Khamis, 9 Disember 2010

Angkatan Muda Keadilan Bagan Datoh,Perak Darul Ridzuan

Angkatan Muda Keadilan Bagan Datoh,Perak Darul Ridzuan


Satu Dunia Menyaksikan, Bagaimana Polis Boleh Menafikan Kekejamannya?

Posted: 08 Dec 2010 06:59 PM PST







Polis nafi bertindak luar batas undang-undang bagi leraikan demo

KUALA LUMPUR — Polis menafikan pihaknya bertindak di luar peruntukan undang-undang bagi meleraikan perhimpunan dan perarakan penyokong yang membantah kenaikan tarif 37 peratus air Selangor di Masjid Negara Ahad lepas, sebaliknya hanya mengambil tindakan yang minimum untuk menyuraikan kumpulan tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata polis telah memberikan kerjasama dengan memberi laluan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membolehkan beliau menghantar memorandum tersebut ke Istana Negara.

"Menteri Besar telah bersetuju dengan cadangan dan nasihat polis bahawa mereka tidak berarak ke Istana Negara dan selepas solat Zuhor di Masjid Negara, beliau telah diberi laluan bagi menyerahkan memorandum itu di Istana Negara," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas artikel bertajuk "Bar Council Slams Cops For Polis-State Mindset" dalam The Malaysian Insider yang menyatakan tindakan polis bagi meleraikan perhimpunan itu kasar dan menindas.

Zulkifli berkata kedegilan sekumpulan penyokong yang masih berkumpul dan berarak menuju ke Istana Negara menyebabkan polis terpaksa bertindak bagi menyuraikan perhimpunan sekaligus mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam di Bandaraya Kuala Lumpur

"Pada masa kini peruntukan Seksyen 27 Akta Polis 1967 masih berkuatkuasa dan selaras dengan artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, sebarang perhimpunan perlu mendapat lesen daripada polis terlebih dahulu," katanya.

Ahad lepas, kira-kira 4,000 orang berkumpul dalam dua perhimpunan di Masjid Negara bagi membantah kenaikan tarif 37 peratus air Selangor.

Kedegilan kumpulan penyokong itu yang enggan bersurai serta mengganggu tugas polis menyebabkan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

Akibat perhimpunan itu, ribuan warga kota terperangkap dalam kesesakan jalan raya selain mendatangkan kerugian kepada peniaga di sekitar lokasi perhimpunan. — Bernama

Mahathir Terus Kritik Kerajaan Najib

Posted: 08 Dec 2010 06:59 PM PST

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad hari ini mempertikaikan keperluan kerajaan menggantikan pesawat tempur buatan Rusia, MiG-29 dengan pesawat baru.

NONEDalam blognya, Mahathir berkata kerajaan seharusnya mengikut jejak langkah India yang hanya menaik taraf pesawat tempurnya dan tidak berbelanja jutaaan ringgit bagi membeli pesawat baru.

"Malaysia telah bekerjasama dengan India berkaitan pengubahsuaian pesawat buatan Rusia. Mungkin kita sepatutnya mengetahui apakah maksud sebenar menaiktaraf Sukhoi Su-30 dan MiG-29.

"Saya tidak pasti sama ada Malaysia menghadapi ancaman perang. Jika tidak, adalah lebih baik untuk hanya membaik pulih pesawat yang ada," kata Mahathir.Menurut beliau, berdasarkan laporan antarabangsa, India dikatakan akan menaik-taraf pesawat Sukhoi-30MKI milik negara itu manakala MiG-21 mungkin 'dibersarakan' namun MiG-29 akan dinaik-taraf.


Menteri Pertahanan Datuk Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mendakwa pesawat MiG buatan Russia harus diberhentikan kerana kos penyenggaraannya semakin tinggi.

Mahathir sebelum ini mengingatkan kemungkinan wujud orang tengah yang akan mengaut keuntungan berganda dengan keputusan untuk membeli pesawat tempur baru dan menjual yang lama.

Beliau juga berekata keputusan kerajaan menukar pesawat MiG dipengaruhi oleh pihak yang berkepentingan sendiri.

russia military might 220808 04Sebelum ini, Zahid memberitahu Dewan Rakyat bahawa penamatan perkhidmatan pesawat selama 10 tahun itu adalah kerana peningkatan ketara kos penyelenggaraan dan operasi pesawat buatan Rusia itu,

Kementerian Pertahanan dilaporkan menimbang untuk menggantikan pesawat MiG buatan Rusia sama ada dengan SU-35, FA-18 E/F Super Hornet, JAS Gripen, Eurofighter Typhoon, Dassault Aviation Rafael, F-16 C/D Block 52 atau F-15 Eagle.

Undi Pos Untuk Semua Rakyat Malaysia

Posted: 08 Dec 2010 06:58 PM PST

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) membantah sekeras-kerasnya cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang mahu menjadikan golongan doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan sebagai pengundi pos.

DPPWP berpendapat, menggunakan sistem undi pos terhadap golongan profesional ini menutup lagi ruang demokrasi negara yang kian dipertikaikan rakyat.

DPPWP menegaskan undi pos adalah talian hayat kerajaan UMNO-BN. Cadangan SPR seakan mahu menambah lagi jangka hayat pemimpin UMNO-BN terutama di kawasan yang mereka tidak selamat. Apakah SPR mahu menjadi sebuah lagi parti komponen Barisan Nasional dengan menjalankan usaha yang licik buat membantu memenangkan UMNO-BN dalam PRU ke 13?


Sistem undi pos telah lama dipertikaikan rakyat. Apakah jaminan SPR ketelusan undi pos dapat dijalankan dengan baik memandangkan ada pengalaman anggota tentera yang tidak dapat mengundi pos semasa mereka bertugas kerana telah diundi oleh pihak atasan mereka?

Dalam Pilihanraya kecil di Bagan Pinang, daftar pemilih SPR tidak sama dengan daftar pemilih tentera, serta kertas undi boleh diserahkan di mana-mana termasuk di kompleks beli belah. Bagaimana kertas undi yang dipos dua hari sebelum mengundi mampu dipulangkan balik tepat pada masanya tanpa berlau kesilapan.

Hampir setiap pilihanraya kecil atau umum, kemenangan besar calon BN diraih melalui undi pos dan terlalu sedikit yang mengundi calon pembangkang. Mungkinkah semua anggota tentera adalah ahli BN atau pengundi tegar BN di mana-mana kawasan?

Dalam kes anggota tentera, DPPWP mempersoalkan keperluan SPR menjadikan golongan ini sebagai pengundi pos memandangkan suasana negara yang tidak mendesak sedemikian. Dalam keadaan aman dan tenteram sebeginilah, ruang demokrasi perlu dibuka seluas-luasnya dengan memberi peluang anggota tentera mengundi sebagaimana pengundi yang lain.

Alasan SPR mahu menjadikan kumpulan profesional ini sebagai pengundi pos hanya semata-mata mahu memberi peluang kepada mereka untuk mengundi kerana terlalu sibuk bekerja adalah alasan yang tidak boleh diterima. Golongan ini bekerja mengikut jadual dan syif.

DPPWP tidak fikir sekiranya mereka turun mengundi mengikut jadual sepertimana golongan profesional yang lain, menyebabkan operasi kerja mereka terjejas. Kalaulah mereka tidak berpeluang mengundi kerana sedang bekerja, mereka tidaklah mewakili golongan majoriti yang perlu dijadikan sebagai pengundi pos.

Dalam hal ini, SPR perlu mengelak hari bekerja sebagai hari mengundi sepertimana yang dibuat ketika beberapa pilihanraya kecil baru-baru ini. Ini lebih menyukarkan semua golongan bekerja untuk turun mengundi.

Sekiranya SPR berkeras juga mahu menjadikan golongan doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan sebagai pengundi pos, DPPWP mengesyorkan agar menjadikan semua golongan profesional sebagai pengundi pos.

Bukan setakat itu, mahasiswa yang layak mengundi, penoreh getah, pekebun, pemandu teksi dan bas, nelayan, peniaga dan lain-lain juga boleh dijadikan sebagai pengundi pos memandangkan semua golongan ini sibuk bekerja dan tidak mampu meninggalkan tempat kerja mereka untuk turun mengundi. Dengan demikian, mudahlah BN meraih kemenangan besar dalam PRU ke 13 akan datang!

Fadhil Osman [Harakah]
Penulis adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Pembangkang Bukan Anti Nasional

Posted: 08 Dec 2010 06:57 PM PST

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata golongan yang menentang kerajaan selama ini bukannya anti nasional.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu berkata terdapat perbezaan antara anti nasional dan perjuangan menentang penyelewengan, jenayah dan rasuah yang berlaku.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen pada Isnin.

Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Semalam, ketika berucap pada Konvensyen Barisan Nasional, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pembangkang sebagai anti nasional dan sanggup melakukan apa saja termasuk memburuk-burukkan nama Malaysia di luar negara bagi mencapai matlamat mereka.

Umno Khianati Janji Pada Rakyat

Posted: 08 Dec 2010 06:56 PM PST

Janji-janji pemimpin kerajaan BN ternyata tidak boleh dipegang kerana mereka ternyata hanya sekadar tahu berjanji tetapi tidak pula jujur dan tahu menunaikan segala janji-janjinya kepada rakyat sejak dulu, melainkan hanya sekadar mahu menggula-gulakan rakyat untuk meraih undi bagi mencapai kemenangan dalam pilihanraya.

Lebih jauh dari itu, slogan yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri juga, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" tidak boleh dipegang oleh rakyat kerana slogan tersebut hanya sekadar slogan, tetapi ia tidak pula dilaksanakan seperti yang digembar-gemburkan itu.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh berkata, realiti itu terserlah apabila kerajaan BN sejak 3 Disember lalu telah mengambil keputusan menaikkan harga barangan keperluan utama rakyat, petrol, diesel, gas dan gula, sehingga menyebabkan rakyat semakin terhimpit walaupun ia telah dijanjikan tidak akan dinaikkan.


"Pada hal, 2 November 2010 yang lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan RON97 ditentukan oleh syarikat pengeluar minyak. Kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap kenaikan harga minyak petrol RON97 kerana harga bahan mentah itu dikawal sepenuhnya oleh pasaran terbuka," katanya.

"Bagaimanapun kerajaan memberi jaminan harga minyak RON 95 tidak akan naik dalam tempoh terdekat. Rakyat juga tidak perlu risau kerana kerajaan juga tidak ada perancangan untuk menaikkan harga minyak RON95 dalam tempoh terdekat," kata Ismail Sobri seperti yang dilaporkan media tempatan.

Malangnya pada 3 Disember lalu, berkuatkuasa pada jam 12.01 minit pagi, harga petrol RON95 telah dinaikkan 5 sen menjadikannya berharga RM1.90 seliter. Dua hari setelah itu, petrol RON 97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter. Kenaikan itu dikatakan kerana harga minyak dunia yang diapungkan sejak Julai lalu.

Selain itu, harga diesel pula dinaikkan 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter, manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram. Harga gula pula dinaikkan 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Pada hari yang sama, Bernama melaporkan Menteri yang sama juga telah berkata sekali lagi bahawa harga barang seperti gandum, beras dan minyak masak dijangka tidak akan dinaikkan buat masa ini. Kononnya kerajaan juga masih mengekalkan subsidi ke atas barangan berkenaan memandangkan ia adalah barangan keperluan semua rakyat di negara ini.

"Percayakah anda akan kata-kata beliau itu? Ternyata segala janji pemimpin BN tidak boleh dipegang. Itu semua samalah dengan slogan yang diwar-warkan oleh Datuk Seri Najib itu sendiri yang juga tidak boleh dipegang. Sebaliknya, tindak-tanduk para pemimpin BN ternyata tidak pernah mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian, tetapi hanya menekan dan menzalimi rakyat dalam segala aspek.

"Mereka ternyata hanya mementingkan diri mereka sendiri sahaja, bukannya mementingkan rakyat. Jadi, rakyat mesti sedar perkara ini. Jika rakyat tidak sedar dan terus tertipu dengan janji-janji pemimpin BN, para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyatlah yang mesti menyedarkan rakyat agar tidak terus tertipu dengan permainan politik kotor mereka itu," tegas Nuridah ketika dihubungi hari ini.

Kenaikan harga petrol, disel, gas dan gula, katanya, sememangnya amat menyusahkan rakyat di semua peringkat, termasuk para penganut Kristian yang akan merayakan sambutan perayaan mereka tidak lama lagi, tetapi para pemimpin BN tidak pernah memikirkan masalah rakyat.

Selain itu, beliau juga kesal kerana kerajaan BN turut menzalimi rakyat dalam aspek air, apabila sanggup bertindak untuk menaikkan harga air di Selangor, sehingga memaksa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengambil tindakan tegas untuk membantu rakyat yang sedang dizalimi oleh kerajaan BN.

Sehubungan itu, katanya, Wanita Pakatan Rakyat dalam mesyuaratnya di bangunan Parlimen hari ini antara lain telah memutuskan untuk mengambil tindakan aktif berhubung perkara itu.

Antara lain, mereka akan berjumpa dengan orang ramai untuk mengedarkan risalah untuk menyedarkan orang ramai agar tidak lagi terus tertipu dengan para pemimpin BN dan memberi undi kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang.

Selain berjumpa orang ramai di kampung-kampung, mereka juga akan mengedarkan risalah itu kepada orang ramai yang akan pulang berhari raya di kampung di plaza-plaza tol, bagi membolehkan rakyat faham tentang realiti sebenar para pemimpin BN yang tidak pernah mementingkan rakyat, tetapi hanya mementingkan diri mereka sendiri sahaja.

"Jadi rakyat mesti disedarkan agar tidak lagi memberi undi kepada BN, tetapi kepada Pakatan Rakyat kerana hanya dengan cara itu barulah kehidupan rakyat akan terbela," ujar beliau. - Hrkh

Tiada ulasan: