Rabu, 9 Februari 2011

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


PKR nafi Anwar dapatkan bantuan Uthaya

Posted: 09 Feb 2011 12:47 AM PST

Naib presiden PKR, N Surendran menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menugaskannya mengetuai jawatankuasa tiga anggota untuk menangani masalah masyarakat India dan Anwar sendiri akan berusaha mendapatkan semula sokongan pengasas Hindraf, P Uthayakumar.

Sebaliknya, Surendran yang baru dilantik sebagai naib presiden PKR itu, berkata laporan tersebut mengandungi beberapa kesalahan fakta yang serius.

"Artikel itu melaporkan (PKR) akan membuka perbincangan dengan pengasas Hindraf P Uthayakumar dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyelesaikan 'hal Uthayakumar bersama pimpinan PAS dan DAP.

"Faktanya, hal ini tidak pernah diputuskan dan perkara ini tidak dibincangkan," kata Surendren.

Beliau merujuk kepada laporan bertajuk 'Anwar bid to win back Indian support' yang disiarkan oleh Malaysian Insider semalam.

Laporan tersebut menyebut Anwar, pemimpin India dalam PKR dan pemimpin NGO India, telah mengadakan pertemuan tertutup minggu lalu untuk membincangkan kemerosotan sokongan masyarakat India kepada Pakatan Rakyat.

Salah daripada dua keputusan yang dibuat oleh Anwar dalam pertemuan tersebut ialah mengadakan perbincangan terbuka dengan Uthayakumar bagi mendapatkan bantuannya untuk mendapatkan sokongan masyarakat India.

NONE
Laporan itu memetik sumber-sumber sebagai berkata, Anwar akan membincangkan perkara berkaitan dengan Uthayakumar itu, dengan pemimpin Pakatan seperti presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang dari DAP.

Namun, perkara itu dinafikan oleh Surendran (kanan), yang hadir
dalam pertemuan tersebut.

Tegasnya, tidak ada perkara seumpama itu yang diputuskan, bahkan ia tidak dibincangkan langsung.

"Juga tidak benar yang saya telah ditugaskan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa tiga anggota untuk menangani masalah masyarakat India," tambahnya.

Surendran menegaskan bahawa masalah yang dihadapi masyarakat India dan yang lain-lainnya, sentiasa menjadi keutamaan PKR dan parti komponen Pakatan yang lain.

Namun, menurut beliau, masalah berkenaan hanya boleh diselesaikan sepenuhnya dengan kuasa kerajaan pusat.

"Masalah (kaum ditindas) ini adalah disebabkan oleh pengabaian dan sikap tidak peduli kerajaan BN terhadap komuniti-komuniti ini selama lebih 50 tahun.

Walaupun usaha dilakukan di negeri-negeri Pakatan Rakyat bagi menyelesaikan masalah ini, perubahan komprehensif, kata Surendran hanya boleh berjaya jika kerajaan persekutuan menumpukan semua sumber dan usaha politik bagi mengatasi masalah berkenaan.


Sumber: Malaysiakini

Mahkamah tentu jumlah saman Dr Hatta terhadap polis

Posted: 09 Feb 2011 12:42 AM PST


KUALA LUMPUR, 9 Feb: Mahkamah Tinggi Kuantan akan menetukan jumlah tuntutan saman yang dimenangi Bendahari PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli dan dua rakannya terhadap polis, sebelum 15 Mac ini.

Menurut Dr Hatta yang dihubungi Harakahdaily, hari ini berlangsung perbincangan dengan peguam kedua-dua pihak namun jumlah sebenar tuntutan belum boleh diputuskan.

Dr Hatta, Timbalan YDP PAS Rompin Mazlan Mohamed Yasin dan Ketua Pemuda Rompin Nazri Ahmad menang dalam saman terhadap bekas Ketua Polis Daerah Rompin di Mahkamah Tinggi Kuantan berkaitan kes penangkapan semasa berceramah di premis sendiri pada 2004 lalu.

(Gambar fail: Dr Hatta bersama peguamnya, Mohamed Hanipa menunjukkan dokomen mahkamah yang memutuskan polis perlu membayar ganti rugi kepada Dra Hatta)

Hakim Datuk Mariana Yahya dalam penghakimannya pada 26 Ogos lalu memutuskan Hanapi Daud (pihak polis) telah secara salah menangkap Dr. Mohd Hatta Ramli, Mazlan Mohamed Yasin dan Nazri Ahmad.

Hakim dalam keputusannya berkata, pihak polis telah gagal menyatakan sebab penangkapan di samping ternyata bersalah menceroboh kediaman persendirian semasa penangkapan itu.

Berikutan itu, hakim memutuskan Hanapi selaku defendan dikehendaki membayar ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi tauladan dan ganti rugi melampau kepada tiga aktivis PAS terbabit.

Menurut fakta kes, pada jam 9.15 malam 10 Jun 2004 satu majlis ceramah penerangan telah diadakan di Markas Pas Kawasan Rompin, di nombor 42 Desa Teratai, Muadzam Shah. Ketua Polis Daerah yang mengetuai sekumpulan anggota polis dari Ibupejabat Polis Rompin telah mengeluarkan arahan supaya majlis tersebut dihentikan diatas alasan tiada permit perhimpunan dikeluarkan.

Ketua Polis Daerah juga telah mengarahkan anggota-anggota polis melakukan serbuan keatas premis ceramah tersebut dan telah menangkap plaintif kedua, ketiga dan keempat tanpa menunjukkan sebarang waran tangkapan.

Anggota-anggota polis yang melakukan serbuan dan tangkapan keatas premis tersebut telah merampas segala peralatan sistem bunyi (P.A. System) dan secara kasar yang telah mengakibatkan kecederaan pada plaintif keempat.

Berikutan itu, mereka bertiga telah ditahan, digari dan dibawa ke ibu pejabat Polis Daerah Rompin untuk disoal-siasat sehingga keesokan harinya.

Kes tersebut difailkan oleh ketiga-tiga ahli PAS itu pada 1 Disember 2004 di Mahkamah Tinggi Malaya Kuantan melalui firma guaman Mohamad Hanipa & Associate.

Plaintif memohon deklarasi bahawa penangkapan dan penahanan mereka pada masa ceramah tersebut tidak sah, terbatal, tidak berpelembagaan dan tidak mempunyai apa-apa kesan.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa majlis ceramah yang diadakan di markas PAS Kawasan Rompin (pada 10 Jun 2004) tidak memerlukan permit polis di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Selain itu, plaintif memohon deklarasi bahawa defendan telah bertindak melampaui batas kuasainya di bawah Akta Polis 1967 dan tindakan defendan tersebut adalah satu penyalahgunaan kuasa (abuse of power).

Plaintif turut memohon deklarasi bahawa defendan telah melakukan pencerobohan ke atas markas PAS Kawasan Rompin dan menuntut ganti rugi serta lain-lain relif difikirkan sesuai oleh mahkamah.


Sumber: Harakah Daily

Lantik Noor Deris jadi menteri sebelum debat

Posted: 09 Feb 2011 12:39 AM PST


KUALA LUMPUR, 9 Feb: Dewan Pemuda PAS Kelantan (DPPNK) mahu Umno melantik Mohd Noor Deris sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri sebelum boleh berdebat dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata Tuan Guru selaku Menteri Besar dan pimpinan tertinggi PAS hanya sepadan jika dipertemukan dengan individu yang mempunyai jawatan dan kuasa di dalam parti atau kerajaan.

Ianya termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan yang dianggotai oleh para ulama atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sendiri.

"Justeru, sekiranya Umno melihat hanya Mohd Nor Deris layak berdepan dengan Tuan Guru Nik Aziz, DPPNK mencadangkan agar Mohd Nor Deris dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan diberikan tugas menjaga hal ehwal agama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Beliau amat berkelayakan menjawat jawatan tersebut memandangkan taraf ilmunya yang tinggi termasuklah mendakwa memiliki kasyaf untuk melihat tangan Nik Aziz menjadi tangan syaitan sewaktu kempen pilihanraya kecil Dun Galas baru-baru ini," tambahnya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada kenyataan Khir seperti yang tersiar di dalam akhbar yang meminta Nik Aziz agar tidak perlu mengheret pihak lain, termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menegakkan kebenaran memadai berhadapan dengan Mohd Noor.

Beliau juga mendakwa soal agama 'bukan kira setaraf, layak atau tidak".

Membidas dakwaan Menteri di JPM itu, Abdul Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkebang turut mencabar agar Jamil Khir sudi menerima apa-apa tawaran debat dengan pepimpin PAS di peringkat cawangan dan kawasan jika dicabar.

"Jika benarlah Jamil Khir berpegang di atas prinsip ini, sudilah kirnya beliau menyatakan kesanggupan jika DPPNK menghantar mana-mana pimpinan Pemuda PAS cawangan atau kawasan untuk berdialog dengan beliau atas mana-mana isu agama khususnya yang melibatkan pertentangan di antara Umno dengan PAS," pintanya.

Kelmarin, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan mempersoalkan kedudukan dan kredibiliti Mohd Noor Deris yang ingin berdebat dengan beliau berhubung kenyataannya ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang baru-baru ini, dengan mengatakan mereka yang tidak menyokong PAS adalah jahiliah.

Pejabat Menteri Besar Kelantan sebelum ini jug menjelaskan, tidak timbul langsung soal Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sedia berdebat dengan Mohd Nor sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah media di sini.

Ini kerana, apa yang dikatakan Nik Aziz adalah beliau sedia berdialog atau berbincang dengan Majlis Faktwa Kebangsaan bukannya berdebat dengan Mohd Nor yang tidak mempunyai sebarang jawatan yang boleh menggubal dasar kerajaan.


Sumber: Harakah Daily

Kadar Faedah Dan Percukaian Perlu Dikaji Untuk Kurangkan Beban Rakyat

Posted: 09 Feb 2011 12:33 AM PST


SHAH ALAM 9 FEB : Kadar faedah dan percukaian di negara ini harus dikaji semula jika mahu mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan mengemukakan dasar alternatif menyelesaikan masalah hutang isi rumah pada Konvensyen Ekonomi Pakatan Rakyat bulan depan.

Menurut Mahfuz, beliau bersetuju bahawa perlu ada dasar yang jelas dalam mengurangkan beban hutang rakyat yang terlalu tinggi.

" Kita tidak boleh mengurangkan hutang tetapi dasar yang hendak dibawa itu nanti ialah dasar untuk mengurangkan, contohnya, kadar faedah dan cukai yang terlalu tinggi yang dikenakan ke atas rakyat dalam pembelian-pembelian rumah, kereta milik peribadi dan sebagainya, ini yang menyebabkan kita terpaksa menanggung hutang yang terlalu tinggi," jelas Mahfuz ketika dihubungi Tv Selangor.

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam satu sidang media berkata, hutang isu rumah di negara ini mencecah RM577 bilion.

Malah katanya, perangkaan menunjukkan jumlah itu berada pada kedudukan 74 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada November 2010.

Menurut Azmin, pada konvensyen itu nanti,Pakatan Rakyat akan merumuskan pendekatan ekonomi yang sesuai untuk meningkatkan pendapatan rakyat sekaligus menurunkan kadar hutang keluarga.

Mengulas hal sama, Mahfuz berkata, antara langkah yang boleh dilakukan ialah dengan mengurangkan kadar cukai seperti cukai import kenderaan.

" Apabila cukai dikurangkan, saya percaya kita hanya berhutang dengan jumlah yang kecil. Jadi ini yang harus disemak semula iaitu dasar percukaian yang ada dalam negara sama ada cukai eksport eksport ini, cukai eksais perlu dikurangkan khususnya kepada kenderaan dan juga perumahan-perumahan," jelas Mahfuz.

" Ini menyebabkan kos hidup kita meningkat. Seperti kenderaan misalnya, ia kini menjadi satu keperluan. Yang keduanya kerajaan pula gagal menyediakan sistem pengangkutan awam yang baik, murah dan sebagainya," tambahnya lagi.

Malah ujarnya, kerajaan tidak perlu tertumpu dengan dasar rumah mampu milik namun tidak berjaya mengurangkan kadar faedah pinjaman perumahan yang melambung tinggi.

Menurut statistik Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah yang dicatat berjumlah RM577 bilion. Ia merangkumi beban pinjaman kereta (RM118 bilion), pinjaman perumahan (RM225 bilion) dan pinjaman peribadi (RM22 bilion) selain anggaran hutang kad kredit (RM200 bilion).

Sumber: TVSNEWS

Amizudin: Mengapa Rais tak saman Migrant Care?

Posted: 09 Feb 2011 12:30 AM PST

Pengendali blog sharpshooter.blogspot, Amizudin Ahmat yang sedang menghadapi saman oleh Menteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim mempersoalkan tindakan menteri itu yang tidak melakukan tindakkan yang sama terhadap NGO Migrant Care, lapor Harakahdaily.

rais yatim pc 020709 01
Menurutnya, walaupun WikiLeaks merupakan sumber permulaan yang mendedahkan isu yang dikatakan kejadian rogol terhadap seorang amah warga Indonesia, keengganan Rais menyaman pihak terbabit telah menimbulkan tanda tanya.

Selain WikiLeaks, tindakkan Rais yang tidak menyaman Migrant Care yang mempertahankan kenyataan mereka di media sebelum ini bahawa pernah menemubual amah tersebut di kampung halamannya turut menimbulkan persoalan.

"Kenapa saya yang disaman bukan WikiLeaks atau Migrant Care, padahal WikiLeaks yang mula-mula mendedahkan isu ini dan Migrant Care pula telah mempertahankan kenyataan mereka bahawa pernah menemuramah amah itu.

"Adakah ada sesuatu yang dibimbangkan oleh Rais seperti kemungkinan lebih banyak lagi pendedahahan dibuat oleh Migrant Care di mahkamah?," katanya.

NONE
"Begitu juga dengan blog Rocky Bru (kiri) yang mula-mula sekali menaikkan story ini dalam blognya. Adakah kerana blogger ini pro-Umno?," kata Amizudin.

Beliau juga berkata beliau hanya mengetahui tindakan saman terhadap beliau melalui media dan sehingga kini masih belum menerima apa-apa surat perintah dari mahkamah atau peguam yang mewakili Rais.

"Saya cuma tahu perkara ini melalui berita. Sampai sekarang saya masih belum terima apa-apa surat dari mahkamah atau peguam pihak satu lagi itu.

"Jika dipanggil ke mahkamah, saya akan hadir. Kalau takut dipukul badai, usah berumah di tepi pantai, kalau takut dengan risiko usah bicara soal perjuangan. Sekali melangkah pantang undur," kata Amizudin ketika dihubungi.

Beliau yang enggan mengulas panjang berhubung isu ini ketika dihubungi bagaimanapun telah sempat mengucapkan terima kasih kepada Rais yang telah menyebabkan jumlah pengunjung blog beliau mengalami peningkatan yang ketara.

"Maaflah, setakat ini, itu sahaja yang dapat saya katakan, tak boleh nak ulas panjang tentang isu ini, cuma terima kasih kepada Rais kerana tindakan (saman) dia, pengunjung blog sharp shooter meningkat dengan ketara," katanya dengan nada berseluroh.

pkr congress 281110 shamsul iskandar
Sementara itu, menurut satu sumber rapat beliau, beberapa peguam termasuk ketua pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin telah menyatakan kesediaan untuk mewakili Amizudin sekiranya beliau diheret ke mahkamah.

"Setakat ini beberapa peguam telah menawarkan diri secara percuma untuk mewakili Amizudin termasuklah Ketua AMK, Shamsul Iskandar," kata sumber itu.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Februari ini untuk sebutan semula kes dan afidavit difailkan oleh kedua-dua pihak sebelum kes itu didengar pada 22 Februari.

Mahkamah yang sama juga turut membenarkan injunksi kepada Rais bagi menghalang Amizudin daripada terus menerbitkan dakwaan bahawa menteri itu telah merogol seorang pembantu rumahnya dari Indonesia.

Hakim Zabariah Mohd Yusof juga membenarkan permohonan ex-parte untuk menghalang Amizudin daripada menerbitkan perkataan-perkataan berunsur fitnah terhadap menteri berkenaan menerusi blognya.

Terdahulu, nama Amizudin Ahmat dan blog yang dikendalikannya itu menjadi terkenal apabila mendedahkan apa yang dianggap sebagai penyelewengan oleh bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin berhubung isu kuari sehingga membawa perletakkan jawatan Mohd Fairus.


Sumber: Malaysiakini

Khusrin dibenar angkat sumpah rahsia minggu depan

Posted: 09 Feb 2011 12:27 AM PST

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan setiausaha kerajaan negeri, Datuk Mohd Khusrin Munawi yang dilantik oleh kerajaan persekutuan akan dibenarkan mengambil sumpah kerahsiaan di hadapannya minggu depan.

Namun, beliau enggan memberikan tarikh yang tepat.

NONE
"Ia minggu depan. Kami akan maklumkan kepada anda. Kita ada jadual," kata Khalid.

Khalid juga berkata sebaik mengangkat sumpah kerahsiaan itu, setiausaha kerajaan negeri Selangor itu akan dibenarkan menghadiri mesyuarat exco.

"Kita akan menstrukturkan mesyuarat exco kepada dua bahagian.

"Satu bahagian, dia (Khusrin) boleh hadir dan satu bahagian lagi, dia tak boleh hadir," jelasnya.

Ini kata Khalid adalah perkara yang lazim dilakukan kerana ada kalanya, exco yang dilantik oleh rakyat perlu membincangkan perkara tertentu tanpa kehadiran pegawai ex-officio.

"Ini perkara biasa, malah kakitangan awam juga adakan mesyuarat mereka yang tidak dihadiri oleh exco, contohnya mesyuarat ketua jabatan," katanya.


Sumber: Malaysiakini

Siva: Bantuan guaman selaras perjuangan Pakatan

Posted: 09 Feb 2011 12:25 AM PST

Sokongan dan bantuan kewangan kerajaan negeri Selangor kepada ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei tepat dan selaras dengan prinsip keadilan dan demokrasi yang dijulang Pakatan Rakyat, kata ahli parlimen Subang R Sivarasa.

Menurutnya, Suhaimi kini menghadapi tuduhan bermotif politik dan undang-undang zalim oleh kerajaan BN dan menjadi kewajipan bagi kerajaan negeri Selangor membantunya.

NONE
"Sebab paling jelas kerajaan Selangor membantu Shuhaimi ialah kerana beliau menghadapi tuduhan bermotif politik di bawah undang-undang 'drakonian' yang digubal pada zaman kolonial bagi menghalang kebebasan bersuara.

"Dalam hal itu sahaja, Pakatan Rakyat Selangor, sebagai kerajaan yang menyokong demokrasi penuh, berkewajipan menyokong dan mempertahankan beliau," kata Sivarasa (kiri) dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau juga memberi contoh betapa sebelum ini, kerajaan Selangor pernah membantu mereka yang ditahan di bawah undang-undang zalim BN seperti ketika Protes Harga Air Selangor pada Disember lalu.

Sivarasa mengulas kenyataan media ketua pemuda Gerakan, Tan Keng Liang dan pengerusi NGO pro-Umno - Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) Hamidzun Khairudin yang mendakwa bantuan membiayai kos guaman Shuhaimi sebagai membazir dan melambangkan korupsi.

NONE
Shuhaimi dituduh mengikut Akta Hasutan 1948 kerana penulisan di blognya didakwa biadap dan menderhaka kepada Sultan Selangor oleh Umno dan beberapa NGO pro-BN.

Sivarasa berkata Tan dan Hamidzun sebenarnya 'kurang' memahami tugas dan tanggungjawab kerajaan bagi memastikan setiap yang dituduh mendapat keadilan.

"Dalam bahasa mudah, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menepati prinsip mereka dengan memberi bantuan ini dan selaras dengan prinsip menentang penahanan berunsur politik menggunakan undang-undang zalim dan menindas ini," katanya.

NONE
Sivarasa juga mencadangkan sistem bantuan guaman di Malaysiaperlu dirombak kerana ia telah jauh ketinggalan zaman dan perlu dijadikan lebih efektif.

"Negara lain seperti Australia, United Kingdom dan Kanada membelanjakan berbilion ringgit tahunan bagi membawa sistem bantuan guaman yang efektif dan memastikan rakyat mereka mendapat pembelaan yang bersesuaian.

"Sampai masa kerajaan pusat BN menyedari peruntukan tahunan RM25 juta untuk membiayai sistem bantuan guaman kita perlu dibesarkan. Kita sepatutnya membelanjakan lebih per kapita untuk membiayai sistem yang benar-benar efektif bagi mereka yang ditahan dan direman di lokap polis," katanya.


Sumber: Malaysiakini

'Protes harga barang naik, undi PAS'

Posted: 08 Feb 2011 11:57 PM PST

Setiausaha Dewan Muslimat PAS Melaka, Hajah Kintan Man menyeru seluruh pengundi pada pilihan raya kecil dewan undangan negeri Merlimau supaya menjadikannya sebagai medan melakukan protes terhadap kenaikan harga minyak dan barangan keperluan yang semakin menghimpit rakyat sekarang.

NONE
Harakahdaily memetik Kintan swebagai berkata bahawa kerunsingan terhadap kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian sememangnya bersarang di hati rakyat. Namun rakyat khususnya orang Melayu, menurutnya, tiada kekuatan untuk mengalihkan undi mereka kepada Pakatan Rakyat.

"Minda orang Melayu telah didoktrinkan oleh Umno/BN bahawa kenaikan harga barang ini tidak dapat dibendung dan ia merupakan perkara biasa yang tidak dapat dielakkan.

"PAS dan Pakatan Rakyat mesti berusaha gigih untuk memberikan penerangan kepada rakyat bahawa kerajaan BN hari ini gagal menguruskan kenaikan harga barang ini dengan baik sehingga rakyat semakin terhimpit dan sengsara" kata Kintan yang juga ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat.

NONE
Menurutnya, rakyat khususnya pengundi di Merlimau mesti diberi kefahaman bahawa antara sebab berlakunya kenaikan harga barang ialah kerana meningkat kos pengeluaran dan pengangkutan disebabkan kenaikan harga minyak yang sebenarnya boleh dielak oleh kerajaan.

"Malangnya kerajaan BN sendiri yang menaikkan harga minyak dengan menghentikan subsidi walaupun pada masa yang sama keuntungan Petronas dan kerajaan meningkat disebabkan kenaikan harga minyak dunia.

azlan
"Selain itu kerajaan juga gagal mengawal dan menangani masalah kenaikan harga barang yang dilakukan oleh pengeluar dan pemborong barangan keperluan sehingga semua tuntutan untuk menaikkan harga dipersetujui oleh kerajaan tanpa sebarang tindakan yang konkrit untuk menanganinya" kata Kintan ketika ditemui di bilik operasi PAS pada pilihanraya kecil Merlimau di Melaka pagi ini.

Kintan mengajak seluruh pengundi Merlimau supaya bangkit memprotes kegagalan kerajaan menangani isu ini dengan memberikan undi kepada calon PAS pada pilihanraya yang akan berlangsung pada 6 Mac ini.


Sumber: Malaysiakini

Umno-BN digesa tidak guna harta awam untuk parti

Posted: 08 Feb 2011 11:53 PM PST

Setiausaha jentera pilihanraya PAS di Melaka, Bahiki Ismail kesal dengan sikap Umno/BN yang terus menerus menggunakan kemudahan awam untuk program politik kepartian.

NONE
Terbaru, dakwanya kerajaan menyalah-gunakan Dewan Politeknik Merlimau untuk program suaikenal bapa angkat dengan jawatankuasa peti undi DUN Merlimau. Program tersebut melibatkan pengerusi perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga adalah ketua menteri.

Program telah berlangsung Isnin lalu dan melibat semua ketua-ketua peti undi di DUN Merlimau.

"Umno/BN sering menuduh PAS berpolitik di masjid dan surau tanpa bukti tetapi sebaliknya merekalah yang sering menggunakan surau, masjid, sekolah dan institusi masyarakat yag lain untuk program politik mereka".

"Kita tidak kisah jika program itu adalah program kerajaan dan agensi-agensinya tetapi yang kita kesalkan ialah mereka secara terang-terang menggunakan harta rakyat yang dibiayai dengan duit rakyat untuk program politik mereka." kata Bahiki (atas, kanan) dalam satu kenyataan.

NONE
Justeru, beliau menggesa tindakan menggunakan harta awam untuk program parti dihentikan serta merta kerana ia jelas mengheret institusi awam ke kancah politik.

Bahiki juga mengingatkan semua pengarah, pengetua, guru besar dan pegawai kerajaan supaya tidak tunduk dengan tekanan politik kepartian sehingga membenarkan institusi di bawah tanggungjawab mereka digunakan sewenang-wenangnya oleh Umno/BN untuk program parti.

"Tuan-tuan dan puan-puan diberi amanah untuk menjaga harta dan kemudahan awam janganlah kerana tekanan politik kita sanggup mengabaikan amanah yang dipikul oleh kita.

azlan
"Pengunaan harta dan kemudahan awam sudah berlaku dari dulu, kini dan mungkin selamanya namun kita kesal kerana pihak berwajib seperti polis, SPRM, SPR dan sebagainya tidak berani mengambil tindakan walaupun sudah acapkali kita membuat laporan agar tindakan di ambil ke atas pihak terbabit" katanya.

Beliau berharap Umno/BN tidak mengulangi kesilapan itu pada kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau kerana ia perbuatan menyalah-gunakan duit rakyat.

"Umno/BN wajar mencontohi PAS yang menjalankan program di premis parti kerana PAS tahu etika dan undang-undang.

"Jika perkara ini berulang, PAS juga sepatutnya dibenarkan untuk mengadakan program di semua institusi awam kerana PAS juga parti berdaftar" kata Bahiki lagi.

Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan: