Khamis, 2 Ogos 2012

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Anwar timbang saman Puad Zarkashi isu fitnah peletakan jawatan Lajim

Posted: 02 Aug 2012 02:04 AM PDT


(Oleh Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 2 Ogos: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbang untuk menyaman Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi jika beliau gagal memohon maaf dalam tempoh 48 jam berhubung fitnah isu peletakan jawatan oleh Datuk Seri Lajim Ukin.
Tuntutan ini dikemukakan Ketua Pembangkang itu menerusi peguam N Surendran yang juga Naib Presiden KEADILAN hari ini.
Ia berikutan kenyataan Puad dalam Sinar Harian Selasa lalu bertajuk 'Lajim ikut nasihat Anwar'. Puad juga menuduh Anwar membayar Lajim untuk meletak jawatan dalam Umno.
"Kenyataan itu pembohongan yang sangat keji dan tidak bersesuaian dengan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.
"Selari dengan lumrah politik fitnah Umno, Puad juga tidak menunjukkan bukti untuk menyokong tuduhan liar beliau," katanya dalam kenyataan.
Surendran berkata, kenyataan tidak berasas itu adalah bukti tindakan terdesak Umno kerana takut menghadapi kenyataan BN bakal kehilangan sokongan rakyat di Sabah.
"Tindakan berani Lajim meletak jawatan adalah demi kebaikan rakyat Sabah yang telah lama menderita oleh penindasan dan pemerintahan korup Umno BN," jelasnya.
Ekoran itu, Anwar mahu Puad membuat permohonan maaf melalui akhbar harian, selain turut menuntut ganti rugi dan kos guaman.
"Writ saman akan dikeluarkan terhadap Puad jika beliau gagal melaksakan tuntutan-tuntutan tersebut," tegas Surendran.
"Kita juga menyeru agar pemimpin Umno segera meninggalkan politik fitnah dan mengadakan debat yang membina bersama Pakatan Rakyat demi kepentingan negara," katanya.
Lajim pada Sabtu lepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort berkuatkuasa serta-merta.

Lagi khabar gembira dari Sabah minggu depan – Anwar

Posted: 02 Aug 2012 02:03 AM PDT


PETALING JAYA 2 Ogos: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, lebih banyak berita baik akan datang dari Sabah pada pemergian beliau ke negeri itu minggu hadapan.
"Saya akan kembali ke Sabah pada 12 Ogos, dengan kemungkinan lebih berita baik dan kita kena bersedia," katanya ringkas kepada pemberita pada sidang medianya di Ibu Pejabat KEADILAN, dekat sini hari ini.
Hujung minggu lalu, Ahli Parlimen BN, Lajim Ukin (Beaufort) dan Wilfred Bumburing (Tuaran) meletakkan jawatan dalam parti.
Lajim adalah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ahli Majlis Tertinggi Umno bagi sesi 2009 hingga 2011, bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Pengerusi BN Beaufort, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Ketua Umno Cawangan Kerambai Kebatu.
Wilfred pula merupakan Timbalan Presiden Upko, Timbalan Presiden Angkatan Manah Merdeka, Pengerusi BN Tuaran dan pernah sertai parti Pertubuhan Kebangasaan Pasok Nunukragang Bersatu (Pasok) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Kedua-dua mereka menyertai Pakatan Rakyat melalui penubuhan Angkatan Perubahan Sabah dan Pakatan Perubahan Sabah.
Penyertaan mereka itu disaksikan Anwar pada majlis pelancaran kedua-dua penubuhan tersebut di Sabah, masing-masing pada Sabtu dan Ahad lalu.

Dasar automotif Pakatan: Kereta, tiket bas, komuter lebih murah

Posted: 02 Aug 2012 01:54 AM PDT


(Oleh Mohd Martin Kahar)
PETALING JAYA 2 Ogos: Reformasi Dasar Automotif Negara (DAN) yang dipertimbangkan Pakatan Rakyat (Pakatan) akan mengutamakan penambahbaikan sistem pengangkutan awam, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, dengan menambah baik perkhidmatan bas dan keretapi antara bandar dengan kos berpatutan, penggunaan perkhidmatan awam akan meningkat sekaligus mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan bahan api.

"Penstrukturan semula Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan dilakukan bagi memastikan perkhidmatan itu baik dan menawarkan harga yang murah kepada pengguna," katanya ketika membentangkan kerangka DAN itu di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.

Anwar berkata, dasar yang dirangka itu turut menekankan peningkatan pendapatan rakyat bagi mengimbangi pembiayaan kenderaan dengan jumlah pendapatan bulanan rakyat di negara ini.
Pakatan juga katanya, akan menyemak kembali kadar pinjaman kereta yang dikenakan institusi kewangan bagi memastikan pembiayaan munasabah.
Jamin nilai kereta tidak jatuh merudum
Anwar yang disebut-sebut bakal Perdana Menteri ketujuh berkata, penghapusan cukai eksais dan penurunan harga kereta akan dilakukan secara berperingkat-peringkat supaya nilai kereta baru dan terpakai tidak turun mendadak.

"Penurunan cukai eksais akan diumum setiap tahun dalam Belanjawan Negara setelah mengambil kira pandangan institusi kewangan dan semua pihak yang terlibat dalam perusahaan automotif.
"Ini bertujuan susut nilai kereta dan aset pinjaman yang dipegang institusi kewangan selari dengan penurunan harga baru," katanya optimis Pakatan mampu melaksanakannya jika berjaya mengambil alih Putrajaya.
Beliau juga menjamin, pengumuman insentif dalam Belanjawan Negara akan dibuat setiap tahun untuk menggalakkan industri pengeksportan kereta terpakai ke pasaran baru selain memberi insentif kepada pengusaha kemudahan baik pulih kenderaan.
Bidaan AP imbangi keperluan hasil negara
Menurut Ketua Umum KEADILAN  itu, pengenalan sistem bidaan permit import (AP) mengikut kategori kenderaan dijangka memberi hasil hingga RM3 bilion setiap tahun apabila AP dimansuhkan sepenuhnya menjelang 2015.
Kata beliau, penurunan cukai eksais secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan memastikan hasil negara tidak merudum seperti yang didakwa Umno BN.
Tambah Anwar, suntikan RM8 bilion (anggaran cukai eksais yang dikurangkan) ke dalam ekonomi domestik dijangka dapat merancakkan ekonomi negara dan meningkatkan hasil cukai pendapatan dan cukai jualan kerajaan bermula dari tahun kedua selepas pengenalan dasar baru.
"Peningkatan hasil cukai pendapatan dan jualan dianggar akan bertambah RM1 bilion hingga RM1.5 bilion kepada pendapatan negara setiap tahun. Industri baru iaitu pengeksportan kereta terpakai ke pasaran baru dijangka mewujudkan pendapatan baru kepada kerajaan," katanya.
Banyak peluang pekerjaan  
Anwar berkata, sasaran Pakatan Rakyat melalui DAN yang baru adalah untuk merancakkan industri automotif, bukan hanya menjamin pemilikan industri itu ke tangan pihak-pihak tertentu.
Katanya, perkara itu penting supaya peluang pekerjaan dan nilai tambah sektor ini terus meningkat dengan penyertaan lebih banyak firma automotif antarabangsa.
"Syarikat-syarikat tempatan juga akan diberikan sepenuh kebebasan melaksanakan strategi kerjasama dan pembangunan automotif yang menjamin peluang pekerjaan dan peningkatan kapasiti sedia ada.
"Insentif khas akan ditumpukan kepada usaha meningkatkan kualiti kereta yang dikeluarkan di Malaysia agar boleh bersaing di peringkat antarabangsa. Apabila eksport kereta buatan Malaysia meningkat, lebih banyak peluang pekerjaan dapat dibuka kepada rakyat," katanya.

Tangkapan Rafizi untuk tutup penyelewengan Umno BN – Anwar

Posted: 01 Aug 2012 10:39 PM PDT


(Oleh Masdar Wahid & Aedi Asri)
KUALA LUMPUR 1 Ogos: Penahanan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (Bafia) pagi ini menggambarkan politik dendam kerajaan yang ditunjangi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, motif penangkapan Rafizi jelas berunsur politik bertujuan
mendiamkan beliau daripada terus mendedahkan dokumen melibatkan pimpinan Umno BN.

"Sejak pendedahan skandal National Feedlot Corporation (NFC) tahun lalu, beliau mendapat ramai seteru yang berkuasa dan akan gunakan apa saja cara untuk mendiamkannya.
"Saya yakin penangkapan ini adalah berkaitan dengan skandal NFC dan juga George Kent yang baru diberi kontrak (LRT Ampang) jutaan ringgit," kata Ketua Pembangkang itu dalam satu kenyataan.
Mengecam penangkapan itu sekeras-kerasnya, Anwar juga menyatakan sokongan penuh kepada Rafizi dan berharap beliau dapat melalui dugaan dan sentiasa yakin keadilan akan berpihak kepada yang benar dan berani.
"Ini hanyalah satu cara mereka untuk menakutkan rakyat yang ingin mencari kebenaran di sebalik kontrak dan kronisme yang melibatkan Umno BN," kata beliau.
Sependapat dengan Anwar, Timbalannya, Azmin Ali menyifatkan penangkapan itu bertujuan untuk menutup pembongkaran penyelewangan dan salah guna kuasa pimpinan kerajaan daripada pengetahuan rakyat.
Beliau berkata, penangkapan itu membuktikan Perdana Menteri sangat terdesak berhubung skandal NFC yang membelenggu Umno BN.
"KEADILAN percaya Umno BN sedang mengguna pelbagai cara untuk menutup pekung penyelewengan dan salah guna kuasa daripada menjadi pengetahuan rakyat.
"Namun kita yakin, rakyat Malaysia akan terus bersatu menolak rasuah dan salah guna kuasa demi kemaslahatan negara," katanya dalam kenyataan.
Justeru, beliau menyeru rakyat bangkit menyokong Rafizi serta mendesak mahkamah membicarakannya dengan adil.
Semoga beliau terus diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk meneruskan perjuangan demi rakyat," kata Azmin.
Rafizi bukan penjenayah
Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar turut mengutuk tindakan polis mengancam untuk memecahkan pintu rumah Rafizi ketika serbuan polis pagi tadi.
"Kita perlu selamatkan beliau. Jangan berputus asa kerana Malaysia miliki rekod teruk dalam menangani pejuang," katanya yang turut berada di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Ketua Cabang Batu Pahat, Syed Hamid Ali dalam facebook beliau mengatakan, suara kebenaran anak muda dan cerdik pandai serta jujur dan berani yang ditekan pemerintah adalah tanda perubahan besar yang hampir tiba.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin juga mempersoal tindakan polis dan Bank Negara Malaysia di awal pagi lagi menyerbu rumah Rafizi, seolah-olah beliau adalah penjenayah besar.
"Ini menunjukkan sistem keadilan Malaysia masih sama," kata Shamsul dalam twitternya.
Tanda Umno BN akan berkubur
Presiden Kelab Penyokong Anwar Ibrahim (AIC), Saifuddin Shafi Muhammad berkata, penangkapan oleh pentadbiran Perdana Menteri itu membawa pentafsiran positif bahawa nyawa BN akan berakhir tidak lama lagi.
"Cukuplah penindasan, penghinaan dan rompakan yang mereka (Umno BN) lakukan bukan sahaja ke atas harta tetapi hak dan maruah rakyat Malaysia.
"Janji bahawa BN menzalimi rakyat sudah ditepati, kini masa untuk membalas dengan menumbangkan mereka pada PRU 13 akan datang," katanya.
Tangkapan 'double standard'
Srikandi juga mempersoal ketelusan sistem perundangan negara kerana bertindak 'double standard' dalam kes yang melibatkan pimpinan Pembangkang.
"Dalam kes ini sepatutnya yang menjadi tumpuan ialah penyelewengan dan rasuah oleh pimpinan Umno, bukan individu yang cuba untuk menyelamatkan hak rakyat," kata Ketuanya, Siti Aishah Shaik Ismail.
Katanya, dengan pendakwaan ini jelas menunjukkan kerajaan Umno semakin terdesak dan tertekan dengan segala bentuk
penyelewengan yang dibongkar pimpinan Pakatan Rakyat.

"Srikandi mengajak seluruh anak muda Malaysia untuk bangkit dan berani menyatakan kebenaran walaupun ditekan oleh pemerintah yang zalim," katanya.
Bukti GTP kerajaan lemah
Pendakwaan Rafizi turut mendapat reaksi di kalangan pimpinan DAP dan PAS.
Ketua Publisiti DAP, Tony Pua berkata, tindakan itu memberi tamparan hebat kepada usaha membasmi rasuah yang mahu dilaksanakan pentadbiran Perdana Menteri.
"(Ia) melemahkan lagi prestasi yang lebih rendah mengenai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP)," kata Pua dalam satu kenyataan.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai 'membalas dendam' terhadap si pembocor maklumat.
Langkah Rafizi patut dipuji
Pemuda PAS pula beranggapan, penahanan bekas Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor itu menunjukkan Kerajaan Persekutuan tidak ikhlas dan telus dalam memastikan negara bebas daripada rasuah.
"Kerajaan sepatutnya melihat isu yang ditimbulkan oleh Rafizi jauh lebih utama dan penting berbanding tindakan tindakan beliau yang membocorkan maklumat," kata Naib Ketua Dewan itu, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob.
Raja Ahmad malah berkata, langkah Rafizi itu wajar dipuji kerana bertujuan memastikan negara bebas daripada 'penyangak rasuah'.

KEADILAN tubuh Now untuk lindungi pemberi maklumat

Posted: 01 Aug 2012 10:36 PM PDT


(Oleh Mohd Martin Kahar)
PETALING JAYA 2 Ogos: KEADILAN menubuhkan Pusat Perlindungan Pemberi Maklumat Nasional (Now), bertujuan melindungi dan menjaga kebajikan pemberi maklumat mengenai salah guna kuasa kerajaan.
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat sedia ada tidak berkesan melindungi pemberi maklumat.

"Pemberi maklumat sepatutnya dilindungi kerajaan. Sebaliknya mereka diburu, diugut dan didakwa oleh kerajaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.

Umno beri projek pada kroni punca yuran Kuis mahal – Rafizi

Posted: 01 Aug 2012 10:31 PM PDT


(Oleh Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR 2 Ogos: Punca utama yuran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) mahal disebabkan Umno memberi projek kepada syarikat kroni, berharga RM15.4 juta setahun dengan kontrak 33 tahun berbanding sewa munasabah hanya RM6 juta setahun bagi tempoh sama, kata Rafizi Ramli.
Pengarah Strategi KEADILAN itu berkata, yuran mahasiswa boleh diturunkan dengan syarat kontraktor Umno menarik diri atau Kerajaan Persekutuan diubah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
"Jika pemilik konsesi ini menarik diri dari perjanjian itu, yuran Kuis mampu diturunkan, namun hingga kini pemiliknya, Sulaiman Abdul Razak enggan walaupun sudah dirayu dan didesak berkali-kali.
"Maka pilihan akhir pada saudara ialah membantu mengubah kerajaan Umno BN peringkat Persekutuan kepada Pakatan Rakyat yang menawar pendidikan percuma, bukan sahaja di Kuis tetapi seluruh negara dari peringkat rendah hingga universiti," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis dialog  'Pendedahan Skandal Kuis: Kroni Kaya, Mahasiswa Menderita' anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Demi Mahasiswa Kuis (DMK) di sebuah restoran berhampiran Kuis, kelmarin.
Turut berucap, Presiden SMM, Mohd Safwan Anang dan Pengerusi DMK, Azrul Tahir. Hampir 200 mahasiswa memenuhi ruangan itu sebelum berbuka puasa beramai-ramai.
Kontrak membina dan menyewakan asrama kepada mahasiswa Kuis diberi kepada Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) pada 3 Ogos 2007 di mana syarikat itu dikuasai Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang.
Namun, RSSB hanya 'membuat untung atas angin' apabila menyerahkan pula projek itu kepada Bina Puri Holdings Bhd iaitu syarikat sub-kontraktor yang menjalankan sepenuhnya operasi pembinaan dan penyenggaraan asrama sepanjang 33 tahun itu.
Sejak beberapa tahun lalu, kumpulan mahasiswa dan ibu bapa mengadu mereka terbeban ekoran yuran Kuis sangat tinggi.

Polis paksa jurugambar padam bukti keganasan!

Posted: 01 Aug 2012 10:25 PM PDT


(Oleh Mohd Martin Kahar)

KUALA LUMPUR 2 Ogos: Jurugambar akhbar The Star, P Puspanathan berkata, polis memaksa beliau memadam gambar anggota itu sedang memukul orang ramai pada perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.
Menurutnya, ketika bertugas di Masjid Jamek petang itu, beliau melihat polis berpakaian uniform memukul orang awam yang memakai baju kuning Bersih.
"Ketika sedang merakam tindakan ganas itu, polis mengepung dan mengarahkan supaya memadam semua gambar yang diambil.
"Saya beritahu, saya petugas media dan menunjukkan kad media kepada polis berkenaan, tetapi mereka tidak mempedulikannya. Malah polis itu juga mahu merampas kamera saya," katanya.
Puspanathan berkata, beliau berkeras tidak mahu menyerahkan kameranya dan terpaksa memadamkan gambar kekejaman polis.
"Saya terlalu takut bila dikelilingi polis. Pada ketika itu, mereka sedang memukul orang ramai dan mungkin mereka juga akan memukul saya," jelas beliau.
Puspanathan tampil sebagai saksi ke-20 pada sidang ke-9 pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), semalam.
Ketika ditanya adakah mengambil gambar ketika sesuatu acara berlangsung merupakan jenayah, beliau berkata, sepanjang 10 tahun menjadi jurugambar, beliau tidak pernah merasakan tindakannya itu salah.
"Saya banyak kali membuat liputan perhimpunan termasuk Bersih 3.0. Tetapi saya tak pernah berhadapan situasi seperti ini," katanya.
Beliau percaya tindakan polis itu bertujuan memadamkan bukti keganasan terhadap orang awam.
Sidang itu dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
Turut dipanggil sebagai pemerhati, wakil dari Majlis Peguam dan polis.

KEADILAN desak tubuh Suruhanjaya Diraja siasat pemberian kontrak LRT

Posted: 01 Aug 2012 10:18 PM PDT


(Oleh Mohd Martin Kahar)
PETALING JAYA 2 Ogos: KEADILAN mendesak Suruhanjaya Diraja ditubuh bagi menyiasat salah guna kuasa membabitkan Datuk Seri Najib Razak dalam pemberian kontrak bagi projek tambahan LRT Ampang bernilai RM1.1 bilion kepada Konsortium George Kent.
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, ia ekoran kegagalan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu walaupun laporan telah dibuat.

"Jelas sekali polis dan SPRM tidak berkuasa menyiasat Perdana Menteri sehingga anugerah kontrak tersebut dibuat tanpa mengira kemarahan rakyat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.

Tiada ulasan: