Jumaat, 8 April 2011

AMK KEDAH

AMK KEDAH


Kekayaan dibolot Taib: Saifuddin buat analogi MU, Chelsea

Posted: 07 Apr 2011 11:45 PM PDT


MIRI: Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution menarik perhatian pengundi di Miri apabila membuat analogi pasukan Manchester United dan Chelsea pada perlawanan akhir UEFA, bagi mengaitkan kekayaan yang dibolot Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Berucap di hadapan kira-kira 2,000 yang membanjiri Miri Waterfront malam tadi, Saifuddin berkata, selepas 30 tahun Taib mentadbir Sarawak , kekayaan negeri itu masih dikongsi sesama adik beradik dan kroninya- sama keadaannya seperti perlawanan bola sepak.

"Kalau 'pasukan' Sarawak, 'bola' itu hanya berlegar kepada Taib Mahmud. Kemudian kepada (anaknya) Raziah Mahmud. Raziah Mahmud kepada Onn Mahmud. Onn Mahmud kepada George Chan, George Chan kepada Alfred Jabu dan kembali semula kepada Taib Mahmud," kata Saifuddin, mengajuk percakapan seorang pengulas perlawanan bola sepak.

"Kenapa tidak sampai kepada rakyat di bawah? Ini tidak betul. Kekayaan negeri ini hanya berlegar di kalangan keluarga dan kroni mereka," kata beliau ketika bercakap kepada kira-kira 2,000 hadirin di Miri Waterfront malam tadi.

Menurut Saifuddin, Taib Mahmud membolot dan menjarah kekayaan negeri itu dengan memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri bagi mengagihkan projek kepada kroni dan saudara maranya.

"Ketua Menteri, Taib Mahmud. Menteri Kewangan, Taib Mahmud. Menteri Pembangunan Sumber Negeri, Taib Mahmud. Pengerusi Land Custody and Development Agency (Pelita), Taib Mahmud.

"Bila dia nak bangunkan satu projek, Menteri Pembangunan Sumber akan bincang dengan Menteri Kewangan. Kemudian ia akan dipersetujui oleh Ketua Menteri dan diagihkan pula kepada Onn, Raziah dan Sulaiman Taib Mahmud.

"Kita mesti hentikan rompakan ini," kata Saifuddin sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.


Turut hadir dalam ceramah tersebut ialah ketua Pemuda DAPSY, Anthony Loke, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan calon N 65 Senadin Dr Teo Yu Kheng.

Terdahulu sebelum itu, di Kampung Tunku Abd Rahman dalam DUN Lambir, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menyampaikan ceramah kelompok di hadapan 150 penduduk yang rata-ratanya terdiri dari suku Kedayan dan Iban.

Tian dalam ceramahnya menjelaskan, konteks politik pembangunan di negeri Sarawak telah disalahertikan apabila ketika kemajuan dilaksanakan, dalam masa yang sama hak peribumi dirampas.

"Sekarang adalah masanya untuk perubahan, Jika ia tidak dilakukan sekarang, maka anak cucu kita akan kembali menyalahkan kita. Mengapa masih memilih kelompok yang sama.

"Berbanding di Selangor yang mana seseorang ahli keluarga kita meninggal dunia pun, kita masih boleh mendapat bantuan. Tetapi, untuk hidup di Sarawak ini adalah satu kesukaran,"ujar Tian.

Tiada ulasan: