The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Satu dua nasihat untuk pendakwah Islam Posted: 10 Aug 2011 10:00 PM PDT Beberapa episod yang berlaku di Selangor dan Wilayah Persekutuan mampu menggugat hubungan kaum dan agama jika badan-badan NGO terus memberikan pandangan yang berbentuk emosi dan tidak berlandaskan kepada fakta yang betul. Memang telah berlaku tindakan dari pendakwah kristian di negara ini untuk memurtadkan mereka yang beragama Islam, dan cara mereka amatlah terancang dan penuh dengan sopan santun. Mereka yang didampingi adalah terdiri daripada pelbagai latar belakang. Diantaranya adalah anak-anak muda yang tidak mempunyai asuhan agama dan masih tercari-cari akan kehidupan. Mereka yang berhadapan hidup dengan cabaran kewangan juga menjadi sasaran. Golongan ibu tunggal dan anak-anak mereka termasuk didalam golongan ini. Ada juga golongan yang berpendidikan terlalu sekular terdiri daripada orang-orang yang hidup mewah menjadi sasaran ini. Maka disini bolehlah kita andaikan bahawa kejayaan pendakwah kristian ini mendekati orang-orang Islam adalah disebabkan kegagalan komuniti Islam itu sendiri. Anak-anak muda yang tidak mempunyai didikan agama adalah kegagalan nyata sistem pendidikan di Negara ini. Di zaman yang lebih awal, selain dari wujudnya pengajian Islam didalam sekolah, kanak-kanak sekolah akan mendapat pengajian agama yang disediakan di kampong-kampong, mereka diajar membaca Al-Quran disamping pengajian tauhid, maka golongan itu yang menerima pengajian Islam tersebut tidak mudah terungkai aqidah mereka walaupun mereka tidak hidup dengan gaya Islam. Ibu-ibu tunggal yang bertanggungjawab membesarkan anak-anak dengan pendapatan yang kecil tentu sekali kesempitan hidup dan tentu sekali mahu menerima banutan daripada mana-mana pihak. Anak-anak mereka yang juga mudah menerima bantuan daripada pihak yang menawarkan, apa tah lagi jika termasuk didalam tawaran itu, peluang mendapatkan pelajaran melalui tuition. Pendakwah-pendakwah Kristian menjalankan dakwah mereka bukan secara paksa tetapi dengan penuh berhemah dan berbudi bicara. Mereka juga memberikan bantuan kebajikan dan boleh membantu kehidupan mereka yang sukar. Pengajaran kristian diresapkan dengan cara yang berhemah dan bukan cara yang menekankan hukum dan hukuman. Mari kita lihat apakah yang dilakukan oleh Institusi Islam di Negara kita. Kita telah lihat begitu ramai dari kalangan Orang Asal yang sudah diIslamkan dengan pemberian-pemberian seperti rumah PPRT, tetapi setelah mereka diIslamkan, tidak ada lagi hubungan yang mesra diantara mereka itu dengan pendakwah-pendakwah Islam. Setahun sekali mungkin akan diadakan jamuan-jamuan yang besar tetapi tidak pendekatan berhemah, kasih sayang dan berkebajikan . Pendakwah-pendakwah Islam tidak tinggal bersama-sama Orang Asal itu, bahkan ada orang yang dilantik untuk mengajar fardhu ain kepada penduduk baru Islam itu, hanya bersikap makan gaji dan tidak pun terlibat dengan memberikan asuhan dan mengambil gaji mereka sebulan sekali. Surau yang dibina di kampong-kampong Orang Asal dibiarkan tanpa aktiviti, bahkan terdapat anjing berkeliaran didalam surau itu. Mari kita lihat pula gereja-gereja di perkampongan Orang Asal. "Padri"yang tinggal disana, sentiasa berada disana, sentiasa memberikan kasih sayang kepada anak-anak Orang Asal, dan sentiasa membawa pemberian-pemberian kebajikan. Pendakwah Islam kekok untuk bergaul dengan Orang Asal, manakala pendakwah Kristian menerima Orang ASAL dengan penuh kejujuran dan menganggap Orang Asal sebagai setaraf dengan mereka. Maka, pendakwahan daripada mubaligh-mubaligh Kristian ini lebih diterima oleh orang yang didakwahnya. Inilah kesilapan keseluruhan Institusi Agama Islam di Negara ini, dan bukan sekadar kesalahan pendakwah-pendakwahnya sahaja. Dan persoalan yang paling basik ialah kemanakah perginya pungutan zakat yang begitu besar yang tidak digunakan untuk tujuan pendakwahan ini? Dan begitu banyak wang yang terkumpul di masjid-masjid tetapi kenapa tidak sampai kepada mereka yang hidup didalam keadaan yang sangat memerlukan? |
Terlalu ramai Senator dalam kabinet Najib Posted: 10 Aug 2011 01:00 AM PDT Dengan perlantikan Palanivel, Presiden baru MIC sebagai Senator dan dilantik sebagai anggota kabinet, maka kabinet Najib mempunyai begitu ramai senator. Ada lima orang senator sebagai Menteri penuh, dan ada 5 orang senator sebagai Timbalan Menteri. Kalau saya tidak silap, semasa Tun Haji Abdul Razak Hussain menjadi Perdana Menteri, hanya ada seorang sahaja Senator yang berjawatan Menteri. Senator itu pun hanya kekal sebagai senator selama lebih kurang 6 bulan sahaja untuk memahirkan dia sebagai Menteri, dan selepas itu Menteri berkenaan meletakkan jawatan sebagai Senator dan bertanding di kawasan Parlimen Lipis, iaitu Senator Tan Sri Ghazali Shafei. Kabinet Najib dari masa ke semasa menambahkan bilangan Senator menjadi Menteri dan Timbalan Menteri. Ini membawa erti bahawa Najib menganggap Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional adalah terdiri daripada mereka yang tidak layak mengisi Dewan Parlimen. Atau adakah sebenarnya Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang menjadi calon didalam Pilihanraya Umum ke-12 dahulu terdiri daripada mereka yang tidak layak dijadikan Ahli Parlimen. Didalam pada itu berlaku pula keganjilan bahawa ada penjawat jawatan penting didalam pimpinan Pemuda UMNO tidak dilantik sebagai Menteri atau Timbalan Menteri. Sedangkan orang nombor dua dari hiraki Pemuda UMNO dilantik sebagai Timbalan Menteri, dan tentu ada muslihat yang hanya boleh dibuat pelbagai andaian bahawa orang yang dikalahkan oleh Ketua Pemuda UMNO untuk jawatan Ketua dilantik sebagai Timbalan Menteri. Perlantikan Palanivel sebagai Menteri pula tidak membayangkan bahawa Najib mahukan tokoh yang benar-benar berupaya menjadi Menteri kerana Palanivel pernah menjadi Menteri dan beliau tidak membawa sebarang impak pun didalam kementeriannya. Mungkin Najib memahukan senator-senator yang dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri didalam kabinetnya itu boleh memainkan peranan besar, namun prestasi Menteri-Menterinya yang dilantik sebagai Senator itu tidaklah menunjukkan KPI yang baik. Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional tentulah juga tertanya-tanya kenapa perlunya dilantik Senator untuk dijadikan Menteri, sedangkan Menteri-Menteri/Timbalan-Timbalan Menteri itu tidak menunjukkan prestasi yang tinggi. Mereka juga tertanya-tanya kenapa mereka itu dilantik senator untuk ke jawatan Menteri kerana kebanyakan Senator itu terdiri daripada mereka yang pernah menjawat jawatan Menteri dan telah kalah didalam pilihanraya umum yang lalu yang juga membawa erti bahawa Menteri-Menteri/Timbalan-Timbalan Menteri itu ada terdiri daripada mereka yang gagal semasa memegang jawatan itu dahulu. Senator sewajarnya dilantik sebagai Menteri kabinet hanya untuk keperluan yang benar-benar boleh memberikan jawapan kepada keperluan yang terdesak yang sangat memerlukan kehadirannya. Tetapi jika senator/Menteri itu berperanan hanyalah sebagai senator/Menteri yang biasa sahaja, maka keperluan melantik begitu ramai senator untuk dijadikan Menteri/Timbalan Menteri adalah satu exercise sekadar nak menunjukkan bahawa "aku boleh buat apa aku suka sebagai Perdana Menteri" dan boleh dikategorikan sebagai menyalahgunakan kuasa. Dan jika dikatakan bahawa kabinet Najib adalah kabinet yang lemah, maka itulah jawapan kepada persoalannya. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan