Peguamcara yang menjadi Panel Guaman kepada DBKL. Selain itu kerja-kerja saya ialah memberikan nasihat undang-undang kepada pelbagai Bahagian yang ada di DBKL dan membuat drafting undang-undang. Mengenai drafting ini ada seorang Pembantu Pegawai Undang-Undang bernama En Zaini Ismail, dia hanya berkelulusan SPM sahaja, tetapi bahasa Inggerisnya perfect, dan dia mempunyai kepakaran tertentu di dalam drafting. Saya belajar darinya. Dua orang lagi Pembantu Undang-Undang ialah Raja Ariff dan Mohamad, mereka ini menjalankan kerja-kerja di Mahkamah; dan kemudian mereka dibantu pula oleh Pn Asiah, mereka bertiga inilah yang bergilir-gilir menghadiri kes-kes mention di Mahkamah, apatah lagi selepas itu DBKL mempunyai Mahkamah Magistratenya tersendiri. Kisah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ini berwarna warni untuk diri saya, dan saya akan menulis tentang hal itu di halaman yang lain. (...bersambung...) |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan