Rabu, 5 Januari 2011

MOH...KITE LAWAN YEOP!!!

MOH...KITE LAWAN YEOP!!!


Kenyataan Munir Bukan Titah Sultan Selangor - MB

Posted: 05 Jan 2011 04:10 AM PST

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Rabu menyifatkan kenyataan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru, Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai pandangan peribadi dan bukannya mewakili baginda.

Abdul Khalid berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memahami kemelut yang berlaku memandangkan krisis Perlembagaan pada 1993 jelas memperlihatkan kuasa Sultan dan Menteri Besar telah ditarik balik.

Menurutnya, beliau bukan menolak kenyataan Mohamad Munir sebaliknya ia merupakan fakta sejarah yang menyatakan bahawa selepas pindaan dilakukan pelantikan tiga jawatan eksekutif tertinggi dinegeri itu diberikan kepada kerajaan Pusat.

"Saya bukan tolak kebenaran. Itu hanya pendapat Mohamad Munir. Setiap kenyataan saya berdasarkan fakta sejarah.

"Sultan faham dengan keadaan ini dan kami telah berbincang mengenai kesan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Jika ikut secara logiknya krisis perlembagaan pada tahun 1993 itu jelas menunjukkan Sultan mahupun menteri besar tidak mempunyai kuasa di atas perlantikan tiga pegawai ekskutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Rabu.

Isnin lalu, Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor bagi membincangkan mengenai isu pelantikan SUK yang kini dipegang Mohammed Khusrin.

Semalam media melaporkan, Mohamad Munir berkata baginda menitahkan bahawa tindakan Abdul Khalid berbincang dan memilih calon-calon lain bagi jawatan SUK adalah tidak wajar.

Menurut Mohamad Munir, Sultan Selangor telah menitahkan Menteri Besar mengadakan perbincangan bagi memilih calon sebelum ia diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sebelum dipersembahkan kepada Baginda.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Khalid menegaskan bahawa nama Mohammed Khusrin tidak pernah disenarai pendek sebagai calon yang diserahkan bagi mendapat perkenan Sultan Selangor .

"Sebaliknya, ada pegawai tinggi kerajaan di Selangor telah lebih awal serahkan kepada baginda tanpa mendapat kelulusan daripada Menteri Besar.

"Sebenarnya kita sudah ada calon kita sendiri dan calon ini dipilih oleh sebuah panel yang dilantik bagi memilih calon SUK terdiri daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selagor, Datuk Teng Chang Kim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Dr Hassan Ali dan ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar," katanya.

Mengenai kemungkinan sidang DUN tergempar bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor itu diadakan serentak dengan pilihan raya kecil DUN Tenang, Abdul Khalid berkata perkara itu tidak timbul kerana sidang tergempar itu akan diadakan dalam tempoh sehari sahaja.

"Keputusan mensyuarat Exco tadi mereka bersetuju untuk adakan sidang dewan lebih awal iaitu sambungan pada sidang yang terakhir.

"Saya jangka ia dibuat sehari sahaja. Maka tiada masalah mengenainya," jelasnya.

Mengenai draf rang Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor yang akan dibawa dalam sidang tergempar nanti, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri telah bersetuju untuk melantik dua penasihat undang-undang, mereka termasuklah peguam Datuk Param Cumaraswam dan juga pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari.

"Kepakaran mereka akan digunakan bagi membantu dalam memberi sebarang nasihat berhubung cadangan rang undang-undang yang bakal dibentang di sidang DUN akhir Januari ini," katanya.

Sumber: http://mstar.com.my/

Tiada ulasan: