Suara Sri Andalas |
- Perutusan Sambutan Deepavali 2012 Oleh YB Dr Xavier Jayakumar
- Anwar: PR Janji Tidak Abai Masyarakat India Jika Memerintah Putrajaya
- MB - Guna Rizab Negeri Bina Jambatan Ketiga Di Klang
- Kerajaan Negeri Cadang Tambah Lebih Banyak Tadika Rakyat
Perutusan Sambutan Deepavali 2012 Oleh YB Dr Xavier Jayakumar Posted: 11 Nov 2012 08:52 PM PST Bersempena sambutan perayaan Deepavali ini, saya dan rakan-rakan dari Pimpinan Pakatan Rakyat Kerajaan Negeri Selangor, serta kakitangan Pusat Khidmat DUN Seri Andalas dan juga bagi pihak keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada masyarakat yang beragama Hindu yang akan meraikan sambutan perayaan ini. Deepavali merupakan perayaan yang meraikan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan dan bersama-samanya membawa sinar harapan kepada masa depan yang lebih baik. Oleh itu marilah kita meraikan perayaan ini dengan penuh kesyukuran serta harapan untuk terus melakukan kebaikan dan menuju kecemerlangan. Pada hari perayaan ini, raikanlah bersama keluarga yang tersayang serta sahabat handai. Teruskan amalan kunjung-mengunjungi demi kesepaduan yang lebih baik dan membina komuniti yang saling memahami serta menghormati antara satu sama lain. Kepada mereka yang akan pulang ke kampung halaman, pandulah secara berhemah. Semoga selamat sampai dan selamat pulang kembali. Dengan ini saya juga ingin menjemput semua untuk hadir ke Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Selangor yang akan diadakan di Dengkil pada 24 November 2012 (Sabtu) bermula jam 8 malam. Majlis Rumah Terbuka Deepavali DUN Seri Andalas pula akan diadakan pada 25 November 2012 (Ahad) bermula jam 7 malam di Padang Taman Klang Jaya. Datanglah beramai-ramai untuk meraikannya bersama-sama. Sekali lagi saya dan rakan-rakan dari Pimpinan Pakatan Rakyat Kerajaan Negeri Selangor, serta kakitangan Pusat Khidmat DUN Seri Andalas dan juga bagi pihak keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali. Sekian. YB Dr Xavier Jayakumar EXCO Kerajaan Negeri Selangor ADUN Seri Andalas |
Anwar: PR Janji Tidak Abai Masyarakat India Jika Memerintah Putrajaya Posted: 11 Nov 2012 02:30 AM PST KLANG 11 NOV: Masyarakat India di negara ini tidak akan diabaikan jika Pakatan Rakyat (PR) diberikan peluang memerintah di Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaum India yang sebelum ini seringkali diabaikan Kerajaan Umno-BN akan diberi perhatian sama-rata termasuk kaum-kaum lain yang menjadi penduduk di negara ini. Katanya, contoh terbaik yang ditunjukkan adalah Kerajaan Negeri Selangor pimpinan PR di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memberikan peruntukan berjumlah RM4 juta setiap tahun kepada semua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini. "Jika 50 tahun dahulu SJKT tidak pernah menerima bantuan khusus bagi pembangunan sekolah, Kerajaan Negeri sekarang beri tiap-tiap tahun RM4 juta untuk semua SJKT di Selangor," katanya. Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan sempena lawatannya ke tapak Pesta Deepavali yang berlangsung di Jalan Kelana, Klang petang tadi. Turut hadir ialah Exco-exco Selangor, Dr. Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu serta Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago. Sementara itu, Anwar berkata, semua rakyat di negara ini digesa menanamkan keyakinan kepada PR bagi melaksanakan dasarnya yang terbukti demi kepentingan rakyat. "Macam-macam kita sudah dengar, daripada mansuhkan PTPTN, turunkan harga kereta dan pelbagai lagi dasar yang akan dilaksanakan PR jika memerintah Putrajaya. "Saya sudah tidak mahu lagu gaduh-gaduh soal kaum, kita akan jaga semua kaum dan rakyat di negara ini," katanya yang juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Sumber: Selangorku |
MB - Guna Rizab Negeri Bina Jambatan Ketiga Di Klang Posted: 11 Nov 2012 02:00 AM PST KLANG, 11 NOV : Kerajaan Negeri akan meneruskan projek pembinaan jambatan ketiga bagi mengatasi masalah kesesakan bandar Klang sekiranya Kerajaan Pusat masih gagal berbuat demikian pada tahun depan, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Menurut Abdul Khalid, Kerajaan Negeri akan menggunakan rizab yang dimiliki Negeri Selangor untuk melaksanakan projek yang pernah dijanjikan Kerajaan Umno-BN sebelum ini. Beliau berkata, sewaktu pemerintahan Umno-BN terdahulu, mereka berjanji kepada rakyat Klang untuk membina jambatan tersebut, malah telah melancarkan batu asas bagi membina jambatan tersebut. Bagaimanapun tegasnya, ia kini dilihat sebagai satu omongan kosong sahaja. "Rakyat Selangor memberi sumbangan terbesar kepada Malaysia. Oleh itu, tahun depan kita akan adakan pelbagai program untuk rakyat di negeri ini. Rakyat Selangor adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, kini sudah tiba untuk pulangkan hasilnya kepada rakyat. "Tahun depan kalau tidak dibina jambatan ketiga di Klang, kita akan bina dengan menggunakan rizab negeri. Dengan cara itu kita dapat melaksanakan pembangunan secara saksama di Negeri Selangor," katanya semasa menghadiri Majlis Sambutan Deepavali di Jalan Tengku Kelana, petang tadi. Terdahulu, Kerajaan Pusat menjanjikan pembinaan jambatan ketiga di Klang bernilai RM230 juta untuk manfaat masyarakat di kawasan itu. Pembinaan jambatan yang dimulakan sejak tahun 2007 itu bagaimanapun masih gagal disempurnakan sehingga kini ekoran kerja sambil lewa oleh syarikat kontraktor yang dilantik. Sumber: Selangorku |
Kerajaan Negeri Cadang Tambah Lebih Banyak Tadika Rakyat Posted: 10 Nov 2012 02:00 AM PST PETALING JAYA, 10 NOV : Kerajaan Negeri bercadang untuk membina tiga lagi Tadika Rakyat di Serendah, Kapar dan Dengkil bagi membolehkan kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah menerima pendidikan di peringkat awal. Pembinaan tadika tersebut merupakan kesinambungan daripada dua tadika sedia ada iaitu di Taman Sentosa, Klang dan Kampung Lindungan di Petaling Jaya. Oleh itu Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar menyeru ibubapa yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak-anak mereka kepada tadika-tadika ini. "Tadikan ini terbuka kepada semua kaum. Justeru, penduduk di kawasan ini jangan lepaskan peluang untuk mendaftar anak-anak anda. "Selain bayaran yuran yang rendah, anak-anak juga akan terdedah dengan pendidikan asas di peringkat awal," katanya lagi. Katanya, pendidikan pra-sekolah adalah langkah awal untuk mempersiapkan kanak-kanak sebelum menempuh alam persekolahan kelak. "Berdasarkan kajian, masih terdapat 30 peratus kanak-kanak yang tidak mendaftar di mana-mana tadika kerana tidak mampu untuk membayar yuran bulanan. Ekoran daripada itu, kebanyakan kanak-kanak ini ketinggalan dari aspek pendidikan seperti tidak tahu menulis, mengira ataupun membaca. Hal ini menyebabkan mereka akan tercicir apabila masuk ke sekolah rendah nanti dan menimbulkan masalah serius untuk jangka masa panjang. "Kurangnya pendedahan pendidikan di peringkat awal antara punca yang menyumbang kepada gejala sosial," katanya semasa Majlis Perasmian Tadika Rakyat Kampung Lindungan di sini, pagi tadi. Tadika Rakyat di Kampung Lindungan merupakan cawangan kedua yang dibina Kerajaan Negeri bersama badan bukan kerajaan (NGO), Child Information, Learning and Development Centre (Child). Tadika tersebut dikhaskan untuk keluarga berpendapatan bawah RM 1,500. Di samping menyediakan pembelajaran selesa, murid-murid juga hanya dikenakan bayaran serendah RM 20 sebulan. Tadika yang bernilai kira-kira RM 460,000 itu dilengkapi lapan buah kelas dan mampu menempatkan kira-kira 20 orang murid setiap kelas. Kerajaan Negeri telah memberi RM 50,000 untuk setiap tadika itu. Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, Adun Taman Medan, Haniza Talha, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne Loh dan Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md Taib. Sumber: Selangorku |
You are subscribed to email updates from Suara Sri Andalas To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan