Khamis, 13 Januari 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Quo Vadis Ya Hakim Datuk Mohamad Zabidin?

Posted: 13 Jan 2011 06:41 PM PST

Dari Suara Keadilan
Oleh Dr.Samarudin Rejab

Di dalam perbicaraan sekitar sebulan yang lepas, Yang Arif Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md.Diah telah menyatakan kepada Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Peguam Karpal Singh bahawa” beliau (Karpal Singh) menasihati kliennya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan sekiranya tidak berbuat demikian,tindakan menghina Mahkamah ( Contempt of Court ) akan dikenakan “.

Peguam Karpal Singh, selaku Peguambela Dato Seri Anwar Ibrahim telah menjawab dan menyatakan bahawa ” kenyataan Hakim Datuk Mohamad Zabidin sebagai satu ‘intimidation’ ( atau ancaman )”.

Seterusnya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin dengan serta merta ” meminta maafdiatas kenyataannya itu.”

Melalui Peguam Karpal Singh, Dato Seri Anwar Ibrahim telah membut permohonan supaya Hakim Mohamad Zabidin menarik diri ( recusal) dari bertindak sebagai Hakim dan meneruskan pendengaran kes Dato Seri Anwar Ibrahim.

Dalam konteks perbicaraan didalam Mahkamah terbuka diatas, Datuk Mohamad Zabidin mempunyai dua pilihan, iaitu menarik diri dengan rela hati sebagai seorang Hakim yang bermaruah dan berprinsip atau menolak permohonan Dato Seri Anwar Ibrahim yang mahu beliau digugurkan selaku Hakim.Sebagaimana yang dijangka, pada hari ini 6hb. Desember,2010 , Datuk Mohamad Zabidin memilih pilihan yang kedua. Beliau tidak dapat menerima permohonan SDato Seri Anwar Ibrahim , sebab ia terkena kepada tubuh dan batang hidungnya sendiri. Beliau tetap tegas dengan pendiriannya untuk meneruskan pendengaran kes Dato Seri Anwar Ibrahim selaku Hakim.

Persoalannya sekarang ialah “Mengapa YA Datuk Mohamad Zabidin perlu menarik diri dari pendengaran kes Dato Seri Anwar Ibrahim? ” .

Selaku seorang Hakim yang “lama” dan berpengalaman, beliau arif dengan peranan beliau selaku Hakim , peraturan dan juga fungsi Mahkamah untuk menjaga keluhuran undang-undang dan perlembagaan negara.

Beliau memahami dan menyedari bahawa beberapa peruntukkan di dalam perlembagaan negara yang bersabit dengan pengasingan kuasa, kebebasan kehakiman,dan penghinaan terhadap Mahkamah yang melindungi
kedudukan seseorang Hakim . Justeru apabila beliau mengeluarkan kata-kata “contempt of court”, pada hakikatnya beliau merujuk kepada Peruntukan atau Artikel 126 Perlembagaan yang memberi kuasa kepada Mahkamah ( kepada Hakim Datuk Mohamad Zabidin) untuk mengenakan tindakan terhadap sesiapa (termasuk Peguam Karpal Singh) yang menghindar atau campurtangan didalam pentadbiran perundangan atau mencabar digniti dan kebebasan Mahkamah.

Sebenarnya peruntukan ini adalah satu peruntukan “protective clause”. Ia bertujuan untuk menjaga kedudukan dan integriti seseorang Hakim semasa menjalankan tugasnya daripada ancaman dan campurtangan pihak ketiga. Peruntukan ini tidak sama sekali boleh digunakan oleh seseorang Hakim termasuk Datuk Mohamad Zabidin untuk mengancam mana-mana Peguam termasuk Peguam Karpal Singh tanpa alasan yang kuat dan kukuh.

Menyedari bahawa beliau telah “menyalahi” peruntukan 126 dengan mengeluarkan ungkapan “contempt of court” sebagai satu ancaman terhadap Peguam Karpal Singh , Hakim Mohamad Zabidin dengan serta merta meminta maaf kepada Peguam Karpal Singh diatas kenyataannya.

Persoalan yang amat serious sekarang ialah Hakim Datuk Mohamad Zabidin telah “mengancam” Peguam Karpal Singh didalam Mahkamah terbuka
dihadapan pihak pendakwaan,pihak pembelaan,pegawai dan kakitangan Mahkamah, dan disaksikan oleh pihak orang ramai yang hadir untuk
pendengaran kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengaku dan meminta maaf. Tetapi pepatah Melayu jelas menyatakan bahawa :” tersilap kayuh, boleh berundur; tersilap kata,buruk padahnya”. “Nasi telah menjadi bubur!”

Maka keputusan untuk pengunduran adalah lebih baik dari keputusan untuk digugurkan.

Penulis adalah peguam

100 Hari: Dulu Perlekeh, Kini Takut Debat?

Posted: 13 Jan 2011 06:21 PM PST

Dari Harakah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak nampaknya membuat alasan yang bukan-bukan untuk mengelak daripada berdebat dengan Datuk Seri Anwar, kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim.

Najib dipetik berkata tidak nampak apa-apa hasil daripada debat yang dicadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim “Pelan 100 hari” Pakatan Rakyat.

"Saya menyokong dengan kenyataan Perdana Menteri yang berkata yang penting ialah penilaian daripada rakyat dan biar rakyat yang menentukannya.

"Dan inilah alasan yang sebenar kepada Najib yang takutkan rakyat menilai hujah yang dikemukakan olehnya yang mewakili BN dan menilai hujah dari Anwar yang mewakili Pakatan Rakyat," kata Khalil dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tawaran “Pelan 100 hari” Pakatan Rakyat jika menang pada pilihan raya umum ke-13 dengan menjanjikan antara lainnya pemansuhan tol dan kenaikan elaun untuk guru adalah tawaran yang ditakuti oleh Najib sehingga ianya menjadi perhatian sejak dibentang pada Konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang awal Disember tahun lepas.

"Seingat saya Najib mengeluarkan kenyataan awalnya memperlekeh tawaran itu sehari selepas konvensyen Pakatan Rakyat dan mengatakan akan membuat kenyataan lain setelah membuat kajian," ujarnya.

Tetapi, kata beliau yang peliknya kenyataan demi kenyataan Najib selepas itu nampaknya untuk berselindung dengan hakikat bahawa tawaran itu adalah dalam ruang lingkup kemampuan negara dan berulang kali Pakatan Rakyat dikatakan akan membankrapkan negara.

Beliau yang juga Adun Titi Serong berkata, Najib dan ramai pakar ekonomi upahan BN menggambarkan sesuatu yang tidak masuk akal dan menyifatkan pelan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan negara muflis.

Tambahnya, penjelasan yang sangat mudah yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat ialah betapa pelan 100 hari memerlukan biaya sekitar RM19 billion sedangkan bajet yang membazir dan tidak sepatutnya dibentang oleh Najib untuk bajet 2011 melebihi dari jumlah itu.

"Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar dia menegaskan jumlah dana yang diperlukan untuk melaksanakan Janji 100 Pakatan Rakyat hanyalah RM19.2 bilion; yakni sama dengan subsidi korporat yang diberikan kepada IPP milik kroni setiap tahun.

"Jumlah ini adalah terlampau sedikit berbanding RM51 bilion yang hilang setiap tahun akibat ketirisan dan rasuah demi memastikan kroni gembira dan bersenang-lenang," tambahnya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

Jelasnya, sebagaimana yang disifatkan Anwar bahawa Umno BN berselindung di sebalik penguasaan media untuk memadamkan fakta, akhirnya isu yang diperkatakan secara terbuka ini mendedahkan kepada rakyat bahawa apa yang kemukakan oleh Pakatan Rakyat dalam janji 100 harinya adalah sesuatu yang masuk akan dan boleh dilaksanakan.

Ini, katanya jauh sekali dari membankrapkan negara kerana yang akan memufliskan negara adalah penerusan kuasa oleh BN yang mesti dihentikan oleh rakyat pada PRU yang ke 13 akan datang.

"Apabila rakyat sedar bahawa tawaran dari Pakatan Rakyat adalah yang terbaik dan cuba dinafikan dengan putar belit dari pimpinan BN tanpa berani untuk berdebat maka menurut perkiraan saya BN sekarang dalam keadaan terdesak," ujarnya lagi.

Katanya, asakan dan penjelasan oleh pimpinan Pakatan Rakyat mengenai kewajaran tawaran 100 hari adalah bahan kempen yang berterusan untuk menumbangkan BN dalam PRU ke 13 akan datang.

Khairy, Nazri Bukan Tandingan Anwar

Posted: 13 Jan 2011 04:27 AM PST

Dari Dr Mohd Zuhdi Marzuki

Sebagai seorang warganegara Malaysia, saya begitu berharap debat antara Najib Tun Razak dan Anwar Ibrahim akan menjadi kenyataan, terutama menjelang Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13). Debat seumpama ini akan menjadi perintis kepada politik yang lebih sihat, supaya rakyat diberi peluang yang seluasnya bagi mengetahui agenda-agenda parti yang bakal dipilih oleh mereka untuk meneraju negara. Oleh sebab itu, sesiapa sahaja sama ada dalam Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) seharusnya berlapang dada dan mengharapkan debat antara kedua-dua tokoh tersebut akan berlangsung.

Kedua-dua Najib dan Anwar mempunyai pengalaman yang hampir seimbang dalam memimpin negara. Najib mempunyai kelebihan dari segi kejayaannya sehingga ke kemuncak kuasa, di samping laluan politiknya yang tidak berliku-liku. Anwar pula mempunyai kelebihan dari segi jaluran politiknya yang penuh berwarna-warni, bermula daripada politik Islam sehingga politik plurality. Kini kedua-dua mereka seperti berada di persada yang seimbang, Najib sebagai Perdana Menteri manakala Anwar sebagai Ketua Pembangkang. Dengan melihat kepada aspek-aspek tersebut sememangnya debat antara kedua-dua mereka begitu dinanti-nantikan.

Wacana-wacana terbuka antara tokoh-tokoh politik seperti ini merupakan satu langkah positif ke arah menyebarkan pendidikan politik. Seperti yang sering diulang-ulangkan oleh Najib, zaman kerajaan tahu segala-galanya telah berlalu. Demikian juga, zaman momokan hanya BN yang patriotik sedangkan pembangkang adalah pengkhianat negara juga telah berlalu. Dalam sebuah negara demokrasi, kedua-dua parti yang menerajui kerajaan dan yang menjadi pembangkang mempunyai tanggungjawab yang sama kepada negara. Melalui persaingan siapakah yang dapat menyempurnakan tanggungjawab yang terbaik, dialah yang bakal dipilih oleh rakyat.

Pemilihan pemimpin yang terbaik dalam menunaikan tanggungjawab adalah idaman semua manusia. Para ilmuan dari seluruh peradaban sering berbicara tentang pemimpin yang seperti ini sama ada Plato, Kung Fu Tze, Kautilya dan al-Mawardi. Secara sejagatnya kesemua mereka mengharapkan pemimpin yang berilmu, bermoral dan berintegiriti. Dengan adanya elemen-elemen tersebut, maka rakyat dapat mengharapkan tertegaknya keadilan dan kebajikan. Perbahasan-perbahasan para ilmuan itu sehingga hari ini kekal dalam lembaran-lembaran ilmu dalam bentuk bahasa-bahasa retorik.

Bagaimanapun, seseorang pemimpin politik dari dahulu hingga kini, jarang menggunakan bahasa-bahasa retorik. Sebaliknya mereka lebih gemar menggunakan bahasa-bahasa politik, iaitu bahasa yang sering difahami dengan mudah oleh rakyat. Dengan pengertian lain, peranan bagi seseorang pemimpin politik yang berwibawa ialah menterjemahkan bahasa retorik tentang kenegaraan kepada bahasa politik untuk memahamkan rakyat. Di sinilah letaknya kepentingan wacana politik sama ada bercorak ceramah, diskusi atau debat. Menyedari hakikat tersebut, debat antara Najib dan Anwar itu bukanlah membazir masa, bahkan sangat perlu dalam mendidik rakyat tentang politik kenegaraan.

Sangatlah malang bila terdapat pula pihak-pihak lain yang ingin 'kacau daun' untuk menggagalkan debat ini atau mungkin mempunyai agenda tersendiri. Antara mereka ialah Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin. Dari segi kedudukan politik, awal-awal lagi kedudukan politik mereka berbanding Anwar adalah tidak seimbang. Nazri Aziz hanya seorang menteri biasa yang tidak ada jawatan-jawatan kanan dalam parti, manakala Khairy pula seorang yang ada jawatan kanan dalam parti tetapi tiada apa-apa dalam kabinet. Sepatutnya kedua-dua mereka mencari lawan yang sesuai supaya tidak ditanggapi mereka mempunyai agenda tersendiri dalam berdebat.

Dari segi kewibawaan peribadi pula, kedua-dua Nazri dan Khairy belum mempunyai wibawa untuk menandingi Anwar. Kebetulan saya mempunyai pengalaman berdialog atau mungkin juga boleh dikatakan berdebat dengan mereka. Dengan Nazri perdebatan secara tidak langsung manakala dengan Khairy perdebatan secara langsung. Perdebatan secara tidak langsung dengan Nazri ialah ketika saya bersama beberapa yang lain membantu persiapan Salahuddin Ayub berdebat dengan Nazri berhubung dengan Isu "Penarikan Geran Perkapita Sekolah Agama Rakyat". Perdebatan yang berlangsung pada 17 Februari 2003 itu memperlihatkan kedangkalan Nazri dalam berhujah, semata-mata bergantung kepada janji harapan untuk mengembalikan geran itu setelah pemerintahan Dr Mahathir berakhir.

Hujah-hujah yang dikemukakan oleh Salahuddin lebih mantap bersama-sama dengan fakta-fakta yang berkaitan. Manakala Nazri pula lebih bersifat cuba "menegakkan benang basah" dengan jaminan sekolah agama rakyat tidak akan dipinggirkan, walaupun hakikatnya dengan penarikan geran perkapita itu bererti satu peminggiran. Sesiapa yang menyaksikan debat pada malam itu di Dewan Bahasa dan Pustaka, boleh menilai apakah kewibawaan Nazri setara dengan Anwar atau tidak? Sekiranya berlangsung juga perdebatan antara Nazri dan Anwar, tiada apa yang berfaedah melainkan menyelamatkan Najib daripada cabaran itu.

Manakala dengan Khairy pula berlaku secara langsung semasa Forum Intelektual tentang "Malaysia and Its Competetiveness in the Future" di UIA pada 27 Julai 2010. Forum itu juga disertai oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Dr Marzuki Mohammad. Saya hadir dalam forum tersebut sebagai 'bidan terjun' menggantikan seorang sahabat yang berkeuzuran, dan hanya dimaklumkan beberapa jam sebelum forum. Saya juga terpaksa hadir lewat sedikit disebabkan mempunyai komitmen kerja sehingga hampir malam. Tujuan saya hadir untuk mengemukakan tiga point penting iaitu:

a. Competitiveness sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada sektor ekonomi semata-mata tetapi juga faktor-faktor lain termasuklah demokrasi yang telus, pentadbiran yang bersih, kebebasan akademik dan lain-lain.

b. Kesemua faktor-faktor yang menyokong kepada peningkatan daya saing negara itu telah diruntuhkan semasa era pemerintahan Dr Mahathir, seperti kebebasan kehakiman, dan dasar pengasingan kuasa.

c. Bagi memulihkan semula daya saing itu, perlu dilakukan reformasi sistem atau dasar bukan sekadar meletakkan pemimpin-pemimpin yang baik. Pemimpin-pemimpin yang baik bukanlah satu jaminan reformasi ke arah kebaikan akan berlaku.

Walaupun, Khairy mempunyai 'golden chance' untuk memukul ahli-ahli panel lain kerana beliau diletakkan di giliran terakhir semasa penggulungan, saya lihat ketiga-tiga point yang saya kemukakan tidak tergugat. Yang paling menarik, bila saya menyatakan bahawa faktor-faktor yang berkaitan dengan daya saing negara telah runtuh semasa era Dr Mahathir, Khairy hanya mengulas: "no comment" dengan nada mengiyakan apa yang berlaku. Strategi saya memerangkap Khairy dengan 'memuji' kepimpinan Pak Lah yang cuba membaiki kerosakan yang dibuat oleh Dr Mahathir benar-benar mengena.

Oleh sebab itu, pada pandangan saya Khairy juga belum layak untuk berdebat dengan Anwar. Perdebatan Khairy dengan Anwar tidak lebih daripada untuk menaikkan semula dirinya dalam dunia percaturan politik UMNO. Berdasarkan pengalaman-pengalaman itu, saya melihat Nazri dan Khairy tidak sepatutnya menjadi 'pengacau' ketikamana pelbagai pihak berusaha untuk menjayakan debat antara Najib dan Anwar. Berikan peluang keemasan kepada rakyat Malaysia untuk menyaksikan satu perdebatan bersejarah yang akan menjadi titik tolak kepada budaya politik yang lebih sihat di negara ini.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki,
Pengarah Institut Kajian Polisi (IPS)
Dewan Pemuda PAS Pusat

Program Jelajah Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Kemaman

Posted: 13 Jan 2011 04:19 AM PST

Ubah Sekarang – Selamatkan Malaysia

15 Januari 2011 (Sabtu)

1) 9.00 pagi – 1.30 tengahari

Pelancaran Gelombang "Pakatan Rakyat Ganti Barisan Nasional"

Lokasi : Dataran Tok Guru, Geliga, Kemaman

Ucaptama oleh:
YAB Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat
YB Dato' Seri Anwar Ibrahim
YB Tuan Guru Haji Hadi Awang
YB Dato' Harun Taib
YB Azan Ismail

2) 2.00 – 4.00 ptg – Mesyuarat dan Rapat Setia PKR Terengganu

3) 5.00 – 7.00 ptg – Jamuan Petang (Hi- Tea)

Lokasi – Restoran Bangkok Kitchen, Geliga, Kemaman
(Hadapan Masjid Geliga)
(Jemputan Terbuka)

4) 9.00 – 12.00 mlm – Ceramah – Ubah Sekarang – Selamatkan Malaysia

Lokasi – Dataran Tok Guru, Geliga, Kemaman

Penceramah:
1. YB Dato' Seri Anwar Ibrahim
2. YB Tuan Guru Dato' Seri Haji Hadi Awang
3. YB Dato' Ngeh Koo Ham .
4. YB Azan Ismail

Kenyataan Media Ketua AMK: Debat Plan 100 Hari Pakatan Rakyat

Posted: 12 Jan 2011 07:47 PM PST

Saya mengikuti perkembangan mengenai cabaran debat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak mengenai isu isu ekonomi khusus mengenai Pelan 100 Hari Pakatan Rakyat vs Program Transformasi Ekonomi Kerajaan (ETP).

Sangat mendukacitakan apabila Dato Sri Najib kelihatan berdolak dalih dalam cabaran ini, dengan mengandaikan debat ini sekadar ‘membuang masa’ beliau. Mungkin beliau kurang arif bahawa budaya debat polisi seumpama ini merupakan amalan puluhan tahun lampau yang diamalkan pemimpin negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Lebih mengejutkan apabila Ketua. Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula yang kelihatan begitu bernafsu untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar. Ini ternyata pelik kerana sudah puluhan cabaran debat yang dikeluarkan oleh Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) kepada beliau tetapi tiada satupun yang bersahut.

Harus diingat, berdasarkan beberapa prestasi beliau di dalam rancangan forum-forum sebelum ini, nyatanya beliau belum sampai ke tahap untuk berhadapan dengan tokoh seperti Datuk Seri Anwar.

Justeru, atas kapasiti Ketua AMK, saya dengan ini secara rasmi menawarkan platform debat Pemuda satu lawan satu di antara saya dan Khairy, yang saya percaya lebih cocok dan sesuai dengan mengambil kira kapasiti kami selaku ketua sayap pemuda Umno dan KEADILAN.

Surat pelawaan rasmi telah dikeluarkan kepada beliau, dan saya menyeru rakyat Malaysia mendoakan agar beliau tidak berdolak dalih untuk menyahut cabaran debat ini.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Sidang Media Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat,13 Januari 2011

Posted: 12 Jan 2011 07:40 PM PST

MAKLUMAN MEDIA

Tarikh: 13 Januari 2011

Dimaklumkan bahawa satu sidang media akan diadakan selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Sidang media ini akan diadakan pada hari ini:

Tarikh : 13 Januari 2011 (Khamis)

Masa : 5:30 petang

Tempat : Bilik Mesyuarat PAS, Bangunan Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur

Antara yang akan menghadiri sidang akhbar ini adalah YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, YB Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang, YB Tuan Lim Kit Siang dan para Pimpinan Kanan Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: