The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Posted: 10 Jul 2013 08:29 PM PDT Keaktifan persatuan-persatuan pelajar yang mempunyai keahlian dari negara Malaysia dan Singapura menyebabkan persatuan-persatuan itu dikeluarkan dari Malaysia Hall. Dengan terkeluarnya dari Malaysia Hall, menyukarkan persatuan-persatuan itu untuk mengadakanprogram dan aktiviti di Malaysia Hall. Maka Persatuan seperti The Association of Malaysian and Singapore Students in the United Kindom and Eire, Malaysian & Singapore Students' Forum (MAS Forum), London Union of Malaysian and Singapore Students in London, dan Malaysian and Singapore Students Law Society in London, semuanya diharamkan dari Malaysia Hall. Kalau tak silap saya London Union of Malaysia and Singapore Students (LUMSS) mengambil approach menukarkan nama persatuan itu dari LUMSS kepada LUMS (London Union of Malaysia Students) dan dibenarkan bergerak di Malaysia Hall untuk membolehkan kami mempunyai hubungan dengan Malaysia Hall. Tetapi Malaysian and Singapore Students Law Society dibawah pimpinan Chua Jui Meng dan saya sendiri tetap mengekalkan nama asal dan oleh itu kami tidak lagi dibenarkan bergerak di Malaysia Hall, tetapi itu tidaklah menjadi halangan kepada kami untuk bergerak kerana kami boleh menggunakan dewan-dewan di Inns of Court dan di Council of Legal Education, dan hampir semua pelajar undang-undang dari Malaysia dan Singapura berada di Chancery Lane. Peringkat awal saya cuba menambah pendapatan saya ialah dengan bekerja gedung-gedung besar di London, dan saya bertugas di bahagian pottery dan China, iaitu bahagian yang menjual pinggan mangkuk, tetapi kerja di situ amat menjemukan kerana tidak ramai pelanggan di situ. Saya memohon kepada management untuk bertukar ke bahagian buah-buahan. Di situ memang dikunjung dengan ramai oleh pelanggan-pelanggan. Suatu hari pihak management memindahkan saya dan seorang ustaz yang mengambil pengajian PhD (beliau adalah lulusan dari Kaherah, Mesir) ke bahagian menjual daging. Di situ semua daging ada, ayam, itik, lembu, kambing dan yang menjijikkan ialah daging babi. Walaupun kami membungkus tangan kami dengan sarung tangan plastik tetapi amat terasa jijiknya. Saya bertanya kepada ustaz dan dia memberitahu bahawa dari segi hukumnya harus kita bekerja di situ untuk makan gaji, dan kalau kita merasa khuatir hendaklah kita menyamak diri kita selepas habis kerja. Saya tetap jijik dan rupa-rupanya ustaz itu pun jijik juga. Jadi kami melepaskan kerja kami di sana, dan saya memperolehi kerja baru di sebuah restoran sebagai tukang masak. Restoran itu tidak menjual daging babi, tetapi hanya daging lembu sahaja dan lain-lainnya adalah ice ceream, nasi, potato, dan sayur-sayuran. Restoran itu terletak betul-betul di belakang Play Boy Club, dan pelanggan-pelanggan sentiasa penuh di situ. Saya masuk berkerja jam 5.00 petang dan Restoran tutup jam 11.00 malam, sempatlah saya mengambil bas untuk kembali ke rumah saya di Clapham South. Saya bertugas sebagai tukang masak bersama-sama dengan seorang dari Spanyol yang hanya sedikit sahaja berbahasa Inggeris yang kadang-kadang menimbulkan kelucuan kerana bila dia suruh saya serahkan potato dia sebut onion; dan seorang lagi dari Nigeria, yang juga seorang pelajar undang-undang di London. Gaji saya adalah 25 pounds seminggu. Gaji ini tidaklah besar, tetapi jika dibandingkan dengan biasiswa yang saya dapat sekadar 48 pounds sebulan, pendapatan ini berbaloi juga. Saya berhenti bekerja di Restoran itu apabila tinggal lagi 2 bulan untuk perperiksaan untuk saya betul-betul concentrate kepada pengajian saya. Ada juga kisah yang sangat melucukan semasa saya bekerja sebagai tukang masak itu apabila waitress membuat tempahan Blue Steak. Seperti biasa saya akan jawab, "Coming" atau "Ready", selepas menerima tempahan itu saya termenung kerana saya tak pernah menerima order seperti itu. Saya tanya kepada kawasan saya berbangsa Spanyol itu, "What's Blue Steak?" Dan dia jawab "Don't know." Kawan Nigeria saya itu pulak (dia tu seorang Islam) berkata, "Never heard of." Jadi apabila Waitress itu bertanya samada blue steak itu sudah siap, saya jawab, "Coming", tapi kali ketiga waitress itu datang dengan muka yang agak marah, dia tanya mana dia blue steak itu kerana pelanggan sudah menunggu lama, baru itulah saya beritahu dia bahawa saya tidak tahu apa dia blue steak. Dia masuk kedapur, ambil steak dari dalam fridge, dan letak atas grill, paling steak itu dan paling lagi, dan letak diatas pinggan, "That's blue steak!!! You know now Mr Said?" Semua pekerja-pekerja disitu panggil saya Mr Said, bahkan di Kolej saya pun, nama saya dipanggil Mr Said (nama ayah kita dipanggilnya kita, tak apalah). Rupa-rupanya blue steak itu daging mentah!!! Di Restoran itu yang paling penting ialah presentation. Banana split umpamanya, cara pisang itu dibelah dan diletak didalam pinggan, bagaimana ice creamnya diletakkan dan bunga-bungaan di letakkan. Kalau tersilap letak, banana split itu akan dikembalikan semula. Nama Restoran itu ialah Richoux Restaurant mementingkan kepada kualiti. Rasanya sama saja, tetapi presentation itulah yang diutamakan, dan mereka yang makan disana adalah terdiri daripada golongan kelas atasan samada orang tempatan ataupun dari luar negara, terutamanya orang Arab. Setelah saya selesai perperiksaan saya, saya mencari kerja yang boleh mendapat pendapatan yang tinggi. Melalui Isa dia memberitahu bahawa ada sebuah kilang di East End memerlukan beberapa orang pekerja, gajinya besar tetapi kerja itu lebih berat sedikit dari kilang-kilang lain, dan semasa melakukan piece work, saya boleh mendapat hingga 400 pounds seminggu, dan jika bukan melakukan piece work pendapatan tidak jatuh dari 200 pounds seminggu. Saya minat kerja ini. Apabila saya pergi untuk interview tidak pulak saya sangka bahawa yang tukang interview saya itu adalah seorang anak Malaysia, iaitu pekerja Malaysia di London yang saya kenal. Dia cakap Melayu jer dengan saya. "Betul-betul nak kerja Sam?" dia panggil saya Sam dari nama saya Suhaimi. "Kerja di sini berat sikit, tapi gajinya besar. Awak sebagai student, saya bagi gaji besar sikit, tapi kalau orang-orang Pakistan itu saya beri gaji separuh saya dari gaji awak." Kerjanya bukan berat tetapi panas. Membentuk rekaan dari plastik mengikut acuan yang sudah disediakan tidaklah susah. Tetapi kena betul-betul buat mengikut timingnya, kalau tidak ia menjadi terlalu nipis jika terlebih masa, atau dia akan tebal jika kekurang masa. Masa untuk membentuk itu tidak lebih dari minit sahaja; jangan lebih dan jangan kurang dan kita kena buat 10 minit, dan selepas itu rehat 10 minit; dan Supervisor Melayu itu bernama Juraimi sentiasa berkata kepada saya, "Sam, jangan buat lebih-lebih. Gaji awak sama sahaja kalau lebih atau kurang, kita longgokkan kerja semasa piece work, ah..masa itu kita pulun betul-betul, jam itu kita boleh buat melebihi 400 pounds seminggu." Towkay kilang itu jarang-jarang datang, dan bila dia datang dia akan membawa tempahan baru dan acuan yang baru, dan kadang-kadang dia terus kata kuantiti yang dikehendaki dan dalam masa yang ditentukan, dan kadang-kadang masa itu sangat terhad, dan masa itulah peluang membuat kerja piece work dengan gaji yang tinggi akan berlaku. Saya masih betugas di kilang itu semasa menerima taligeram dari Abang saya mengatakan emak saya tidak sihat untuk saya balik segera. Gaji saya untuk minggu itu pun belum saya ambil. Begitulah sayangnya anak kepada emaknya, apatah lagi emak inilah yang menjaga saya, abang Dol, abang Din, abang Ri, Suffian dan Jaenah. Dialah yang menoreh getah, dialah yang membuat paya, dia bersama-sama aki sayalah yang menjaga kami dari kecil khususnya semasa ayah saya ditahan di Kem Tahanan Tg Beruas oleh Penjahat Inggeris. Memang saya sayang kepada emak saya, sepanjang hidupnya dia berada didalam kesusahan, dan walaupun saya sempat juga untuk menanggung emak saya tetapi masa saya menanggung dia itu adalah terlalu sedikit, kerana tidak lama dari tarikh saya kembali dari London, emak saya meninggalkan saya buat selama-lamanya. (...bersambung...) |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan