Rabu, 12 Januari 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Peruntukan RM1 Juta Kepada ADUN Selangor

Posted: 12 Jan 2011 01:00 AM PST

SHAH ALAM 12 JAN: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan memperuntukkan RM1 juta kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu bagi membaikpulih keperluan asas di setiap kawasan termasuk jalanraya dan sistem perparitan.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada sidang media selepas mesyuarat exco di sini lewat petang tadi.

Bercakap kepada media, Khalid berkata, kepimpinan kerajaan Selangor akan memperhebatkan usaha turun padang mendekati rakyat untuk membawa perubahan di peringkat dasar.

Justeru katanya lagi, perancangan komprehensif tiga bulan akan datang akan menentukan pengurusan negeri yang lebih cekap.

"Setiap ADUN diberi peruntukan RM1 juta untuk menggunakan duit itu untuk pemuliharaan jalan, pembinaan jambatan dan parit-parit yang perlu dibetulkan melalui pihak berkuasa tempatan berkenaan. Oleh sebab itu kita mesti membawa pembangunan dari peringkat bawah," katanya.

Dalam pada itu, ditanya samada pihak pembangkang Selangor akan mendapat peruntukan yang sama, Khalid berkata rujukan akan tertumpu kepada kerajaan persekutuan.

"Kalau kerajaan persekutuan buat untuk semua ahli parlimen dan kita akan melakukan perkara yang sama. Asalkan mereka buat dulu. Kita lihat dahulu. Bukan kita tidak lihat perkara ini tapi, tunggu dulu. Kita tawarkan. Kita lihat dulu kalau persekutuan dan beri sekata kepada semua ahli parlimen dan kita akan ikut," jelas beliau lagi.


Sumber: TVSNEWS

Tan Sri Khalid Ibrahim Terharu Sokongan Rakyat Terhadap Pemerintahan PR Selangor

Posted: 12 Jan 2011 12:30 AM PST

SHAH ALAM, 12 Jan – Kira-kira 400 orang berarak dari Dataran Shah Alam ke pejabat Kerajaan Negeri Selangor di sini bagi menyerahkan memorandum sebagai tanda sokongan rakyat kepada pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Selain itu rakyat turut menyokong usaha kerajaan Selangor mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar.

Perarakan tersebut bersamaan dengan Program Pelancaran Himpunan Rakyat Selangor bersama Kelab Penyokong Menteri Besar (MBSC) dengan usaha untuk mengumpul sejuta tandatangan rakyat Selangor menyokong pentadbiran Pakatan Rakyat dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dikepalai Pengarah Komunikasi Selangor Dr Badrul Amin Bahrom menyerahkan tandatangan sokongan kepada Tan Sri Khalid.

Pelbagai ragam dilihat dalam perhimpunan berkenaan ada yang membawa bendera Selangor, Jalur Gemilang dan poster menyokong Sultan dan Tan Sri Khalid Ibrahim sambil melaungkan "Daulat Tuanku", "Hidup Rakyat" dan "Hidup PR (Pakatan Rakyat).

Kumpulan itu, sebahagian memakai baju MBSC dan Skuad Komunikasi Selangor.

Dalam ucapan ringkasnya, menteri besar berkata berjanji akan terus menunaikan tanggungjawab untuk berlaku amanah, bersih dan cermat mentadbir negeri.

"Saya amat terharu atas sokongan ini," katanya.

Manakala Badrul Amin pula mencabar parti lawan Umno supaya menerima cadangan mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan jawatan tertinggi negeri, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

"Kuasa ini telah dirampas oleh Umno pada tahun 1993," katanya disambut sorakan daripada peserta.

Majlis itu bersurai setelah Hasan membacakan doa untuk kesejahteraan kerajaan Selangor bawah Pakatan.

Turut hadir exco Selangor Hasan Ali, Dr Xavier Jayakumar, Teresa Kok, Iskandar Samad, Ean Yong Hian Wah dan beberapa wakil rakyat Pakatan, antaranya Shuhaimi Shafiei (PKR-Seri Muda) Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan Abdullah Sani (PKR-Kuala Langat), Gan Pei Nei (PKR-Rawang).

Saya Tidak Keluar Parti, Kata Adun Sri Muda

Posted: 12 Jan 2011 12:00 AM PST

SHAH ALAM, 12 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda Shuhaimi Shafiei menafikan khabar angin bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Penafian yang dibuat Shuhaimi itu sekaligus menolak dakwaan bahawa Timbalan Ketua PKR Kota Raja akan melepaskan jawatan tersebut.

"Tidak keluar parti, berita palsu," kata Shuhaimi ringkas kepada pemberita ketika ditanya mengenai khabar angin yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkat (SMS) sejak awal pagi tadi.

SMS yang disebarkan awal pagi tadi berbunyi: "Sidang media YB Shuhaimi Adun Sri Muda akan umum peletakan jawatan sebagai Adun jam 10 pagi 12 Januari (hari ini)."

Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Siri Jelajah Himpunan Rakyat Selangor Bersama Kelab Menteri Besar Selangor (MBSC) mengumpul sejuta tandatangan rakyat Selangor menyokong pentadbiran Pakatan Rakyat yang diterajui Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Selain majlis pelancaran, MBSC turut menyerahkan memorandum sokongan kepada kerajaan negeri Selangor.

Memorandum itu diserahkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin dan diterima sendiri Tan Sri Khalid di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.



Sumber: The Malaysian Insider

Tiada ulasan: