Isnin, 20 Jun 2011

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


DAP: Umno tunjuk belang, benarkan kenyataan ala Nazi Perkasa

Posted: 20 Jun 2011 01:45 AM PDT

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan Umno seolah-olah menunjukkan warna sebenar parti itu bahawa ia hanya berkepentingan untuk satu kaum apabila membenarkan ugutan ala Nazi disampaikan oleh Datuk Ibrahim Ali dan Perkasa yang diwakilinya semalam.

"Dengan keengganan parti tersebut untuk mengambil tindakan, Umno bersalah atas sokongan terhadap Perkasa dan pendirian parti itu.

"Malah, ia amat jelas sejak sekian lama, sebagaimana ditunjukkan oleh Umno yang kurang mengambil tindakan terhadap kes-kes seperti demonstrasi seperti protes kepala lembu pada 2009 dan pelbagai ucapan pemimpin mereka yang menyamakan kaum India dengan pengemis dan wanita Cina sebagai pelacur," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata Lim (gambar), tidak pernah seorangpun dalam sejarah Malaysia mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan bersifat perkauman dengan menyeru masyarakat tertentu untuk meyimpan bekalan makanan.

Katanya, kenyataan seperti itu tidak boleh diterima oleh setiap rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata ia juga jelas menunjukkan bahawa slogan 1 Malaysia tidak lebih daripada khayalan dan penipuan secara besar-besaran.

"Umno mesti berhenti daripada terus menyemarakkan sentimen perkauman dan agama kerana ia amat berbahaya dan mendorong kepada kekacauan. Hakikatnya, semua rakyat Malaysia hidup secara aman dan tidak mempunyai masalah antara satu sama lain," kata beliau.

Semalam, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas bersama 164 badan bukan kerajaan (NGO) melancarkan "perang" terhadap Himpunan Bersih 2.0 dengan membakar gambar Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil Datuk Ambiga Sreenevasan dan memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar pada 9 Julai ini atas alasan "apa sahaja boleh berlaku."

Ibrahim menegaskan, perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.

"Cuba bayangkan jika berlaku huru-hara... jika himpunan Bersih 2.0 tidak dibatalkan, saya percaya kaum Cina perlu simpan bekalan makanan.

"Ya, apa sahaja boleh berlaku. Dan, saya minta agar polis mengambil apa sahaja tindakan dan gunakan kuasa mereka untuk bertindak," katanya semasa melancarkan Gerak Aman semalam.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan 300,000 peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Dalam kenyataannya, Lim menambah, di Pulau Pinang, dasar tender terbuka Pakatan Rakyat telah diserang oleh Umno sebagai menyangkal peluang ekonomi kepada kaum Melayu khususnya.

"Bagaimanapun, falasi terserbut telah terbukti salah apabila fakta menunjukkan bahawa 70 peratus kontrak kerajaan negeri Pulau Pinang adalah diperoleh oleh kontraktor Melayu," kata beliau lagi.

Dalam perkataan lain, kata Lim, ini menunjukkan bahawa bukannya kontraktor Melayu yang tidak mampu bersaing, sebaliknya kontraktor Umno yang tidak dapat bersaing dalam persaingan adil.

Katanya, sistem tender terbuka dilaksanakan tanpa sebarang rasa tidak gembira di kalangan kontraktor Melayu kerana pihak tersebut bukan hanya memperoleh faedah daripadanya, malah mereka juga berjaya ekoran merit berkenaan.

"Ini jelas terbukti bahawa Umno yang kini secara politiknya telah bankrap tidak mampu untuk mengungkitkan isu lain selain kaum dan agama yang mana ia digunakan bukan hanya untuk menakutkan rakyat, malah juga untuk menutup kelemahan-kelemahan mereka," kata beliau lagi.

Daripada memfokuskan kepada kaum dan agama, kata beliau, kemungkinan Umno dan Barisan Nasional sepatutnya menjelaskan sebab mereka membenarkan pembinaan loji nadir bumi Lynas di Kuantan, meskipun wujudnya bahaya ekoran tindakan terbabit.

"Bagi menjustifikasikan keputusan tersebut, mereka telah membawa panel pakar radiologi dari IAEA untuk mengkaji kes berkenaan.

"Bagaimanapun, bukan hanya panel tersebut tidak memiliki pakar kesihatan umum dan persekitaran, sebaliknya, IAEA dilihat sebagai dipandu oleh pihak industri dan dijangka membenarkan kelulusan mereka," katanya lagi.


Sumber: The Malaysian Insider

Bung dikecam tuduh Bersih 2.0 tumpah darah

Posted: 20 Jun 2011 01:40 AM PDT


KUALA LUMPUR, 20 Jun: Kenyataan ahli parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Raden bahawa perhimpunan Bersih 2.0 boleh membawa kepada pertumpahan darah mengundang kemarahan ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Bung sewaktu membahaskan belanjawan tambahan di Dewan Rakyat hari ini turut mendesak kerajaan segera mengambil tindakan untuk menyekat himpunan Bersih 2.0.

"Ada pihak menggelarkan diri mereka Bersih dan akan adakah perhimpunan. Saya risau himpunan ini akan mengundang pertumpahan darah dan perkara yang tidak diingini," katanya.

Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) segera bangkit untuk membetulkan kenyataan Bung itu namun tidak diberi jalan oleh Bung.

"Kenyataan pertumpahan darah itu tuduhan yang berat tu...perlu ditarik balik," kata beliau dan disambut beberapa wakil Pakatan Rakyat yag lain.

"Ini ruang saya..jangan ganggu. Saya belum jahat lagi...masih boleh bertenang. Kalau nak bercakap, ikut peraturan, kita ada tamadun, kena beradab," kata Bung.

Ucapan Bung berkaitan Bersih yang "meleret-leret" akhirnya ditegur Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang meminta beliau memfokuskan ucapannya kepada belanjawan tambahan.

Namun Bung terus mendakwa kerajaan banyak membelanjakan wang negara bagi menangani demonstrasi jalanan.

"Kerajaan guna banyak wang sebab banyak demonstrasi jalanan ini sedangkan kerajaan sepatutnya guna wang itu untuk tujuan lain," katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) ketika diminta mengulas kenyataan itu pada sidang media di lobi Parlimen menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak berasas.

Menurutnya belum ada rakyat yang mati akibat menyertai himpunan aman sebaliknya dua orang mati sewaktu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan merujuk kes Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini.

"Bila masa ada tunjuk perasaan yang ada pertumpahan darah? Yang terbunuhnya Sarbani dan Beng Hock bukan kerana demonstrasi," katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai bukti yang didedahkan Azmin Ali (PKR-Gombak) berhubung wujudnya pendaftaran pengundi hantu di rumah diduduki ibunya di Kampung Klang Gate memiliki 11 pemilih berdaftar iaitu enam Melayu dan lima Cina sedangkan ibunya tinggal berseorangan.

"Kita tuntut pilihanraya bebas dan adil. Kerajaan sekarang kata pilihanraya yang bebas dan adil. Gombak (Azmin Ali) bawa bukti yang terang tapi tidak dibetulkan. Media tidak ada kebebasan untuk melaporkan yang adil. Sekarang ada bukti berhubung dakwaan Umno Hulu Selangor yang mengarahkan Umno mendaftar rakyat asing Indonesia. Ini semua harus dipertimbangkan," katanya.



Sumber: Harakah Daily

Amaran pada Perkasa, Pemuda PAS jadi perisai

Posted: 20 Jun 2011 01:35 AM PDT


KUALA LUMPUR, 20 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) memberi amaran kepada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan ahli-ahli pertubuhan itu agar menghentikan tindakan samseng mereka dan ugutan kepada rakyat Malaysia khususnya kalangan bukan Melayu yang mahu menyertai Himpunan Bersih 2.0.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor menegaskan, Pemuda PAS bersedia menjadi perisai kepada rakyat pelbagai kaum yang hadir dalam perhimpunan Bersih 2.0 sekaligus menolak sebarang tindakan provokatif yang cuba diadakan oleh Perkasa untuk menimbulkan suasana tegang dan huru-hara.

DPPP, katanya kesal dengan risalah perkauman yang diedarkan Perkasa yang menyebut "Awas!!! Ambiga Wanita Hindu yang Merbahaya".

"Ini sudah melampau dan jelas satu penghinaan kepada Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan dan kaum lain," tegasnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

DPPP juga, ujarnya kesal kerana Ibrahim dalam ucapannya di Kelab Sultan Sulaiman turut memberikan amaran kepada Kaum Tionghua supaya membeli makanan tambahan untuk disimpan di rumah jika Himpunan Bersih 2.0 tidak dihentikan kerana Perkasa akan lakukan apa sahaja bagi menghentikannya.

"Mereka mahu lakukan apa? Pukul orang India, pecah rumah dan kedai orang Cina? Bakar rumah ibadat? Atau pijak kepala babi dan lembu di Dataran Merdeka?" soalnya.

Soalnya lagi, siapa Perkasa yang mahu melawan kebangkitan rakyat.

Tambahnya, apa tujuan mereka membuat ugutan kepada kaum bukan Melayu kerana negara ini milik semua dan rakyat berhak turun ke jalan raya untuk menyatakan tuntutan mereka secara aman.

Katanya, DPPP yakin bahawa Perkasa bekerja untuk Umno yang kini terdesak untuk menahan asakan Bersih 2.0.

Mereka, ujarnya memperkudakan Ibrahim dan ahli mereka dalam Perkasa untuk mewujudkan suasana huru hara.

Menurutnya, Perkasa cuba mengumpan supaya pihak polis membuat tangkap awal termasuk mengunakan akta ISA, malah mereka cuba mencabar polis untuk menangkap pemimpin mereka sendiri sebagai korban untuk menunjukkan keadilan polis dalam bertindak, walhal yang mahu membuat huru hara adalah pelampau Perkasa sendiri.

Beliau berkata, DPPP melihat Perkasa cuba untuk mewujudkan 13 Mei kedua, mereka mahu Operasi Lalang berulang.

Tambahnya, ugutan-ugutan ekstrim mereka menunjukan bahawa mereka memang kumpulan pelampau yang wajar diambil tindakan oleh pihak polis.

"Kenapa pihak polis berdiam bila Perkasa membuat ugutan?" tanya beliau.

Beliau mengharapkan polis tidak menutup mata dan telinga hanya kerana Perkasa melaungkan slogan yang kononnya mahu membantu Menteri Dalam Negeri di dalam menghadapi Bersih 2.0.

Pemuda PAS, katanya memberikan jaminan kepada orang-orang Melayu dan bukan Melayu bahawa Himpunan Bersih 2.0 akan berjalan dengan aman dan selamat.

Beliau mengingatkan semua peserta dilarang membawa sebarang senjata atau melakukan kerosakan dan provokasi.

Menurutnya, peserta Bersih 2.0 yang akan hadir diminta menghormati peniaga dan penduduk Kuala Lumpur serta menjaga kebersihan sepanjang himpunan berlangsung.

"Ayuh semua rakyat, semua anak muda. Jangan hirau, jangan takut pada pelampau Perkasa.

"Tunjukan kuasa rakyat, bersama kita perkukuhkan desakan rakyat untuk memastikan Pilihanraya Bersih dan Adil dilaksanakan di negara ini," katanya.



Sumber: Harakah Daily

Anwar Desak Najib Jelaskan Urusan Tunai RM3.5 Bilion 1MDB

Posted: 20 Jun 2011 01:30 AM PDT


KUALA LUMPUR 20 JUN: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut penjelasan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak tentang hubungan "akrab" antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Limited sehingga mengeluarkan dana secara tunai berjumlah RM3.5 bilion.

Menurut Anwar, kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib juga bercanggah dengan laporan audit yang dikeluarkan oleh KPMG bersabit pelaburan pembangunan tanah pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi yang mahu dinaik taraf menjadi Bandar Malaysia.

"Isunya kerana bayaran pelaburan yang dibuat oleh 1MDB, RM3.5 bilion kepada Petro Saudi International Limited secara tunai. Jadi saudara bayangkan, ini kerjasama yang paling hebat dalam dunia, (urusan) tunai," kata beliau pada sidang media di parlimen tadi.

Malah Anwar sebelum itu di Dewan Rakyat berhujah, penyata kewangan enam bulan pertama sehingga 30 September 2010 menunjukkan 1MDB mengalami kerugian RM158.3 juta dengan kos operasi enam bulan sebanyak RM20.5 juta.

Justeru ujarnya, pengumuman keuntungan 1MDB oleh Najib disangsikan kebenarannya apatah lagi dana melalui jaminan bon kerajaan persekutuan ditambah sebanyak RM10 bilion sehingga 2013, menjadikan jumlah keseluruhan RM15 bilion untuk syarikat pembangunan strategik tersebut.

Sebelum ini pada 2009, Anwar menimbulkan kesangsian terhadap keuntungan RM425 juta yang diuar-uarkan 1MDB pada tahun pertama pengoperasiannya selepas syarikat itu diberikan wang permulaan berjumlah RM5 bilion melalui bon kerajaan pada ketika itu.

Anwar turut mendakwa kerajaan tidak menyatakan sebarang jaminan terhadap kepentingan rakyat yang melibatkan hartanah paling berharga di ibu negara yang dipercayai boleh menjana pulangan ekonomi berpuluh bilion ringgit.

Sehubungan dengan itu beliau sekali lagi menimbulkan persoalan tentang syarikat PetroSaudi yang didaftarkan di Cayman Islands dan British Virgin Islands, di mana kedua-dua tempat itu merupakan kawasan bebas cukai.

Jelas menurutnya, perjanjian antara kedua-dua buah syarikat tersebut cuba untuk diselindungi melalui kepentingan yang dirahsiakan.

"(Maklumat) daripada laporan KPMG melalui akaun yang diaudit. Kami juga cari sebab tanggapan yang diberikan kepada umum di mana PetroSaudi yang bertapak di Saudi dan sebab ianya merupakan syarikat luar negara, kita ada masalah (mendapatkan maklumat)," jawab beliau kepada wartawan.

Beliau kemudian menyatakan bahawa projek seumpama ini seharusnya mempunyai ketelusan kerana ianya melibatkan kepentingan rakyat tempatan khususnya bekas pegawai tentera dan beberapa syarikat berkepentingan Bumiputera.

Jelasnya lagi, kaum Bumiputera juga harus diberi keutamaan di samping pelaksanaan tender terbuka bagi membolehkan rakyat tempatan bersaing bagi meraih keuntungan melalui projke-projek berkenaan.

Ahli parlimen Permatang Pauh itu kemudian menyifatkan pembayaran secara tunai melibatkan usahasama kedua-dua syarikat itu tidak pernah berlaku dalam sejarah perjanjian antara syarikat.

Justeru beliau tidak menolak kemungkinan berlaku ketidaktelusan selain kerajaan tidak bersikap adil kepada golongan yang berhak dan layak menyertai pembidaan tender itu.


Sumber: Selangorkini

Anwar: Lebihan bajet boleh cecah 15%

Posted: 20 Jun 2011 01:25 AM PDT


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran, pengurusan kewangan yang lemah boleh membawa kerajaan lebih berbelanja sebanyak 15 peratus tahun ini.

Katanya, belanjawan tambahan pertama sebanyak RM13.2 bilion daripada keseluruhan RM162.8 bilion sekarang sudah mewakili 8.2 peratus.

Anggota parlimen Permatang Pauh itu berkata, ia merupakan trend yang membimbangkan apabila belanjawan tambahan hanya meliputi 3 bulan sahaja.

Justeru, katanya tidak mustahil sehingga hujung tahun ini, ia akan mencecah sehingga 15 peratus.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Awang Adek Hussin membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2011) untuk bacaan kedua hari ini, memohon peruntukan tambahan berjumlah RM13 bilion sebagai peruntukan mengurus tambahan pertama tahun ini.

Anwar, bekas menteri kewangan, menegaskan negara ini tidak mampu meletakkan masa depannya kepada rancangan perbelanjaan kewangan yagn tidak tepat bagi menghadapi peningkatan hutan negara, yang kini 54 peratus daripada keluaran negara kasar.

Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan mesti belajar daripada negara lain yang menghadapi kegagalan kerana pengurusan cuai dan berlaku manipulasi penanda ekonomi, seperti Greece.


Sumber: Malaysiakini

'Hasutan': KJ mahu Ibrahim Ali disiasat

Posted: 20 Jun 2011 01:20 AM PDT


Amaran yang disuarakan presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali supaya masyarakat Cina menyediakan stok makanan bagi menghadapi perhimpunan BERSIH 2.0 merupakan kenyataan "perkauman, menghasut dan berbahaya," kata ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Khairy juga berkata tindakan perlu dikenakan ke atas Ibrahim kerana amaran tersebut jelas merupakan satu ancaman kepada negara.

Setidak-tidaknya, Ibrahim perlu disiasat di bawah Akta Hasutan 1949 kata Khairy lagi yang turut menyatakan bahawa amaran ahli parlimen Pasir Mas itu tidak mewakili pandangan daripada majoriti masyarakat Melayu.

Khairy berkata demikian ketika bercakap dalam satu sidang media di Parlimen hari ini apabila mengulas laporan memetik kenyataan Ibrahim Ali yang membayangkan bahawa keadaan huru-hara akan berlaku sekiranya perhimpunan BERSIH 2.0 tidak dihentikan.

Ibrahim dipetik sebagai berkata: "Tuan-tuan bayangkan perhimpunan BERSIH tidak dibatalkan, mereka teruskan juga, (mereka) tidak umum bahawa mereka akan batal pada 7 atau 8 Julai, saya percaya masyarakat Tiong Hua mungkin ramai-ramai, semua sekali, belilah bekalan makanan tambahan simpan di rumah.

"Apa sahaja boleh berlaku," katanya.


Sumber: Malaysiakini

Majlis Peguam: Gunakan Akta Hasutan terhadap Ibrahim

Posted: 20 Jun 2011 01:15 AM PDT


Ancaman presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali bahawa "apa saja boleh berlaku pada hari itu" jika Bersih 2.0 meneruskan perhimpunannya pada 9 Julai, adalah tidak bertanggungjawab serta rasis, dan tindakan hendaklah diambil terhadapnya di bawah Akta Hasutan, kata Majlis Peguam Malaysia.

Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee (kanan) menggesa kerajaan menggunakan Akta Hasutan terhadap Ibrahim jika pihak berkuasa merasakan akta itu masih lagi relevan.

Katanya, Majlis Peguam menentang Akta Hasutan, "tetapi jika kerajaan menggunakan akta tersebut terhadap Karpal Singh kerana kenyataannya mengenai isu (krisis perlembagaan) Perak, maka saya tidak nampak mengapa (kerajaan) tidak boleh berbuat demikian terhadap kenyataan Ibrahim itu."

"Kerajaan mestilah konsisten dan memberi layanan sama rata terhadap semua di bawah undang-undang," katanya ketika diminta
mengulas kenyataan Ibrahim, dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis Peguam, katanya, mengecam kenyataan rasis Ibrahim itu sebagai tidak bertanggungjawab langsung dan tidak wajar.

Semasa pelancaran 'Gerak Aman' semalam, penyokong PERKASA memijak dan membakar gambar pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang juga bekas pengerusi Majlis Peguam.

Ibrahim juga dilaporkan berkata akan berlaku huru-hara jika demonstrasi gabungan pembangkang dan aktivis politik, tidak dibatalkan.


Sumber: Malaysiakini

PAS: BERSIH cara terarah luah kemarahan

Posted: 20 Jun 2011 01:10 AM PDT


Muslimat PAS percaya bahawa perhimpunan BERSIH merupakan cara yang sesuai untuk meluahkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati rakyat dengan terarah, bertangungjawab dan mengikut lunas perlembagaan.

Ketua penerangannya Aiman Athirah (kanan) berkata perkara itu dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan secara aman dan tanpa senjata.

Justeru, dewan itu memandang serius kenyataan Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali yang turut mahu menganjurkan perhimpunan bagi menghalang rancangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0).

"Muslimat PAS menyifatkan kenyataan ini sangat biadap, tidak ada kelas dan bersifat kebudak-budakan. Ia juga sangat bersifat anti-establishment," katanya lagi.

Ibrahim semalam, melancarkan perhimpunan anti-BERSIH - Gerak Aman - sambil sekumpulan penyokongnya membakar dan memijak gambar pengerusi BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan selepas majlis itu.

Dengan nada amaran, Ibrahim percaya masyarakat Tiong Hua akan membeli makanan tambahan kerana "apa sahaja boleh berlaku".

'Baby Umno'

Aiman juga menyelar amaran polis bagi membuat tangkapan pencegahan kerana ia didakwa tidak wajar, membelakangi semangat perlembagaan dan mencabuli serta menyalahgunakan undang-undang.

"Ancaman tangkap (awal) itu berbaur satu ugutan keras dan ia tidak manis untuk menjadi satu budaya kerja pasukan polis terhadap rakyat," katanya.

Sementara itu, anggota jawatankuasa pusat PAS Idris Ahmad (kiri) memberitahu pihaknya tidak kisah dengan bantahan PERKASA yang disuarakan melalui perhimpunan dan laporan polis.

Sambil menyindir NGO itu sebagai "baby Umno" (bayi Umno), Idris berkata perkara itu tidak ada masalah kerana ia hak yang dijamin perlembagaan.

Beliau juga turut mendakwa Malaysia seolah-olah mempunyai dua undang-undang apabila penganjur BERSIH dan pihak yang menyokong Umno mendapat layanan berbeza.

"Jika himpunan dibuat oleh pihak sokong Umno ia kebal daripada sebarang tindakan.

"Jika pihak Pakatan Rakyat, belum himpunan dibuat sudah hendak ditangkap, seperti kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar kepada penganjur BERSIH," katanya.


Sumber: Malaysiakini

Saksi: PKNS lupus bon pelaksanaan syarikat Shamsuddin

Posted: 20 Jun 2011 01:05 AM PDT


Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pernah melupuskan keperluan 'bon pelaksanaan' untuk Proniaga Sdn Bhd, sebuah syarikat milik pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni, demikian Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu hari ini.

Ini selepas Shamsuddin (kiri) membuat rayuan dengan sokongan menteri besar ketika itu, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, kata bekas pengurus besar PKNS, Datuk Harun Salim dalam keterangannya hari ini.

Bon pelaksanaan untuk projek pembangunan di Bandar Baru Bangi itu, telah digantikan dengan jaminan pengarah, yang menurut Shamsuddin dalam keterangannya sebelum ini, bahawa beliau sendiri membayar RM2 juta dalam bentuk wang tunai.

Sebahagian besar kontrak PKNS memerlukan kontraktor membayar bon prestasi sebagai jaminan bahawa mereka akan menyiapkan projek.

Pihak pendakwaan mengemukakan satu lampiran bertulisan tangan pada surat rayuan tersebut sebagai bukti. Di dalamnya, Khir merujuk kepada Ditamas sebagai "syarikat bumiputera" dengan "rekod yang baik", dan mengesyorkan supaya keperluan bon itu dilupuskan.

Ketika disoal timbalan pendakwa raya, Masri Mohd Daud dan semasa soal-balas oleh peguambela M Athimulan, Harun bertegas bahawa proses itu mengikut prosedur dan tidak ada pertimbangan istimewa telah diberikan kepada Shamsuddin.

Semua keputusan berhubung projek PKNS diputuskan oleh Jawatankuasa Penswastaan Projek, kata Harun.

Tetapi ketika disoal Hakim Datuk Mohtaruddin Baki, beliau mengakui bahawa langkah melupuskan bon pelaksanaan itu "jarang" dilakukan oleh PKNS.

Harun memberi keterangan pada hari kelapan kes perbicaraan Khir yang didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, di Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.


Sumber: Malaysiakini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim memfailkan keterangan saksi dalam kes s

Posted: 20 Jun 2011 01:00 AM PDT


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim memfailkan keterangan saksi dalam kes saman beliau terhadap penulis blog berhubung satu artikel yang didakwa memfitnah beliau.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof turut mengarahkan penulis blog itu, Amizudin Ahmad, berbuat perkara serupa selepas mengadakan pertemuan dengan peguam Azad Bashir yang mewakili Rais, dan peguam Gan Chee Wei mewakili Amizudin.

Ketika ditemui pemberita, Azad, berkata mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan keterangan itu sebelum 1 Julai.

Mahkamah sebelum ini menetapkan tiga hari bermula 4 Julai untuk mendengar kes itu.

Pada 31 Januari, Rais memfailkan saman fitnah terhadap Amizudin, yang juga anggota jawatankuasa sayap pemuda PKR, berhubung artikel yang disiarkan dalam blog Amizudin, bersama gambar Rais, pada atau sekitar 28 Disember tahun lepas.

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk selain perintah terhadap defendan supaya mengeluarkan dari blognya artikel itu dan melarangnya daripada terus menyiarkannya.

Pada 2 Februari lepas, Rais memperoleh injunksi daripada Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Amizudin mengeluarkan artikel yang didakwa memfitnah beliau daripada blog, sharpshooterblogger.blogspot.com.

Amizudin pada 21 Mac lalu bersetuju berhenti menyiarkan artikel itu.

Dalam kenyataan tuntutannya, Rais, 69, berkata maksud artikel dalam bahasa Melayu itu berniat jahat dan memfitnah beliau.

Menteri itu berkata tulisan itu membawa makna beliau bersalah melakukan jenayah serius merogol dan mampu membunuh pembantu rumah beliau dari Indonesia.

Rais juga berkata tulisan fitnah itu membawa maksud beliau seorang manusia dan/atau pemimpin yang tidak bermoral.

Katanya ekoran daripada penerbitan artikel itu, reputasi beliau sebagai seorang individu dan/atau sebagai seorang profesional di peringkat nasional dan antarabangsa telah tercemar teruk, dan membuat beliau malu dan tertekan.

Amizudin dalam pernyataan pembelaannya mempertahankan tindakannya dengan berkata artikel itu menyatakan apa yang benar berlaku.

--Bernama

Tiada ulasan: