Rabu, 1 Ogos 2012

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Kampung yang tidak Merdeka

Posted: 01 Aug 2012 05:44 PM PDT

Di hampir pertengahan tahun 1980-an, saya mulai aktif didalam politik parti PAS.  Peringkat awalnya saya sekadar mahu belajar agama.  Saya dapati Ustaz Ishak Abdullah sebagai seorang yang guru agama yang cergas dan progresif.  

Saya menawarkan diri saya untuk membawa Ustaz Ishak ke setiap kelas yang beliau terlibat mengajar di seluruh Daerah Temerloh dan dengan itu juga saya dapat belajar darinya melalui kelas-kelas tersebut.  Diantara apa yang diajarkan oleh Ustaz Ishak termasuklah tafsir Al-Quran, pemahaman Hadis, Bahasa Arab, Sejarah dan Politik Islam dan beliau juga membimbing kader-kader parti PAS dan kelas-kelas usrah.  Pusat utama kelas-kelas ini diadakan ialah di Markas PAS Kg Paya Kechik.

Saya menyertai kelas-kelas tersebut tetapi tidak terikat dengan politik PAS yang dibawakan oleh Ustaz Ishak, dan Ustaz Ishak pun tidak pernah memaksa saya supaya menyertai PAS.  

Ustaz Ishak adalah Yang Di Pertua PAS kawasan Temerloh pada waktu itu.  Tetapi didalam waktu yang sama saya libatkan diri saya dengan kerja-kerja gotong royong yang diadakan oleh PAS kawasan Temerloh khususnya pada waktu itu untuk mendirikan pusat tarbiah PAS di Kg Sg Rabit.

Suatu hari, Ustaz Ishak memberitahu saya bahawa kelas yang sepatutnya diadakan terpaksa dibatalkan kerana Haji Hadi Awang akan memberikan ceramah di Pusat Tarbiah Kg Sg Rabit dan menjemput saya mendengar ceramah itu.

Saya hadir dan mendapati ucapan Haji Hadi sebagai suatu inspirasi yang tak pernah saya dengar sebelum itu.  Di hujung ceramah Haji Hadi itu semasa jamuan makan malam saya mengambil peluang untuk berbual dengan Haji Hadi.  

Saya tidak kenal Haji Hadi sebelum itu dan saya juga tidak tahu bahawa beliau dirujuk sebagai Tuan Guru, dan saya memanggilnya Tuan Haji, satu panggilan yang janggal kepada ahli-ahli PAS.

Saya bertanya dengan Haji Hadi samada beliau ada mengadakan kuliah mingguan di mana-mana untuk saya sertai.  Beliau menjawab mudah dan dia kata setiap malam khamis ada kuliah di Masjid Rusila, Marang.

Selepas itu saya tidak pernah miss menghadiri Kuliah Haji Hadi di Rusila dan pada Hari Jumaatnya pula saya terus berada di Kota Bharu menghadiri kuliah yang diberikan oleh Tuan Guru Nik Aziz.

Begitulah setiap minggu jadual saya.  Cikgu Ali, Ketua Pemuda PAS Temerloh pada waktu itu mengajak saya menyertai PAS untuk sama-sama berjuang kearah politik Islam.  Agak berat untuk saya menerima ajakan itu kerana saya sudah tidak mahu lagi terlibat dengan sebarang gerakan politik.  Bagaimana pun saya malu alah juga kerana Ustaz Ishak adalah guru ugama saya yang banyak membimbing saya.

Akhirnya saya menyertai PAS dan pada Muktamar PAS kawasan Temerloh saya diangkat sebagai Ketua Pemuda PAS disamping menjadi Setiausaha PAS kawasan.

Sedar tak sedar saya sudah terlibat dengan gerakan PAS, turut sama-sama mengaturkan program untuk PAS kawasan, dan sebagai seorang yang terlibat dengan pembelaan terhadap peneroka-peneroka Felda, saya bawakan perjuangan itu sebagai salahsatu program didalam PAS, sehinggalah membawa saya ke seluruh Negara ke rancangan-rancangan Felda memperjuangkan hak dan kepentingan peneroka-peneroka Felda.

Saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai pemimpin tetapi saya letakkan kedudukan saya sebagai kader parti.  Sebagai kader parti saya bawakan sedikit perubahan didalam gerak kerja PAS kawasan Temerloh.  Saya adakan siri ceramah kelompok sehingga setiap malam diadakan 5 ceramah kelompok, dan setelah dapat mengaturkan lebihkurang 30 ceramah kelompok, saya adakan pulak ceramah secara besar-besaran dan samada ceramah kelompok atau besar-besaran gerak kerja yang diutamakan ialah pengedaran risalah dan juga jemputan ceramah dari rumah ke rumah.

Diantara kampong-kampong yang sukar untuk lantas (sukar pergi) ialah Kg Belengu dan kampong-kampong sebelumnya seperti Kg Paya Batu selepas Kg Bukit Kelulut.

Tanpa berbincang dengan rakan-rakan lain, saya menulis surat kepada DYMM Sultan Pahang dengan salinan kepada Pegawai Daerah, Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampong dari kampong Paya Kemuning membawa kepada Kg Bukit Kelulut ke Kg Paya Batu, Kg Bukit Bintang dan Kg Belengu menyatakan bahawa Kg Belengu itu adalah sebuah kampong pedalaman yang belum Merdeka.  Kampung itu tidak ada bekalan elektrik, air bersih, dan jalan raya.

Saya tidak tahu risiko surat saya itu dan apakah reaksi daripada DYMM Sultan Pahang.  Rupa-rupanya surat itu sampai ke tangan Tuanku dan baginda menyatakan hasrat untuk melawat kampong Belengu itu.  

Saya telah dipanggil oleh Pegawai Daerah Temerloh yang memaki hamun saya.  Saya tidak menjawab panjang maki hamun Pegawai Daerah itu tetapi saya menjawab mudah bahawa sepatutnya menjadi tugas Pegawai Daerah untuk memajukan kampong-kampong yang ketinggalan.

Tuanku telah memberikan tarikh lawatan, dan cubalah bayangkan bahawa time-frame yang diberikan itu adalah begitu singkat.  Maka bekerjalah semua jabatan kerajaan untuk menyiapkan semua persediaan seperti mengadakan jalanraya bertar, paip air, bekalan elektrik dan sebuah masjid.

Persediaan itu siap sebelum lawatan Tuanku ke Kg Belengu.  Selepas peristiwa itu, Tok-Tok Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung yang sebelum ini tak pandang sebelah mata pun kepada saya mulai menegur sapa kepada saya walaupun saya tahu sikap hipokrit mereka.

Saya tak kisah itu semua tetapi yang pentingnya 'KAMPUNG YANG BELUM MERDEKA ITU TIBA-TIBA MENJADI KAMPONG YANG SUDAH DIHINGGAPI KEMAJUAN' Alhamdulillah, walaupun Pegawai Daerah memang berbulu memandang kepada saya.

Dengan pengalaman itu, saya sekali lagi menulis surat kepada Tuanku menyatakan bahawa jalan dari Kg Tebal membawa ke Kg Lebak Seberang di tepi Sg Pahang perlu dibina dan saya juga salinkan surat itu kepada Pegawai Daerah, Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampong bagi kampong-kampong yang terlibat. 

Kali ini Pegawai Daerah tidak lagi memanggil saya ke pejabatnya, menggunakan kuasa yang ada padanya, jalan ke Kg Lebak Seberang dari Kg Tebal telah dibina.  

Sebenarnya surat kepada DYMM Sultan Pahang itu tidak pun saya hantarkan.

Tiada ulasan: