Jumaat, 20 Januari 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Perutusan Tahun Baru Cina 2012 Oleh YB Dr Xavier Jayakumar

Posted: 20 Jan 2012 02:00 AM PST

Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada semua rakyat yang berbangsa Tiong Hua.

Tahun naga yang merupakan tahun baru kali ini merupakan tahun yang istimewa dan semoga sambutan perayaan ini diraikan dengan penuh kemeriahan disamping keluarga dan rakan-rakan.

Saya berharap amalan kunjung-mengunjungi diantara satu sama lain akan diteruskan bagi merapatkan hubungan bukan sahaja dikalangan masyarakat Tiong Hua malah masyarakat lain yang berbilang bangsa dan agama untuk turut meraikan bersama-sama.

Bagi mereka yang akan membuat perjalanan jauh pulang ke kampung, saya berharap akan mengutamakan aspek keselamatan dan sentiasa berhati-hati dijalanraya. Semoga selamat ke destinasi masing-masing.

Sekali lagi bagi pihak saya dan keluarga serta warga kerja DUN Seri Andalas, mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, Xin Nian Kuaile dan Gong Xi Fa Cai kepada semua rakyat Malaysia berbangsa Tiong Hua.


YB DR XAVIER JAYAKUMAR
ADUN Seri Andalas
EXCO Kerajaan Negeri Selangor

Kaedah Berkesan Tangani Sampah Di Selangor

Posted: 20 Jan 2012 12:00 AM PST

SHAH ALAM, 20 JANUARI: Negeri Selangor terus komited dan telus dalam usaha menguruskan sisa pepejal dengan menggunakan teknologi yang lebih berkesan bahkan berupaya menjimatkan kos penyelenggaraan.

Ia terbukti menerusi pembinaan Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Shah Alam bagi tujuan pengumpulan sisa pepejal sebelum dihantar ke tapak pelupusan akhir sampah.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, stesen pemindahan ini akan bertindak sebagai pusat transit untuk sisa pepejal sebelum dilupuskan di tapak pelupusan yang terletak di Jeram, Kuala Selangor.

Menurut Ronnie, stesen pemindahan itu dilihat lebih efektif malah lebih menguntungkan kerana sisa pepejal dari lori kutipan akan dikumpulkan dan dimampatkan terlebih dahulu sebelum dipindahkan kepada jentera yang lebih besar muatannya untuk dihantar ke tapak pelupusan akhir.

"Keunikan stesen pemindahan ini adalah ia dapat mengurangkan perjalanan "compactor" ke tempat pelupusan sampah. Sebelum wujudnya stesen ini, semua "compactor" di Shah Alam hanya dapat menjalankan kira-kira 1.5 perjalan sehari ke tapak pelupusan sampah.

Ia amat efisyen di mana lori kutipan boleh menambah jumlah penghantaran sisa pepejal ke tapak pelulusan akhir kira-kira 3 kali sehari. Prosesnya amat mudah dan berkesan,"ujarnya.

Beliau berkata, stesen pemindahan itu setakat ini dilaksanakan di Shah Alam di bawah pengawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan akan diperluaskan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain seperti Subang Jaya dan Petaling Jaya dalam masa terdekat.

Jelasnya lagi, stesen pemindahan yang dibina khusus untuk pengurusan sisa pepejal ini bersifat lebih murah malah menjimatkan masa untuk kutipan sampah.

Tambahnya, ia juga akan mengurangkan lalu lintas lori sisa pepejal di tapak pelupusan, mengurangkan perkhidmatan lori "standy" selain turut menjimatkan kos penyelenggaraan lori kutipan.

"Sekiranya kerajaan negeri boleh mendapat kerjasama daripada kerajaan pusat, kita ingin membina satu lagi stesen pemindahan sisa pepejal di kawasan lain seperti Ampang atau Selayang kerana kedua-dua kawasan ini menyukarkan lori kutipan untuk menghantar sisa pepejal ke tapak pelupusan memandangkan tempat itu agak jauh," katanya.

Ronnie berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Seksyen 21 di sini petang tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

Stesen pemindahan tersebut telah siap dibina oleh WorlWide Holdings Berhad pada 2008 dengan menelan kos sebanyak RM77 juta dan telah beroperasi pada 10 Januari lalu.

Menerusi sistem ini, sisa pepejal akan dipindahkan secara terus ke dalam "silo" yang bersifat kedap air dan boleh membawa 22 peratus lebih sisa pepejal iaitu kira-kira 20 tan sehari.

Dalam sidang media sama, Ronnie turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kontraktor yang dilantik oleh setiap PBT tidak menjalankan kutipan sampah dengan konsisten sehingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penduduk.

Jelasnya, setiap kontraktor yang dilantik menjalankan kerja kutipan sampah secara teratur iaitu tiga kali seminggu di setiap kawasan perumahan, empat kali seminggu di kawasan komersial dan setiap hari di kawasan pangsapuri kos rendah.

Beliau berkata, penduduk perlu memberi peluang kepada PBT dan kontraktor yang dilantik untuk membaiki perkhidmatan mereka supaya operasi kutipan sampah dapat berjalan lancar dan tidak lagi menimbulkan sebarang masalah.

"Pada permulaan, memang nampak sedikit kecoh tetapi penduduk perlu beri kita sedikit masa untuk memperbaiki perkhidmatan kontraktor kerana mereka masih baru dan belum mahir dengan kawasan itu untuk urusan kutipan sampah.

Tetapi kita ada beberapa cara untuk menangani masalah ini iaitu penduduk boleh menghubungi talian hotline yang disediakan di setiap PBT dan kerajaan negeri sendiri untuk membuat sebarang aduan sebelum boleh diambil tindakan," tegasnya.


Sumber: SelangorKini

Kerajaan Selangor Ucap Selamat Tahun Baru Cina

Posted: 19 Jan 2012 01:00 AM PST

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua masyarakat Cina di Malaysia, khususnya di Selangor.

"Kerajaan negeri Selangor dengan gembira menyambut ketibaan tahun naga, yang dipercayai oleh kaum Cina sebagai tahun yang istimewa dan bertuah," kata Menteri Besar.

"Saya berharap semua rakyat Selangor, tidak kira kaum, bangsa ataupun agama akan mengambil kesempatan musim perayaan ini untuk bersama-sama keluarga dan rakan-rakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau dan para exco kerajaan negeri berharap hubungan antara kaum akan lebih baik melalui interaksi dan usaha memahami antara satu sama lain.

"Selain itu, mereka mengingatkan kepentingan aspek keselamatan sepanjang musim perayaan kali ini," tegasnya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri menjemput semua pihak untuk menyambut Tahun Baru di Jalan Maxwell, Rawang dari jam 2 petang hingga 11.30 malam 6 Februari 2012.

Katanya, beliau dan barisan exco kerajaan negeri akan bersama rakyat memeriahkan sambutan tersebut.

Antara program pada hari tersebut termasuk persembahan orkestra Cina, tarian singa, akrobat.

ADUN Sijangkang Angkat Sumpah Ganti Hasan Ali

Posted: 18 Jan 2012 01:00 AM PST

ADUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik menjadi exco kerajaan negeri Selangor yang baru bagi menggantikan Datuk Hasan Ali yang digugurkan dari jawatan tersebut minggu lalu.

Dr Ahmad Yunus yang juga pembantu exco belia dan sukan - portfolio yang dipegang Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim - mengangkat sumpah sebagai exco di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam pagi ini.

Ahmad menggantikan Hasan selepas beliau dipecat dari PAS pada 8 Januari lalu susulan tindakan beliau yang merugikan parti itu.

Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang bahawa calon pilihan adalah Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman tetapi menurut sumber beliau menolak pencalonan berkenaan.

Pada sidang akhbar selepas majlis berkenaan, Abdul Khalid mengumumkan bahawa Dr Ahmad Yunus akan bertanggungjawab terhadap portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan yang sebelum ini dipegangnya.

Manakala portfolio mengenai hal ehwal Islam, infrastruktur dan kemudahan awam akan disandang oleh Abdul Khalid.

"Kami percaya YB Dr Ahmad Yunus ADUN Sijangkang boleh menjalankan tugas dengan amanah, telus dan bertanggungjawab.

Doktor Perubatan

"Latarbelakang beliau sebagai doktor perubatan telah banyak memberi khidmat kepada rakyat, boleh membantu beliau menjalankan tugas sebagai ahli MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) secara efisien dan profesional," kata Khalid.

Menyifatkan Dr Ahmad Yunus berpengalaman dalam bidang belia dan sukan, Khalid berkata rombakan kecil portfolio itu berkuatkuasa hari ini dan ia dilakukan bagi "memastikan kesinambungan kerja dan perkhidmatan kepada rakyat dapat berjalan dengan lancar".

Pada masa yang sama, Khalid juga turut mengumumkan pelantikan ADUN Meru dan pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman sebagai pengerusi Skim Mikro Kredit Miskin Luar Bandar (SKIMSEL).

Manakala ADUN Bandar Baru Bangi Dr Shafie Abu Bakar pula dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan (PADAT), yang mana kedua-dua jawatan tersebut dipegang oleh Hasan sebelum ini.

Ditanya mengapa permilihan Dr Ahmad Yunus mengisi kekosongan kerusi exco itu, Khalid berkata pertimbangan itu dibuat berdasarkan atas "dasar kerja dan ia tidak bermaksud membelakangkan PAS".

"Keputusan melantik Dr Ahmad Yunus, Dr Rani dan Dr Shafie adalah keputusan yang dibincang... Kualiti perbincangan di antara kumpulan parti (dalam Pakatan) adalah 'rigorious'.

"Pelantikan Dr Yunus tidak bermaksud untuk membelakangkan PAS. Kita merujuk kepada PAS, bagaimana dengan (calon) ini... Kita berdiskusi dengan kepimpinan (PAS).

"Saya diberikan tanggngjawab untuk menentukannya... Saya rasa pelantikan Dr Ahmad Yunus dapat restu daripada kepimpinan PAS dan Dr Abd Rani," kata Khalid sambil menolak tanggapan pelantikan itu dibuat tanpa mengambil kira pandangan semua pihak dalam Pakatan.

Rombakan Kecil

Malah, Khalid juga turut "bercakap" kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung pelantikan Dr Ahmad Yunus sebagai exco kerajaan negeri yang baru.

Ditanya mengapa rombakan kecil di mana beliau sendiri memegang exco hal ehwal agama, Khalid  menegaskan peluang kepadanya untuk menyelesaikan perkara yang berkaitan pentadbiran hal ehwal Islam.

"Saya mengambil alih tugas berkenaan kerana Datuk SUK dan Datuk Penasihat undang-undang negeri (juga) adalah ahli Majlis Agama Islam (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Saya ambil alih kerana dapat mempengerusikan dan dapat melihat perkembangan dan pembangunan JAIS," katanya sambil berpendapat Dr Ahmad Yunus berpengalaman dan mampu mengambil alih daripada tugasnya sebelum ini.

Khalid juga menjelaskan jawatan Dr Abdul Rani dan Dr Shafie bukan bertaraf exco, dan tidak boleh menghadiri mesyuarat kerajaan negeri kerana kedua-dua tokoh tersebut tidak menerima watikah perlantikan daripada Sultan Selangor.

Dalam sidang media yang sama, Dr Ahmad Yunus duduk di sebelah Khalid berkata, beliau tidak menyangka akan dilantik menjadi exco menggantikan Dr Hasan.

"Walaupun PAS pusat mencadangkan Dr Abd Rani sebagai penggantinya, tetapi (pemilihan saya) atas pertimbangan berdasarkan kerja. Saya tidak kata Dr Abd Rani tak boleh bekerja.

"Daripada apa yang dimaklumkan oleh menteri besar, saya memegang portfolio belia dan sukan yang dipegang oleh beliau. Beliau memberikan amanah dan ia merupakan satu kesinambungan supaya ia berjalan lebih lancar," katanya.

Dr Ahmad Yunus, 47, mempunyai seorang isteri dan mempunyai empat orang anak, dan berkelulusan Ijazah Perubatan dan Pembedahan UM pada tahun 1991. Selain ADUN dan pembantu exco belia dan sukan, beliau merupakan yang dipertua (YDP) PAS kawasan Kuala Langat.

Beliau juga memegang jawatan antaranya sebagai ahli jawatankuasa badan perhubungan PAS Selangor dan timbalan pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Selangor.

Pernah bertugas sebagai pengarah hospital di Sabak Bernam dan Lundu, Sarawak dan masih bertugas sebagai doktor sehingga kini.


Sumber: Malaysiakini

150 Hamper Diagihkan di Tokong Tiong Sheng Keng Bersempena Tahun Baru Cina

Posted: 15 Jan 2012 01:00 AM PST

Kampung Jawa, 15 Januari 2012 - Sebanyak 150 hamper makanan disumbangkan oleh YB Dr Xavier Jayakumar di Tokong Tiong Sheng Keng, Lot 1596, Batu 3 1/4 Kampung Jawa.

Majlis sumbangan hamper yang bermula jam 10.30 pagi ini dibuat bersempena dengan Tahun Baru Cina yang akan menjelang tiba kira-kira satu minggu lagi.

Hamper yang disumbangkan mengandungi beras 10kg, gula 1kg, air kordial 1 liter, mee hoon, susu dan sardin.

Pemberian sumbangan hamper ini diharapkan dapat membantu sedikit sebanyak keluarga yang tidak berkemampuan untuk meraikan Tahun Baru Cina ini.


500 Kotak Limau Diagihkan Sempena Tahun Baru Cina

Posted: 14 Jan 2012 01:00 AM PST

Klang, 14 Januari 2012 - Sebanyak 500 kotak limau diagihkan kepada orang ramai bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina yang akan menjelang tiba.
Kawasan-kawasan agihan sekitar DUN Seri Andalas adalah:

Dihadapan Pasaraya 99, Taman Sentosa pada hari ini bermula jam 5 petang.

Di pasar pagi Taman Klang Jaya pada hari esok bermula jam 8 pagi dan kemudiannya pada waktu petang di jalan masuk Taman Klang Jaya.

Pemberian limau adalah acara setiap tahun di DUN Seri Andalas sempena Tahun Baru Cina. YB Dr Xavier Jayakumar mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua sukarelawan yang hadir memberi bantuan. 



Sebanyak 150 Periuk Diagihkan Untuk Perayaan Ponggal

Posted: 13 Jan 2012 03:00 AM PST

Taman Sentosa, 13 Januari 2012 - Sebanyak 150 periuk ponggal telah diagihkan kepada orang ramai yang akan meraikan perayaan ponggal yang bakal tiba.

Sumbangan periuk dan peralatan tersebut telah dibuat oleh Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Klang, Encik PS Rajoo di hadapan Bilik Gerakan DUN Seri Andalas, Taman Sentosa sejak jam 5 petang.

Hadir bersama-sama beliau membantu mengagihkan periuk dan peralatan adalah isteri kepada ADUN Seri Andalas, Puan Sheila Devaraj dan para sukarelawan DUN Seri Andalas.

Perayaan Ponggal diraikan oleh kaum India pada pertengahan bulan Januari bagi merakamkan Uttarayan atau pergerakan matahari menuju ke utara. Persiapan memasak Ponggal dalam periuk tanah liat dan mengikat tebu dipintu rumah adalah sinonim dengan perayaan ini. Merupakan perayaan terbesar selepas Deepavali dan Thaipusam.



Sumbangan Basikal Dan Bantuan Yuran Bas Sekolah Diteruskan Bagi Membantu Mereka Yang Memerlukan

Posted: 13 Jan 2012 01:00 AM PST

Taman Sentosa, 13 Januari 2012 - Sebanyak 15 buah basikal telah disumbangkan kepada pelajar-pelajar disekitar kawasan DUN Seri Andalas yang datang dari keluarga kurang mampu dan ibu tunggal.

Program sumbangan basikal ini adalah sebahagian daripada usaha YB Dr Xavier Jayakumar untuk membantu meringankan beban keluarga-keluarga kurang mampu dan dari keluarga ibu tunggal untuk membantu anak-anak mereka ke sekolah.

Sumbangan basikal diberikan kepada pelajar-pelajar lelaki yang bersekolah di sekolah menengah manakala bantuan yuran bas sekolah diberikan kepada mereka yang kebanyakannya masih bersekolah rendah.

Kesemua 15 basikal tersebut telah diserahkan kepada penerima-penerimanya di kilang Asogo, Taman Sentosa.

Program bantuan ini adalah program yang berterusan dan telah diadakan sejak YB Dr Xavier Jayakumar dipilih menjadi ADUN seri Andalas. YB Dr Xavier Jayakumar berharap dengan sumbangan basikal dan bantuan yuran sekolah yang diberi, anak-anak ini dapat meneruskan persekolahan dengan selesa dan akhirnya bertekad untuk mempertingkat taraf hidup mereka.





Tiada ulasan: