Rabu, 3 November 2010

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Lintas Langsung Proses Pengundian PRK Batu Sapi

Posted: 03 Nov 2010 08:16 PM PDT

12.40pm: Lebih kurang 100 penyokong BN di luar sebuah lagi pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi - kawasan yang majoriti pengundinya bumiputera - masih lagi menunggu.


Mereka membawa sepanduk Tsen dan Najib sambil melaungkan "Hidup BN!" Namun penyokong PKR yang diketuai oleh exco Wanita Felicia Ling yang membawa sepanduk Ansari tidak memberi tindakbalas dan suasana dilaporkan tenang. Tiada ketegangan di antara kedua-dua kumpulan.

12.00pm:
Seramai 9,261 pemilih atau 36.2 peratus telah keluar mengundi pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya.

11.00am: Jumlah yang keluar mengundi setakat ini adalah 28.59 peratus atau 7,313 orang. 

10.55am: Hujan renyai-renyai di sekitar pusat pengundian SMK Agama - pekerja dan penyokong parti masing-masing berlari mencari tempat teduh.

Hujan berhenti kira-kira 10 minit kemudian tetapi awan jelas masih kelihatan menunjukkkan tanda-tanda hujan lebat tidak lama lagi

10.24am: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula tiba dengan diiringi oleh Ketua Menteri, Sabah, Datuk Seri Musa Aman, di SMK Agama.

Beliau bergegas meninggalkan pusat itu dan dijadual mengadakan sidang media di ibu pejabat polis di Sandakan pada jam 1 petang nanti.

10.29am: Jumlah keluar mengundi sehingga jam 10 pagi adalah 23.05 peratus atau 5,897 orang.

10.03am: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tiba di SMK Agama di Taman Mawar dengan pegawainya untuk memantau perkembangan di pusat pengundian.

9.56am: Calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin tiba di perhentian pertamanya diSMK Agama di Taman Mawar, dengan diiringi naib presiden PBS, Dr Yee Moh Chai dan ADUN Sekong Samsudin Yahya. Dengan tenang,

9.47am: Menurut SPR, peratus yang telah keluar mengundi setakat jam 9 pagi adalah 14.68 peratus (3,756 undi).

9.36am: Di SJK(C) Cheng Min dan SK Bandar Sandakan, dua pusat pengundian majoriti masyarakat Cina yang terletak bersebelahan di atas bukit di bandar Sandakan, jumlah yang keluar mengundi dilaporkan amat memberangsangkan. Bas mini tidak putus-putus datang menghantar pengundi ke pusat pengundian di kaki bukit berkenaan. Kira-kira 30 pekerja BN terus berada di sana sambil disaksikan oleh sekumpulan kecil penyokong PKR. Tiada lagi perlumbaan menjerit slogan ke arah satu sama lain.

9.06am: Penyokong BN dan Pakatan Rakyat mula melaungkan slogan masing-masing sambil mengibarkan bendera parti serta sepanduk calon masing-masing di sepanjang jalan menuju ke pusat pengundian di SMK Agama di kawasan majoriti Cina, Taman Mawar.

8.55am: Berlaku kesesakan jalan raya di sepanjang Jalan Batu Sapi, menuju ke pusat pengundian. Ia akibat kenderaan termasuk bas mini yang digunakan bagi menurunkan pengundi. Pihak polis sibuk mengarahkan lalu lintas di beberapa persimpangan tetapi keadaan masih belum pulih.

8.41am: Yong Teck Lee tiba kawasan pengundian pertama di SMK Agama Taman Mawar. Beliau, seperti pencabarnya Linda Tsen Thau Lin dan and Ansari Abdullah, bukan pemilih di kawasan tersebut.

8.15am: Di SMK Agama Sandakan di Taman Mawar - salah satu pusat pengundian terbesar - hanya beberapa orang sahaja yang turun mengundi. Ia merupakan kawasan majoriti Cina.

8.00am:
Cuaca baik mengiringi pemilih bagi membuat keputusan di 12 pusat pembuangan undi DUN bawah parlimen Sandakan, Sabah. Kesesakan jalan raya mula berlaku di depan pusat pengundian SMK agama di Taman Mawar apabila pemilih bula bergerak. 
 
Bagi DUN ini, berlaku pertembungan tiga penjuru antara calob Linda Tsen Thau Lin (BN), Yong Teck Lee (SAPP) dan Ansari Abdullah (PKR)

Daripada 12 pusat pengundian, dua akan ditutup lebih awal - satu pada jam 3 petang dan satu lagi pada jam 4 petang - disebabkan jumlah pemilih yang kecil di kawasan tersebut. Semua peti undi lain ditutup pada jam 5 petang.

Sebelas sekolah dipilih sebagai tempat pengundian manakala sebuah lagi perpustakaan daerah digunakan.

Seramai 24,047 pemilih biasa dijangka mengundi hari ini setelah pengundian pos diadakan pada Selasa dan semalam.

SPR dijangka mengumumkan keputusan pilihan raya kecil Batu Sapi pada jam 8 malam dengan penjumlahan undi dilakukan di Dewan Masyarakat Sandakan.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi, di mana 15,099 atau 59.02 peratus adalah Bumiputera Islam, 689 atau 2.69 peratus adalah Bumiputera bukan Islam, 9,737 atau 38.06 peratus ialah pengundi Cina dan 57 atau 0.22 pengundi kaum lain.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu.

Lintas Langsung Proses Pengundian PRK N.45 Galas

Posted: 03 Nov 2010 08:05 PM PDT

GUA MUSANG, 4 Nov: Sebanyak 9.93 peratus pengundi telah keluar mengundi pada sekitar satu jam pusat pengundian dibuka pada PRK Dun Galas.

Menurut maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi Jabatan Penerangan, jumlah itu tidak membabitkan pusat pengundian Pos Brooke, Hendrop, Belatim, Balar, Bihai dan Ladoi yang melibatkan masyarakat Orang Asli.

Sejumlah 11,426 pemilih berdaftar bagi Dun Galas membuang undi bermula jam 8.00 pagi ini.

12.30pm: Jalan di pekan Gua Musang masih sesak dengan kenderaan.

12.27pm: Sehingga jam 12, peratus keluar mengundi sebanyak 49.61 peratus. Seramai 5732 orang telah mengundi.

12.20 pm: Biarpun cuaca mula panas menjelang tengahari, sebahagian besar penyokong masih tidak berganjak dari tempat pembuangan undi. Pengundi juga masih bertali arus menjelang tengahari.


11.50am: Seorang anggota polis menyifatkan suasana pengundian di SJK (C) Cawangan Pulai sebagai paling aman.

Hanya sedikit penyokong dari kedua-dua parti tertumpu di sini. Jumlah pengundi di lokaliti SJK (C) Cawangan Pulai adalah 471 orang.

11.35am: Sehingga 11 pagi, jumlah keluar mengundi di Galas sebanyak 4,589 orang atau 39.72 peratus (tidak termasuk enam kawasan Orang Asli).

11.30am: Cuaca di Galas mulai cerah. Dijangka pengundi lebih ramai keluar sesi petang ini. "Orang tak ramai lagi pagi ni sebab orang sini keje sendiri pagi ni, petang ramai la ni," kata seorang pengundi di sini.


11.00am: Pondok panas PAS di kawasan luar SK Seri Wangi penuh dengan pengundi yang mahu mendapatkan maklumat pengundian.

10.58am: Setakat 10 pagi, peratusan keluar mengundi sebanyak 24.02% (2775), tidak termasuk 6 kawasan Orang Asli.

10.57am: Anggota Mafrel dilihat melakukan soal selidik kepada penyokong kedua-dua parti di Sek Keb Gua Musang dan Sek Keb Sungai Terah.

10.55am: Suasana sekitar pembuangan undi masih terkawal. Di SK Sri Wangi, kedua-dua penyokong masih bersemangat merayu undi. Mereka bagaimanapun dikawal pihak polis. Pagi tadi sudah berlaku kekecohan di sini sehingga pasukan FRU dikerah berkawal.Keseluruhan Batu Papan 542.

Pengundi di sini adalah antara paling ramai dengan jumlah 542 orang pengundi.

10.15am: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa bertemu dengan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan di SK Tengku Muhammad Fakri.

10.02am: Menurut seorang pegawai SPR, sehingga jam 9.50, peratus keluar mengundi di Sg Terah hampir 300 orang daripada 1,912 orang yang layak mengundi. Beliau menjangkakan 400 akan turun menjelang jam 11.

10.00am: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad melawat pusat pengundian Sek Keb Gua Musang.

9.50am: Berlaku sedikit kekecohan di sini apabila kedudukan penyokong kedua-dua parti terlalu rapat sehingga memerlukan campur tangan pihak polis.

9.45am: Di pusat pengundian Sek Keb Gua Musang penyokong kedua-dua parti mula berbalas sorakan.Penyokong BN berbaju merah memegang sepanduk "PAS pembohong" manakala penyokong PAS "memegang sepanduk "Minyak naik lagi?".

9.40am: Polis mengarahkan penyokong BN menurunkan kain rentang memfitnah calon PAS selepas dibantah penyokong Pakatan Rakyat.

9.35am: Dr Zulkefli tiba di Calon smpai Sek Keb Sri Wangi.

9.31 am: Calon PAS dalam perjalanan menuju ke kawasan membuang undi di Pulai.

9.30 am: Calon PAS, Dr Zulkefli ketika ditemui Harakahdaily menyeru kepada pengundi Galas agar keluar awal menunaikan tanggungjawab ekoran cuaca tidak menentu dan dijangka hujan petang ini. "Saya menyeru semua pengundi keluar awal, kita risau kalau hujan turun, akan mengganggu perjalan kita untuk membuang undi."

9.25 am: Penyokong BN sedang bersorak 'hidup Umno' manakala penyokong PAS sedang berzikir diselangi laungan takbir.

9.20 am: Di Sek Men Kebangsaan Tengku Indra Petra 1, Polis bertindak menjarakkan kedudukan kedua-dua penyokong di sebelah menyebelah jalan bg mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

9.15 am: Ketika ditemubual oleh Stesen Astro Awani, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz menyeru semua masyarakat di Dun Galas mengundi parti yang memperjuangkan Islam. Beliau juga menyeru semua penyokong mengelak dari terlibat sebarang provokasi yang boleh mencetuskan pergeseran antara penyokong kedua-dua belah pihak. "PAS sudah buktikan kita bukan parti buat kacau, kita bergerak secara 'wasata' (sederhana)," katanya yang juga Mursyidul Am PAS.

9.10 am: Calon PAS bersama Menteri Besar baru sahaja beredar dari pusat pembuangan undi Sek Men Kebangsaan tengku Indra Petra 1.

9.05 am: Berlaku kekecohan antara perayu undi dan penyokong di hadapan pusat pembuangan undi di Sek Men Kebangsaan tengku Indra Petra 1.

9.00 am: Proses pembuangan undi berlangsung dalam keadaan tenang, manakala cuaca di Galas mula mendung dan hujan gerimis mula turun.

8.40 am: Pengundi mula ramai keluar menunaikan tanggungjawab, ekoran cuaca redup di waktu pagi dan dikhuatiri hujan petang ini.

8.20 am: Terdapat pondok panas kedua-dua pihak, namun didirikan lebih 100meter dari tempat pembuangan undi.

8.15 am: Berlaku sedikit kekecohan apabila penyokong dan perayu undi BN tidak mahu berganjak dari kawasan pintu pagar sekolah setelah diarah pihak polis. Penyokong kedua-dua belah pihak diminta berada pada jarak lebih 50meter dr pintu masuk tempat pembuangan undi.

8.10 am: Calon bersama Menteri Besar beredar dari pusat pembuangan undi di sini dan akan ke Sek Cina di Kampung Baru.

8.07 am: TG Datuk Nik Abdul Aziz tiba di Sek Ren Keb Tengku Muhammad Fakri.

8.05 am: Dr. Zulkefli tiba di pusat pengundian Sek Keb Tengku Muhammad Fakri, Sungai Terah.

7.40 am: Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dijangka melawat tempat pembuangan undi di Sek. Keb. Tengku Muhammad Fakri, Sungai Terah. Turut serta menemaninya, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Jemputan Pelancaran Bersih 2.0 Pada 10 November 2010 di Dewan Sivik MPPJ

Posted: 03 Nov 2010 02:00 AM PDT

BERSIH 2.0 - PILIHANRAYA BERSIH & ADIL

Salam,

JEMPUTAN PELANCARAN BERSIH 2.0
BERSATU DAN MELANJUTKAN REFORMASI PILIHAN RAYA

Kami, jawatankuasa induk BERSIH 2.0 ingin menjemput anda/organisasi anda untuk bersatu bersama-sama kami dalam melanjutkan usaha ke arah  pilihanraya bersih dan adil. Banyak lagi yang perlu dilaksanakan dan BERSIH 2.0 memerlukan sokongan dan bantuan anda dalam memastikan misi Malaysia yang demokratik menjadi realiti.

BERSIH 2.0 percaya hanya menerusi pilihanraya yang bersih dan adil sahaja seseorang warganegara mampu mengenalpasti hala tuju mereka dan berharap pihak yang dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan sesebuah pemilihan itu bertindak dengan telus dan berkesan. Perjalanan untuk reformasi pilihanraya adalah ranjau dalam proses demokrasi, termasuk kedaulatan undang-undang dipulihara, hak asasi manusia dilindungi, urustadbir baik dan pengelastarian di dalam pembangunan Negara.

Sebagai waraganegara kita boleh menjadikan impian ini satu kenyataan. Isu-isu utama dalam reformasi pilihanraya termasuk:

  1. Pembersihan sepenuhnya senarai pemilih bagi memastikan sebarang penipuan disisihkan dan senarai pemilih yang penuh dengan integriti.
     
  2. Penggunaan dakwat kekal (seperti yang dijalankan di Indonesia dan India) bagi menghalang pengundian berganda.
     
  3. Reformasi dalam pengundian pos dengan memansuhkan senarai pemilih yang berasingan yang sedia ada bagi pengundi-pengundi pos dan juga untuk menjadikannya sistem yang lebih fleksibel bagi semua pengundi – di dalam mahu pun di luar Negara , dengan alasan munasabah untuk memilih untuk menjadi pengundi pos.
     
  4. Akses media yang bebas dan adil untuk kesemua parti yang bertanding, termasuk: (a) akses bebas terhadap media milik kerajaan terutamanya televisyen dan radio; (b) akses pembayaran (iklan politik) adil di dalam media swasta; dan (c) peruntukan di dalam hak untuk menyerang balas terhadap kesemua parti yang bertanding dan wakil-wakil yang bertanding yang sebelumnya mendapat liputan negatif di dalam laporan-laporan berita.
     
  5. Tempoh kempen minima 21 hari
     
  6. Amalan-amalan adil dan professional dalam persempadanan kawasan supaya mengurangkan pembahagian yang tidak adil (malaportionment, gerrymandering) yang seterusnya menyebabkan pembahagian kerusi dan undi yang tidak seimbang.
     
  7. Pendaftaran otomatik untuk semua pengundi yang layak.
     
  8. Pengurangan kelayakan umur pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun.
     
  9. Reformasi dalam urusan kewangan pilihanraya bagi memastikan ketelusan dan menghadkan kecenderungan terhadap politik wang.
     
  10. Pentadbiran yang tidak berat sebelah di semua peringkat kerajaan sebelum, selepas dan semasa pilihan raya umum atau kecil, untuk badan perundangan di peringkat persekutuan dan negeri.
     
  11. Memperjuangkan hak semua pelajar berumur 18 tahun ke atas untuk mengambil bahagian dalam politik di dalam dan di luar kampus.
BERSIH 2.0 menghargai sumbangan yang dicurahkan oleh kumpulan awal BERSIH dengan agenda reformasi mereka. BERSIH 2.0 kini dilancarkan sebagai gabungan kumpulan masyarakat yang tidak berpartian. Ia merupakan sebuah gerakan rakyat biasa yang ingin memastikan hak kepada pilihanraya yang bersih dan adil seperti yang dijamin oleh undang-undang. Undian dan suara kita mestilah diutamakan.

Butir-butir pelancaran seperti berikut:

Tarikh       :    10 November 2010 (Rabu)
Masa        :    8.30 mlm. – 10.30 mlm.
Tempat     :    Dewan Sivik PJ, Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya.

Sila panjangkan jemputan kepada ahli-ahli dan rakan anda ke pelancaran Bersih 2.0. Untuk maklumat lanjut, sila berhubung dengan Nurul di 03-77844977.

 
Yang benar,

Dato' Ambiga Sreenevasan

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Induk



BERSIH 2.0 terdiri daripada:
Dato' Ambiga Sreenevasan, (Pengerusi), Andrew Khoo, Arumugam K., Dr Farouk Musa, Haris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Datuk Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin.

Tiada ulasan: