Selasa, 18 Oktober 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Program Lawatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim Ke Sarawak

Posted: 18 Oct 2011 04:55 PM PDT

DEMI RAKYAT

Program 1

6.00 – 7.30 mlm – Ceramah Demi Rakyat  di Parlimen Mambong  

Lokasi: No 155, Kampong Seratau, Jalan Kucing / Serian, Serian.

Program 2

8.00 – 9.00 mlm – Ceramah Demi Rakyat di Parlimen Mas Gading

Lokasi : Caguor Café, Kampong Sebuloh, 4th Mile Bau / Lundu Road, Bau

Program 3

10.00 – 11.00 mlm – Ceramah Demi Rakyat di Parlimen Santubong

Lokasi: Buntal Seafood, Kampong Buntal, Petrajaya, Kucing.

Fitnah II : Laporan Perubatan Tiada Tandatangan

Posted: 18 Oct 2011 02:54 AM PDT

Malaysiakini

Seorang pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini beliau tidak menyiasat kenapa hanya seorang pakar bedah menandatangani laporan perubatan berhubung pemeriksaan perubatan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun dua pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan pemeriksaan itu pada hari Anwar ditahan pada 16 Julai, 2008.

Superintendan Judy Blacious Pereira, saksi pematahan kedua pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes liwat Anwar berkata beliau berpendapat bahawa penyiasatan itu tidak penting kepada kes itu.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan peguam utama Anwar, Karpal Singh semasa pemeriksaan balas bahawa kedua-dua doktor, Datuk Dr S Jeyaindran dan Dr Ee Boon Leong, selepas memeriksa Anwar, sepatutnya menandatangani laporan itu untuk ia diterima sebagai eksibit dalam perbicaraan jenayah.

Saksi itu juga memberitahu mahkamah, salinan laporan yang ditandatangani oleh Dr Jeyaindran telah diserahkan kepada seorang lagi peguam bela Anwar, SN Nair, pada 24 Disember, 2009, atas permintaan peguam itu tetapi salinan kedua yang ditandatangani oleh kedua-dua pakar perubatan tidak diserahkan kepada pasukan pembelaan.

Mengenai isu lain yang dibangkitkan oleh Karpal, Supt Judy, yang kini bertugas di bahagian perundangan dan pendakwaan di Ibu Pejabat Polis Persekutuan (Bukit Aman), menegaskan salinan yang diserahkan kepada Nair dicap dengan perkataan “sulit”.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, Judy memberitahu mahkamah yang beliau membawa Anwar, diiringi peguamnya R Sivarasa, ke HKL pada kira-kira 8.30 malam, 16 Julai, 2008.

Beliau juga memberitahu mahkamah yang beliau menyerahkan dua dokumen kepada doktor berkenaan — satu dikenali sebagai Pol 59 (permohonan untuk mengambil sampel) serta surat permohonan untuk melakukan pemeriksaan fizikal ke atas Anwar.

Sementara itu, Dr Jeyaindran, saksi pematahan keempat, memberitahu mahkamah bahawa selain pemeriksaan fizikal, polis juga memintanya dan Dr Ee mengambil sampel calitan pada badan dan sampel darah daripada Anwar untuk menyiapkan penyiasatan mereka.

Dr Jeyaindran berkata beliau telah menjelaskan kepada Anwar tujuan pemeriksaan perubatan itu.

Pada ketika itu, Karpal mencelah dan memohon Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah untuk meneruskan keterangan itu secara tertutup.

Fitnah II: Empat Saksi Pendakwa Gagal Cabar Keterangan Pakar

Posted: 18 Oct 2011 12:42 AM PDT

Keadilan Daily

Empat saksi balas yang dikemukakan pendakwaraya hari ini gagal mencabar keterangan pakar tulang belakang yang merawat kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  mendengar keterangan Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Zaninah Mohd Zin, pegawai penyiasat ASP Jude Pereira, Sarjan Ahmad Abdullah dan pakar runding HKL Dr Jayaindran Sinadorai.

Mereka dipanggil pendakwa untuk mencabar keterangan saksi ketujuh peguam bela, Dr Thomas Hoogland bahawa Anwar tidak mungkin meliwat pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan ekoran kecederaan tulang belakang yang dialaminya.
Keterangan Dr Zaninah, Jude Pereira dan Sarjan Ahmad Abdullah dibuat secara terbuka manakala Dr Jayaindran pula menerusi rakaman kamera.

Dr Hoogland sebelum ini berkata, Anwar tidak mungkin melakukan perbuatan itu terhadap Saiful akibat stenosis leher, artritis teruk dan kerosakan saraf yang dialami Ketua Pembangkang itu.
Beliau yang menjalankan pembedahan terhadap Anwar di Munich Jerman pada 2004 berkata, Anwar akan berhadapan dengan kesakitan yang teruk jika beliau berada dalam posisi membongkok dan berlutut.

Hari ini, tiga saksi iaitu Dr Zaninah, Jude pereira dan Sarjan Ahmad Abdullah turut memberi keterangan berhubung salinan laporan perubatan bertarikh 16 Julai 2008.

Mahkamah diberitahu terdapat dua laporan perubatan iaitu yang pertama ditandatangani Dr Jayaindran dan kedua ditandatangani bersama oleh doktor Hospital Kuala Lumpur, Dr Ee Boon Leong.

"Bukti ini tidak boleh menyangkal keterangan Dr Thomas Hoogland. Ia tidak mencabar penilaian Hoogland," kata peguam pembela Sankara Nair kepada pemberita selepas mahkamah ditangguhkan.
Ketika ditanya mengenai butiran rakaman Dr Jayaindran yang dibuat menerusi rakaman kamera, Sankara enggan mengulas mengenainya.

"Saya tidak boleh kata banyak sebab sesi dijalankan menggunakan kamera. Tetapi, apa yang boleh saya katakan sekarang ialah bukti dikemukakan hari ini tidak boleh sangkal Hoogland," kata Sankara.

REFSA: Hutang Negara Mungkin Cecah RM1 Trillion

Posted: 17 Oct 2011 10:01 PM PDT

Malaysiakini

Sekiranya hutang kerajaan persekutuan berkembang pada kadar RM50 bilion setahun, ia boleh mencecah RM1 trilion menjelang tahun 2020, kata badan pemikir bebas Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (REFSA).

Senario yang menggerunkan itu dikemukakan semasa kajian REFSA mengenai Bajet 2012, yang memberi amaran bahawa impian menuju Wawasan 2020 boleh “berkecai” melainkan jika kerajaan berhemah dalam perbelanjaan kewangannya.

Defisit semasa negara berada pada RM437 bilion, yang menurut REFSA adalahlebih dua kali ganda bajet defisit RM217 bilion yang dilaporkan pada tahun 2004.

“Dengan kata lain, kerajaan telah menambahkan lebih banyak hutang pada enam setengah yang  lalu sejak tahun 2004 berbanding dengan 47 tahun selepas Merdeka,” petik laporannya itu.

Antara tahun 2007 dan 2011, defisit berkembang secara purata pada kadar kira-kira RM34 bilion setiap tahun.

Tetapi dengan andaian, defisit akan meningkatkan hutang tambahan sebanyak RM50 bilion setahun, Malaysia boleh menjangkakan jumlah hutang negara naik dua kali ganda lagi pada tahun 2020 menjadi RM1 trilion.

“Ini adalah 1 dengan 12 sifar di belakang – RM1, 000000000000,” petik laporan itu.

Dengan mengandaikan kadar faedah sebanyak lima peratus setahun, laporan REFSA berkata, bayaran faedah sahaja akan menjadi RM50 bilion setahun.

“Ia adalah hampir keseluruhan kos projek MRT. Kami belum lagi memikirkan tentang bayaran balik hutang itu lagi, “kata laporan itu lagi.

Tiada ulasan: