(
Adakah wanita yang mengadu dirogol, wajib membawa empat orang saksi. Dan jika gagal akan diqazaf dan dirotan 80 kali?! Adakah itu sistem keadilan Islam?)
Salam 2 all.
Berikut adalah artikel teman yang disiarkan media. Teman melihat dalam isu videoklip yang didedahkan oleh Datuk Eskay, rakan baik manusia yang ditabal bininya sebagai anugerah tuhan, persoalan qazaf telah diputar belit dengan sebegitu rupa sehingga menimbulkan kekeliruan yang serius dikalangan umat Islam. Bukan sahaja dikaki lima dan di kedai kopi, para agamawan dan penceramah, dalam kuliah, tazkirah, termasuk mimbar Jumaat menyerang habis-habisan videoklip tersebut, walaupun ramai antara mereka yang bercakap tu tengok pun tak lagi?!
Sebenarnya Datuk Eskay telah dengan jelas menyebut bahawa beliau mendedahkan videoklip itu bukannya untuk menuduh dan membuktikan rakan baik dia Anwar Ibrahim berzina, sebaliknya untuk menunjukkan kepada umat Islam dan rakyat Malaysia bahawa manusia yang ditabal bininya sebagai anugerah tuhan itu tidak layak menjadi pemimpin negara, apatah lagi Perdana Menteri!!! Itu sahaja.
Tidak timbul langsung persoalan menuduh Anwar berzina. Maka tidak timbul isu qazaf. Tambahan qazaf pula adalah isu hudud. Ini bukan soal hudud, ini soal melantik dan memilih seorang pemimpin.
Kalau nak bertanding jawatan Nazir Masjid pun akhlak kena jaga, ni kan pula nak menjadi pemimpin umat Islam, apatah lagi Perdana Menteri negara umat Islam! Alangkan orang nak masuk meminang anak kita pun kita akan pastikan dia bukan sahaja beriman, bahkan baik akhlaknya. Inikan orang yang nak "meminang" seluruh rakyat Malaysia, nak menjadi menantu negara ini! Maka seluruh rakyat Malaysia dan negara ini berhak tahu siapa dia manusia yang ditabal bininya ini sebagai anugerah tuhan. Dan kebetulan rakan baik dia sendiri yang mahu mendedahkan akhlak sebenar kawan sebantal dia; dan kebetulan dia punya bukti dalam bentuk videoklip!!!
Tepuk dada tanya iman sendirilah yop! Cuba tanya balik diri sendiri, yang kita menentang macam nak gila tu apa ke halnya, dah tengok sendiri ke video tu? Kalau belum tengok, maka kita tidak ada hak langsung nak bercakap, apa lagi menghukum.
Adios amigos, grasias senor.
Jazakallah & wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Rabu
28 Jamadil Akhir 1432
01 Jun 2011
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
Berselindung di sebalik Qazaf
Oleh Zulkifli Noordin
|
Anwar Ibrahim diiringi penyokongnya ketika hadir di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 16 mei lalu. |
SUDAH lebih satu dekad, iaitu sejak tahun 1998, Anwar Ibrahim, dengan pelbagai episod kontroversial yang melibatkan dirinya, telah menjadi tokoh yang paling mempengaruhi situasi politik tanah air.
Oleh kerana pada ketika bermulanya Saga Anwar, dengan pemecatannya pada September 1998, beliau merupakan seorang tokoh besar dalam negara maka pelbagai episod yang melibatkan beliau begitu menarik minat dan menangkap imaginasi masyarakat.
Boleh dikatakan beliau adalah tokoh yang paling disanjungi oleh sebahagian daripada kita dan paling dibenci pula oleh sebahagian yang lain. Malah, sanjungan atau kebencian terhadap pelbagai tokoh, pertubuhan dan institusi yang lain dalam negara ini turut banyak dipengaruhi oleh persepsi kita terhadap peranan mereka dalam Saga Anwar ini.
Akhirnya Saga yang cukup panjang dan dramatik ini nampaknya makin menghampiri babak penutupnya. Terutamanya dengan kemunculan dua episod terakhir yang sangat besar kesannya iaitu, episod kes tuduhan liwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan serta episod video seks yang didedahkan Datuk Shazryl Eskay Abdullah.
Jikalau terbukti Anwar benar-benar bersalah dalam kedua-dua episod ini atau salah satu daripadanya maka sudah pasti Anwar sudah tiada kredibiliti lagi untuk memimpin, hatta keluarganya sendiri sekalipun.
Kita katakan ini kerana, jika Anwar terbukti bersalah dalam dua episod terbaru ini, maka berkemungkinan besar bahawa semua atau sekurang-kurangnya sebahagian besar dakwaan-dakwaan terhadap Anwar selama ini, sama ada isu moral mahupun bukan moral, juga adalah benar.
Jika dihimbau kembali segala dakwaan dan 'dalil' yang timbul sebelum-sebelum ini, hakikatnya ia menampilkan Anwar sebagai individu yang cukup bermasalah dan berpenyakit. Tidak patut lagi mana-mana pihak mempunyai prinsip menyokong Anwar kecuali mereka yang terdesak dan atau mempunyai agenda sampingan lalu mahu mempergunakan beliau untuk mencapai matlamat lain.
Sebaliknya, jika terbukti bahawa Anwar bersih dan tidak bersalah, maka memang wajarlah beliau mendapat simpati kita semua dan memang sangat zalimlah mereka yang mereka-reka tuduhan palsu terhadap beliau. Kredibiliti moral mereka ini juga akan runtuh daripada melayakkan untuk diangkat atau kekal sebagai pemimpin.
Jadi hakikat sebenar dalam dua episod terakhir Anwar Ibrahim ini sangat kritikal dan besar implikasinya. Soalnya, siapakah dan neraca manakah yang paling tepat untuk membuktikan dan menentukan apa yang sebenarnya berlaku.
Sebagai seorang Muslim yang beriman dengan kemampuan Islam untuk merungkaikan segala persoalan dan sebagai seorang yang punya sedikit latar belakang agama, saya yakin ajaran Islamlah satu-satunya formula penentu yang paling adil kepada kemelut ini.
Cuma dalam Saga Anwar, soal formula Islam dan neraca syariat sering turut menjadi kelabu dan keliru. Ini adalah kerana kes ini melibatkan Anwar. Tokoh yang menampilkan imej agama dan mempunyai latar belakang gerakan Islam.
Faktor ini menjadi punca kegagalan sebahagian masyarakat Islam termasuklah sebahagian ahli-ahli agama untuk bersikap objektif dan neutral apabila menanggapi kes. Apatah lagi bila faktor-faktor lain seperti kepentingan politik atau kebencian melampau terhadap UMNO/BN turut kuat mewarnai sikap mereka.
Akhirnya hujah agama, terutamanya hukum Qazaf, sering dijadikan asas untuk cuba mengelakkan Anwar daripada dibicarakan dan diadili dalam kedua-dua kes ini.
Dalam episod Anwar lawan Saiful Bukhari, hukum Qazaf sering cuba digunakan untuk membenteng Anwar daripada mempertahankan diri dan menjawab dakwaan Saiful. Sedangkan, adalah sangat jelas bahawa fakta kes menunjukkan bahawa ini bukanlah kes tuduhan zina atau liwat biasa tetapi lebih menyerupai kes rogol atau yang lebih tepat sumbang mahram atau gangguan seksual antara majikan dan pekerja.
Perbezaan utama antara kedua-dua kategori ini adalah wujudnya unsur paksaan sama ada secara fizikal atau secara tidak langsung di sebalik perlakuan yang terbabit. Saiful membuat aduan kerana mendakwa tidak rela dan tidak mahu lagi diperlakukan sebegitu.
Beliau juga mendakwa kejadian yang telah berlaku sebelumnya bukanlah dengan sepenuh kerelaan beliau walaupun akhirnya pendakwa memilih untuk mendakwa Anwar di bawah seksyen yang tidak melibatkan paksaan, mungkin untuk memudahkan pendakwaan dan pensabitan kesalahan.
Dalam situasi sebegini, hukum syarak menuntut agar kes Saiful didengari dan diadili dan bukannya ditolak mentah-mentah kerana kegagalan beliau mendatangkan empat orang saksi yang melihat sendiri kejadian tersebut. Memang dalam kes rogol, sumbang mahram ataupun gangguan seks tempat kerja, hampir mustahil untuk si mangsa mendatangkan empat saksi lelaki yang adil.
Oleh itu, syarak menetapkan bahawa beban bukti dalam kes rogol atau sumbang mahram adalah berbeza. Segala bentuk bukti yang boleh diterima oleh syarak selain daripada saksi mata boleh diterima pakai dalam kes ini termasuklah DNA, rakaman CCTV dan seumpamanya.
Hakikatnya kesalahan yang hendak dibuktikan dalam kes Saiful lawan Anwar adalah bukannya hudud zina atau liwat tetapi liwat yang berbentuk rogol, sumbang mahram ataupun gangguan seksual tempat kerja.
Saya yakin mana-mana tokoh ulama sekalipun, termasuklah Syeikh Yusuf al-Qaradhawi atau Syeikh Wahbah al-Zuhaili, akan memberi pandangan yang sama jika fakta kes yang sebenar dijelaskan dengan tepat kepada mereka.
Selain daripada unsur paksaan, Qazaf juga melibatkan tuduhan daripada pihak ketiga. Kes Saiful adalah melibatkan pihak yang mendakwa menjadi mangsa dan bukannya pihak ketiga. Jelas sekali perbezaan fakta kes berbanding dengan kes Qazaf iaitu tuduhan zina daripada pihak ketiga tanpa asas dan bukti seperti dalam kes asalnya melibatkan Sayyidatina 'Aishah ra. Maka tidak salahlah jika dikatakan bahawa sikap berkeras membenteng Anwar atas nama Qazaf adalah suatu kedegilan dalam kekeliruan terhadap hukum syarak.
Dalam episod terbaru melibatkan video seks yang dikatakan melibatkan Anwar, adalah tidak benar jika pihak yang mendedahkan perkara tersebut hendak dipersalahkan dari segi hukum syarak. Kalau nak dikatakan sebagai salah kerana mendedahkan aib sesama Islam, kita semua maklum bahawa larangan membuka aib dalam Islam ada beberapa pengecualiannya.
Kita dibolehkan mendedahkan aib demi memberi amaran tentang kejahatan yang boleh menimpa orang lain dan dalam kes menilai kesesuaian peribadi seseorang untuk diangkat sebagai pemimpin.
Jika hendak dikatakan Qazaf pula, adakah Eskay Shazril seorang penuduh yang datang dengan tangan kosong? Jelasnya beliau datang sebagai pihak yang mendakwa sebagai pihak yang turut terlibat, malah turut ada dalam rakaman video tersebut. Beliau juga datang dengan membawa rakaman video tersebut serta bukti-bukti sokongan yang lain seperti jam Omega yang kuat diperkatakan itu.
Bolehkah kita terus menghukumnya sebagai pelaku Qazaf? Bukankah Qazaf juga sebahagian dari kesalahan Hudud? Kita maklum bahawa Nabi Muhammad SAW dalam satu hadis mengarahkan kita untuk mengelakkan pensabitan Hudud jika terdapat apa-apa syubhah atau kesamaran?
Tidak cukupkah apa yang dibawa oleh Eskay untuk menimbulkan syubhah atas dakwaan bahawa beliau membuat tuduhan zina yang palsu atau tanpa asas terhadap Anwar? Kita juga sangat faham bahawa bukti video tidak mencukupi untuk mensabit kesalahan Hudud Zina, tetapi ia tetap boleh diterima oleh syarak untuk membuktikan kesalahan takzir atau membuktikan kesahihan sesuatu fakta.
Dalam kes Anwar, kita bukannya hendak menghukum beliau dengan Hudud Zina tetapi yang terpenting adalah hendak memastikan adakah beliau orang yang terakam dalam video tersebut, yang akan menentukan tahap keperibadian beliau.
Jika diteliti perspektif di atas dengan insaf, maka jelaslah bahawa Anwar tidak boleh terus-terusan mempergunakan Islam dan hukum Qazaf untuk mengelakkan daripada menghadapi proses kehakiman dalam kedua-dua episod ini.
Beliau dan penyokongnya perlu akur kepada prinsip hukum Islam bahawa beliau perlu membersihkan dirinya daripada dakwaan bahawa beliau telah meliwat Saiful Bukhari serta dakwaan bahawa beliau adalah pelaku dalam video seks terbabit.
Sementara proses ini berlangsung dan belum selesai, kaedah yang terbaik dan amalan yang lebih terhormat ialah dengan meminta Anwar bercuti daripada semua tugas rasminya sehinggalah namanya dibersihkan (jika beliau benar-benar bersih). Bukannya dengan beliau ataupun para penyokongnya yang taksub terus-menerus cuba berselindung di sebalik hukum Qazaf atau atas nama agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan