Rabu, 3 November 2010

Zulkifli Noordin

Zulkifli Noordin


ADDEENUL NASIHAH

Posted: 03 Nov 2010 07:31 AM PDT

(Gambar hiasan: beginilah berakhirnya Firaun yang begitu angkuh dan sombong terhadap ALLAH. Moga menjadi iktibar kepada insan yang punya walau sekelumit keimanan)

Salam 2 all.

Sebuah akhbar telah menyiarkan lapuran dibawah mengenai nasihat Dr. Asri dan saya sendiri kepada Anwar khususnya.

Agama itu nasihat. Begitu pesan Rasulullah saw. Sebenarnya kita semua mengasihani Anwar. Dikala umurnya sudah memasuki "zon maut" saperti yang disabdakan Nabi saw, diwaktu alam kubur sudah mula menggamit, dalam usia yang beliau sepatutnya lebih menumpukan masa dan tenaga membuat persediaan ke alam barzakh, dalam keadaan anak cucu mengharapkan dapat meluang masa bermesra dengan atuknya; namun Anwar masih bergelumang dalam dunia politik yang penuh dengan pembohongan dan putar belit, berhadapan dengan pertuduhan liwat yang memungkinkan beliau menghabiskan sisa umurnya disebalik tembok dan tirai besi.

Nasihat saya kepada Anwar, yang sudah itu sudahlah. Pintu taubat terbuka luas kepada hamba yang mengharapkan maghfirah Yang Maha Esa. Letakkanlah keyakinan sepenuhnya kepada ALLAH, dan bertaqwalah dengan sebenarnya kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan membuka laluan dan ruang yang tidak pernah terfikir pun oleh kita.

Moga ALLAH mengampunkan segala kesilapan dan kelemahan saya. Wallahua'lam dan wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
26 Zul Qaedah 1431
03 Nobv 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@

DR ASRI NASIHATKAN ANWAR BERUNDUR DARI POLITIK
ZUL NOORDIN NASIHATKAN PAS KELUAR PAKATAN

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini tidak banyak menyentuh fasal Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau tiba-tiba menasihatkan Ketua Pembangkang itu sudah sampai masanya bersara dari politik kerana zaman Anwar sudah berlalu dam perlu diganti pemimpin baru.

Antara alasan beliau, generasi baru tidak akan terus bertahan untuk melihat 'story-design' politik yang sama selain bagi mewujudkan pembangkang yang lebih berkualiti dan berkesan.

"Saya rasa beliau perlu menerima hakikat ini. Demikian setiap kita ada hari datang dan hari pergi. Biarlah kita datang disambut mesra, dan kita pergi diucapkan terima kasih dan hormat, bukan dipaksa keluar," tulis Dr Asri di blognya.

Menurutnya lagi, politik negara memerlukan watak-watak baru yang bernas, matang dan tangkas yang disifatkan oleh sarjana politik Islam sebagai mempunyai 'al-quwwah' (kemampuan) dan al-Amanah (amanah).

"Mereka yang berteraskan politik idea dan nilai, bukan politik duit, atau politik taukeh. Maka semua ahli politik yang merasakan zaman mereka sudah habis, berilah laluan kepada mereka yang baru demi untuk kebaikan rakyat," katanya.

Dr. Asri berkata, samada di pihak pembangkang ataupun kerajaan, hal yang sama mesti dilakukan.

Katanya, ramai pelakon veteran sudah tidak sesuai menjadi 'hero' dalam pentas baru politik hari ini dan biarlah mereka tersimpan dalam diari sejarah politik negara dengan kadar sumbangan yang sudah dibuat.

Menariknya, pandangan beliau supaya Anwar berundur dari politik turut disokong ahli parlimen Bebas Kulim Bandar Bharu Zulkifli Noordin.

Malah menurut Zulkifli, beliau sendiri sudah beberapa kali menasihatkan Anwar bermuhasabah diri dan menyelesaikan masalah peribadi yang sedang dia hadapi.

"Setelah melihat sendiri bagaimana Anwar sanggup menggadai agama dengan mengheret saya kehadapan Lembaga Disiplin kafir untuk membicarakan saya dalam isu kalimah Allah,".

"Di depan mata saya juga, Anwar sanggup mengenepikan persahabatan dia dengan Datuk Seri Zahrain selama 30 tahun hanya untuk membodek Lim Kit Siang dan anaknya, saya melihat Anwar bukan lagi Anwar yang kita kenal," ulas Zulkifli di blognya.

Beliau juga berharap kepimpinan PAS dapat melihat bahawa mereka sedang mempercatur nasib umat Islam dan agama apabila berterusan bersekongkol dengan Anwar.

"Takkan mereka tidak dapat melihat lagi sandiwara Anwar? Kalau Konspirasi 16 Sept pun Anwar boleh bohong mereka bulat-bulat, apa lagi bukti yang mereka mahu?"

"Kalau sudah dibuktikan PAS hanya dipandang sebelah mata sahaja oleh Anwar, pun masih lagi terkial-kial nak menari ikut rentak Anwar, saya tidak tahu apa lagi yang kepimpinan PAS mahu buktikan?," soalnya.

Menurut Zulkifli di Pulau Pinang, Anwar langsung tidak menghormati PAS.

Satu-satunya ADUN PAS, Salleh Man pun tidak diberi muka, hanya kerana mahu menjaga Kit Siang dan Lim Guan Eng.

"Dan kami semua pun tahu bahawa Anwar cukup tidak selesa dengan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan ketrampilan "talibannya"," ujar beliau yang dipecat daripada PKR beberapa bulan lalu.

Katanya, PAS sebuah parti yang besar, keahlian ramai, jentera mantap dan petugas yang sangat komited boleh berdiri sendiri tanpa Anwar.

"Kepada Anwar, terimalah nasihat daripada Dr. Asri dengan hati terbuka. Berlapang dadalah. Mungkin sudah taqdir Allah jawatan Perdana Menteri bukan milik Anwar. Dan menjadi Perdana Menteri bukanlah segala-galanya di muka bumi ini," ujarnya.

ESTAWOO!

Posted: 02 Nov 2010 08:10 AM PDT


Salam 2 all.

Islam ini agama yang penuh dengan keajaiban dan kepelikan. Yang jika disampaikan kepada golongan kafir yang beraqal, pasti mereka akan tertarik kepada risalah Islam.

Contohnya pengalaman saya sendiri pernah berdialog dengan seorang ibu bukan Islam yang bangga anaknya menyambut "Mothers Day" setahun sekali dengan memberi hadiah kepada si ibu. Bila saya nyatakan bahawa dalam Islam umatnya disuruh menyambut "Mothers Day" dan "Fathers Day" tiap hari 5 kali sehari, dan dengan doa "Hey ALLAH, do have pity and mercy on my mother and father as they have pity and mercy on me during my childhood", saya nampak si ibu itu terusik hati sanubarinya. Ibu mana yang tidak mahu didoakan sebegitu, yang tidak terbayar dengan hadiah semahal mana pun!! Apa kesudahan pada ibu itu, sila layari kisahnya dalam tulisan saya terdahulu.

Kali ini saya ingin berkongsi satu lagi keajaiban Islam yang akhirnya membawa kepada berimannya seorang kafir. Ianya berdasarkan satu email yang dihantar kepada saya oleh seorang oleh seorang sahabat cyber.

Dalam satu program televisyen dipanggil "ONE FAMILY" di MAJD channel. Dr. Yahaya Al Yahhya yang mengetuai "CALL to Islam Committee" menceritakan pengalaman beliau berdialog dengan seorang lelaki Amerika bukan Islam yang kebetulan diwaktu yang sama televisyen sedang menayangkan siaran langsung solat daripada Masjidil Haram.

Lelaki Amerika tersebut hairan bagaimana berserabut dan sesaknya suasana di Masjidil Haram, dengan hampir 3 juta manusia berhimpit-himpit dan bersesak-sesak dipenghujung Ramadhan al kareem. Lalu terpacul dari mulut lelaki bukan Islam itu, "how disorganize the Muslims are!" ("betapa berserabut orang-orang Islam ini!"). Sambil masing-masing melihat kaca televisyen, Syeikh Yahya mula bertanya kepada si kafir itu.

Syeikh Yahya: berapa lama kamu rasa jutaan Muslim ini boleh menyusun diri mereka dan berbaris lurus?

Si Kafir: 3 jam paling cepat!

Syeikh: Tetapi Masjidil Haram itu 4 tingkat tingginya!

Si Kafir: kalau macam tu, mungkin 12 jam baru boleh!

Syeikh: tapi kamu perlu ingat jutaan Muslim itu datang daripada pelbagai negara dengan bahasa yang sangat berbeza!

Si Kafir: kalau macam itu mustahil untuk mereka beratur lurus dan berdiri membuat barisan yang teratur!!

Kemudian waktu mendirikan solat pun masuk, iqamah dilaungkan, dan imam Masjidil Haram, Syeikh Abdul Rahman As Syudais melafazkan "estawoo" = rapat dan luruskan saf!!

Dan dalam hanya beberapa sa'at, jutaan umat Islam dari pelbagai negara dengan bahasa yang berbeza dikeseluruhan pelusuk Masjidil Haram yang bertingkat itu berdiri memperbetulkan saf dan beratur cantik lurus tersusun - hanya dalam sekelip mata‫ !!‬

Lelaki Amerika bukan Islam itu terpegun dengan apa yang dilihatnya dihadapan televisyen, sesuatu yang tidak pernah dilihatnya, sesuatu yang tidak pernah terfikir olehnya boleh dilakukan, tetapi hakikatnya berlaku dengan kehendak ALLAH sebagaimana yang beliau saksikan sendiri didalam siaran langsung dari Masjidil Haram itu, lalu beliau terus berkata:‬

"Asyhadu alla ila ha illallah, wa asy hadu anna Muhammadar rosulullah"
Aku naik saksi tidak ada tuhan melainkan ALLAH, dan Muhmmad itu utusan ALLAH!!

Begitulah suatu keajaiban yang dikisahkan oleh Syeikh Yahya Al Yahya, semoga menjadi iktibar kepada kita. Satu persoalan besar yang ingin saya tanya diri saya dan saudara/i semua, berapa ramaikah golongan kafir yang pernah mendengar seruan kita kepada mereka supaya menyembah hanya kepada ALLAH yang Maha Esa! Ingatlah, kerja da'wah itu tugas dan tanggungjawab kita, dan itulah tugas yang telah Rasulullah saw laksanakan dengan sempurna dan penuh kejayaan.

Ingatlah tanggungjawab kita menyampaikan, yang menentukan hidayah hanyalah ALLAH swt.

Tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Wallahua'lam dan wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
25 Zulqaedah 1431
02 Nov 2010

Tiada ulasan: