Selasa, 23 November 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Bumbung Parlimen bocor lagi

Posted: 23 Nov 2010 12:13 AM PST

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Rata-rata Ahli Parlimen dan petugas media hari ini terkejut apabila bumbung bangunan parlimen bocor lagi.

Kebocoran kali ini berlaku di bahagian bumbung kafetaria Ahli Parlimen yang terletak bersebelahan dewan rakyat.

Kebocoran disedari seawal jam 2.50 petang ketika sidang Dewan Rakyat baharu sahaja bermula kira-kira 20 minit selepas berhenti rehat.

Air mengalir keluar dari bumbung sehingga sebahagian kafetaria ditutup.

Hujan lebat mula turun kira-kira jam 1 petang, namun begitu punca sebenar kebocoran belum dikenalpasti.

Kebocoran membabitkan bagunan di Parlimen pernah dua kali berlaku iaitu pada Mei 2008 akibat kebocoran saluran air di laluan ruang legar Dewan Rakyat.

Insiden yang hampir sama pernah beberapa kali berlaku iaitu pada April 2010, Mei 2008 dan April 2005.

Bangunan Parlimen mula diubah suai pada awal tahun 2004 dengan kos RM80 juta melibatkan kerja-kerja mengubah suai Dewan Rakyat, Dewan Negara, lobi serta dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan termasuk teknologi maklumat.

Kerja-kerja ubah suai masih dilakukan terutama di dalam Dewan Negara dan beberapa bahagian lain di tingkat bawah bangunan Parlimen.

Pada 28 April 2005, masalah kebocoran bumbung di Parlimen ketika sidang Dewan Rakyat berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang kecil iaitu penutup kabel elektrik (cable trunking) pada bahagian bumbung Dewan Rakyat menghalang pengaliran air hujan.

Ekoran itu, air hujan yang terhalang telah mengalir melalui bahagian 'kanvas PVC' yang digunakan dalam pemasangan penyedut asap yang terkopak dan kemudian terus masuk ke dalam dewan.


Sumber: Harakahdaily

Anti ISA: Jurufoto polis hanya jalan tugas

Posted: 23 Nov 2010 12:00 AM PST

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Perbicaraan 29 tertuduh kes himpunan anti-ISA, 1 Ogos tahun lalu masuk hari kedua hari ini yang bermula dengan menyambung soal balas saksi pertama, Koperal Nizam Yahya, iaitu jurufoto polis Bukit Aman yang diarah mengambil gambar himpunan di sekitar Masjid Negara.

Manakala saksi kedua, Sarjan Mujni yang juga bertugas sebagai jurufoto di Bukit Aman ditugas mengambil gambar di sekitar kompleks Sogo.

Kedua-dua saksi memberitahu mahkamah, menerima arahan dari pegawai atasan untuk mengambil gambar di kawasan yang ditetapkan.

Ketika ditanya peguam, Sarjan Mujni bersetuju bahawa beliau hanya menjalankan tugas mengambil gambar dan tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Kesemua mereka dituduh secara berasingan dengan beberapa pertuduhan, namun dibicarakan bersekali kerana pertuduhan hampir sama.

Antara pertuduhan tersebut mendakwa mereka terlibat sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang bertujuan melakukan mudarat awam, di kawasan letak kereta di belakang Masjid Negara pada jam 9 pagi, 1 Ogos lalu.

Kesalahan tersebut boleh dihukum mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Turut hadir melawat orang kena tuduh (OKT) di Mahkamah Sesyen Jenayah hari ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Manakala dalam perbicaraan semalam, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anuar diarah keluar dari bilik mahkamah.

Hakim, Ainul Shahrin Mohamad membuat arahan itu kerana mendakwa Nurul Izzah 'membuat bising' semasa perbicaraan sedang berjalan.

Pada 1 Ogos lalu, kira-kira 20,000 orang membanjiri ibu negara menyertai perhimpunan anti-ISA anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Mereka berhimpun di kompleks membeli-belah Sogo, sekitar Masjid Jamek, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Dataran Merdeka, Masjid Negara serta di perkarangan Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut.

Perhimpunan itu juga bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Himpunan itu bagaimanapun berdepan anggota polis yang melepaskan tembakan gas pemedih mata serta tembakan meriam air serta membuat tangkapan bagi meleraikan orang ramai.

Perhimpunan itu berakhir jam 3.45 petang dengan 589 orang termasuk 44 remaja bawah umur 18 tahun dan 40 wanita ditangkap.

Dari jumlah itu, hanya 29 dituduh di mahkamah manakala yang lain dibebaskan.


Sumber: Harakah Daily

Pegawai Kanan Yayasan Selangor Direman Tujuh Hari

Posted: 22 Nov 2010 11:50 PM PST


SHAH ALAM 23 NOV: Seorang pegawai kanan Yayasan Selangor ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu perbelanjaan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 yayasan itu yang dikatakan melebihi RM300,000.

Menurut Bernama, perintah tahanan reman sehingga 29 Nov itu dikeluarkan oleh penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi Khairul Nizam Abu Bakar.

Pegawai berusia 40-an itu ditahan pagi semalam oleh SPRM berikutan pembabitannya sebagai pengerusi pengelola untuk majlis tersebut.

Sambutan ulang tahun yayasan berkenaan mendapat perhatian apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat baginda berangkat ke majlis itu kerana dukacita dengan kosnya yang dikatakan amat tinggi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar sebelum ini mendakwa kos majlis berkenaan menjangkau lebih RM800,000 dan sebahagian daripada jumlah itu sudah dibayar kepada syarikat yang diberi kontrak menganjurkannya.

Bagaimanapun Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mencabar Noh membuktikan kos yang didakwanya itu. Sehingga berita ini ditulis Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu masih gagal membuktikan dakwaan yang dibuatnya.

Khalid juga sebelum itu mengarahkan agar majlis itu dibatalkan dan mengalu-alukan siasatan oleh SPRM.

Untuk rekod sebelum ini Yayasan Selangor di bawah kerajaan Barisan Nasional tidak diaudit selama lima tahun bermula dari tahun 2005.


Sumber: TVSNEWS

Halang Anwar Keluar Negara: Saranan MP BN tidak wajar

Posted: 22 Nov 2010 11:43 PM PST


KUALA LUMPUR 23 NOV: Saranan Ahli Parlimen Umno-Barisan Nasional (BN) supaya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibenarkan keluar negara merupakan tindakan yang tidak wajar sama sekali.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian berkata tindakan ini menggambarkan ketakutan Ahli Parlimen BN dengan pendedahan yang dibuat oleh Anwar di luar negara.

"Kita tidak boleh sekat seseorang itu keluar negara kerana ia merupakan hak kebebasan setiap individu di negara ini.

"Kalau pemberita, wartawan menanyakan sesuatu perkara, beliau kena komen kerana beliau adalah Ketua Pembangkang walaupun pemikirannya berbeza dengan pemimpin BN," ujar Hee kepada Tv Selangor di lobi Parlimen, pagi tadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata Ahli Parlimen BN seharusnya menghindari daripada amalan yang akan menyebabkan masyarakat dalam dan luar negara mempersoalkan tindakan mereka.

"Pemimpin BN ini menganggap seolah-olah dunia luar daripada segi teknologi maklumat lebih terkebelakang daripada kita sedangkan mereka lebih maju daripada kita.

"Mereka boleh layari laman sesawang yang menyiarkan perbahasan di parlimen di negara kita dan mereka mempunyai pemikiran yang lebih cerdik dalam menilai tingkah laku pemimpin negara kita.

Justeru, pemimpin BN seharus menghalang diri mereka daripada melakukan keburukan dan politik yang tidak sihat yang akan menyebabkan keadaan ekonomi dan politik negara ini menjadi lebih buruk.

Semalam dalam perbahasan di parlimen beberapa wakil BN mengesa agar Anwar dihalang daripada keluar negara kerana pemimpin pembangkang yang berkarisma itu dituduh memburukkan nama negara sewaktu lawatannya keluar negara.

Tuduhan liar ini disabitkan dengan kritikan Anwar terhadap kerajaan sewaktu berada di Australia baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar A Kohilan Pillay berkata usaha pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab berkempen memburukkan nama baik negara dan menyebarkan fitnah serta persepsi salah mengenai Malaysia sememangnya melanggar kesetiaan kepada Raja dan negara.


Sumber: TVSNEWS

2,400 Perwakilan, 1,025 Pemerhati Dijangka Menghadiri Kongres PKR

Posted: 22 Nov 2010 11:39 PM PST


SHAH ALAM 23 NOV: Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan diadakan hujung minggu ini dijangka akan dihadiri perwakilan daripada kesemua 222 cabang, pemerhati, dan juga beberapa badan bebas.

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berkata seramai 2,400 perwakilan daripada keseluruhan 222 cabang PKR seluruh negara dijangka menghadiri kongres yang akan diadakan selama tiga hari bermula 26 November ini.

"Mesyuarat Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita akan diadakan pada 26 November diikuti Kongres Nasional parti pada 27 dan 28 November bertempat di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ)," kata beliau.

Beliau seterusnya memberitahu, seramai 1,025 pemerhati juga akan menghadiri kongres pada hujung minggu ini beserta wakil-wakil daripada parti-parti sahabat, badan-badan bebas, individu-individu penting dan juga wakil daripada duta-duta asing.

Kongres kali ini dijangka akan dihadiri ramai muka baru kerana menurut Saifuddin, daripada semakan awal pemilihan PKR yang tamat baru-baru ini mendapati hampir 60 peratus pimpinan cabang memperlihatkan pimpinan baru dengan pertambahan ketara penglibatan golongan muda dan wanita.

Saifuddin menjelaskan peratusan jumlah pengundi yang keluar mengundi semasa pemilihan adalah 13.56 iaitu kira-kira 30 ribu daripada jumlah ahli PKR seluruh negara, iaitu kira-kira 400 ribu ahli.

Beliau seterusnya menjemput pihak media agar mendaftar terlebih dahulu bagi membuat liputan kongres tetapi menegaskan Utusan Malaysia tidak akan dibenarkan membuat liputan.


Sumber: TVSNEWS

Kongres: PKR Parti Berbilang Kaum Dinamik dan Berdaya Saing

Posted: 22 Nov 2010 11:36 PM PST


SHAH ALAM 23 NOV: Parti Keadlian Rakyat (PKR) mmerupakan satu-satunya parti politik di negara ini yang bersifat berbilang kaum, yang dipegang teguh oleh pemimpinnya sejak penubuhan parti itu pada April 1999.

Dalam satu sidang media di ibupejabat PKR semalam, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata dalam kongres PKR yang akan diadakan hujung minggu ini, antara isu yang akan disampaikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail adalah berkenaan membina keutuhan dan juga keupayaan PKR sebagai parti berbilang kaum yang dinamik dan berdaya saing.

"Ini adalah satu-satunya parti politik yang bersifat multiracial(pelbagai kaum) di Malaysia sejak pelancaran pada April 1999, kita menawarkan keadilan sebagai parti multiracial dan selepas 11 tahun ia terbukti dicerminkan daripada keanggotaan pelbagai kaum.

"Tumpuan juga dalam ucapan presiden akan mengandungi komitmen PKR untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat(PR) sebagai satu alternatif yang berkesan bagi menyaingi Barisan Nasional," kata Saifuddin kepada media.

Beliau menjelaskan, ini terbukti dan dicerminkan melalui komposisi keanggotaan parti di mana pecahan keahlian parti mengikut kaum adalah 50 peratus kaum Melayu, 23 peratus India, 12 peratus Cina dan 15 peratus lagi terdiri daripada kaum etnik Sabah dan Sarawak.

"Tumpuan kepada ucapan presiden ini juga ialah bagi mengukuhkan lagi imej PKR sebagai parti masa depan yang melaksanakan beberapa inovasi baru termasuklah mengadakan sistem pengundian terus dan menjadikan PKR sebuah parti yang sebenar-benarnya berbilang kaum," jelas beliau.

Katanya lagi, sistem pengundian terus yang digunakan oleh PKR dalam pemilihan parti baru-baru ini merupakan satu inovasi yang belum pernah dibuat oleh mana-mana parti politik di negara ini di mana PKR telah memberanikan diri mengorak langkah memulakan proses ini.

"Sekaligus ucapan dasar presiden akan mengupas topik-topik berkenaan dengan pendidikan, ekonomi dan juga berkaitan dengan komitmen parti menangani isu-isu yang menyelubungi kaum Melayu seperti, versi melayu bermaruah dan sebagainya," ujar beliau.

Selain itu, beliau menjelaskan pimpinan PKR juga akan mengetengahkan kejayaan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat berkat polisi-polisi kerajaan PR yang sentiasa mendahulukan rakyat.


Sumber: TVSNEWS

Kongres: PKR Sedia Mencetus Lonjakan- Anwar

Posted: 22 Nov 2010 11:30 PM PST


KUALA LUMPUR 23 NOV: Jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersiap sedia mencetus lojakan pada kongres minggu hadapan bagi membawa gelombang perubahan demokrasi selepas selesai memilih kepimpinan semalam.

Perkara ini dilontarkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada media di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur semalam.

Beliau percaya tumpuan kongres lebih kepada persedian pilihanraya justeru optimis tumpuan masyarakat yang mula memandang parti sebagai pencetus perubahan dalam sistem pentadbiran negara kini.

"Sekarang pemilihan telah selesai dan kita akan menghadapi kongres. Tumpuan tentu kepada pilihanraya akan datang," jelas Anwar.

Tambahnya lagi, keraguan rakyat terhadap ketelusan demokrasi pemilihan kepimpinan PKR dianggap cabaran justeru membalas dengan penjelasan terbuka sekaligus menarik perhatian sejumlah besar masyarakat yang mencari pendekatan demokrasi mutlak baru.

Kepimpinan Johor menurut beliau sangat menggalakkan selain mempamerkan pendekatan yang amat unik.

Dalam temubual itu, Anwar turut menzahirkan rasa was-was kreadibiliti Zaid Ibrahim mencipta haluan politik baru di Malaysia justeru sinikal terhadap sokongan yang akan diterima bekas calon timbalan presiden PKR itu apabila mengorak langkah kelak.

"Tidak perlu saya untuk respon kepada beliau kerana dia (Zaid) belum menunjukkan senarai nama ahli baru yang beliau dakwa akan bersamanya," ujar beliau di sini.

Anwar turut berpendapat pejuang-pejuang rakyat yang ingin berlagak 'hooligan' tidak ada tempat dalam PKR justeru beliau memberitahu pendekatan PKR kini adalah memperkenalkan pemimpin-pemimpin muda.

"Untuk kongres minggu hadapan, kita akan tampil lebih kuat dengan memperkenalkan ahli pasukan baru terdiri daripada golongan pemimpin muda yang lebih profesional," kata beliau kepada media.

Anwar berkata beliau akan terus memimpin parti Pakatan Rakyat kerana yakin gabungan PAS dan DAP sedang memberi reaksi terbaik menperkukuh prinsip parti justeru akan memberi laluan mudah kepada pakatan pembangkang mengorak langkah membina sebuah kerajaan demokrasi tulen.

"Sehingga kini Pakatan Rakyat bersetuju cara kita membawa pendekatan ini, jadi kita akan teruskan. Kita akan mengadakan pertemuan Rabu ini untuk menghurai perjalanan akan datang dan saya rasa itu bukan isu. Melainkan Umno yang mahu saya keluar," jelas beliau lagi.

Anwar juga berpendirian tindakan Zaid meninggalkan parti bukan isu yang perlu diberi fokus. Beliau juga mengesa agar PKR lebih proaktif memperlihat kematangan justeru memberi kerjasama terbaik kepada jentera kepimpinan parti.

Ditanya padangan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ramalan PKR berjaya mengekalkan dua pertiga kerusi pada pilihanraya akan datang, beliau berkata PKR bersedia menawan dua negeri lagi.

"Pandangan beliau boleh dikatakan relevan pada ketika ini kerana pada 2008 dia fikir kita tidak akan berjaya sehingga kita buktikan ia salah. Jadi kita akan cuba dapatkan satu atau dua negeri lagi," kata beliau kepada media.

Sumber: TVSNEWS

Tiada ulasan: