Rabu, 9 Februari 2011

Zulkifli Noordin

Zulkifli Noordin


KRISIS MENTAL!

Posted: 09 Feb 2011 12:20 AM PST

Salam 2 all.

Teman berasa sangat sedih membaca lapuran mengenai kejadian bunuh diri yang berlaku semalam. Pelbagai persoalan mula timbul mengenai gejala ini. Apakah masyarakat di Malaysia mengalami penyakit jiwa atau mental yang sangat serius, sehingga mengambil tindakan drastik membunuh diri sendiri?!

Dalam kejadian pertama semalam, seorang ibu, Tan Lee Ying mengambil tindakan nekad membunuh anak kecilnya sendiri dengan mencampakkan anak tersebut dari Tingkat 6 Pangsapuri Aman, Jalan Sk6/1, Serdang. Mayat anak kecil berumur 5 tahun itu, Man Yee (gambar sebelah) dijumpai dengan kepalanya pecah dan tangannya hampir putus kerana tersangkut ditangki air sebelum terhempas kebawah. Selepas membunuh anaknya, Lee Ying kemudiannya pergi ke Tingkat 11 dan dipercayai membunuh diri dengan terjun kebawah. Mayatnya juga dijumpai dengan kepala yang pecah dan berlumuran darah.

Menurut lapuran yang diterima dan kenyataan suami Lee Ying, isterinya itu sememangnya menghidap penyakit kemurungan sejak sebelum berkahwin lagi dan terpaksa mengambil ubat. Beberapa minit sebelum itu, Lee Ying menangis apabila suaminya dikatakan enggan membawanya menemani bersama untuk menggantikan cermin kereta yang dikatakan rosak.

Dalam kes kedua, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota, Air Leleh, Melaka telah membunuh diri dengan terjun daripada Tingkat 2 bangunan sekolah tersebut. Sally Lee Qian Chun, pelajar Tingkatan 5 sekolah tersebut dkatakan mengalami tekanan perasaan akibat perhubungan cinta yang gagal. Keluarga Sally dikatakan langsung tidak mengesyaki apa-apa kerana semasa menyambut Gong Xi Fa Cai beberapa hari Sally dikatakan berada dalam keadaan ceria. Bagaimanapun apabila dilayari facebook Sally didapati beliau sudah memberi petanda akan membunuh diri dan meninggalkan pesanan kepada kawan-kawannya supaya meletakkan patung teddybear diatas kerandanya. Apa yang menyedihkan, ada kalangan warga facebook yang memberi respon menyuruh Sally meneruskan hasrat untuk membunuh diri itu.

Teman berasa bimbang melihat trend membunuh diri ini yang semakin kerap dan meningkat. Dan ianya sudah mula menular dikalangan orang Melayu yang beragama Islam, saperti yang berlaku dalam satu kes seorang bekas wakil rakyat yang membunuh pembantu khas wanitanya dan menembak kepalanya sendiri didalam sebuah kenderaan di lebuhraya berhampiran Bukit Beruntung. Kejadian yang menggemparkan negara kerana berlaku dibulan Ramadhan disaat menjelang 'eidulfitri.

Teman melihat peningkatan gejala bunuh diri ini sebagai gambaran bahawa rakyat negara ini sedang menghadapi krisis kejiwaan dan mental yang serius. Ramai diluar sana yang sedang mengidap penyakit ini tanpa menyedari mereka sebenarnya sedang mengalami penyakit jiwa dan mental ini.

Persoalannya sekarang, bagaimana kita berhadapan dengan gejala ini? Krisis ini perlu ditangani dengan cara yang profesional dan berilmiah. Ini perlu kerana jika kita gagal menanganinya dengan baik, akibat dan kesannya adalah serius. Kita sudah mendengar beberapa kes anak menikam bapa sendiri sehingga mati, suami membunuh isteri sendiri, adik beradik bunuh membunuh dan banyak lagi insiden yang jika ditangani secara baik sebenarnya boleh dielakkan.

Terbaru hari ini seorang pemuda berusia 31 tahun yang disyaki mengidap penyakit mental terpaksa ditembak sehingga mati kerana menyerang seorang anggota polis di Taman Cempaka Bahau. Polis yang menerima lapuran daripada ibu mangsa mengenai tindakan agresif pemuda tersebut telah menghantar 4 anggota untuk menenangkan beliau. Setelah 3 jam mencuba ternyata ianya gagal, dan sebaik sahaja mahu melangkah keluar daripada rumah, pemuda tersebut tiba-tiba menyerang anggota berpangkat Sarjan tersebut dengan parang menyebabkan beliau cedera parah. Cubaan anggota lain menyekat tindakan pemuda tersebut dengan menggunakan tembakan kejutan elektrik Taser juga gagal, menyebabkan mereka tiada pilihan selain menembak mati pemuda tersebut.

Teman teringat kepada satu insiden di Perlis tidak lama dahulu bilamana seorang pemuda terpaksa ditembak mati kerana bertindak aggresif terhadap otang awam dan polis walaupun sudah digari. Semua insiden ini membuatkan teman berpendapat perlu ada pendidikan dan pendedahan kepada orang awam termasuk anggota polis mengenai penyakit mental ini.

Kekurangan maklumat dan ilmu mengenai penyakit ini menyebabkan kita tidak mengambil serius mengenai penyakit ini. Menurut pakar, kebiasaannya pesakit mental yang mempunyai kemiripan untuk membunuh diri atau bertindak ganas akan memberikan beberapa isyarat dan indikasi mengenainya. Ini jelas daripada kedua-dua kes wanita diatas. Lee Ying yang memang mempunyai sejarah kemurungan memberi indikasi jelas dengan menangis hanya kerana suami tidak mengajaknya menemani pergi membaiki cermin kereta. Ini sepatutnya memberi signal kepada si suami bahawa ada sesuatu yang tidak kena.

Dalam kes Sally pula, beliau telah pun menulisnya didalam Facebook. Sepatutnya warga Facebook lain yang menyedarinya memberikan respon positif dengan membantu atau menyalurkan maklumat kepada pihak berkaitan. Sebaliknya ada yang menggalakkan Sally supaya meneruskan hasrat membunuh diri tersebut!!

Menurut pakar, isyarat-isyarat yang diberikan oleh pesakit mental ini adalah cara mereka meminta pertolongan. Tetapi kerana kurang-faham dengan masalah penyakit ini, ramai dikalangan kita tidak mengambil sikap yang sewajarnya.

Kedua, teman berpendapat kekurangan pusat memberikan rawatan dan perkhidmatan kepada para pesakit mental ini juga merupakan faktor yang menyumbang. Contohnya dalam kes diatas, kalau orang awam mahu membantu pun mereka tidak tahu hendak merujuk kepada pihak mana? Paling tidak pun mereka akan menghubungi pihak polis, yang kekadang juga menghadapi masalah logistik dan teknikal untuk berhadapan dengan kes-kes seumpama ini. Oleh itu teman menyarankan agar Kerajaan supaya mengujudkan lebih banyak pusat-pusat perkhidmatan dan rawatan bagi menangani masalah ini.

Akhirnya, teman berpendapat bahawa masyarakat juga perlu dididik supaya tidak memandang serong dan negatif kepada para pesakit mental dan keluarga mereka. Sikap kita juga kekadang menjadi penyumbang utama penyakit ini tidak dapat ditangani secara efentif dan berkesan. Cuba bayang kalau sebut Tampoi atau Tg. Rambutan sahaja, kebanyakan kita akan tersengeh mengenang tempat orang gila. Stigma gila ini terlalu negatif dikalangan masyarakat kita. Apabila ada ahli keluarga mana-mana pihak mengidap penyakit ini, kebiasaannya mereka akan dipandang serong dan dilayan secara negatif. Akhirnya tinggallah keluarga malang itu terpaksa berhadapan dengan masalah itu sendirian.

Teman berpendapat, pihak Kerajaan dengan kerjasama pakar-pakar yang berkaitan perlu mengadakan perbincangan segera untuk menangani gejala penyakit jiwa dan mental ini untuk mencari jalan penyelesaian dan cara menanganinya dengan cara yang berkesan dan efektif. Semoga insiden bunuh diri dan dibunuh kerana punca penyakit mental dan jiwa ini dapat diatasi dengan segera.

Adios amigos, grasias senor.

Wallahua'lam & Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
06 Rabi'ul Awal 1432
09 Februari 2011

Gambar kanan: Sally dan Chan Fook Hwa (suami Lee Ying) yang meratapi kematian anak dan isterinya dalam kejadian menyayat hati ini.

Gambar kiri: mayat Lee Ying yang pecah kepala dan berlumuran darah ditemui mati dibawah pangsapuri setelah terjun daripada Tingkat 11.

Tiada ulasan: