The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Akulah orang yang paling hebat!!! Posted: 11 Nov 2012 03:43 PM PST (Saya bukanlah seorang penyair, tetapi bukan juga seorang yang tidak mencintai syair. Saya suka membaca syair, bahkan saya mungkin mendahului rakan-rakan membeli dan membaca sajak-sajak seorang sahabat saya Usman Awang, atau Tongkat Waran; bahkan syair-syair yang tulis pernah keluar didalam majalah keluaran Dewan Bahasa; tetapi sajak-sajak yang keluar itu dibantu pembetulannya oleh Sdr Usman Awang. Saya pernah berguru dengan Dr Mohamad Salleh, seorang penyair prolifik yang menulis didalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, dan sajak-sajaknya telah diterjemahkan kedalam bahasa Russia, Perancis dan lain-lain bahasa; tetapi setelah berbulan "mengadapnya" beliau berkata kepada saya, "Mi, aku ingat kau concentrate dengan penulisan prosa sajalah, lupakanlah sajak, kau ada idea tetapi bahasa kau tu kaku, tak ada seni." Sejak hari itu (hampir 30 tahun dahulu), saya tidak lagi cuba menulis sajak. Semasa aku berpindah semula ke Temerloh dari Kuala Lumpur, saya telah banyak menulis didalam akhbar-akhbar tetapi tidak dalam bentuk sajak, saya menulis mengenai kemasyarakatan, politik, ekonomi, kehidupan. Sekali sekala artikel aku keluar juga didalam Majalah Dewan Masyarakat, tetapi yang paling banyak didalam akhbar WATAN dan BUMI, hampir setiap minggu. Dan semasa akhbar WASILAH masih diterbitkan, aku diberikan kolom mingguan. Tetapi disuatu hari Sdr Man Kadir yang kebetulan pada waktu itu (ini cerita 30 tahun yang lampau) ingin mementaskan sebuah drama. Kami adalah kerabat DPMP (Dewan Penulis Melayu Pahang) cawangan Temerloh, sebuah badan penulisan yang sangat aktif. Sentiasa kami mengadakan kursus penulisan dan diantara tokoh sastrawan yang kami undang memberikan kursus termasuklah Allahyarham Usman Awang, Saya tergerak untuk menuliskan sebuah puisi dan memahukan agar puisi itu dijadikan tema kepada Drama yang bakal dipentaskan oleh Sdr Man Kadir atau nama penuhnya Ab Kadir bin Abd Manap yang kini terkenal dengan nama Pak Jabit. Saya tuliskan sebuah sajak berjodol - LORONG ITU MATI, dan sajak itu juga diterbitkan didalam Majalah Dewan Masyarakat. Apabila aku diberitahu oleh Man Kadir dan Yassin Salleh bahawa pada 13.11.12 jam 8.45 malam akan diadakan Majlis Membaca Puisi, tergerak sekali lagi aku mahu menulis sebuah puisi, satu puisi sindiran. Kalau Sdr Kassim Ahmad menyiapkan sebuah puisi didalam tempoh beberapa hari (beliau sangat cermat didalam penulisannya), saya hanya menulis didalam tempoh 5 minit sahaja (kerana aku bukan seorang penyair). Inilah (dibawah ini) aku turunkan semula sajak yang aku tulis dengan jodol AKULAH ORANG YANG PALING HEBAT. Akulah orang yang paling hebat apa kerja pun aku tak perlu buat kalau bercakap akulah orangnya yang amat pandai dan berdarjat Aku tahu seribu satu ilmu nak cakap tentang dunia akulah yang paling tahu nak cakap tentang akhirat akulah ulamaknya bahkan nak cakap fasal perempuan aku jugalah ular dalam semaknya Siapa boleh lawan aku bukankah aku seorang intelek aku ada setempeket kerja aku bukan menoreh getah kerja aku bukan menyadat sawit kerja aku bukan di kebun pisang kerja aku bukan di ladang gersang kerja aku bukan menangkap ikan di sungai aku orang yang hebat amat-amat aku menulis di akhbar-akhbar aku berucap di pentas politik. Siapa tak kenal aku Akulah yang bersama Dato Seri Anwar Ibrahim Dato Seri Anwar sentiasa menghubungi aku ditengah malam dia mahu check aku dah tidur ke belum akulah orang yang paling digemari oleh Anwar akulah pilihan Anwar, no less! Tanpa aku perjuangan di kawasan ini tidak bermakna tak usah ganggu gugatlah aku ni aaku ada sumpah keramat aku tak perlu kepada kawan yang ramai tak perlu aku kepada jentera apa guna banyak bendera bukan bendera atau poster yang mengundi aku rakyat seluruhnya di belakang aku aku manusia pilihan kerana aku hebat tanpa aku siapa lagi? Ini bukan gurindam anak kampong ini bukan gurindam anak tani ini bukan gurindam anak nelayan ini bukan gurindam anak pekerja ini bukan gurindam anak kakitangan kerajaan ini bukan gurindam anak polis ini bukan gurindam anak tentera ini bukan gurindam anak bomba ini bukan gurindam anak rela. Ini gurindam pejuang negara manusia terpilih yang tidak ada galang gantinya Akulah orangnya! Akulah manusianya! Amboihai, hebatnya AKU! haji suhaimi said 10.11.12 baitul fath, kg batu 4, jalan maran, temerloh, pahang. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan