Khamis, 13 Januari 2011

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


YB Dato Kamarul Baharin Abbas kekal Pengerusi MPN Negeri Sembilan

Posted: 13 Jan 2011 07:28 AM PST

Ahad lepas PKR Pusat telah mengumumkan secara rasmi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri bagi negeri-negeri seluruh Malaysia.

YB Dato' Kamarul Baharin Abbas sekali lagi telah diberi kepercayaan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi meneruskan mandat yang dipikul sebelum ini untuk memimpin PKR Negeri Sembilan.

Faktor kestabilan organisasi yang ditunjukkan sepanjang di bawah kepimpinan Dato' Kamarul bersama anggota-anggota MPN Negeri Sembilan pada sesi lepas (2007-2010) telah memberi keyakinan MPP kepada beliau untuk terus memimpin PKR Negeri Sembilan. Terbukti tidak wujud permasalahan politik besar yang boleh menggugat kestabilan parti pada sesi lalu.

Sebelum tahun 2007, PKR Negeri Sembilan dihimpit dengan pelbagai masalah dan kekurangan yang telah memperlahankan pergerakan organisasi. Namun, setelah tampuk kepimpinan diserahkan kepada Dato' Kamarul, beliau telah menyusun dan mengatur semula organisasi parti . Pengalaman beliau sebagai mantan Bendahari Agung dan Setiausaha Agung parti yang pernah dipikul telah digunakan sebaiknya bagi memantapkan kedudukan parti di Negeri Sembilan.

Antara peranan terbesar beliau adalah menggerak dan mengaktifkan semula Cabang Jelebu dan Tampin yang tidak aktif sejak tahun 2000. Pengerusi Negeri silih berganti sebelum beliau hadir tidak berjaya melaksanakan tugas tersebut. Menjelang penghujung tahun 2008, kedua-dua cabang tersebut telah berjaya diaktifkan semula. Hasilnya, program-program berimpak besar telah berjaya dijalankan di kedua-dua cabang tersebut.
Pada 1 Mac 2009, satu ceramah perdana 'Ke Arah Kerajaan PR Negeri Sembilan' anjuran bersama PKR Negeri Sembilan dan Cabang Tampin telah menghadirkan ribuan rakyat untuk menjayakannya.
Fasa pengukuhan solidariti antara pimpinan negeri dan cabang turut digerakkan di bawah kepimpinan beliau. Program MPN Turun Ke Cabang telah dijalankan antara Jun hingga Julai 2009 adalah satu strategi merapatkan persefahaman dan ikatan kerjasama antara MPN dan cabang. Program ini telah berjaya meminimakan salah faham dan persepsi negatif yang pernah ditimbulkan sebelum ini.
Dato' Kamarul juga menjadi pencetus kepada penubuhan badan tertinggi Pakatan Rakyat Negeri Sembilan. Pada 28 Januari 2010, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Sembilan (MPPRNS) telah dibentuk bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara parti komponen PR. Penubuhan badan ini telah menjadi titik asas kepada matlamat Menawan Negeri Sembilan PRU-13. Kerjasama dalam perkongsian maklumat, jentera bersama, program bersama dan persediaan pilihanraya adalah agenda utama yang memacu gerak MPPRNS.
Hubungan baik yang terjalin dari awal antara Dato' Kamarul dengan para pimpinan utama PR Negeri Sembilan telah mengukuhkan lagi kerjsama dan persefahaman dalam menjayakan matlamat PR negeri. Selain itu, kredibiliti positif Dato' Kamarul juga diakui oleh pihak lawan khusus dari Umno sendiri.
Malah PKR Pusat telah mengiktiraf PKR Negeri Sembilan adalah paling stabil di antara negeri-negeri lain kerana tiada konflik atau masalah politik dalaman besar yang berlaku. Sokongan padu seluruh anggota MPN sesi lalu telah menjayakan pelaksanaan gerak kerja.

Tiada ulasan: