Rabu, 1 Jun 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Pengalaman bekerja dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman

Posted: 01 Jun 2011 06:07 PM PDT

Sudah lama dulu, saya bertugas di Jabatan Perdana Menteri, dibawah Bahagian Perlembagaan, dan masa itu masih bujang. Tahun 1966. Saya dan beberapa orang lagi pergi interview. Jawatan ini biasanya disandang oleh golongan wanita. Tetapi saya mempunyai kelulusan yang baik dibidang itu, iaitu bidang stenography. Kelajuan saya mengambil "dictation" dalam Bahasa Inggeris atau pun Bahasa Melayu agak baik, dan dengan kelulusan itu saya berhajat untuk menjadi Wartawan. Tetapi peluang belum ada.

Saya diterima bekerja di Jabatan Perdana Menteri di Bahagian Kabinet dan Ceremony dibawah beberapa orang Pegawai dan yang tertingginya Setiausaha Rendah.

Memang kerja itu menyeronokkan dan banyak pengetahuan baru yang saya belajar, dan oleh kerana saya sendiri (mungkin ada kecekapan tertentu) boleh bekerja tanpa arahan, banyak dari kerja-kerja yang saya lakukan untuk "boss-boss", saya buat bersendirian tanpa arahan.

Kemudian Almarhum Tunku Abdul Rahman mengambil cuti yang panjang di Alor Star. Maka, saya dipilih untuk menjadi Personal Assistant (PA) kepada Tunku.

Saya ditempatkan disebuah Hotel di Alor Star (nama sudah lupa) dan dari jam pagi hingga malam (tak tentu waktu) saya berada di Kediaman Tunku yang terletak ditebing sungai.

Breakfast, makan tengah hari, minum petang dan makan malam semua di Kediaman Tunku. Saya diberikan taklimat oleh pegawai-pegawai protokol bagaimana saya mesti lakukan didalam hubungan saya dengan Perdana Menteri, dari segi percakapan dan dari segi menyambut tetamu untuk Tunku, termasuk tetamu-tetamu dari luar negara.

Saya ditegah samasekali dari makan bersama Tunku walaupun diajak oleh Tunku, dan saya kena berbahasa "patik" dan "ku" semasa bercakap dengan Tunku.

Sebagai anak kampong yang tidak biasa dengan adat istiadat orang besar-besar terutama Perdana Menteri, memanglah saya kekok sedikit pada peringkat permulaannya.

Tetapi oleh kerana Tunku mempunyai sifat "fatherly figure" dan sangat berhemah apabila berhubung dengan saya, akhirnya kekekokan itu hilang, dan saya boleh berinteraksi dengan Tunku seolah-olah saya sudah menjadi sebahagian daripada "household" beliau.

Kerja saya tidaklah berat. Pagi-pagi sebelum Suboh, Tunku mengajak saya pergi "boating" denganya sampai ke Kuala Kedah.

Balik dari boating, saya mengambil breakfast. Pada mulanya tempat breakfast saya jauh sedikit dari tempat breakfast Tunku. Tetapi suatu pagi saya tengok diatas meja yang biasanya saya ambil breakfast sudah tidak ada lagi diletakkan makanan.

Jadi, saya kira saya kena ambil sarapan pagi di luar rumah Tunku. Tetapi sebaik saja saya memakai kasut untuk keluar rumah, Tunku pun memanggil saya: "Hang nak pi mana tu". Saya kata, "patik nak ambil sarapan pagi."

Tunku pegang tangan saya dan dia kata: "Mulai hari ini, hang kena duduk meja saya, kita makan sama."

Saya ditegah didalam taklimat untuk makan semeja dengan Tunku, dan Tunku semacam tahu, dan dia kata tak perlu ikut arahan protokol itu. "Saya lebih senang kalau Suhaimi duduk dan makan dimeja saya, senang saya nak beri arahan kerja setiap hari."

Dan bermula dari makan di meja Tunku itu, Tunku melarang saya bercakap dengan bahasa "patik" dan "ku", dia suruh saya bercakap dalam bahasa yang biasa saja.

Tunku membenarkan saya balik ke Kuala Lumpur di hujung minggu dan dia serahkan pass menaiki keretapi. Dan saya tidaklah balik ke Kuala Lumpur setiap minggu tetapi dalam tempoh 2 minggu sekali.

Saya diberikan coach keretapi yang khas untuk Perdana Menteri. Suatu hari, saya terjumpa seorang anak Temerloh didalam keretapi duduk dikelas biasa. Saya tegur dia dan kami berbual. Dia bekerja di Alor Star.

Saya ajak dia pergi ke coach saya (coach Perdana Menteri), tetapi apabila dia lihat coach itu dan tertulis "PERDANA MENTERI", dia enggan masuk, dia segan dan malu, katanya.

Semasa bertugas di Kediaman Perdana Menteri di Alor Star, berlaku satu peristiwa yang melucukan. Saya tengok anggota Polis yang bertugas di rumah itu adalah orang dari Kampong saya sendiri, bahkan ada pertalian keluarga dengan saya. Namanya Yaakob Derani, orang Berhala Gantang (kini sudah meninggal dunia).

Saya berbual panjang dengannya dekat pos, dan apabila sampai waktu makan tengah hari, saya beritahu kepada Tunku bahawa anggota Polis yang bertugas itu adalah saudara saya sendiri. Tunku suruh saya ajak Yaakob makan di meja Tunku. Saya nampak Yaakob berubah air muka, dan dia kata: "Mi, mampus aku, kalau aku makan bersama Tunku, saya akan dipecat dari anggota Polis".

Saya beritahu kepada Tunku, dan Tunku dengan sifat semacam seorang bapa, keluar ke pos, dan pegang tangan Yaakob, dan ajak Yaakob makan dimeja Tunku.

Nampak benar Yaakob tidak selesa. Dia hanya menjamah sedikit saja makan, dan duduk dikerusi dengan penuh tertib.

Semasa bertugas dengan Tunku semasa beliau bercuti itu ada dua peristiwa besar yang berlaku. Pada masa itu Stephen Kalong Ningkan, Ketua Menteri Sarawak sedang mahu digulingkan oleh satu kumpulan lain yang diketuai oleh Abdul Rahman Yaakob. Akhirnya Rahman Yaakob mengambil alih sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru.

Stephen Kalong Ningkan adalah Presiden SNAP, manakala Rahman Yaakob adalah Presiden Parti Bumiputra (belum wujud gabungan dengan Parti Pesaka).

Semasa itu juga sudah bermula rundingan diantara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Indonesia untuk menamatkan Konfrontasi. Segala rundingan itu dilakukan oleh Wisma Putra dan Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur, dan Tunku hanya menerima keputusan-keputusan yang sudah dibuat.

Pada hari yang telah ditetapkan, rombongan dari Indonesia akan berkunjung ke Kediaman Tunku. Saya menerima arahan Tunku untuk menyediakan ucapan untuk menyammbut ketibaan delegasi dari Indonesia.

Ucapan itu tidaklah panjang tetapi didalam Bahasa Inggeris. Setelah saya siapkan derafnya, Tunku membuat beberapa pindaan, dan selepas itu saya siapkan text ucapan Tunku itu secukupnya untuk dibahagi-bahagikan kepada Press.

Didalam dua tiga hari sebelum ketibaan delegasi dari Indonesia itu, Tunku tidak putus-putus menerima panggilan dari Lee Kuan Yew dan juga Macapaggal diselang-seli dengan panggilan dari Tun Razak.

Saya sudah mendapat arahan tetap dari Tun Razak bahawa panggilan dari Perdana Menteri Singapura dan Presiden Filipina itu tidak diberikan layanan oleh Tunku.

Apabila waktunya sudah tiba untuk menambut delegasi dari Indonesia, Tunku pinta saya memakai baju Melayu. Maka saya kembali ke hotel untuk bersiap. Apabila saya sampai di Kediaman Tunku, masa masih awal sebelum ketibaan rombongan Indonesia, saya tidak dibenarkan masuk ke Kediaman Tunku oleh Pegawai Polis dengan arahan umum: "Orang-Orang UMNO boleh tunggu diluar." Bila saya nayatakan bahawa saya adalah kakitangan Tunku, Polis itu senyum sahaja dan saya tetap tidak dibenarkan masuk ke Kediaman Tunku.

Rupa-rupanya Tunku sudah mencari-cari saya bertujuan untuk meminda ucapannya dari Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu. Oleh kerana saya tidak ada disitu, Tunku mengarahkan Datuk Senu Abdul Rahman menyediakan ucapan dalam Bahasa Melayu.

Saya hanya dapat masuk semula ke Kediaman Tunku selepas delegasi Indonesia beredar dari rumah Tunku, dan Tunku tanya kepada saya: "Hang pi mana?", dan peristiwa saya tidak dibenarkan masuk ke rumah itu terpaksalah saya ceritakan kepada Tunku.

Pada hari pertama saya ke Alor Star dengan rombongan Tunku, kami menaiki sebuah pesawat kecil, 8-seater rasanya. Kapal terbang yang begitu kecil yang turun jatuh merentasi "air pocket" dan oleh kerana saya tidak pernah menaiki kapal terbang sebelum itu apatah lagi penerbangan yang begitu "rough", saya termuntah didalam pesawat.

Semasa bertugas dibawah Tunku, beliau telah membawa saya ke Makam Di Raja, dan beliau telah menceritakan setiap mereka yang telah dikebumikan disana.

Juga pada waktu-waktu lapang tertentu, khususnya selepas Tunku menginap tengah hari, Tunku mengajak saya ke Gunung Jerai. Beliau betul-betul dapat berehat disana. Semasa Tunku berada di kediamannya, beliau sukar mahu rehat, kerana rombongan demi rombongan orang kampong (khususnya Orang UMNO) ada-ada saja masalah yang ingin disampaikan kepada Tunku.

Diwaktu malam, Tunku menghabiskan masanya dengan hobinya sendiri bersama-sama pemimpin-pemimpin Perikatan Kedah dan kadang-kadang towkay-towkay dari dekat dan jauh.

Apabila Tunku menghabiskan cutinya di Kedah, saya kembali semula ke Jabatan Perdana Menteri dan saya ditukarkan untuk bertugas di Pejabat Timbalan Perdana Menteri dibawah Tun Razak.

Pada waktu itulah saya mulai mengambil tuition diwaktu malam sebagai persiapan saya menghadapi perperiksaan HSC. Alhamdulillah, semua subjek yang saya ambil untuk HSC itu saya perolehi Prionsipal, dan dengan kelulusan itu, saya memohon memasuki Universiti Malaya.

YB Michael Chen, Setiausaha Parlimen di Pejabat Perdana Menteri menasihatkan saya supaya mengambil bidang undang-undang di London.

Pada waktu itu saya tinggal di Kampong Baru, Kuala Lumpur dan selepas waktu pejabat, saya sentiasa bersama dengan Ahmad Boestamam, Buyung Bangsat dan lain-lain pimpinan PRM. Ahmad Boestamam menyatakan bahawa beliau sudah memohon untuk memasuki Lincoln's Inn, London, dan apabila dia menengokkan keputusan HSC saya, dia kata ada lebih elok saya ambil bidang undang-undang, kerana katanya, bila lulus nanti boleh kerja sendiri dan boleh cebur dibidang politik. Betul juga.

Walaupun pada masa itu saya sudah pun menghadiri kuliyah di Universiti Malaya, saya tulis juga surat kepada Lincoln's Inn, London untuk mengambil bidang undang-undang di Inns of Court yang terkenal itu.

Sebelum saya memasuki Universiti Malaya, saya melangsungkan perkahwinan dengan isteri saya yang kekal hingga sekarang dan dianugerahkan 3 orang anak, 1 perempuan dan 2 lelaki, dan anak perempuan saya itu menjejak langkah saya menjadi seorang peguam dan yang kini mengambil alih firma guaman saya.

Apabila saya menerima jawapan dari Lincoln's Inn yang menerima saya masuk, saya mengambil peluang untuk bertemu dengan Michael Chen di Pejabatnya, dan beliau berpegang kepada janjinya untuk membantu saya mendapatkan Biasiswa Persekutuan. Tak ada interview bagi saya, saya dianugerahkan Biasiswa Persekutuan untuk belajar di Lincoln's Inn, London.

Maka pada bulan Jun 1968, saya bertolak ke London untuk mendaftarkan diri sebagai pelajar di Lincoln's Inn, London dan akhirnya lulus dengan memperolehi BAR-AT-LAW, dan saya kembali ke Malaysia untuk menjadi seorang Pegawai Undang-Undang di Kamar Peguam Negara, kemudian betuguas sebagai Magistrate di Mahkamah Magistrate Kuala Lumpur dan Ipoh dan kemudiannya sebagai Pegawai Undang-Undang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sehinggalah saya membuka firma guaman saya sendiri di Kuala Lumpur dan kemudiannya berpindah ke Temerloh.


Tiada ulasan: