Suara Sri Andalas |
Selangor, Indonesia Setuju Tingkat Kerjasama Perdagangan Dua Hala Posted: 11 Feb 2011 01:30 AM PST SHAH ALAM 11 FEB: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Indonesia bagi meningkatkan lagi kerja sama dan persefahaman antara Kerajaan Selangor dan Republik Indonesia khususnya melibatkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala. Pada pertemuan dengan Ketua Dewan Perwakilan Daerah (DPD), Irman Gusman di Jakarta hari ini, Menteri Besar menyarankan perlu adanya hubungan baik antara kedua belah pihak yang akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi Indonesia dan Malaysia khususnya Selangor. Dalam pertemuan itu juga, Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada Irman Gusman yang menyambung ulang tahun kelahiran ke-49 hari ini. Menteri besar dan Irman Gusman adalah kenalan lama sebelum masing-masing menceburi politik. Kedua-duanya juga sepakat untuk bekerjasama meningkatkan sektor pelancongan dan pendidikan. Majlis itu juga dihadiri anggota DPD lain termasuk AM Fatwa, Ibu Asmawati dan Jaafar Usman. Ketika menghadiri Majlis Jalinan Perniagaan antara Delegasi Perniagaan dari Selangor dengan Dewan Perniagaan dan Perdagangan Jakarta di Hotel Sultan, Jakarta pada sebelah petang hari ini, Menteri Besar mempelawa pelabur Indonesia untuk terus menambah pelaburan di Selangor. Tahun lalu, pelaburan Indonesia di Selangor berjumlah kira-kira RM200 juta dalam sektor pengeluaran makanan dan minuman, pengeluaran kosmetik dan penjagaan kecantikan diri. Selain Menteri Besar, Kerajaan Selangor turut diwakili Exco termasuk iaitu YB Teresa Kok, YB Dr Halimah Ali dan YB Dr Xavier Jayakumar beberapa wakil anak syarikat kerajaan negeri. Tan Sri Abdul Khalid ketika berucap kepada ahli-ahli Dewan Perniagaan dan Perdagangan Jakarta serta delegasi perniagaan Malaysia berkata, Selangor sebagai negeri termaju berperanan penting mengekal dan melonjakkan prestasi ekonomi Malaysia. Ini kerana, katanya, Selangor menyumbang 35 peratus perdapatan ekonomi Malaysia dan lebih 60 peratus pembayar cukai adalah rakyat Selangor atau mereka yang bekerja di Selangor. Menteri Besar mempelawa ahli perniagaan Indonesia dan Jakarta khususnya supaya merebut peluang pelaburan di Selangor kerana mempunyai kemudahan infrastruktur bertaraf antarabangsa. "Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) menyediakan khidmat nasihat dan bantuan bermula sejak proses pemohonan sehingga kilang siap beroperasi. Malah, semua pihak berkuasa tempatan mempunyai pegawai pelaburan dan Pusat Sehenti Setempat (OSC) untuk menguruskan urusan pelaburan," kata Menteri Besar. Tan Sri Abdul Khalid berkata, Selangor memperoleh pelaburan kedua tertinggi sepanjang tahun lalu dengan pelaburan RM10.6 billion melibatkan 207 projek pelaburan baru dan 118 projek penambahan pelaburan sedia ada. Sementara itu, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perdagangan Jakarta, Edi Kutandi berkata, pihaknya amat menghargai usaha-usaha yang diambil Kerajaan Selangor untuk meningkatkan hubungan perdagangan kedua-dua pihak. Beliau yang gembira dengan perjumpaan itu berjanji untuk membawa delegasi perniagaan ke Selangor dalam waktu terdekat untuk meninjau lebih dekat peluang-peluang perniagaan. Sumber: TVSNEWS |
Kupon RM30: SJK(T) Terima Bantuan Kerajaan Selangor Posted: 11 Feb 2011 01:00 AM PST SIJANGKANG 11 FEB: Fasa kedua penyerahan kupon-kupon yuran pendidikan kepada pelajar miskin disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi. Di bawah program Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar hari ini menyaksikan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Telok Panglima Garang dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Jenjarom menerima bantuan tersebut. Dalam ucapannya Yunus memberitahu, peruntukan RM4 juta oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk pembangunan sekolah Tamil membuktikan komitmen kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat bagi menyediakan pembangunan pendidikan terbaik sejajar dengan tema belanjawan negeri 'hasil negeri untuk rakyat'. "Untuk SJK(T) Telok Panglima Garang seramai 104 orang penerima kupon yuran pendidikan ini dan di SJK (T) Jenjarom ada 77 pelajar yang akan menerima. Jadi saya kira pada hari ini sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Cina dan sekolah juga sekolah rendah agama telah merasa nikmat hasil negeri yang telah diberikan dalam bentuk bantuan keperluan pendidikan juga infrastruktur pembaikpulihan sekolah,"ujarnya sebelum majlis penyerahan bermula. Yunus juga menjelaskan dengan adanya inisiatif daripada kerajaan ini, maka lebih ramai rakyat akan merasa hasil negeri dan setidaknya meringankan beban ibu bapa pelajar yang kurang berkemampuan. "Jadi saya kira dengan inisiatif ini lebih ramai lagi rakyat di negeri Selangor ini dapat menikmati hasil negeri yang mereka dapat rasai," katanya. Sementara itu, Pengerusi PIBG SJK (T) Telok Panglima Garang), Mutusamy Subramaniam mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyumbangkan RM50 ribu untuk keperluan sekolah tersebut. Beliau juga berbesar hati atas keprihatinan yang ditonjolkan oleh pemimpin kerajaan negeri, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam membela nasib rakyat di Selangor ini. "Saya sungguh gembira, bagi pihak PIBG saya mengambil begitu berterima kasih kepada Menteri Besar Selangor, di mana begitu bermesra dengan masyarakat India di seluruh Selangor dan juga di Kuala Langat. "Saya juga ingin ambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr Yunus dimana setiap kali dia datang ke sekolah kami dia tetap akan memberi sumbangan untuk kejayaan sekolah kami," ujarnya kepada Tv Selangor siang tadi. Menerusi bantuan ini, setiap pelajar yang tersenarai, menerima kupon yuran bantuan sejumlah RM30 untuk mengurangkan beban keluarga pelajar yang rata-ratanya hadir dari kalangan mereka yang berpendapatan rendah. Sumber: TVSNEWS |
You are subscribed to email updates from Suara Sri Andalas To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan