Selasa, 15 Mac 2011

AMK KEDAH

AMK KEDAH


RISALAH PROVOKOSI

Posted: 15 Mar 2011 08:41 AM PDT


Risalah perlekeh kerajaan PR

ALOR SETAR - Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) kesal dengan tindakan pihak tertentu yang menyebarkan tiga risalah mempersendakan kerajaan PR di sekitar bandar raya Alor Setar sempena sambutan tiga tahun Kedah Sejahtera, malam semalam.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, penyebaran bahan bercetak berunsurkan provokasi itu dikesan diedarkan pada malam pidato kemasyarakatan yang menampilkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kita tidak pasti siapa di sebalik penyebaran risalah ini namun saya percaya ia didalangi pihak yang berkepentingan politik dan berduit kerana ketiga-tiga risalah itu berkualiti dan dicetak dalam kuantiti yang banyak," katanya selepas merasmikan Seminar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sempena sambutan tiga tahun Kedah Sejahtera.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Md Zuki Yusof dan ADUN Kota Darul Aman, Lee Guan Aik.

Menurutnya, antara isi kandungan risalah terbabit memaparkan wajah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama DAP, isu azan yang dicetuskan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan sebuah buku komik yang bersifat perkauman.

"Pihak terbabit didapati menggunakan pelajar sekolah untuk mengedar risalah itu dan ini adalah perbuatan tidak bermoral. Malah ketika pidato berlangsung, pihak berkenaan meletakkan risalah pada setiap cermin kereta yang di parkir di kawasan stadium," katanya.

Ir Phahrolrazi berkata, pihaknya yakin perbuatan itu adalah bertujuan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap pentadbiran PR yang semakin mendapat sokongan rakyat sejak tiga tahun memerintah.

Menurutnya, pihaknya juga menerima laporan terdapat lebih 40 kereta dipancitkan tayar sepanjang berlangsungnya pidato itu.

"Perbuatan ini amat tidak bertanggung jawab. Perkara ini diserahkan pada urusetia untuk tindakan lanjut walaupun kami percaya ia dilakukan pihak luar yang tidak senang dengan penganjuran karnival Kedah Sejahtera," katanya.

ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa tidak menolak kemungkinan risalah berkenaan ada persamaan dengan risalah politik yang diedarkan pada pilihan raya kecil DUN Merlimau.

"Ada sedikit persamaan risalah berkenaan dengan di Merlimau, konsepnya sama cuma wajah pemimpin PR yang bertukar. Cerita atau isu yang dibangkitkan pun tidak sama, tetapi tujuannya sama iaitu untuk mencalarkan imej pemimpin PR," katanya.

Menurutnya, perbuatan pihak terbabit tidak profesional dan dianggap melampau kerana cuba mengaitkan isu politik dengan penganjuran karnival untuk rakyat.

Naib Pengerusi Perhubungan PKR Kedah, Saiful Izham Ramli berkata, usaha pihak tertentu yang membuat provokasi perkauman pada risalah terbabit adalah tidak wajar dan perlu dihentikan segera.

"Pemimpin PR tidak pernah kacau pemimpin parti lain dalam program anjuran mereka, namun kenapa ada pihak yang tidak senang dengan penganjuran pidato ini yang diadakan sempena sambutan tiga tahun Kedah ditadbir PR. Ini adalah program kemasyarakatan bukan program politik semata-mata," katanya. -SH

Tiada ulasan: