Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- Keputusan Rasmi Tenang: BN Gagal Capai Target
- Pakatan dakwa bantuan angkut pengundi tidak adil
- PRK DUN Tenang : SPR Patut Tangguh Akibat Bencana Alam
- DAP dakwa berlaku beli undi di Tenang Station
- Ambil Iktibar Kebangkitan Rakyat Mesir, Tunisia
- Turun Harga Tol Kalau Benar-Benar Ikhlas
- Hadi: Pakatan bincang calon PAS atau PKR di Merlimau
- Anwar : Tindakan Gobala Sudah Diramal
Keputusan Rasmi Tenang: BN Gagal Capai Target Posted: 30 Jan 2011 06:40 AM PST LABIS 30 JAN : BN mengekalkan kerusi DUN Tenang dengan majoriti 3,707, sekaligus tidak berjaya mencapai target yang disasarkan. Azhar Ibrahim memperoleh 6,699 undi mengalahkan calon PAS, Normala Sudirman yang mendapat 2,992 undi. Sementara itu undi pos juga memihak kepada BN dengan majoriti 112 undi dan 1 undi rosak. Sebanyak 71.8 peratus atau 10,579 orang daripada sejumlah 14,753 pengundi berdaftar bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang keluar mengundi sehingga proses pengundian ditutup pada pukul 5 petang tadi. Difahamkan, jumlah peratusan ini lebih rendah daripada pilihan raya umum 2008 iaitu 73.52 peratus. Ia mungkin didorong oleh faktor banjir yang melanda beberapa kawasan di sekitar Labis. Beberapa jalan yang menghubungkan pusat pengundian tidak dapat dilalui kerana ditenggelami air. Pada pilihan raya umum 2008, calon BN menewaskan PAS dengan kelebihan 2,492 undi. Sementara itu, wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat melalui Twitter masing-masing memberikan respon terhadap kemenangan BN di kuat parti itu. " Walaupun membelanjakan berjuta-juta duit rakyat tetapi tidak mencapai majoriti yang mereka inginkan! PRU mereka tidak boleh buat macam sekarang, PRU target kita," tulis Khalid Samad di laman Twitternya. Manakala ADUN Bukit Lanjan, Elizaberth Wong pula berkata, peratusan undi pengundi Cina semakin meningkat kepada Pakatan Rakyat. " Kalah di Felda tetapi peratusan meningkat di kawasan majoriti Cina sehingga 70 peratus. Harus meningkatkan strategi di kawasan yang kalah," tulis Eli. Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, pada 17 Disember tahun lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis. Sumber: TVSNEWS |
Pakatan dakwa bantuan angkut pengundi tidak adil Posted: 30 Jan 2011 02:26 AM PST Hujan lebat sepanjang hari Tenang telah mengakibatkan banyak kawasan di luar bandar ditenggelami banjir dan beberapa pusat pengundian terputus hubungan. Keadaan itu menyebabkan ramai pengundi Cina - yang menjadi bank undi Pakatan - tidak dapat keluar mengundi. Walaupun pasukan polis, tentera, jabatan pertahanan awam dan berbagai agensi kerajaan telah dikerah membantu membawa penduduk ke pusat pengundian, tetapi pemimpin Pakatan mengadnu ia tidak dilakukan secara adil. Mereka mendakwa lebih banyak kemudahan pengangkutan dikerah ke kawasan Felda - yang merupakan penyokong kuat BN. "Mengapa tidak ada bot untuk membawa majoriti pengundi di bandar Labis yang ditenggelami banjir tetapi Felda mendapat semua bot polis dan bomba?" soal ketua publisiti DAP, Tony Pua dalam twitternya. Menurutnya, kegagalan untuk menyediakan bot dan lori yang cukup, dan diagihkan secara adil di semua daerah pengundian, akan menjejaskan keputusan pilihan raya kecil ini. Ketika dihubungiMalaysiakini, Tony berkata pihak polis dan tentera seharusnya tidak hanya memberi bantuan ke tempat-tempat tertentu sahaja kerana banjir berlaku di semua kawasan pilihanraya. Sekurang-kurangnya dua pusat pengundian - SMK Kamarul Ariffin dan dewan serbaguna Kampung Paya Merah di bandar Labis - terputus hubungan kerana teruk dilanda banjir sekitar jam 2.30 petang tadi. Kedua-duanya masing-masing merupakan pusat pengundian bagi Bandar labis Tengah dan Bandar Labis Timur yang didominasikan pengundi Cina dan dimenangi PAS dalam dalam pilihan raya umum. Daripada 12 daerah mengundi, PAS hanya memenangi di tiga daerah majoriti pengundi Cina pada 2008. Menurut ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching, kadar pengundian tersebut hanya mencecah 20 peratus pada jam 1 tengaharai tadi, berbanding dengan 50 peratus pengundian di kawasan majoriti Melayu di Felda. BN memperolehi 80 peratus undi di tiga penempatan Felda dalam pilihanraya umum lalu. Dalam twitternya, Teoh memberi beberapa nombor telefon dan meminta pengundi Cina untuk menghubungi mereka untuk dibawa ke pusat pengundian. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dilaporkan berkata tempoh pengundian tidak akan dilanjut. Walaupun beberapa jalan ke pusat pengundian terputus kerana banjir, pelbagai agensi kerajaan dikerah membantu menghantar pengundi ke pusat-pusat tersebut, kata Abdul Aziz. Di bawah undang-undang sekarang, tempoh pengundian tidak boleh dilanjutkan, kata timbalan pengerusi SPR, Datuk Wan Wan Ahmad Omar. Sumber: Malaysiakini |
PRK DUN Tenang : SPR Patut Tangguh Akibat Bencana Alam Posted: 30 Jan 2011 02:23 AM PST LABIS 30 JAN : Pakatan Rakyat berpandangan bencana alam yang menimpa kawasan DUN Tenang yang mengakibatkan beberapa kawasan pembuangan undi dilanda banjir, membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan proses pengundian jika keadaan bertambah buruk. Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Tenang, Salahuddin Ayub berkata, keadaan yang kritikal seperti ini membolehkan pihak SPR untuk memikirkan alternatif lain supaya proses pengundian berjalan dengan lebih lancar dan tidak membebankan pengundi di N05 ini. " Saya rasa mereka harus melihat tuntutan kita itu agak relevan dan kita mempunyai masa sejam lagi untuk melihat secara keselurahan peratus keseluruhan keluar mengundi, saya rasa itu masih lagi boleh kita ajukan kepada mereka," kata Salahuddin. Beliau mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof bahawa proses pengundian tidak akan dipanjangkan walaupun dalam keadaan paras air yang semakin meningkat. Beberapa jalan menunju ke pusat pengundian tidak boleh dilalui buat masa ini kerana ditenggelami air. Antaranya ialah jalan ke Kampung Tenang, Air Panas, Ulu Juaseh, Sawah Baru, Felda Tenang, Kampung Radong dari Pekan Labis, Segamat yang terputus hubungan kerana dinaiki air. Sementara Jalan Labis-Segamat juga turut ditenggelami air yang mengakibatkan kesukaran kepada kenderaan dan pengundi untuk membuang undi di Ladang Bukit Dato dan SMK Kamarul Ariffin yang dikatakan turut dinaiki air. " Saya melihat perkara itu dalam konteks yang cukup kritikal yang sepatutnya SPR melihat dari semua peti undi yang diarah mengundi, yang kita lihat pada ketika ini dilanda oleh banjir kilat ini," tambah Salahuddin lagi. Sumber: TVSNEWS |
DAP dakwa berlaku beli undi di Tenang Station Posted: 30 Jan 2011 01:10 AM PST DAP mendakwa berlaku pembelian undi di SJK (C) Ai Chun yang terletak dalam daerah pengundian Tenang Station. Menurut Teo Chin Liang (kanan, duduk) - bapa kepada ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching - dia dan agen undi DAP, Liew Choan Chee (kanan, berdiri), pergi ke dewan sekolah tersebut di mana mereka mendapati pintunya terbuka luas, yang menurut mereka tidak biasa berlaku pada hujung minggu. Setibanya di situ, kata Teo, dia nampak beberapa orang lelaki Cina sedang duduk di sebuah kaunter. Dia kemudiannya didatangi tiga orang, yang bertanyakan mengapa dia berada di situ. Teo menjawab dia hanya mahu melihat yang apa yang sedang berlaku di situ. Mengesyaki sesuatu, dia kemudiannya memanggil Liew yang berada di dalam kereta dan Liew datang serta mengambil gambar tiga orang berkenaan. Meliha foto mereka diambil, ketiga-tiga mereka menjadi marah. Menurut Teo, seorang daripada mereka yang berbaju putih, mengejar Liew hingga ke keretanya dan mengarahkannya menyerah kameranya, dan mengancam akan menggunakan kekerasan jika Liew enggan berbuat demikian. Liew, bagaimanapun, memberi amaran kepada penyokong ketiga-tiganya bahawa penyokong PAS akan sampai beberapa minit lagi. Mereka jadi takut dan beredar dari situ. Setelah mereka pergi, kelihatan masih ada yang datang ke dewan sekolah tersebut. Apabila ditemui Teo, beberapa orang berkata mereka diminta datang oleh seorang yang dipanggil 'Ah Teck' untuk mengundi di situ, walaupun sekolah berkenaan bukan menjadi pusat pengundian. Tertinggal di situ ialah cek RM3,000 yang telah dikoyak, dengan tandatangan ketua kampung yang juga pengerusi MCA Kampung Sawah Padi, Kok Yun Keong. Cek bertarikh 27 Januari itu, ditulis "MCA cawangan Tenang" di atasnya, namun tiada nama penerima. Sumber: Malaysiakini |
Ambil Iktibar Kebangkitan Rakyat Mesir, Tunisia Posted: 30 Jan 2011 12:30 AM PST SHAH ALAM 30 JAN: Kemelut di Mesir dan Tunisia harus dijadikan iktibar sambil melahirkan rasa sedihnya terhadap despotisme(kuasa mutlak) yang diamalkan oleh para pemimpin negara-negara Islam. Dalam ucapannya di seminar 'Critical Islam with Ziauddin Sardar(ZS)' di Kelana Jaya semalam, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain Indonesia dan Turki yang kini berjaya mengadaptasikan konsep demokrasi, negara-negara Arab lain jelas tidak mempedulikan hak asasi manusia yang sepatutnya dirasai oleh rakyatnya. "Kenapa anda tidak mempunyai, tidak mengiktiraf kebebasan, hak asasi manusia, keadilan, kesetaraan jantina di dunia Islam? Terutamanya di dunia negara-negara Arab, kecuali Indonesia, yang berjaya mengubah dirinya mengamalkan demokrasi dengan penuh semangat, dan Turki. Di dalam dunia Arab, penafian hak-hak asas ini merupakan satu kewajipan mutlak," kata beliau dalam ucapannya. Jelas beliau, kebanyakan cendekiawan Timur Tengah menganggapnya sebagai satu budaya kerana pemerintahan bercirikan despotisme atau satu kuasa mutlak merupakan perkara terpenting dalam sejarah tamadun Mesir di mana rakyat Mesir tidak lekang memuja para Firaun walaupun sedar kezaliman mereka. Anwar berpandangan, warga Mesir kini seolah-olah cuba menyampaikan mesej bahawa Mesir memerlukan seorang Firaun moden bagi mengawal dan menangani rakyat Mesir. "Ini merupakan satu hujah yang langsung tidak berasas kerana apa yang berlaku di Mesir sekarang, seperti yang berlaku di negara-negara Arab lain, ialah kerana para pemimpinnya yang memandang rendah warga negaranya. Mereka ini dinafikan hak asas yang mana dengan jelas diperuntukkan di dalam mana-mana perlembagaan," kata beliau lagi. Sambil berseloroh beliau berkata beliau tidak langsung mengaitkan hujahnya dengan Malaysia kerana khuatir akan disiasat lagi oleh kerajaan Umno-BN dengan alasan kononnya berhubungan dengan pengganas antrabangsa. Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berkata, umum mengetahui bahawa demokrasi telah dicabul teruk dan pentadbiran Presiden Hosni Mubarak mesti bertanggungjawab terhadap pencabulan tersebut dan bersedia berhadapan dengan desakan rakyat supaya beliau meletakkan jawatan. "Bagi pihak PAS, kami menyatakan solidariti bersama dengan rakyat Mesir yang bangkit menuntut keadilan setelah sekian lama berada dalam penindasan. Kami mendoakan kejayaan intifadha rakyat Mesir yang belum pernah disaksikan dalam sejarah Mesir moden ini. "PAS juga mendesak supaya dibebaskan segera kesemua tahanan politik yang telah dipenjarakan sejak sekian lama di Mesir yang dihukum menerusi perbicaraan yang tidak adil," katanya. PAS juga meminta pemerintahan BN segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan Suruhanjaya Pilihanraya(SPR) dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata. Sumber: TVSNEWS |
Turun Harga Tol Kalau Benar-Benar Ikhlas Posted: 30 Jan 2011 12:20 AM PST SHAH ALAM 30 JAN : Jika kerajaan benar-benar ikhlas, maka apa yang perlu dilakukan ialah menurunkan kadar tol dan bukannya kekal pada tarif yang sama, kata ahli parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail. Katanya, tindakan itu sekaligus menunjukkan ketamakan kerajaan dalam membolot hasil cukai di samping menyajikan gula-gula politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13. " Pengumuman untuk tidak menurunkan harga tol ini memang bertujuan menawan hati rakyat pada pilihan raya tetapi sebenarnya kerajaan silap. Sepatutnya kerajaan mengumumkan menurunkan tol kalau benar hendak ambil hati rakyat bagi tujuan pilihan raya," kata Azan. Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Perdana Menteri, Najib Razak bahawa tiada kenaikan atau pun kekal pada kadar sedia ada untuk dua lebuh raya di negara ini. Dua lebuh raya yang dimaksudkan ialah Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 1. Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan penamatan konsesi tol untuk Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat yang menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught di Kuala Lumpur yang dijangka berakhir pada Mei ini. Namun menurut Azan, pengumuman yang dibuat oleh Najib, langsung tidak mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat kerana jumlah yang perlu dibayar adalah jumlah yang sama. Katanya, ia berbeza dengan polisi yang digariskan Pakatan Rakyat dalam janji 100 hari gagasan itu. " Harga minyak akan diturunkan oleh kerana kita antara pengeluar minyak utama dalam dunia dalam sektor kita sendiri dan kita juga mempunyai kemudahan jalur jalan raya yang sepatutnya tidak membebankan rakyat. Cerita tentang tol, mana ada orang fikirkan tol sebagai sumber kerajaan menjana ekonomi. Tidak ada! Tidak ada di mana-mana negara pun," bidas beliau kepada agenda kerajaan yang lebih mementingkan kantung negara lalu membebankan rakyat. Malah menurut Azan, beliau tidak hairan sekiranya tol antara penyumbang kepada dakwaan Global Financial Integrity (GFI) bahawa Malaysia antara negara tertinggi menyumbang kepada aliran keluar dana haram. " Saya rasa ini adalah jumlah-jumlah yang perlu disiasat kerana jumlah ini menyumbang kepada RM888 bilion, wang disebut oleh GFI. Ada kaitannya dengan tol selain daripada petroleum," tambah beliau. Menurut Azan, hal ini berlaku melalui apa yang dipanggil "kick back", apabila keuntungan bawah meja diterima oleh pihak yang berkepentingan, walaupun di atas kertas, ia adalah nilai yang dibayar kepada sesebuah syarikat yang bertanggungjawab. " Dalam isu tol ini sebenarnya ialah isu pembinaan lebuh raya, isu konsesi, isu subsidi yang diberikan kerajaan kepada pemegang konsesi. Itulah isu sebenar. Dan jumlah yang disumbang itu balik semula kepada mereka. " Maknanya bayar kepada orang tetapi orang itu akan bayar balik melalui bawah meja. Isu "kick back" yang boleh menyebabkan aliran wang keluar negara. " Setiap bayaran akan dibayar kepada konsesi, pembuat projek,pelaksana projek, yang berlebihan itu, sebagai contoh, harga sepatutnya RM10 tetapi kerajaan putuskan bayar RM15, RM5 itu akan dibayar balik kepada orang-orang yang berkepentingan," jelas Azan lagi. Justeru katanya, akibat dari ketakutan dengan polisi terbaru Pakatan Rakyat yang digariskan dalam Buku Jingga, kerajaan bertekad untuk meraih semula keyakinan rakyat. " Sebab itu apabila kerajaan umum tidak ada kenaikan tol dalam masa 5 tahun, itu membayangkan ketakutan dia apabila membayangi Pakatan Rakyat sudah dapat menghidu kebenaran perkara ini dan oleh kerana kita dapat menghidu, kita juga dapat melaksanakan satu sistem yang lebih memberi kebaikan kepada rakyat dengan cara tidak membebankan rakyat dari segi bayaran tol. " Walau pun dia (kerajaan) tahu, kita syak dia buat begitu, dia kata, janganlah kita turunkan.Setakat umum, tidak naik, sudahlah.Maknanya ketamakan itu, sampai mati pun dia tamak lagi," kata Azan kepada Tv Selangor. Sumber: TVSNEWS |
Hadi: Pakatan bincang calon PAS atau PKR di Merlimau Posted: 30 Jan 2011 12:10 AM PST Pakatan Rakyat akan mengadakan perbincangan mengenai sama ada akan meletakkan calon PAS atau PKR dalam pilihan raya kecil DUN Merlimau 6 Mac ini. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan di peringkat pusat mengenai calon dari parti mana akan diketengahkan dalam pilihan raya kecil itu akan diadakan dalam waktu terdekat. Abdul Hadi yang ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di Wacana Memperkasa Fikrah rakyat di Shah Alam hari ini berkata demikian ketika ditanya mengenai minat PKR untuk meletakkan calonnya bertanding di kawasan itu yang sebelum ini diwakili calon PAS. Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin baru-baru ini dilaporkan berkata meskipun secara tradisi pakatan pembangkang mengekalkan status quo, namun terdapat beberapa faktor yang menyokong PKR meletakkan calonnya untuk bertanding. Ketika ditanya sama ada PAS telah mempunyai bayang-bayang siapakah bakal dicalonkan di Merlimau, Abdul Hadi berkata: "Merlimau, kita ada orang bukan bayang-bayang, kita ada ramai situ." Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada Khamis lepas akibat serangan jantung. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac. Dalam pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi. - Bernama |
Anwar : Tindakan Gobala Sudah Diramal Posted: 30 Jan 2011 12:05 AM PST SHAH ALAM 30 JAN : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan N. Gobalakrishnan meninggalkan PKR berkuat kuasa semalam sudah lama dijangkakan. Malah menurut Anwar, keputusan Gobala itu tidak memberi kesan jangka panjang ke atas parti itu. "Kami sudah lama menjangkakan yang ini, melihat pada trendnya, tidak, tidak ini bukan sesuatu yang mengejutkan," kata Anwar di sini, hari ini. Ura-ura bahawa Gobala akan meninggalkan PKR bertiup kencang sejak akhir tahun lalu. Justeru, pengumumannya semalam, tidak mengejutkan mana-mana pihak. Sumber: TVSNEWS |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan