Rabu, 12 Januari 2011

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Debat 100 hari Pakatan, Najib berdolak-dalih

Posted: 12 Jan 2011 12:45 AM PST

Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak nampak apa-apa hasil daripada debat yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan beliau berhubung "Pelan 100 hari" Pakatan Rakyat.

Perdana Menteri berkata yang penting ialah penilaian daripada rakyat dan biar rakyat yang menentukannya.

prime minister najib razak at bn meeting press conference 2"Kalau nak debat, kita mesti ada sesuatu hasil daripada debat itu. Saya tak nampak ada hasil, yang penting sekali ialah penilaian daripada rakyat," katanya kepada pemberita di Seri Perdana di Putrajaya hari ini selepas majlis ramah mesra meraikan skuad bola sepak kebangsaan yang menjuarai Piala AFF Suzuki pada bulan lalu.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran Anwar untuk berdebat dengan beliau berhubung "Pelan 100 hari" Pakatan Rakyat jika mereka menang pada pilihan raya umum ke-13 dengan menjanjikan antara lainnya pemansuhan tol dan kenaikan elaun untuk guru.

Sebelum ini, Perdana Menteri dan ramai pakar ekonomi menyifatkan pelan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan negara muflis.

Najib berkata pakatan pembangkang boleh membuat pembentangan mereka dan BN akan turut membuat pembentangan berhubung perkara itu.

"Dan kita boleh buat macam-macam penilaian atas perancangan berkenaan (pelan). Biar rakyat menentukan," katanya.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, jika ada orang lain yang mahu berdebat dengan Anwar seperti Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, itu terserah kepada masing-masing dan beliau tidak akan menghalangnya.

- Bernama

Khir Toyo serah balik gelaran ‘Datuk Seri’

Posted: 12 Jan 2011 12:40 AM PST


SHAH ALAM, 12 Jan – Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo berkata beliau telah memulangkan sementara pingat Darjah Kebesaran Negeri Selangor yang membawa gelaran 'Dato Seri', lapor Bernama.

Mohamad Khir menulis dalam blognya di http://www.drkhir.com hari ini bahawa tindakan itu diambil selepas beliau dihadapkan ke mahkamah berhubung tuduhan rasuah membabitkan pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7 di sini.

Katanya, pada pertengahan Disember 2010 yang lalu, beliau telah menghantar sepucuk surat kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memulangkan sementara pingat Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran Dato Seri.

"Hari ini Dewan Diraja (Selangor) telah memperkenankan pemulangan semula pingat tersebut.

"Pemulangan semula pingat ini bagi mengelakkan darjah kebesaran negeri turut terpalit dengan sebarang keaiban sepanjang pertuduhan dan perbicaraan yang akan berlangsung (berhubung kes)," katanya.

Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang, berkata berikutan itu, semua media dan penganjur program hendaklah menggugurkan nama Datuk Seri dari pangkal namanya dan menggunakan nama Dr Mohamad Khir Toyo sahaja.

Disember lepas, Mohamad Khir, 45, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah banglo No. 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1 L, Seksyen 7, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah syarikatnya Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Beliau juga telah meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 8 Dis.


Sumber: Selangorkini

Peruntukan RM1 juta kepada ADUN Selangor

Posted: 12 Jan 2011 12:35 AM PST


SHAH ALAM 12 JAN: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan memperuntukkan RM1 juta kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu bagi membaikpulih keperluan asas di setiap kawasan termasuk jalanraya dan sistem perparitan.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada sidang media selepas mesyuarat exco di sini lewat petang tadi.

Bercakap kepada media, Khalid berkata, kepimpinan kerajaan Selangor akan memperhebatkan usaha turun padang mendekati rakyat untuk membawa perubahan di peringkat dasar.

Justeru katanya lagi, perancangan komprehensif tiga bulan akan datang akan menentukan pengurusan negeri yang lebih cekap.

"Setiap ADUN diberi peruntukan RM1 juta untuk menggunakan duit itu untuk pemuliharaan jalan, pembinaan jambatan dan parit-parit yang perlu dibetulkan melalui pihak berkuasa tempatan berkenaan. Oleh sebab itu kita mesti membawa pembangunan dari peringkat bawah," katanya.

Dalam pada itu, ditanya samada pihak pembangkang Selangor akan mendapat peruntukan yang sama, Khalid berkata rujukan akan tertumpu kepada kerajaan persekutuan.

"Kalau kerajaan persekutuan buat untuk semua ahli parlimen dan kita akan melakukan perkara yang sama. Asalkan mereka buat dulu. Kita lihat dahulu. Bukan kita tidak lihat perkara ini tapi, tunggu dulu. Kita tawarkan. Kita lihat dulu kalau persekutuan dan beri sekata kepada semua ahli parlimen dan kita akan ikut," jelas beliau lagi.


Sumber: TVSNEWS

Najib Tertekan Punca Serang PR Setiap Hari - Anwar

Posted: 12 Jan 2011 12:30 AM PST


SHAH ALAM 12 JAN: Umno-Barisan Nasional menyedari bahawa Pakatan Rakyat berkemampuan untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan, lantas mengemblengkan jentera kerajaan untuk menyerang hampir setiap hari.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tahu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada dalam keadaan amat tertekan.

Tohmahan bagi mengkucar-kacirkan saf Pakatan Rakyat dipertingkatkan, dan Najib sehingga hari ini tidak berputus-asa memujuk PAS berpaling-tadah dari permuafakatan Malaysia baru.

"Kalau betul dia kuat, kenapa dia serang menggila. Kenapa tiap perkataan Pakatan Rakyat dia gelabah menjawab. Kenapa usaha-usaha mendekati PAS berterusan. Tidak pernah Umno kalau kuat dia akan cuba curi kekuatan dari luar. Ini menunjukkan keadaan lemas.

"Pertama kali dalam sejarah negara kita, seorang Perdana Menteri mengatakan akan pertahan Putrajaya habis-habisan, keluar semua nyawa dan badan kerana ini kenyataannya," jelas Anwar dalam Program Terus Terang terbitan Tv Selangor.

Anwar berkata Pakatan Rakyat, terutamanya Parti Keadilan Rakyat, mengambil langkah-langkah perlu untuk mengetengahkan calon dan saf kepimpinan yang benar-benar berwibawa.

Pendidikan dan latar belakang calon diberi keutamaan, supaya rakyat lebih yakin dengan pilihan mereka.

"Kita harus lebih berhati-hati dalam memilih. ada orang yang berpendidikan rendah, tidak boleh dipilih ke tempat yang tinggi dalam parti, kerana ia memberi mesej yang buruk kepada rakyat. Pengalaman mengajar kita. Kita harus pilih pimpinan yang lebih layak, wibawa dan ada daya tahan menghadapi tentangan Umno," jelasnya.

Anwar berkata Pakatan Rakyat membawa mesej yang jelas akan perubahan-perubahan yang mahu dilakukan sekiranya diberi peluang mentadbir negara ini.

Sekiranya blok pembangkang diberi mandat, Anwar memberi jaminan kepada kepimpinan Umno-BN bahawa hak mereka sebagai warganegara Malaysia akan dipertahankan.

"Hilang kuasa tidak bermakna hilang segala-galanya. Hilang kuasa mereka, tetapi hak sebagai rakyat dan proses perundangan bahkan kita akan perkemaskan. Itu bedanya. Umno merosakkan badan kehakiman, kita memperkukuh dan menjamin badan kehakiman yang bebas," jelasnya.


Sumber: TVSNEWS

Hologram: SPR Harus Laksana Dulu Tuntutan BERSIH

Posted: 12 Jan 2011 12:25 AM PST


SHAH ALAM 12 JAN : Badan pemantau pilihanraya, Malaysian for Free and Fair Election (Mafrel) berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya menumpukan kepada penggunaan dakwat hitam yang menurutnya lebih memberikan kesan ke atas perjalanan pilihanraya yang diadakan.

Kata Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh penambahbaikan SPR memperkenalkan pelekat hologram kepada setiap peti undi sebagai langkah yang baik, tetapi turut meminta supaya tuntutan atas perkara dasar sebelum ini dapat dilaksanakan.

"Saya rasa banyak yang dituntut seperti pemantau pilihanraya, Mafrel ataupun Bersih 2.0, lebih kepada perkara-perkara dasar iaitu seperti penggunaan dakwat hitam untuk pengundi-pengundi.

"Saya rasa itu yang lebih ditunggu-tunggu dari pihak SPR dan ianya merupakan dalam bidang kuasa mereka," katanya.

Perkara itu kata Syed Ibrahim lebih mudah dilaksanakan dan juga memberikan kesan dalam mengurangkan atau menghapuskan keraguan yang mungkin timbul.

Tegasnya lagi, isu mengenai memperkenalkan ciri-ciri keselamatan merupakan usaha yang baik tetapi tidak merupakan satu keutamaan.

Syed Ibrahim juga menyarankan agar wujudnya ruang dialog di antara pihak yang berkepentingan dalam pilihanraya sama ada pemantau pilihanraya atau pun parti-parti politik.

"Jadi, perkara tersebut sepatutnya tidak sukar dilakukan dan sepatutnya menjadi Prosedur Standard Operasi (SOP) SPR untuk buat.

"Mungkin dia ingat perkara ini tidak memerlukan apa-apa input tetapi dari segi imej dengan melibatkan pihak-pihak lain sepatutnya dilihat dari sudut yang positif dan memberikan imej yang positif kepada SPR," ujar beliau.

Sementara itu bagi PRK Dun Tenang, Syed Ibrahim berkata pihaknya akan tetap menghantar sukarelawan bagi memantau proses pilihanraya tersebut.

"Wakil-wakil kita tetap akan tetap turun kerana kita percaya dan yakini bahawa proses pemantauan merupakan sudut pandangan yang berbeda daripada SPR mahupun daripada parti-parti politik," tegasnya lagi.


Sumber: TVSNEWS

ETP Najib Belanja RM100 Bilion, Buku Jingga PR Tutup Kebocoran, Banteras Rasuah

Posted: 12 Jan 2011 12:20 AM PST


SHAH ALAM 12 JAN : Terdapat perbezaan ketara antara Program Transformasi Ekonomi(ETP) dan buku jingga yang mengandungi Program 100 Hari yang dicadangkan Pakatan Rakyat.

Perkara ini dinyatakan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail kerana perbelanjaan RM100 bilion dalam ETP yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak memberikan apa-apa makna kepada rakyat selagi isu rasuah dan ketidakcekapan sistem penyampaian kerajaan tidak ditangani.

Ketika dihubungi Tv Selangor beliau menegaskan Najib juga bersikap 'acuh tak acuh' dan bertindak menutup sebelah mata sedangkan isu utama adalah mengenai kebocoran dan pembaziran akibat perbuatan tersebut.

Ujar Azan, perkara ini berlandaskan laporan dan teguran Ketua Audit Negara yang mana ia merupakan hasil penemuan kerajaan, PEMANDU sendiri melaporkan perkara ini...macam mana dia hendak bantah.

"Perkara yang paling mustahak sekali yang perlu Najib buat adalah menampung segera kebocoran...tampal segera kebocoran itu.

"Belanja berapa banyak pun tidak ada makna. Lagi besar belanja, lagi besarlah yang bocor," tegasnya lagi.

Azan dalam pada itu menegaskan masalah sebenar yang harus ditangani adalah kebocoran dan pembaziran yang menjadi permasalahan utama.

"Bayangkan kalau RM100 bilion lagi, bermakna RM28 bilion akan bocor. Saya nasihatkan Perdana Menteri, kalau hendak sokongan rakyat, buat dasar menampung kebocoran dan bukannya buat benda baru.

"Setakat ini dia membisu dan tidak berkata apa-apa mengenai kebocoran, dan yang bercerita mengenainya hanyalah Ketua Audit, Pemandu dan kita di Pakatan Rakyat," tambah Azan.

Berbeza dalam perbelanjaan RM19 bilion dalam program 100 hari Pakatan Rakyat di mana RM 11 bilion diperuntukkan untuk menutup kebocoran, ketidakcekapan dan sistem penyampaian kerajaan yang membengkak dari segi ketirisan akibat rasuah.

Beliau turut memberi contoh kes rasuah dalam syarikat konglomerat negara, Sime Darby yang kerugian akibat kebocoran akibat rasuah di mana saman yang dikeluarkan terhadap mereka yang terlibat tidak mungkin dapat dikembalikan semula.

Manakala di pihak Pakatan Rakyat pula Azan berkata teras perbelanjaan yang dikemukakan adalah menutup kebocoran dan secara automatik rasuah akan dapat dibanteras.

"Maka secara automatik, jentera kerajaan juga berbalik asal, akan jadi efisien dan tidak ada lagi rasuah dan sistem pentadbiran semakin pulih.

"Indeks persepsi rasuah terhadap negara dapat diperbaiki, kefahaman dan kepercayaan awam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis juga akan meningkat.

"Itulah kejayaan yang sebenar, kalau hanya biarkan perkara ini sampai bila pun tidak akan jadi elok," ujar beliau.


Sumber: TVSNEWS

Nik Aziz Tuntut Janji PRK BN Di Kelantan

Posted: 12 Jan 2011 12:15 AM PST


KUALA LUMPUR 12 JAN: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta penjelasan berhubung projek sistem tebatan banjir di jajahan Pasir Mas yang dijanjikan ketika pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir pada tahun 2005.

Dakwa Menteri Besar Kelantan itu, janji berkenaan dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak yang pada waktu itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri sambil mengingatkan janji ini masih diingati oleh pengundi-pengundi di DUN Pengkalan Pasir.

Selain itu, beliau turut menuntut janji projek jambatan yang menuju ke Manek Urai Lama yang dijanjikan pada tahun 2009 sewaktu pilihanraya kecil Manek Urai. "Khabarnya papan tandanya hanya didirikan sewatku pilihanraya kecil Galas yang lepas. Jangan pula papan tandanya rebah ke bumi sebelum sebutir batupun tiba!

"Apa pula perkembangan projek perumahan rakyat bernilai RM300 juta ditabur di Galas, Gua Musang baru-baru ini yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri? Jika BN tewas di Manek Urai menjadi alasan janji tidak dilaksanakan,apa pula alasan BN di Galas?," soal beliau.

Tegasnya lagi, tiga soalan itu sudah cukup untuk pimpinan Umno-BN khususnya di Kelantan mentelaah jawapannya sebelum bertanyakan soalan-soalan mengenai pembangunan yang lain dijanjikan pemimpin Umno-Barisan Nasional.

"Apapun, saya yakin inilah janji yang akan terus ditabur oleh Umno di dalam menarik sokongan rakyat.

"Apa lagi yang ada pada Umno jika tidak janji seperti ini? Mereka akan terus berjanji, manakala rakyat pula terus dibebani dengan kenaikan harga barang ekoran ketiadaan amanah di dalam mengurus harta rakyat," ujar Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS.

Minggu lalu dalam satu kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri , Datuk Seri Mustapa Mohamed mendakwa projek tebatan banjir di Kelantan tidak dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat kerana membabitkan kos RM3 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam bajet 2011 yang lalu mengumumkan pembinaan Menara Warisan bernilai RM5 bilion yang mendapat pertikaian pelbagai pihak.


Sumber: TVSNEWS

MB Terharu Terima Sokongan Padu Rakyat

Posted: 12 Jan 2011 12:10 AM PST


SHAH ALAM 12 JAN: Kira-kira 400 orang berarak dari Dataran Shah Alam ke pejabat Kerajaan Negeri Selangor di sini bagi menyerahkan memorandum sebagai tanda sokongan rakyat kepada pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Selain itu rakyat turut menyokong usaha kerajaan Selangor mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar.

Perarakan tersebut bersamaan dengan Program Pelancaran Himpunan Rakyat Selangor bersama Kelab Penyokong Menteri Besar (MBSC) dengan usaha untuk mengumpul sejuta tandatangan rakyat Selangor menyokong pentadbiran Pakatan Rakyat dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dikepalai Pengarah Komunikasi Selangor Dr Badrul Amin Bahrom menyerahkan tandatangan sokongan kepada Tan Sri Khalid.

Pelbagai ragam dilihat dalam perhimpunan berkenaan ada yang membawa bendera Selangor, Jalur Gemilang dan poster menyokong Sultan dan Tan Sri Khalid Ibrahim sambil melaungkan "Daulat Tuanku", "Hidup Rakyat" dan "Hidup PR (Pakatan Rakyat).

Kumpulan itu, sebahagian memakai baju MBSC dan Skuad Komunikasi Selangor.

Dalam ucapan ringkasnya, menteri besar berkata berjanji akan terus menunaikan tanggungjawab untuk berlaku amanah, bersih dan cermat mentadbir negeri.

"Saya amat terharu atas sokongan ini," katanya.

Manakala Badrul Amin pula mencabar parti lawan Umno supaya menerima cadangan mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan jawatan tertinggi negeri, termasuk setiausaha kerajaan (SUK).

"Kuasa ini telah dirampas oleh Umno pada tahun 1993," katanya disambut sorakan daripada peserta.

Majlis itu bersurai setelah Hasan membacakan doa untuk kesejahteraan kerajaan Selangor bawah Pakatan.

Turut hadir exco Selangor Hasan Ali, Dr Xavier Jayakumar, Teresa Kok, Iskandar Samad, Ean Yong Hian Wah dan beberapa wakil rakyat Pakatan, antaranya Shuhaimi Shafiei (PKR-Seri Muda) Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan Abdullah Sani (PKR-Kuala Langat), Gan Pei Nei (PKR-Rawang).


Sumber: TVSNEWS

Ugut Kakitangan FELDA: ANAK Desak Isa Tarik Balik

Posted: 12 Jan 2011 12:05 AM PST


KUALA LUMPUR, 12 Jan: Pengerusi baru FELDA, Tan Sri Isa Samad digesa menarik balik ugutan terhadap kakitangan agensi tersebut.

Perkara ini dinyatakan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang berkata, sekiranya Isa enggan berbuat demikian, pihaknya akan menimbangkan untuk membuat laporan polis terhadap Isa.

"Saya minta Tan Sri Isa Samad menarik balik kenyataan beliau dan jika tidak, kita akan buat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana secara jelas beliau menggunakan kuasa sebagai pengerusi Felda untuk mengugut kakitangan Felda," kata beliau lapor Harakahdaily.

Isa dilaporkan mengugut untuk memecat mana-mana kakitangan FELDA yang didapati menyokong Pakatan Rakyat dalam pertemuan sulungnya dengan seluruh kakitangan Syarikat itu di Dewan Merak Kayangan, Jalan Gurney, dekat sini Ahad lalu.

Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Peneroka Bandar PAS juga berkata, tindakan Isa itu membuktikan bahawa beliau memang dihantar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meraih sokongan kakitangan FELDA yang dilihat semakin cenderung kepada Pakatan Rakyat.

"Saya yakin Isa Samad dihantar oleh Najib Razak untuk menyampaikan maksud agenda politik BN kepada masyarakat khususnya warga FELDA supaya mereka mengekalkan sokongan kepada BN.

"Ini suatu usaha terdesak BN kerana mereka dapat rasakan suasana hari ini sukar untuk BN dapatkan sokongan FELDA," katanya.

Sambil menyifatkan ia sebagai tindakan bodoh Isa, Mazlan mengingatkan kakitangan FELDA agar tidak takut dengan ugutan itu.

"Ini tindakan bodoh beliau sebagai pengerusi FELDA. Beliau tak perlu nak beri amaran atau dan ajar kakitangan macam bapa nak marah anak.

"Saya ingin tegaskan kepada kakitangan FELDA, mereka jangan bimbang dan takut untuk berikan sokongan kepada Pakatan Rakyat kerana ia adalah hak individu.

"Setiap rakyat berkuasa menyokong mana-mana parti politik cuma tinggal lagi bagaimana nak menyesuaikan diri dengan amalan demokrasi iaitu tak boleh campur aduk kerjaya dengan politik," katanya.

Tambahnya, tindakan Isa itu juga akan menjejaskan prestasi kakitangan FELDA yang seharusnya tidak dilibatkan dalam agenda politik BN.

"Daripada awal saya tidak bersetuju orang politik pegang jawatan sebagai pengerusi FELDA sebab ia akan jejaskan hubungan baik antara pengerusi dengan kakitangan.

"Apabila beliau memberikan ugutan begini ia akan menjejaskan prestasi, beri kesan kepada perasaan dan keyakinan kakitangan terhadap profesion mereka.

"Saya yakin 23 ribu kakitangan FELDA, sebahagian besar daripada mereka bersikap profesional dan mempunyai etika. Mereka fokus kepada kerja mereka tapi saya sedih kerana mereka menjadi mangsa orang-orang politik yang terdesak," katanya.


Sumber: TVSNEWS

PKR Nafi Shuhaimi Letak Jawatan

Posted: 12 Jan 2011 12:00 AM PST


SHAH ALAM 12 JAN: PKR menafikan dakwaan bahawa ADUN Seri Muda Shuhaimi Shafiei akan meletakkan jawatan atau melompat parti.

Naib Ketua PKR Kota Raja Kamarudzaman Sanusi berkata, SMS yang disebarkan pagi ini berhubung perkara itu adalah "palsu dan berniat jahat".

"Saya hendak sebut dengan jelas, SMS itu palsu, berniat jahat dan dilakukan musuh politik yang tertentu dan berkepentingan," katanya dalam sidang media di pejabat Shuhaimi di Kota Kemuning, Shah Alam.

Sebelum ini, ura-ura bahawa Shuhaimi akan melompat parti atau meninggalkan PKR bertiup kencang. Panggilan telefon serta sms yang dihantar juga tidak berjawap menguatkan lagi khabar angin itu.

Bukan itu saja, perkara itu mustahil dan "apa yang dikejar itu tak betul".

Shuhaimi bagaimanapun tidak hadir dalam sidang media itu.

Menurut Kamarudzaman, Shuhaimi tidak hadir menafikan sendiri kerana sedang menghadiri sebuah mesyuarat pagi ini.

Sehubungan itu, Kamarudzaman berkata, pihaknya menimbang membuat laporan polis berhubung penyebaran itu hari ini.

"Kita pertimbangkan buat laporan. Kesian pada wartawanlah, penat bekerja," katanya.

Ditanya sama ada beliau menuduh Umno di belakang desas-desus itu, beliau hanya menjawab: "Terlalu banyak musuh di luar."

Diminta menjelaskan kenapa Shuhaimi tidak tampil menafikan sendiri khabar angin itu, Kamarudzaman berkata itu pihaknya bersangka baik ADUN muda itu mempunyai jadual yang ketat.-Malaysiakini

Tiada ulasan: