The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Nostalgia Felda tahun-tahun 1980an. Posted: 10 May 2011 05:50 AM PDT Felda Lui Muda adalah diantara Rancangan Felda di Negeri Sembilan yang pernah menjemput saya untuk memberikan ceramah. Tidaklah begitu ramai peneroka-peneroka yang hadir Majlis Ceramah itu kerana mereka sudah ditakutkan oleh Pengurus Rancangan bahawa sesiapa menghadiri Ceramah yang dianjurkan oleh penyokong-penyokong PAS itu akan diambil tindakan tatatertib. Saya pun agak pelik juga. Tindakan tatatertib. Biasanya tindakan tatatertib hanyalah untuk kakitangan sesuatu organisasi yang melanggar syarat-syarat pekerjaan atau melakukan tindakan yang bertentangan dengan polisi syarikat. Maka apabila Pengurus Felda boleh mengambil tindakan tatatertib ini bererti peneroka-peneroka Felda itu adalah "kuli" atau "kakitangan" dan Felda itu adalah "towkay" atau "majikan". Apakah tindakan tatatertib yang boleh diambil oleh Felda? Amaran, Amaran Keras, gantung sebagai peneroka, dan pecat dari rancangan Felda. Macam tindakan tatatertib yang boleh diambil oleh mana-mana majikan! Maka tidaklah ramai peneroka-peneroka yang berani. Berkumpullah peneroka-peneroka itu didalam rumah seramai lebih kurang 30 orang. Saya bawa pembesar suara dari Temerloh dan saya pasangkan pembesar suara itu. Saya sempat berucap selama lebihkurang 20 minit, tiba-tiba datanglah gerombolan beruniform dan diketuai oleh seorang manusia yang tidak beruniform. Dia tak banyak cakap. Dia terus rampas pembesar suara itu, dan memerintahkan ceramah itu dihentikan. Dipunggahnya pembesar suara itu. Kami teruskan juga ceramah tanpa pembesar suara. Esuknya, saya kembali ke Pejabat saya di Temerloh dan terus membuat dan menghantar Notis kepada Ketua Polis Daerah yang berkenaan bahawa jika Polis tidak kembalikan dengan serta merta pembesar suara itu, tindakan akan diambil keatas polis dengan segala kos ditanggung oleh Polis. 3 hari selepas itu saya menerima talipon dari Balai Polis berkenaan untuk datang ke Pejabat Polis Daerah berkenaan untuk mengambil pembesar suara itu. Di Balai Polis berkenaan Ketua Polis Daerah memohon maaf kepada saya dan dia menyalahkan pegawainya yang tidak tahu undang-undang dan meminta saya tidak menyaman Polis Daerah itu diatas kesalahan yang dilakukan oleh Pihak Polis. Kita tidaklah sejahat Polis itu dan kita bersetuju tidak menyaman Polis dengan harapan bahawa ceramah-ceramah kita di kawasan itu tidaklah lagi akan diganggu dan Ketua Polis itu memberikan jaminan bahawa ceramah-ceramah akan datangnya tidak akan diganggu. Isunya disini ialah kerana laporan jahat dari Pengurus Rancangan yang menggunakan Polis untuk mengugut dan menakutkan penduduk dan Polis yang bangang terikut-ikut dengan kebodohan Pengurus Felda itu. Saya masih teringat sebelum itu saya berceramah di suatu kampong di kawasan Sik, Kedah. Kehadirannya cukup ramai. Semasa saya berucap tiba-tiba datang seorang manusia yang tidak beruniform yang mengaku dia seorang OCPD. Dia minta saya berhenti ceramah dengan cara yang sangat bersopan. "Encik, saya adalah Ketua Polis Daerah, saya mintalah supaya Encik dapat berhenti berucap." katanya. Saya beritahu dia secara bersopan juga. "Terima kasih, Insya Allah saya akan berhenti berucap bila sampai jam 12.00 tengah malam nanti, dan kami akan jemput Encik untuk menjamah juadah yang ada." Dia pinta saya berhenti segera, dan saya pinta dia bersabar, hinggalah dia tidak bersabar lagi langsung dirampasnya mikrofon, dan saya rampas kembali. Dia tarik mikrofon itu dan saya tarik kembali, maka bertarik-tarikan seketika. Tetapi dia terpaksa mengalah apabila hadirin melaungkan "Allahu Akbar!" secara berterusan, dan akhirnya dia duduk didepan tempat saya berceramah. Selepas saya berucap pada jam menghampiri 12.00 tengah malam, saya jemput dia menjamah selera dan dia mempersudikan dirinya. Dalam percakapan antara saya dengan dia, dia melahirkan rasa kesusahannya kerana terpaksa menjalankan tugas yang dia tidak selesa melakukan. "Saya sudah mahu pencen beberapa bulan lagi, Tuan Haji," katanya. Dan dia cukup kesal kenapa dia sebagai OCPD diarahkan membuat kerja yang tak sepatutnya dia lakukan. Ini bukanlah tempat pertama atau terakhir kejadian berebut-rebut mike ini berlaku. Di banyak tempat, kejadian sebegini berlaku. Dan pantang saya mengalah! |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan