Jumaat, 20 Januari 2012

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Pejabat AG fail rayuan keputusan kes liwat II

Posted: 20 Jan 2012 12:45 AM PST


Pejabat Peguam Negara hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan liwat.

Ia difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi (Jenayah) Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang ini.

Pada 9 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari yang juga bekas pembantunya.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya, berkata beliau mendapati tidak ada bukti yang menyokong keterangan Saiful.

Semalam, Saiful menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail meminta beliau memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu.

Saiful menerusi blog miliknya mohdsaifulbukhari.blogspot.com menulis bahawa surat itu dihantar melalui peguamnya Tetuan Zamri Idrus & Co.

Katanya, rayuan ini penting kerana ia membabitkan maruah dan masa depannya.

Menurutnya, dia hanya menuntut haknya sebagai warganegara Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan "di mana setiap aduan itu berhak didengar dan diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Tertinggi".

Katanya, jika dia berhak memfailkan rayuan itu sendiri, dia akan berbuat demikian tanpa menyusahkan individu lain.

Namun, katanya, kuasa mutlak untuk memfailkan rayuan hanya terletak di tangan Peguam Negara.

Sementara itu, menulis dalam blognya, Saiful berkata, dia bersyukur kehadirat Allah SWT dan menerima baik keputusan Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

"Saya dan keluarga saya juga ingin menyatakan di sini bahawa dengan pemfailan notis rayuan tersebut, hak untuk aduan saya sebagaimana laporan polis yang saya buat pada tahun 2008 didengar dan melalui proses keadilan sehingga ke peringkat mahkamah yang tertinggi menurut undang-undang, adalah terlaksana.

"Saya dan keluarga juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang secara langsung dan tidak langsung memberi sokongan kepada saya agar hak saya sebagai warganegara untuk melalui proses keadilan ke peringkat Mahkamah Rayuan terlaksana.

"Saya akan terus berdoa, istiqamah, sabar. Kepada Allah saya berserah," tulis Saiful.


Sumber: Malaysiakini

Zuraida tak gentar disaman Shahrizat RM100j

Posted: 20 Jan 2012 12:40 AM PST


Tidak gentar dengan saman fitnah RM100 juta oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil, PKR ikrar untuk mendedahkan lebih banyak skandal berkaitan dengan kontroversi projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Ketua Wanita PKR, Wanita Zuraida Kamaruddin berkata saman fitnah tersebut tidak akan menghalangnya dan pengarah strategi parti itu, Mohd Rafizi Ramli daripada mendedahkan lebih banyak skandal mengenai projek tersebut.

Beliau "mengalu-alukan" Shahrizat untuk membawa kes tersebut ke mahkamah kerana ia akan memberi ruang yang lebih besar kepada rakyat untuk menghakimi skandal tersebut.

"Saya percaya ramai rakyat Malaysia akan tampil dan bekerjasama dengan kami untuk membawa lebih banyak bukti dan menjadi saksi dalam kes tersebut," katanya.

Selepas berita (saman) tersebut tersebar, tambahnya, ramai yang menawarkan diri untuk memberi lebih banyak maklumat yang merupakan maklumat baru pada pihaknya.


Sumber: Malaysiakini

Karpal Singh diperintah bela diri pertuduhan menghasut

Posted: 20 Jan 2012 12:35 AM PST


Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini memerintahkan peguam Karpal Singh membela diri terhadap pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada sidang akhbar pada 2009.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Ahmad Ma'arop sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan pengerusi kebangsaan DAP itu bagi pertuduhan menghasut pada akhir kes pendakwaan tanpa memanggilnya untuk membela diri.

Hakim Ahmad memutuskan pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Panel itu yang turut dianggotai dua Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali menetapkan 9 Februari bagi sebutan kes Karpal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim itu, dalam penghakiman bertulisnya yang mengambil masa dua jam untuk membacakannya, berkata apa yang dikatakan oleh Karpal Singh dalam sidang akhbar itu ialah rasa tidak puas hati terhadap Sultan Perak.

Hakim Ahmad berkata kenyataan Karpal Singh itu telah mencemarkan kehormatan Sultan dan juga telah mengakibatkan pertembungan ketamadunan antara hubungan rakyat dan raja.

Karpal dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 11 Jun 2010 daripada pertuduhan mengeluarkan perkataan-perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama di sini antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Feb, 2009.

Beliau didakwa telah mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar oleh Sultan Perak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad berkata panel tidak menerima hujahan Karpal Singh bahawa Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948, yang menetapkan bahawa tindakan mempersoalkan hak dan keistimewaan Raja adalah satu kesalahan, adalah tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Pada pendengaran rayuan itu pada Julai tahun lepas, Karpal Singh memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan Seksyen 3 (1)(f) dan mengisytiharkan peruntukan itu tidak mengikut perlembagaan kerana menurutnya Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan membenarkan litigan mendakwa ketua negeri di mahkamah menerusi cara semakan kehakiman kerana mereka termasuk dalam definisi "pihak berkuasa awam".

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak dalam rayuan itu selama dua hari pada Julai tahun lepas, panel itu menangguhkan keputusan mereka.

Hakim Ahmad, dalam penghakimannya berkata semakan kehakiman tidak boleh dibuat terhadap kuasa Sultan

Beliau berkata kenyataan Karpal dalam sidang akhbar itu bahawa "Sultan tidak menghormati undang-undang dan sultan telah bertindak secara ultra vires mengikut Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, telah mewujudkan kebencian.

Perkara 16 (6) adalah berkaitan kuasa sultan untuk melantik menteri besar.

Hakim itu berkata pihak pendakwaan hanya perlu membuktikan bahawa apa yang diperkatakan itu telah menimbulkan keadaan huru-hara, dan menurutnya adalah tidak perlu untuk menunjukkan niat dalam hasutan itu.

Hakim Ahmad berkata apa yang dinyatakan oleh Karpal Singh tidak termaktub dalam kebebasan bersuara dan menurutnya sebagai peguam kanan yang dihormati dan anggota Parlimen, beliau (Karpal Singh) sepatutnya tahu sempadan dan batasan kebebasan bersuara.

Katanya juga terdapat 103 laporan polis dibuat terhadap Karpal Singh berhubung kenyataannya itu.

Antara yang hadir di mahkamah yang penuh sesak itu sebagai tanda sokongan kepada Karpal Singh ialah anggota keluarga peguam itu, anggota DAP termasuk anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang, bekas pemimpin Dr Chen Man Hin, anggota Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran, anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng, anggota Parlimen Petaling Jaya Tony Pua dan anggota Parlimen Bukit Bintang Fong Po Kuan.

Mewakili Karpal Singh ialah empat anaknya iaitu Jagdeep Singh Deo, Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur, barisan peguam R.S.N Rayer, Ramesh Sivakumar dan Teoh Lib Peng. Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin dan Najib Zakaria.

Peguam Rajpal Singh adalah peguam pemerhati Majlis Peguam.

Di luar mahkamah, Karpal Singh berkata beliau akan merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan walaupun menurutnya terdapat autoriti mahkamah menyatakan sekiranya dipanggil membela diri, ia tidak boleh dirayu kerana ianya bukan perintah muktamad.

Katanya wujud diskriminasi dalam perkara itu kerana sekiranya Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya, pihak pendakwaan berhak untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan kerana keputusan mahkamah rayuan akan dianggap sebagai perintah muktamad.

Beliau berkata sama ada tertuduh tidak mempunyai hak untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan sebaik sahaja dipanggil membela diri, itu boleh menjadi intipati bagi rayuan.

"Saya menerima keputusan itu pada ketika ini. Kami akan teruskan ke Mahkamah Persekutuan dan kita lihat apa berlaku di sana," katanya.

- Bernama

Anwar: Pinda undang-undang aib musuh politik

Posted: 20 Jan 2012 12:30 AM PST


Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya undang-undang yang didakwanya digunakan untuk mengaibkan seseorang, dipinda termasuk peruntukan dalam seksyen 377 (B) dan 377 (C) Kanun Keseksaan.

Katanya, pindaan tersebut perlu dibuat bagi memastikan supaya ianya tidak digunakan untuk menghina seseorang khususnya terhadap musuh dalam politik.

"Memang undang-undang yang ada 377(B) ka, C ka, ini memang archaic (lapok). Digunakan untuk aibkan orang. Digunakan untuk musuh politik.

"Ada saya sebut undang-undang Islam, undang-undang syariah. Ada saya sebut pertahankan sodomy, tidak. Saya kata, undang-undang yang ada.

"(Orang) tanya saya, bila kita berkuasa, boleh kita pinda. Ya, saya akan pinda. Apa pasal tidak boleh pinda undang-undang yang ada sekarang. Kita pinda supaya pastikan ia tidak bermaksud untuk menghina orang," katanya.

Anwar turut menempelak pihak tertentu yang mempertahankan undang-undang yang didakwanya "jumud" digunakan untuk memfitnah seseorang.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya malam tadi bagi mengulas kontroversi wawancaranya dengan rangkaian penyiaran British (BBC) yang dilaporkan minggu lalu sehingga beliau dituduh menyokong homoseksual.

Rangkaian itu meminta Anwar menyatakan pendirian sama ada beliau bersedia memperjuangkan 'idea anti-diskriminasi' terhadap kumpulan itu dan menegaskan masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia secara keseluruhannya percaya dan komited menyokong kesucian perkahwinan antara lelaki dan wanita.

"Tetapi kami tidak harus dilihat sebagai menyusahkan dan menganggap undang-undang lapuk sebagai relevan," kata Anwar dalam temubual dengan BBC itu.

Bercakap di majlis kesyukuran sempenan pembebasannya daripada tuduhan liwat pada 9 Januari lalu, Anwar menegaskan kenyataannya bahawa Islam dan bukan Islam menyokong perkahwinan lelaki dan perempuan menjawab perbuatan seks bebas, homoseksual dan lesbian.

Anwar yang juga bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata, umat Islam tidak boleh menghukum seseorang melakukan "perselingkuhan" kecuali ianya dilakukannya di hadapan umum.

"Orang berkata, itu kalau di tempat persendirian? Kamu tahu mana?... Bukan mengendap atau merobek privasi orang, tidak boleh," tegasnya di hadapan tetamu yang hadir di kediamannya di Segambut Dalam, malam tadi.

Selain beberapa pemimpin PKR, turut hadir di majlis itu ialah bekas menteri kabinet, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, yang turut serta bersolat maghrib, solat hajat, solat Isyak serta majlis bacaan Yassin sebagai tanda kesyukuran di atas pembebasan Anwar daripada tuduhan tersebut.

Mengimbau kisah pada hari keputusan liwat II diumumkan, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh sempat bersarapan bersama-sama ahli keluarganya selepas bersolat subuh.

Bahkan, beliau juga sempat memeluk dan mencium ahli keluarganya kerana berkemungkinan beliau mungkin tidak balik sekiranya didapati bersalah, walaupun jauh di sudut hatinya, beliau merasa akan dilepaskan.

"Paling tidak, mungkin dibenarkan diikat jamin. Tetapi berlaku sebaliknya. Jika bersalah, mungkin riuh dalam negara dan menjadi fokus di luar negara.

"(Tetapi) saya lepas. Saya tidak tahu (sebabnya). Mungkin hakim tahu, sebab (penghakiman) dibaca cepat, beliau keluar pun cepat, tak sempat (saya) nak angkat tangan," katanya diiringi dengan gelak ketawa hadirin.

"Yang saya pasti, the power of prayer. (Kuasa doa) ini adalah luar daripada pertimbangan politik," katanya sambil memaklumkan masyarakat tempatan dan antarabangsa turut mendoakan agar beliau dibebaskan.

Katanya, dengan keputusan itu juga menyebabkan media arus perdana "meroyan macam orang gila" dengan mencari apa-apa sahaja" untuk menyerangnya, bahkan ada pihak yang terkejut dan kesal dengan pembebasan beliau itu.

Dalam kesempatan itu juga, Anwar turut menceritakan pengalaman beliau bersama isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bertemu dengan cucu bekas perdana menteri India, Rajmohan Gandhi, yang mana temujanji itu telah lama diatur sebelum keputusan liwat II ditetapkan.

Katanya, Rajmohan memperuntukkan masa selama lima jam berbincang dengan Anwar secara peribadi, berhubung usaha memartabatkan perjuangan demokrasi.

Menurutnya dalam perjalanan menuju kediaman Rajmohan yang terletak di atas bukit di Panchgani - yang memakan masa selama lima jam dari Mumbai - Anwar singgah minum sejenis air teh yang menyebabkan beliau teringat akan kelazatannya.

Anwar juga berkata selepas berada di India, beliau bertolak ke Turki untuk memenuhi undangan bertemu dengan Perdana Menteri Raceb Tayyib Erdogan.

Bagaimanapun beliau terpaksa menangguh untuk bertemu Presiden Turki Abdullah Gul kerana terpaksa pulang ke tanah air bagi menghadiri Konvensyen Pakatan Rakyat di Alor Setar, Kedah.

Dalam ucapannya selama 45 minit itu juga, Anwar turut memberitahu bahawa beliau menerima banyak ucapan tahniah melalui emel, SMS dan panggilan telefon daripada pelbagai pihak berhubung keputusan tersebut.

Antaranya bekas naib presiden Amerika Syarikat Al-Gore, bekas perdana menteri Kanada Paul Martin dan ulama tersohor Yusuf Al-Qaradhawi dan Dr Wahbah Al-Zuhaili.

Sebelum itu, orang ramai termasuk penyokong memenuhi halaman rumahnya bagi menghadiri majlis kenduri kesyukuran sempena pembebasan beliau daripada tuduhan liwat II.

Sebanyak empat khemah besar dipasang di halaman rumah tokoh pemimpin PKR itu dan dihamparkan tikar bagi membolehkan hadirin yang hadir duduk bersolat dan duduk mendengar tazkirah ringkas yang disampaikan ketua penerangan PKR Dr Mohd Nor Manuty.


Sumber: Malaysiakini

Anwar saman Utusan Malaysia RM150 juta

Posted: 20 Jan 2012 12:25 AM PST


Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah RM150 juta terhadap akhbar milik Umno - Utusan Malaysia - dengan mendakwa akhbar itu telah "mereka pembohongan" yang beliau mahu menghalalkan homoseksual.

Dalam kenyataan tuntutannya yang difailkan oleh firma guaman M/s Daim & Gamany, ketua pembangkang itu menuntut RM50 juta sebagai gantirugi, serta kos-kos lain yang akan ditentukan oleh pihak mahkamah.

Bercakap kepada pemberita selepas memfailkan saman tersebut hari ini, peguam dan naib presiden PKR, N Surendran berkata, mereka juga akan meminta mahkamah menganugerahkan RM50 juta gantirugi teruk dan RM50 juta lagi gantirugi teladan.

"Kami menuntut jumlah yang tinggi kerana dakwaan-dakwaan tersebut telah sampai ke peringkat antarabangsa dan juga telah menjejaskan imej Anwar sebagai seorang negarawan," kata Surendran.

Anwar menamakan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan ketua pengarang akhbar harian bahasa Melayu itu, Datuk Abdul Aziz Ishak sebagai defendan.

Utusan telah menyiarkan berita muka depan bertajuk "Tolak Anwar - Hasan" pada 17 Januari di mana Anwar telah dikritik oleh Dr Hasan Ali kerana mendakwa ahli parlimen Permatang Pauh dan ketua umum PKR itu, mempersoalkan undang-undang anti-homoseksual di negara ini dan dikatakan mahu menghalalkan lesbian, gay, biseksual dan aktiviti transgender (LGBT).

Ia turut menyiarkan satu lagi artikel yang bertajuk "Parasit ancam PAS, Anwar mesti tolak" di muka surat 10 pada hari yang sama.

Komen Hasan - bekas pesuruhjaya PAS Selangor yang telah dipecat oleh parti itu - disiarkan selepas wawancara Anwar disiarkan di BBC minggu lepas di mana beliau menggesa disemak semula "undang-undang lapuk".


Sumber: Malaysiakini

Video Aib Fitnah Anwar Disebarkan ke Ahli Majlis PBT

Posted: 20 Jan 2012 12:20 AM PST


PETALING JAYA, 20 JAN : Pengedaran video aib yang memfitnah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ini disasarkan kepada ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor.

Yang peliknya, VCD tersebut diposkan di dalam satu sampul bersama surat yang memaparkan ajaran Islam tentang dosa orang yang mengumpat.

Terkini, dua laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya oleh dua orang ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Mahharul Ismail dan Halimey Abu Bakar.

Mereka mendakwa menerima salinan VCD video aksi seks lelaki dikatakan mirip Anwar dengan seorang perempuan iras bangsa Cina dua hari lepas di alamat kediaman dan pejabat mereka.

VCD tersebut diposkan di dalam sampul beserta surat itu.

Antara kandungan surat tersebut adalah :

"Islam mewajibkan umatnya menjaga lidah daripada berkata-kata perkara yang tidak baik antaranya ialah mengumpat. Mengumpat ialah menyebarkan keaiban atau memburukkan orang melalui lidah."

"Kami membuat laporan ini supaya pihak polis dapat menyiasat siapa yang menghantarnya tanpa penama dan diharap dapat juga menyiasat motif penghantaran VCD ini.

"VCD ini bukan sahaja diedarkan kepada ahli majlis MBPJ tetapi juga ahli-ahli majlis seluruh negeri Selangor ujar Halimey."

Maharrul berkata laporan itu juga dibuat sebagai tanda kekesalan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab mengedarkan VCD lucah tersebut.

"Ini juga merupakan satu kesalahan mengikut akta kesalahan jenayah atas kesalahan memiliki atau mengedar bahan lucah terutama diedarkan kepada penjawat awam," tegas Maharrul yang menerima salinan VCD itu di pejabatnya Rabu lalu.
Kedua ahli majlis MBPJ tersebut turut menyatakan kemungkinan pengedaran VCD ini bermotifkan fitnah politik kerana ianya disasarkan kepada penjawat awam dan diedarkan selepas Anwar dibebaskan daripada tuduhan meliwat.

"Fitnah ini semata-mata untuk menggambarkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat dan Ketua Pembangkang Malaysia ini tidak bermoral.

Jadi kami berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana ini merupakan jenayah berat," kata Maharrul.


Sumber: TVSNEWS

Wasatiah: Najib diminta 'jangan cakap tidak serupa bikin'

Posted: 20 Jan 2012 12:15 AM PST


KUALA LUMPUR, 20 Jan: PAS meminta Datuk Seri Najib Razak agar jangan mencemarkan Islam dengan slogan sehingga merosakkan imej Islam di pandangan masyarakat bukan Islam di negara ini.

(Gambar Najib dan isteri...jangan cakap tidak serupa bikin)

"Kita mengharapkan Datuk Seri Najib biarlah bercakap serupa dengan bikin," kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau mengulas dasar wasatiah yang diperkenalkan Najib.

Bagi beliau, ia adalah lanjutan dasar pragmatis Umno untuk meraih sokongan di kalangan orang Melayu terutama musim pilihanraya.

"Zaman Tunku Abdul Rahman memperkenalkan musabaqah al-Quran, zaman Tun Hussein Onn memperkenalkan Bulan Dakwah.

"Tun Dr Mahathir Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Tun Abdullah Badwi Islam Hadhari.

"Kita rasa sangsi dengan Islam Wasatiah yang diperkenalkan oleh Najib.

"Apakah beliau memperkenalkan Islam Wasatiah kerana gerun melihat kebangkitan rakyat Arab yang menggulingkan pemerintah di negeri mereka dengan andaian ini ada tindakan ekstrim.

"Kalau itu maksudnya maka ini adalah satu kesilapan untuk memahami pengertian Wasatiah," katanya.

Menurut Idris, memang Islam ajarannya wasatiah, iaitu tidak melampau dan tidak kurang.

Contoh wasatiah di dalam ibadah puasa, ia mesti buka, tidak boleh terus menerus berpuasa.

Begitu juga dengan memakai pakaian yang menutup aurat ini adalah wasatiah, jika mendedahkan aurat maka ini bukan Islam wasatiah.


Sumber: HarakahDaily

Umno gagal takutkan Melayu kepada DAP

Posted: 20 Jan 2012 12:10 AM PST


KUALA LUMPUR, 20 Jan: Dengan penyertaan beberapa orang Melayu termasuk orang kuat Umno ke dalam DAP sejak akhir-akhir membuktikan dakwaan Umno bahawa DAP anti Melayu selama ini meleset sama sekali.

Malah kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar), cubaan Umno menakut-nakutkan orang Melayu terhadap DAP itu ternyata gagal apabila terbaru bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Mohd Hata Wahari menyertai DAP semalam.

Yang lebih menarik lagi, Hata Wahari adalah bekas wartawan Utusan Melayu, organisasi media milik Umno sendiri.

Perkembangan itu juga jelas Mahfuz membuktikan bahawa DAP lebih diyakini oleh sesetengah rakyat termasuk Melayu berbanding Umno dan MCA.

"Kita melihat sekarang ini bahawa DAP lebih baik daripada Umno mahupun rakan mereka MCA yang mana ia diterima oleh semua kaum termasuk orang Melayu itu sendiri.

"Kalau Umno dan juga media mereka mengatakan DAP itu anti kepada orang Melayu ataupun bersikap perkauman adalah fitnah semata-mata," jelasnya.

Semalam, Hata Wahari yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia, menjadi orang Melayu terbaru yang menyertai DAP.

Selain itu juga awal bulan ini, penulis blog Sakmongkol AK47 yang juga bekas ADUN Pulau Manis dari Umno dan Mohd Ariff Sabri Aziz yang juga merupakan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan sehingga tahun 2004 telah terlebih dahulu menyertai DAP.

Turut dikatakan berbuat demikian ialah seorang lagi penulis blog Umno dan veteran parti itu, Aspan Alias.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata Umno sepatutnya menilai kembali sikap rasis di dalam parti mereka sendiri bukannya menuduh orang lain, apatah lagi dengan tujuan menakut-nakutkan orang Melayu.

"Bagaimana DAP yang dikatakan anti kepada orang Melayu boleh menerima kemasukan orang Melayu beragama Islam di dalam parti mereka, apatah lagi individu tersebut merupakan salah seorang kakitangan akhbar Umno sebelum ini.

"Fitnah yang telah dilemparkan oleh Umno selama ini telah gagal, orang Melayu bukannya takut tetapi semakin boleh menerima parti itu (DAP) dalam kehidupan mereka," kata Mahfuz.


Sumber: HarakahDaily

Aku Jimat: Tekanan baru buat Umno

Posted: 20 Jan 2012 12:05 AM PST


PARIT BUNTAR, 20 Jan: Permainan terbaru Aku Jimat, bagi pengguna alat elektronik Apple - iPod, iPad dan iPhone dilihat satu lagi kreativiti rakyat yang memberi tekanan kepada Umno BN.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong ketika mengulas perkara itu berkata, Aku Jimat yang dipercayai diilhamkan dari watak Datin Seri Rosmah Mansor itu menjelaskan bagaimana tahap 'populariti' isteri Perdana Menteri Malaysia itu.

Menurutnya, dengan permainan yang mula menjadi kegilaan pengguna gajet Apple itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Rosmah kini liabiliti kepada Umno dan juga Najib.

"Situasi Umno nampaknya semakin genting dengan perkembangan ini, manakan tidaknya, isteri Presiden Parti sendiri merupakan liabiliti terhadap Umno-BN, dalam masa sama para ahlinya masing-masing membuat pendekatan "yes sir" dan tidak berani kemuka usul itu yang bercanggah dengan kehendak Presiden.

"Aplikasi permainan ini tidaklah khusus direka sempena nama DS Rosmah, tetapi saya yakin ahli Umno dan Rosmah khususnya jika pandang cermin pasti nampak siapakah watak sebenar dalam permainan Aku Jimat," katanya kepada Harakahdaily.

Aku Jimat boleh didapati di App Store sejak 17 Januari lalu.

Aplikasi ini memaparkan watak kartun yang mirip Rosmah, dan paling ketara pada gaya rambutnya.

Aplikasi yang ditawarkan secara percuma ini, membolehkan para pemain berjimat dengan mengumpulkan duit, selain pada masa yang sama perlu membeli 12 jenis barangan mewah, seperti cincin berlian, beg tangan dan sebagainya melaluinya.

Sama seperti permainan-permainan lain, Aku Jimat turut menyertakan beberapa halangan, dimana para pemain perlu mengelak daripada mengumpulkan bom, dimana setiap bom akan menambah jangka umur, dan para pemain akan gagal apabila mengumpulkan sebanyak 99 biji bom.

"Fenomena "penjimatan" oleh Rosmah telah mencetus suasana baru politik tanah air.

"Memandangkan beliau merupakan isteri kepada Perdana Menteri, maka atas nama itu, isu ini telah menjadikannya sebagai tarikan luar biasa sehingga muncul aplikasi permainan telefon pintar yang mirip kisah Rosmah dengan cara belanjanya," katanya.


Sumber: HarakahDaily

MAS: Pakatan dahului Umno bela penduduk Kg Baru

Posted: 20 Jan 2012 12:00 AM PST


KUALA LUMPUR, 20 Jan: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) menyambut baik usaha Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) untuk melakukan penambahbaikan terhadap Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) di Kampung Baru bagi menjaga kepentingan penduduk tersebut.

Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, antara usaha Khalid seperti yang diumumkannya adalah dengan membuka keanggotaan MAS kepada pelbagai kelompok masyarakat dan kumpulan profesional supaya ia lebih berkesan dalam memastikan kepentingan pemilik tanah dapat dipertahan.

Katanya, DPPKT menganggap keputusan Menteri Besar Selangor itu amat baik dan berpetapatan pada masanya.

Beliau berkata, ini menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat amat prihatin terhadap nasib rakyatnya yang jauh mendahului kerajaan Umno BN.

"Menteri Besar Selangor membuktikan bahawa Kampung Baru tidak tertinggal dalam agenda pembangunan negeri Selangor malah ianya masih menjadi perhatian utama negeri tersebut sehingga beliau sendiri turun menjenguk dan berdialog dengan rakyat kelmarin," ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya lagi, keanggotaan MAS dibuka kepada pelbagai kelompok masyarakat dan kumpulan profesional amat baik supaya peranan MAS benar-benar dapat digerakkan oleh mereka yang berkelayakan serta berniat untuk menjaga kepentingan penduduk.

Justeru, ujarnya MAS perlu memainkan peranan yang penting selaku organisasi perantara antara pihak kerajaan dengan suara penduduk.

Tambahnya, MAS perlu menyampaikan suara penduduk kepada pihak kerajaan disamping sebagai pemudah cara antara pihak berkuasa dengan penduduk.

Selain itu, katanya keberadaan MAS sebagai badan pendesak bagi memastikan kepentingan penduduk terpelihara.

DPPKT, ujarnya tidak mahu tragedi Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang diluluskan di Parlimen dan Dewan Negara tempohari dengan mudah tanpa campurtangan dan bantahan oleh MAS.

"DPPKT mengharapkan, meskipun keanggotaan ini dibuka kepada pelbagai kelompok masyarakat dan profesional, ianya dikawal dan dihadkan hanya kepada pemilik serta pewaris Kampung Baru sahaja dan bukan untuk mereka yang lain selain dari warga itu," katanya.

Katanya, ahli Jawatankuasa MAS pula dipilih dari suara majoriti pemilik tanah Kampung Baru tanpa adanya campurtangan dari mana-mana pihak.

Justeru, ujarnya DPPKT menaruh harapan agar MAS benar-benar bebas daripada campurtangan pihak luar supaya tiada 'tangan hitam' yang menggerakkan organisasi tersebut.


Sumber: HarakahDaily

Tiada ulasan: