Jumaat, 20 Januari 2012

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Norfini, Mahu Libat Diri dalam Perjuangan Membela Orang Asal

Posted: 19 Jan 2012 10:55 PM PST

Norfini a/p Ajik, seorang suri rumah tangga tetapi bertekad berjuang untuk Orang Asal
Norfini (lebih selesa kalau dipanggil Nor sahaja) bergambar dengan Kak Hendon dan Aina Syazrin


"Saya sudah berkahwin dan mempunyai 5 orang anak, kalau dulu anak-anak saya masih kecil, tetapi sekarang semua sudah lepas," kata Nor kepada saya semasa menghadirkan diri ke rumah saya pada hari ini, Jumaat 20.1.12 selepas Solat Jumaat. Beliau adalah dari keturunan Semai.

Beliau memberitahu bahawa hasratnya untuk bersama-sama berjuang untuk Orang Asal timbul semasa berada di kampong lagi apabila melihat kehidupan Orang Asal yang dhaif dan tertekan, tapi oleh kerana beliau telah berkahwin pada umur yang muda iaitu 17 tahun, maka hasrat perjuangannya itu terpendam begitu sahaja.

"Sekarang saya mempunyai 5 orang anak dan semua sudah lepas dari alam persekolahan, maka saya memohon izin daripada suami saya untuk terlibat aktif didalam perjuangan membela nasib Orang Asal. Saya telah mengikuti program-program yang dijalankan oleh beberapa buah NGO seperti JOAS di beberapa buah Negeri.

"Saya belum menyertai mana-mana NGO lagi, tetapi saya menyertai program-program yang dianjurkan oleh NGO-NGO orang Asal." tegas Nor.

Nor dilahirkan 38 tahun yang lampau Kg Sg Simoi, Pos Betau, Sg Koyan 1, Cameron Highlands dan apabila berkahwin dengan jejaka pilihan sendiri, beliau mengikut suaminya tinggal di Kawasan Keroh, Perak.

"Saya tidak ada apa-apa kemudahan untuk berjuang, tetapi saya ada sebuah motosikal. Saya turun dari Keroh ke Kuala Lumpur dengan motosikal saya, dan saya telah diberitahu oleh Sdr Shafei dan Sdr Yusri mengenai saudara (ditujukan kepada saya), kerana mereka menyatakan bahawa saudara bergerak aktif memperjuangkan hak Orang Asal, saya mendapat nombor handphone saudara dari mereka.

"Apabila saya sampai di Kuala Lumpur, saya menghubungi saudara, dan menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Temerloh.

"Jika tiada aral melintang, pagi esuk saya mau turut serta didalam Perjumpaan Wanita Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR." jelas Puan Nor.

Puan Nor mengenali Fatimah Bah Sin iaitu Naib Ketua Wanita PKR Cabang Pekan dan suaminya Ismail Leh, dan beliau berharap dapat bertemu sekali lagi dengan pasangan suami isteri, pejuang masyarakat Orang Asal itu di Seremban esuk.

Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal (Wanita) PKR Pusat akan mengadakan perjumpaan wanita Biro itu di Pejabat Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan di Jalan Tampin, Seremban jam 10.00 pagi esuk; Nor akan turut ke Seremban dengan rombongan dari Kuala Krau.

"Saya rasa parti politik adalah penting untuk perjuangan Orang Asal kerana hanya parti politik sahaja yang boleh membawa perubahan dasar, namun, saya belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik; tetapi saya nampak bahawa PKR mempunyai peranan yang positif untuk perjuangan membela nasib Orang Asal," kata Nor.

Mengenai UMNO, awal-awal lagi Nor menolaknya. UMNO ada kuasa dan sudah berkuasa berpuluh-puluh tahun, tetapi mereka bukan menggunakan kuasa untuk membela nasib Orang Asal, bahkan mereka menggunakan kuasa yang mereka ada itu untuk membantutkan perjuangan Orang Asal. Begitu juga terhadap JAKOA, Nor berpandangan bahawa JAKOA patut dimansuhkan sahaja kerana langsung tidak memainkan peranan untuk membela Orang Asal, JAKOA adalah pembodek dan pengampu kepada UMNO.

Nor mempunyai harapan tinggi kepada tindakan yang dilakukan oleh NGO-NGO Orang Asal kerana mereka telah berjaya menyedarkan Orang Asal, dan jika NGO-NGO ini dapat bergabung dengan parti politik seperti PKR untuk perjuangan Orang Asal, Nor berpandangan positif bahawa perjuangan Orang Asal mudah mencapai kejayaan.

Selepas ke Seremban esuk, Nor akan singgah sebentar ke kampong tempat tumpah darahnya iaitu di Betau, Koyan 1, Cameron Highlands.

Tiada ulasan: