Rabu, 3 November 2010

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Gema Suara Rakyat Tuntut Perubahan

Posted: 03 Nov 2010 12:43 AM PDT

Dari Harakah

Para pengundi sekalian wajar menggunakan kesempatan dalam pilihan raya kecil (PRK) esok untuk menjadi hakim yang adil dalam satu proses demokrasi.

Justeru, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru mereka agar hendaklah memilih untuk bersama dengan PAS di Galas dan PKR di Batu Sapi untuk kesejahteraan rakyat dan masa depan yang lebih baik.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Saya ingin melahirkan perasaan amat gembira di atas kesempatan untuk bertemu mata dan mengunjungi penduduk di kawasan Pilihan Raya Kecil Dun Galas, Kelantan dan kawasan Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah sepanjang tempoh kempen pilihan raya di kedua-dua kawasan yang berhadapan dengan pilihan raya kecil ini.

Apa yang boleh saya simpulkan ialah: Para pengundi sekalian wajar menggunakan kesempatan ini untuk menjadi hakim yang adil dalam satu proses demokrasi bagi memilih untuk bersama dengan PAS di Galas dan PKR di Batu Sapi pada hari esok Khamis, 4 November 2010 untuk kesejahteraan rakyat dan masa depan yang lebih baik.

Kepada pengundi di DUN Galas: Kita sudah melihat kejayaan PAS memerintah Kelantan selama 20 tahun terbukti menerusi kepimpinan beramanah dalam menguruskan hasil negeri, menguruskan pentadbiran dan melaksanakan pembangunan seimbang kepada seluruh rakyat. Tidak ada sebarang kes rasuah atau salahguna kuasa melibatkan kepimpinan kerajaan negeri. Ia berbeza sama sekali dengan pemerintahan Barisan Nasional yang begitu mendarah daging dengan kes rasuah.

Oleh itu, sewajibnya pengundi di Galas memberi undi kepada PAS bagi meneruskan usaha pentadbiran kerajaan negeri membina kemajuan kepada seluruh masyarakat ketahap yang lebih baik.

Buat pengundi di Parlimen Batu Sapi: Tuan puan sekalian sudah melihat bagaimana penyakit pemerintah yang tidak amanah telah berlaku sehingga menyebabkan Sabah yang asalnya adalah sebuah negeri yang kaya dengan hasil buminya, tetapi telah dipinggirkan oleh kerajaan BN dari sudut kemudahan asas dan infrastruktur.

Jalan raya, bekalan air dan elektrik yang belum selesai dalam keadaan negara sudah merdeka lebih 50 tahun. Maka amanah untuk memimpin rakyat ini harus diberikan kepada Pakatan Rakyat.

Suara rakyat di Batu Sapi khususnya mestilah didengarkan di Parlimen tanpa ada sekatan dan kebimbangan jika wakil rakyat yang dipilih daripada Pakatan Rakyat. Jika Barisan Nasional terus diberi pilihan, maka suara mereka tidak bebas di parlimen kerana tertakluk kepada kehendak parti pemerintah.

Sekian. Terima kasih.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS.

Pincangnya Pengurusan Kewangan Negara:Sampai Bila Mahu Begini?

Posted: 03 Nov 2010 12:37 AM PDT

Oleh Dr.Zulkefly Ahmad

Laporan Ketua Audit Negara (KAN) 2009 lewat dibentangkan kali ini. Selalu ia mendahului atau bersekali dengan Bajet. Apa jua di sebalik muslihat PM Najib membentangkannya kemudian termasuk ianya tidak mahu membayangi Bajet atau Program Peralehan Ekonomi (ETP)-nya, yang pasti ia tidak mengizinkan Ahli Parlimen menggunakan fakta dan maklumat laporan audit dalam perbahasan Bajet 2011.

Walau apa pun, buat kesekian kalinya, Laporan Ketua Audit Negara terus mendedahkan bahawa pentadbiran dan pengurusan kerajaan ini masih belum bebas dengan kepincangan, ketirisan bahkan kebocoran akibat ketidakatuhan, penyalahgunaan kuasa atau paling parah lagi rasuah. Ini melibatkan Kementerian-kementerian Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri, jabatan-jabatan, agensi-agensi dan badan-badan berkanun.

Yang paling penting bagi rakyat umum ialah “Apakah negara ini lebih baik sekarang atau lebih parah lagi dari laporan audit sebelumnya?” Di semua segi khususnya pengurusan perbendaharaan dan wang rakyat dari pelbagai cukai langsung seperti pendapatan, cukai tidak langsung, hasil bukan cukai dan sebagainya. Rakyat ingin tahu. Laporan Audit Negara menceritakan kesemua.

Secara tidak langsung pula umum mengetahui bagaimana tanggapan dunia terhadap prestasi negara dalam hal ini. Contoh ukuran adalah menggunakan kajian oleh pihak antarabangsa contohnya Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Terkini, mengikut dapatan Transparency International (TI-Malaysia), Malaysia mengalami penurunan markah CPI dari 4.5/10 turun 4.4/10. Markah penuh ialah 10 dan 0 paling marah. Kedudukan negara kini tetap pada tangga 56/178.

Laporan Ketua Audit Negara 2009

Di samping menggegarkan rakyat dengan hutang awam ke paras RM362.39 bilion atau bersamaan dengan RM 53.7% KDNK, Laporan Ketua Audit Negara terus membariskan pelbagai kepincangan dan keitirisan. Yang baik ada, samada di Pusat mahupun negeri. Pencapaian-pancapaian itu semua mungkin perlu diiktiraf. Itu memang sepatutnya maka tidak perlu disanjungi sangat. Ya, mereka perlu dicontohi. Namun ia bukan tajuk penulisan ini.

Yang buruk, jelek dan bobrok tidak reda dan masih menebal. Terlalu kelaziman sehingga terbudaya. Ini yang paling ditakuti pemimpin di semua peringkat.

Kalau Laporan Audit Negara dalam 2005 pernah mendedahkan tentang kepincangan awal PKFZ, kini ada satu kes persis PKFZ 2.0. Amat malang ketika didedahkan tentang PKFZ dahulu tidak ada siapa pimpinan kerajaan pun mahu bertindak. Pembangkang memekik macam nak keluar anak tekak seperti veteran Lim Kit Siang. Baru-baru ini sahaja semuanya terlondeh, setelah hilang berbilion RM.

Kes Pengurusan Pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Tuna Malaysia melibatkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bernilai RM243.38 juta adalah “skandal PKFZ dalam bikinan” – “scandal in the making”. Jalan cerita lebih kurang sama.

Projek usahama LKIM dengan Bindforce Sdn Bhd melalui penubuhan Malaysian International Tuna Port Sdn Bhd (MITP) pada 12 April 2004.

Bindforce Sdn Bhd memegang ekuiti 60% bernilai RM29.05 dan LKIM memegang 40% bernilai RM11.62 juta malaui sewaan tanah LKIM seluas 20 ekar yang bakal dibangunkan. Perjanjian konsesi penswastaan secara Bina-Operasi-Pindah (BOT) selama 30 tahun.

38 juta yang dibiayai bentuk bon daripada OSK Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad. Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) mengeluarkan surat sokongan kepada OSK Trustee Berhad pada 15 September setelah mendapat pandangan Penasihat Undang-undang MOA.

LKIM mengeluarkan “Letter of Undertaking” yang menyatakan dalam Klausa 24 perjanjian konsesi akandikuatkuasakan apabila terdapat “event of default” berlaku di pihak MITP.

Pada 6 Januari 2010, OSK Trustees mengisytiharkan “event of default” terhadap MITP. OSK menuntut sejumlah RM208.62 juta termasuk faedah. Kerajaan perlu tanggung RM83.45 juta iaitu ekuiti sebanyak 40% di dalam MITP. Perpindahan ekuiti itu juga tidak diambil tindakan oleh MITP.

Implikasi kewangan kini ialah jelas – tanggung pinjaman bon (RM83.45 juta), surat sokongan merupakan liabiliti kepada kerajaan Pusat dan tanah LKIM seluas 20 ekar tidak dapat dituntut kembali kerana telah dicagari MITP dan syarikat MITP kini tidak aktif.

Berapa banyakkah projek-projek ETP dan RMK serta Bajet 2011 yang akan diberi “jaminan undertakings” oleh Kerajaan Pusat dalam apa yang kononnya ialah Inisiatif PPP atau Public-Private Partnership Iniatives?

Kesemua ini adalah “off-balance-sheet” budgetting yang akan berakhir dengan perbelanjaan kerajaan Pusat juda dan pastinya “Pelebaran Desifit Fiskal”!

Selainnya secara terpilih dari (tidak termasuk dari JPM, Pertahanan, Imigresen dsbnya)

Dana Suntikan Fiskal dalam tahun 2008, disalahgunakan untuk membeli barang-barang mewah, contohnya pembalian Candelier, home-teater, karpet, sofa set di Penakalan Udara Labuan yang menelan RM301,900.

KTMB pula, disebabkan kos operasi dan segala kelemahan pengurusan, telah mengalami kerugian tiga tahun berturut-turut serta menanggung kerugian sebanyak RM1.45bilion. KTMB mendapat empat kali suntikan dana dari kerajaan Pusat sebanyak RM500 juta. KTMB kini mahukan hutang mereka ditukar sebagai pegangan ekuiti kerajaan dalam KTMB.

Tabung PTPTN pula dilaporkan memberi RM23.78 juta kepada 16,013 pelajar tanpa mereka memohon pinjaman tersebut yakni tidak menandatangani perjanjian untuk membayar kembali pinjaman ini. Kini dilaporkan bahawa PTPTN sedang menanggung hutang tak berbayar sejumlah RM45.98bilion.

Pengeluaran tidak sah yang melibatkan RM435,850 juga meninggalkan tanggapan buruk oleh pencarum dan bakal pencarum terhadap institusi Tabung Haji.

Amat memalukan apabila laporan Ketua Audit mendedahkan bahawa terdapat amalan pembekalan makanan yang sub-standard di sekolah dan di hospital. Contohnya di Sekolah Jeroko di Lahad Batu, membekalkan sandwich yang tak ada sardin, salad dan tomato. Pelajar-pelajar malang ini hanya dibekalkan roti bersapu margerin sahaja.

PEMANDU yang mendapat peruntukan RM40 juta (?), perlulah memandu dan memantaulah sikit-sikit demi tumbesaran generasi masa depan ini kearah Malaysia Maju 2020(?).

Sampai Bila Mahu Begini?

KEADILAN Komited Mengangkat Martabat Rakyat

Posted: 03 Nov 2010 12:32 AM PDT

Dari Suara Keadilan

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekiranya Pakatan Rakyat diamanahkan untuk menubuhkan kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum ke-13, beliau berjanji untuk menurunkan harga minyak keesokkan harinya.

Anwar menegaskan ini bukan janji manis atau cakap kerana sebagai bekas Menteri Kewangan yang memegang jawatan itu selama lapan tahun, beliau tahu keuntungan hasil pendapatan mampu menampung keputusan yang bakal dilaksanakan itu.

“Saya tahu di mana wang disimpan, keuntungan Petronas sahaja melebihi RM70 bilion setahun, malah royalti minyak Sabah mencecah RM1.2 bilion tetapi harga minyak tetap dinaikkan tanpa ada belas kasihan kepada rakyat bawahan. Minyak banyak tapi harga naik.

“Adalah mustahil Umno-BN mengatakan tidak ada peruntukan untuk membantu rakyat miskin sampai jeti dan jambatan roboh di Batu Sapi. Kita berjanji sekiranya kita tubuh kerajaan di Putrajaya kita merubah semuanua ini dalam tempoh dua tahun,” tegas Anwar di hadapan lebih 1,000 penduduk Kampung Bahagia yang merupakan kubu kuat BN.

Atas dasar ini Anwar berkata beliau terus melawan Umno-BN yang mengabaikan derita rakyat serta mengkayakan kroni dan kaum kerabat mereka.

Beliau memberitahu hadirin jentera umno sedang membuat lawatan sambil mengedarkan ‘hadiah’ menjelang pembuangan pada 4 November.

“Itulah Umno, dia datang terhegeh-hegeh beri hadiah dan duit, kemudian minta mengundi kita mereka. Apa dia ingat kita kuli, hamba dia? Kita rakyat merdeka.

“Bila mereka (umno) datang beri beras, ambil! Dia beri zink satu, minta sepuluh! Dia bagi wang, ambil! Bila masa mengundi nanti, ingat, pangkah KEADILAN!” kata beliau diikuti sorakan hangat dari penduduk.

Menegaskan pendirian beliau, Anwar berkata Umno-BN melalui jentera kerajaan telah mencuba sedaya-upaya untuk menghalang perjuangan beliau.

“Umno-BN takut dengan saya kerana perjuangan saya membela rakyat. Dia mahu tangkap, biar dia tangkap. Dia pukul, memang dia pukul saya. Dia telanjang, biar! Dia penjarakan saya, tak apa tetapi bila saya keluar penjara, lawan tetap lawan!” tegas beliau diikuti sorakan meriah.

Ceramah Anwar diteruskan dengan lawatan ke Kampung Bokara dengan sambutan kira-kira 200 penduduk menunggu di sebuah rumah penduduk tempatan.

“Jika kita berjaya menang Putrajaya, insya Allah dalam masa dua tahun kita akan rubah Sabah,” tegas beliau lagi.

Tiada ulasan: