Isnin, 20 Jun 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Tanah Orang Asal Perlu Diwartakan - Yusri Ahon

Posted: 20 Jun 2011 04:49 AM PDT

Yusri Ahon, 48, dari Kg Sg Mai, Jerantut, seorang pemimpin gigih Orang Asal. Beliau bergiat didalam berbagai badan NGO Orang asal. Diperingkat kampongnya beliau bertindak sebagai JK Bertindak Tanah Adat Kg Sg Mai, beliau adalah juga Timbalan Setiausaha Batin-Batin kaum Jahut yang hanya kedapatan di Daerah Jerantut dan Temerloh; di peringkat Malaysia pula Yusri Ahon adalah Ahli Jawatankuasa Jaringan Kampong Orang Asli Se-Malaysia (JKOAM), Naib Pengerusi Jaringan Orang Asli Se-Malaysia (Cabang Semenanjung), Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, dan terlibat dengan Persatuan Orang Asli peringkat Asia (AIPP)
Isteri Yusri Ahon bersama 2 orang anak lelakinya.
Yusri Ahon adalah juga pejuang politik memperjuangkan hak Orang Asal dari segi politik. Diperingkat kampongnya beliau adalah Ketua Parti Keadilan Rakyat Ranting Kg Sg Mai, Jerantut, beliau adalah Naib Ketua Parti Keadilan Rakyat Cabang Jerantut, dan menjadi salah seorang Anggota Jawatankuasa Biro Masyarakat Orang Asal Parti Keadilan Rakyat.

Yusri Ahon adalah diantara pemimpin Orang Asal yang mahu mempertahankan kehidupan Orang Asal yang boleh mengamal adat istiadat turun temurun, dan mahu melihat Orang Asal hidup secara berkongsi dan memiliki harta secara bersama. Untuk itu, beliau tidak mahu Orang Asal menjadikan tuntutan mendapatkan geran tanah sebagai tuntutan utama tetapi perkara sampingan setelah tuntutan utama berjaya diperjuangkan dengan cara tanah mereka diwartakan.

Beliau dan rakan-rakan pimpinan didalam berbagai NGO Orang Asal tetap mempertahankan tanah adat dan tanah rayau Orang Asal secara diwartakan.

Ikutilah temubual saya dengan Yusri Ahon - Suhaimi Said, Pengerusi Biro Masyarakat Orang Asal Parti Keadilan Rakyat.

Suhaimi Said (SS): Sdr memegang berbagai jawatan didalam badan politik dan badan-badan NGO. Apakah sebenarnya perjuangan sdr?

Yusri Ahon: Saya insaf diatas nasib kaum Orang Asal di Malaysia. Kami masih ketinggalan didalam semua bidang kehidupan, baik dari segi pendidikan, ekonomi dan politik. Kehidupan kami tak ubah seperti penumpang sahaja di Negara ini sedangkan kami adalah penduduk asal di Negara ini.

SS: Apakah yang Sdr hajatkan hasil dari perjuangan Sdr?

YA: Saya dan rakan-rakan saya mahu membantu Orang Asal supaya kehidupan mereka berubah kepada keadaan yang lebih baik tetapi tetap mempertahankan asas kehidupan kami yang berteraskan adat resam dan budaya kami dan kami mahu mempertahankan hutan sebagai sumber pendapatan hidup kami disamping memperbaiki diri didalam ekonomi mengikut cabaran semasa. Sudah tentu kami mahukan kemajuan dari segi pendidikan, ekonomi, kesihatan dan perumahan.

SS: Tanah merupakan sumber penting untuk kehidupan Orang Asal, apakah pandangan Sdr mengenai dasar Tanah yang dilaksanakan oleh UMNO/Barisan Nasional terhadap Orang Asal?

YA: Saya tidak setuju langsung dengan dasar Kerajaan Barisan Nasional mengenai pemilikan tanah untuk Orang Asal. Kami telah turun beramai-ramai ke Putrajaya bagi menentang dasar tanah yang merugikan kaum kami itu pada 17hb Mac 2010. Kami juga telah berdemonstrasi di Gua Musang kerana tidak bersetuju dengan dasar tanah terhadap kami oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Dasar Kerajaan untuk memperuntukkan antara 2 hingga 6 ekar tanah kepada Ketua Isi Keluarga adalah merugikan kami, kerana dengan dasar ini kami akan kehilangan kuasa dan identiti.

SS: Ada juga diantara pimpinan Orang Asal samada diperingkat NGO atau parti politik yang memperjuangkan hak mendapatkan geran bagi tapak rumah masing-masing dan tanah-tanah ladang yang mereka telah usahakan. Tanah-tanah seperti ini telah diambil-alih oleh pelbagai agensi Kerajaan seperti RISDA dan FELCRA dengan membangunkan tanaman melalui TSB dan TSK dan akhirnya tanah itu ada yang tidak dikembalikan kepada pengusaha yang asalnya menyebabkan mereka menuntut supaya tanah mereka itu diberikan geran tanah. Apa pandangan Sdr?

YA: Saya sedar bahawa ada golongan dikalangan kami yang mahukan geran tanah dikeluarkan. Kami tidaklah begitu rigid, kami tidak menentang jika mereka mahukan geran tanah; tetapi perjuangan kami adalah supaya semua tanah kami diberihak kepada kami melalui WARTA KERAJAAN, dan setelah diwartakan penduduk kami boleh memohon geran; saya sehingga kini belum terpesona lagi dengan janji-janji kerajaan Barisan Nasional untuk memberikan geran tanah kepada kami kerana selama lebih 50 tahun yang lampau kami hanya digula-gulakan sahaja.

Orang kami tidak tamak. Bagi mereka yang sudah banyak tanah tidak dibolehkan memohon tanah yang lain untuk memberi peluang kepada penduduk yang lain mendapatkan tanah dan mencari sumber rezeki melalui tanah. Seseorang itu tidak boleh membolot pemilikan tanah.

Tujuan kami berbuat demikian adalah untuk menjaga hutan supaya hutan di kawasan kami dapat dikekalkan.

Kuasa untuk pemilikan tanah ini tidak juga boleh diberikan kepada Tok-Tok Batin, ditakuti mereka menjadi tamak dan memberikan tanah hanya kepada diri mereka sendiri dan kaum keluarga mereka sahaja.

Saya sangat keciwa kerana semua Tanah Rezab Orang Asal di Negeri Pahang yang dahulunya diwartakan oleh Kerajaan Penjajah Inggeris telah dimansuhkan oleh Kerajaan Barisan Nasional, dan Rezab Orang Asli ditukarkan menjadi Rezab Perhilitan; kami dihalau keluar dari Rezab Perhilitan dan ramai orang kami ditangkap kerana cuba menjalankan usaha kehidupan kami diatas tanah itu. Ada diantara kami yang dibawa dan dituduh di Mahkamah; barang-barang dan alat-alat pertanian kami dirampas dan tidak dikembalikan kepada kami. Nampaknya, Kerajaan Barisan Nasional ini lebih sayang kepada binatang daripada manusia seperti kami.

SS: Ada pihak yang mencadangkan supaya Orang Asal diberikan tanah di Rancangan Felda dengan setiap peserta mendapat 10 ekar tanah ladang dan 1/4 ekar tanah kampong. Pakatan Rakyat menawarkan untuk memansuhkan Felda Plantation apaila berjaya mentadbirkan Putrajaya dan tanah-tanah diladang-ladang itu diagih-agihkan kepada anak-anak peneroka dan dan golongan petani yang tidak mempunyai tanah dan sudah tentu golongan muda dari kaum Orang Asal layak ditempatkan dirancangan-rancangan Felda. Apa pandangan sdr?

YA: Jika projek seperti itu ditawarkan diluar daripada kawasan rayau dan tanah adat, saya turut menyokongnya dan kawasan penempatan beramai-ramai itu boleh disertai oleh penghuni daripada berbagai kaum, dan usaha seperti itu adalah baik untuk rakyat luar bandar.

SS: Tanah-tanah rayau dan adat Orang Asal telah banyak diceroboh, apakah usaha Sdr bagi mempertahankan kawasan-kawasan ini daripada terus diceroboh?

YA: Tanah-tanah kami telah diceroboh oleh mereka yang mendapat perlindungan undang-undang dari Kerajaan. Tanah-tanah yang diceroboh itu telah dijadikan ladang dan sesetengahnya ladang milik anak syarikat Kerajaan Negeri. Demonstrasi, protes dan penghantaran Memorandum kepada Kerajaan baik diperingkat Negeri mahupun Persekutuan tidak diberikan apa-apa perhatian oleh Kerajaan. Tanah rayau dan adat kami menjadi semakin kecil, dan kami tidak mendapat apa-apa jaminan tanah-tanah kami tidak lagi diceroboh.

Sebab itu kini sudah ramai dari kaum Orang Asal menyertai Parti Keadilan Rakyat kerana kami sudah putus harapan dengan Kerajaan Barisan Nasional. Kami berjuang bersama-sama rakan-rakan didalam Pakatan Rakyat agar kedudukan kami bersabit tanah kami dapat dipertahankan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat yang bakal memerintah Negara.

Kami merasakan bahawa Parti Keadilan Rakyat dan pemimpin-pemimpin mereka mendekati kami dan lebih memahami masalah yang kami hadapi.

SS: Terima kasih Sdr Yusri, bagaimana dengan Ranting Parti Keadilan Rakyat di Kg Sg Mai?

YA: Baik, keanggotaan PKR di kampong kami kini semakin bertambah dan kini sudah mempunyai lebih dari 100 orang anggota, iaitu golongan majoriti di kampong kami, dan saya mengharapkan pemimpin-pemimpin PKR peringkat Negeri dan Pusat sudi menjenguk kampong kami.

Yusri Ahon meluahkan perasaannya memperjuangkan hak untuk orang Asal

Posted: 20 Jun 2011 03:32 AM PDT

Hari ini saya dapat berbual panjang dengan Sdr Yusri Ahon, seorang pejuang Orang Asal dan beliau terlibat dengan berbagai NGO Orang Asal.


Beliau menerangkan kenapa sebahagian besar dari kalangan Orang Asal tidak bersetuju dengan pemilikan tanah melalui geran tanah tetapi mahukan tanah Orang Asal dilindungi oleh Warta Kerajaan.


Pandangan beliau ini mendapat sokongan dan tentangan dari kalangan Orang Asal. "Saya tidaklah begitu rijid", kata Yusri. Hanya secara dasarnya Yusri tidak bersetuju dengan geran tanah, tetapi memandangkan ramai juga yang bersetuju dengan geran tanah, maka perlu dicarikan jalan kompromi agar kedua-dua pandangan itu diberikan tempat.


Pandangan Yusri Ahon akan dikeluarkan didalam kenyataan penuh yang beliau luahkan semasa pertemuan saya dengannya di Temerloh pada hari ini.


Pandangan itu akan dipaparkan kepada umum didalam entri yang berikut selepas ini.

Tiada ulasan: