Jumaat, 12 November 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Proses undi 12 cabang PKR berlangsung tanpa nama Zaid

Posted: 12 Nov 2010 12:47 AM PST

KUALA LUMPUR, 12 Nov — Pengundian pemilihan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) buat hari keenam hari ini — yang diteruskan walaupun ada desakan agar dibatalkan — sedang berlangsung dengan tanpa nama Datuk Zaid Ibrahim pada kertas undi bagi jawatan timbalan presiden.

Kertas undi baru yang sudah pun mengeluarkan nama Zaid, yang memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding Isnin lalu, siap dicetak awal pagi tadi untuk diedarkan kepada 12 cabang yang mengadakan proses pengundian hari ini.

Proses pengundian bermula 10 pagi tadi dan akan berakhir 4 petang ini.

Lapan daripada 12 cabang terbabit terletak di Kedah manakala baki empat di Kelantan.

Esok sebanyak 41 cabang akan mengundi, kebanyakannya di Lembah Klang dan negeri-negeri utara Semenajung dan beberapa lagi di Sarawak.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Molly Cheah berkata pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi tempoh 2010-2013 tetap diteruskan walaupun ada gesaan daripada kalangan anggota parti supaya ia ditangguh atau dibatalkan.

Dr Cheah berkata pemilihan itu tidak boleh dihentikan dengan begitu mudah semata-mata kerana ada pihak mendakwa berlaku kepincangan dalam sistem pemilihan.

Selasa lalu, Mustaffa Kamil Ayub yang juga Pengerusi PKR Perak berkata pembatalan dan perjalanan semula pemilihan di peringkat pusat adalah perlu kerana sehingga kini terdapat sebanyak 162 aduan telah dibuat terhadap kepincangan dan integriti JPP.

Pagi tadi, Mustaffa mengumumkan bahawa beliau tetap akan bertanding jawatan nombor dua itu walaupun dalam keadaan protes dengan kecacatan dan kelemahan yang belum diatasi sepenuhnya.

"Kertas undi yang digunakan mulai hari ini tidak ada nama Datuk Zaid, di mana kertas undi baru bagi jawatan timbalan presiden siap dicetak sekitar pukul 1 pagi tadi dan sempat dihantar ke semua cabang yang mengadakan pengundian hari ini," kata Pentadbir Pemilihan PKR Raden Shamsulkamar Raden Shamsudin ketika dihubungi The Malaysian Insider tengah hari ini.

Katanya, oleh kerana JPP hanya menerima notis daripada Zaid kelmarin, maka kertas undi baru tanpa nama beliau sebagai calon mula dicetak semalam dan siap awal pagi ini.

Berdasarkan pengundian lima hari pertama, Azmin Ali telah mengumpulkan 6,467 undi manakala Zaid di tempat kedua dengan 3,988 undi manakala Mustaffa pula 1,215 undi.

Zaid memutuskan untuk menarik diri atas dakwaan proses pemilihan diselubungi kecacatan dan manipulasi.

Pemilihan pusat yang berlangsung mulai 29 Oktober lepas secara berperingkat-peringkat akan berakhir 21 November ini. Ia disusuli dengan Kongres Nasional Tahunan PKR selama tiga hari mulai 26 November di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor.

Setakat 7 November lalu, sebanyak 87 cabang sudah selesai mengadakan pengundian bagi pemilihan jawatan pusat.

Pada keseluruhannya proses pengundian hari ini berjalan lancar, kata Raden Shamsulkamar yang turut menambah bahawa setakat tengah hari tadi, pihaknya ada menerima berapa aduan kecil mendakwa proses pengundian dijalankan dengan terlalu perlahan.

"Misalnya ada aduan bahawa pemberian kertas undi terlalu perlahan, ia tidak serius hingga melibatkan 100 orang (pada satu-satu masa), cuma lima hingga enam orang yang beratur (lama)... ini perkara biasa apabila nama-nama diperiksa dengan teliti," katanya.

Mengenai peratusan keluar mengundi, kata Raden Shamsulkamar, pihaknya telah meminta agar kepimpinan negeri dan cabang agar mempertingkatkan usaha bagi menggalakkan ahli-ahlinya keluar mengundi dalam jumlah yang banyak.

Wujud dakwaan bahawa peratusan keluar mengundi kemungkinan merosot ekoran tindakan Zaid menarik diri daripada bertanding.

Mengenai kertas undi dicetak malam tadi, Raden Shamsulkamar berkata, pihaknya mengeluarkan kertas undi pada anggaran sekitar 30 peratus berbanding jumlah keahlian di sesebuah cabang.

Sumber: Malaysian Insider

Ambil alih saham Star, MCA didakwa CBT

Posted: 12 Nov 2010 12:41 AM PST

Seorang ahli MCA hari ini membuat laporan polis supaya menyiasat kemungkinan berlaku pecah amanah oleh pemimpin parti itu berhubung pembelian 42.4 peratus saham dalam Star Publications (M) Sdn Bhd oleh badan pelaburannya.

Laporan polis itu dibuat oleh naib pengerusi MCA cawangan Bukit Pasar, Hui Huat di balai polis Seremban semalam.

Dalam laporannya, Hui mendakwa amalan MCA memiliki saham berkenaan daripada badan pelaburannya, Huaren Holdings, adalah bercanggah dengan perlembagaan parti.

"Pemindahan saham ini tidak mendapat kebenaran mesyuarat agung khas (EGM) MCA. Pembelian dan pemindahan saham adalah di atas arahan majlis presiden. Tetapi mengikut Artikel 47, Perlembagaan MCA, majlis presiden tiada kuasa membuat keputusan pembelian," laporan polis itu dipetik.

Katanya, pembelian itu juga tidak mendapat pengesahan Jawatankuasa Pusat MCA, seperti yang disyaratkan oleh Artikel 45.9 perlembagaan parti berkenaan.

"Oleh hal demikian, pembelian ini adalah satu penyelewengan kuasa yang tidak dibenarkan di bawah Perlembagaan MCA. Transaki pembelian saham ini adalah void ad initio dan satu tindakan pecah amanah terhadap ahli-ahli MCA," katanya lagi dalam laporan itu.

Menurut Hui, keputusan parti memiliki saham daripada Huaren Holdings yang dimiliki sepenuhnya oleh parti itu sebenarnya adalah tindakan yang tidak diperlukan dan sehubungan itu, mencurigakan.

Katanya, kegagalan mengadakan EGM bagi membahaskan perkara itu, juga melanggar tanggungjawab fidusiari.

Ketika dihubungi untuk ulasan lanjut, Hui berkata parti itu berdepan dengan 'precedence' di mana pembelian besar perlu melalui kelulusan perhimpunan agung parti.

"Semasa zaman (bekas presiden Tun Dr) Ling Liong Sik (pertama dari kiri), EGM diadakan sebelum parti membeli kumpulan penerbitan Nanyang. Tetapi kali ini tidak," katanya.

Hui juga berkata beliau akan membuat aduan yang sama kepada Pendaftar Pertubuhan kerana ia membabitkan perlembagaan parti.

Pada 5 November lalu, MCA mengesahkan ia memindahkan 313,315,769 saham bernilai RM1 seunit Star Publishing daripada Huaren Holdings kepada parti itu, pada nilai pasaran lebih kurang RM1.3 bilion.


Sumber: Malaysiakini

PAS anjur seminar 'sedia ganti Umno'

Posted: 12 Nov 2010 12:37 AM PST


KUALA LUMPUR, 12 Nov: Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat akan mengadakan satu seminar esok bagi membincangkan persediaan PAS untuk menggantikan Umno dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad, seminar "PAS sedia ganti Umno" itu terbuka kepada ahli merangkumi pimpinan pusat, dewan harian, pimpinan negeri, kawasan dan cawangan termasuk ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari parti itu.

"Kita sudah menghantar jemputan kepada semua pimpinan pusat, ahli Parlimen, Adun, dewan harian, negeri, kawasan dan cawangan untuk menghadiri seminar esok," kata Idris kepada Harakahdaily.

Seminar yang akan berlangsung sehari di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor itu bertujuan menanamkan keyakinan kepada ahli bahawa PAS sudah bersiap sedia menggantikan Umno pada PRU 13 selain membentangkan agenda bertindak parti bagi mencapai matlamat itu.

"Kita buat seminar ini untuk bagi penjelasan kepada ahli tentang kesediaan PAS menggantikan Umno.

"Kita mahu daripada seminar ini, ahli akan lebih berjiwa besar untuk merealisasikan matlamat menggantikan Umno dan dapat bekerja dengan lebih kuat lagi," katanya lagi.

Selain itu kata Idris, PAS turut mengundang pihak luar bagi mendapatkan pandangan mereka berkenaan parti itu dan langkah-langkah untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

Justeru, beliau berharap agar mereka yang menghadiri seminar tersebut akan lebih jelas mengenai perjananan gerak kerja PAS selepas ini.

"Kita harap daripada seminar ini, semua ahli dapat menanamkan dalam fikiran untuk menguasai Putrajaya dan bersiap sedia menghadapi sebagarang kemungkinan PRU diadakan dalam masa terdekat ini, katanya.
Dianggarkan seramai 800 ahli dari seluruh negara akan menghadiri seminar bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Seminar itu akan dirasmikan oleh Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, manakala ucapan penutup akan disampiaknaoleh Timbalannya, NasharudinMat Isa.

Dua kertas kerja akan dibentangkan iaitu "PAS Ganti Umno, Rasional dan Tindakan oleh Idris sendiri dan "Umno dan Krisis Ketuanan Melayu" oleh ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang juga ahli Parlimen Tumpat.

Manakala di sebelah petangnya pula akan berlangsung forum bertajuk "PAS Ganti Umno:Harapan dan Cabaran" yang menampilkan penganalisis politik, Ghazali Mayudin dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) Wadah dan akan dipengerusikan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiyat.

Sumber: Harakah Daily

Pemuda PAS desak MSN dibubar segera

Posted: 12 Nov 2010 12:33 AM PST


KOTA BHARU, 12 Nov: Pemuda PAS mendesak Majlis Sukan Negeri (MSN) dibubarkan segera bagi membolehkan segala peraturan yang termaktub di bawah Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971 dapat dilaksanakan.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pendedahan kerajaan negeri mengenai status sebenar MSN yang bertentangan dengan akta membuktikan Umno membelakangi semangat federalisme.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ihsan, Belia, Sukan dan NGO, Abdul Fattah Mahmood mendedahkan pelantikan Pengerusi MSN bercanggah dengan Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971.

Ahmad Fadzli berkata, fakta tersebut membuktikan kerajaan pusat semenjak 1990 menganaktirikan Kelantan dalam banyak situasi lain.

Antaranya kerajaan pusat membeku sejumlah 118 projek melibatkan kawasan seluas 1,086 hektar di 10 jajahan di negeri ini berlaku seak RMK- 6 hingga sekarang.

Selain itu penafian terhadap hak untuk mendapatkan royalti minyak yang dikeluarkan dari bumi Kelantan dan digantikan dengan wang ihsan.

"Penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) disifatkan sebagai kerajaan dalam kerajaan. JPP merampas hak kerajaan negeri bagi menerima agihan peruntukan pembangunan.

"Keengganan kerajaan pusat membina tembatan banjir di Sungai Golok, walaupun peruntukan telah diluluskan sejak RMKe-7 lagi," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Fadzli berkata, banyak bukti lain lagi menggambarkan keengkaran Umno yang menerajui kerajaan pusat mematuhi perlembagaan.

Antaranya melengah-lengahkan penyaluran geran kewangan tahunan yang sepatutnya dibayar dua kali setahun, tetapi dilewatkan pembayaran dan dibayar sekaligus hanya pada penghujung tahun.

"Sedangkan pemberian geran wajib kepada Kumpulan Wang Rezab Negeri termaktub dalam Perkara 109 dan Perkara 110, Perlembagaan Persekutuan," katanya.


Sumber: Harakah Daily

Konflik PKR biasa, tak gugat PR

Posted: 12 Nov 2010 12:28 AM PST


KUALA LUMPUR, 12 Nov: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak bimbang dengan selisih faham yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini dan yakin ianya tidak menggugat kekuatan Pakatan Rakyat.

Mahfuz yang juga ahli Pokok Sena, ketika ditanya perkara itu berkata, beliau yakin yakin ia mampu diselesaikan kepimpinan PKR.

Katanya, setiap parti pastinya tidak dapat lari daripada menghadapi percanggahan pandangan di kalangan pimpinan namun perkara utu bukanlah perkara besar yang mampu menjejaskan keharmonian Pakatan Rakyat.

"Saya percaya kepimpinan PKR mempunyai ketajaman pemikiran dan kebijaksanaan untuk mengatasi perkara itu pada kadar segera. Saya menghormati soal rumahtangga mereka dan saya ada kepercayaan dan meyakini kebijaksanaan yang ada pada kepimpinan PKR," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen semalam.

Isnin lalu, Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan penarikan diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR termasuk melepaskan semua jawatan yang disandang beliau dalam parti itu.

Pengumuman tersebut dibuat beliau atas alasan berlaku ketidaktelusan dalam proses mengundi parti itu dan menyalahkan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Azmin Ali.

Mahfuz juga berkata, dalam Barisan Nasioal sendiri berlaku konflik dalaman yang serius yang sehingga kini meninggalkan kesan kepada parti-parti komponennya.

Kini ditambah pula dengan kemunculan semula veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang dikatakan faktor penting kepada kemenangan pilihan raya kecil (PRK) Galas.

"Satu perkara yang tidak dapat dinafikan bahawa pergolakan-pergolakan yang berlaku dalam apa-apa pertubuhan pun sudah pasti ada beri kesan. Macam pergaduhan dalam Umno dan MIC, sampai sekarang tak selesai.

"Tambah pula kemenangan di Dun Galas membawa semula kemunculan Tengku Razaleigh Hamzah dan ada kemungkinan untuk beliau dibawa ke arus perdana politik Umno BN dan ini akan menambahkan lagi konflik dalam Umno.

"Ini kerana dengan kemenangan di Galas itu dapat dilihat bahawa keupayaan Ku Li untuk membawa keyakinan semua kaum, orang asli, Melayu, Cina dan India kepada Umno. Ada kumpulan dalam Umno melihat Ku Li layak dibawa ke arus perdana politik Umno.

Justeru Mahfuz berharap Ku Li tidak diberi ruang mengorak langkah dalam politik Umno sebaliknya mengekalkan Datuk Seri Najib Razak.

"Saya mohon ahli Umno jangan bawa Ku Li balik ke arus perdana. Kekalkan Datuk Najib kerana dia akan menambahkan konflik kepada kemelut Umno sendiri," katanya.


Sumber: Harakah Daily

Ketua AMK Cabar Zaid Berdebat

Posted: 12 Nov 2010 12:26 AM PST


JOHOR BAHARU 12 NOV: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin menyelar Datuk Zaid Ibrahim kerana menggunakan media
untuk menyerang kepimpinan parti itu.

Berikutan itu, beliau mencabar bekas Pengerusi Majlis Kepimpinan Wilayah Persekutuan itu untuk berdebat secara terbuka mengenai kepimpinan PKR dengannya.

"Tetapkan tempat dan tarikh, pilih mana-mana medium yang dia suka, saya bersama pimpinan Angkatan Muda akan hadir bagi menceritakan perkara sebenar
kepada beliau.

"Tiada guna jika perkara ini dihebahkan kepada media," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan tertutup bersama Penasihat PKR Datuk
Seri Anwar Ibrahim, di sini semalam.

Beliau menyifatkan tindakan Zaid itu mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan kepimpinan PKR yang sedia ada.

Pada Isnin lepas Zaid mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripadapemilihan parti dan juga melepaskan semua jawatan dalam PKR dengan alasan
"terdapat penipuan dalam pemilihan".

Beliau kemudian meminta Anwar berundur dari parti itu.

Zaid berkata menjadi tanggungjawab kepimpinan parti untuk menyiasat laporan mengenai dakwaan penyelewengan dalam pemilihan dan bukan dirinya yang harus membuktikan kepada Anwar mengenai penyelewengan itu.

Mengenai gesaan Zaid agar Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Anwar keluar PKR untuk menyelamatkan parti itu, Mohamed Azmin berkata keputusan itu terletak pada tangan semua anggota parti dan bukannya mana-mana individu.

Sementara itu, Anwar memuji prestasi pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng sehingga kini.

Menurutnya, Chua berjaya membuktikan kepimpinannya dengan menarik 23 daripada 24 cabang PKR Johor ke majlis perjumpaan tersebut.

Ketika ditanya, Chua berkata wakil cabang Sri Gading tidak hadir ke perjumpaan itu walaupun notis telah diberikan.

Katanya, beliau tidak tahu mengapa wakil cabang itu tidak hadir, namun akan meminta penjelasan dari mereka kemudian.

Kelmarin, lima ahli dari cabang Sembrong bertindak meletak jawatan dalam parti kerana dikatakan tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Chua dan pemilihan
parti.

Mereka adalah Ketua Cabang, Saiman Marjuki; Naib Ketua, Abdul Aziz Abdul Kadir; Ketua Wanita, Noraini Abdul Kadir; dan dua ahli jawatankuasa.

Sumber: TVSNEWS

Ahli Perlu Faham Intipati Perjuangan Parti

Posted: 12 Nov 2010 12:23 AM PST


SKUDAI 12 NOV: Para ahli dan rakyat perlulah memahami intipati perjuangan PKR bukan kerana pengaruh pemimpinnya tetapi hasil perjuangan 12 tahun lalu oleh ahli-ahlinya.

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sesi dialog bersama rakyat di Pulai Springs Resort semalam,

Katanya para pemimpin sentiasa silih berganti tetapi kesinambungan PKR adalah kerana PKR didirikan di atas keringat, darah dan airmata para ahlinya.

"Bukan soal Anwar seorang, saudara ingat Anwar seorang kena pukul? Anwar seorang kena penjara? yang menentang ISA kerana Anwar kena ISA? Ribuan, para pejuang, ulama, dan guru agama, dosa mereka apa? mempertahankan prinsip perjuangan," tegas beliau kepada kira-kira 300 peserta dialog.

Menjelaskan berkenaan pendirian beliau terhadap kenyataan dan dakwaan bekas calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim yang baru-baru ini mendesak Anwar dan calon Timbalan Presiden Mohamad Azmin Ali untuk berundur dari PKR, Anwar berkata parti sudah memberikan peluang yang lebih dari mencukupi kepada Zaid.

"Saya terima dia (Zaid) masuk, baru masuk dua minggu hantar dia jadi Biro Politik. Baru masuk beberapa bulan jadi calon (pilihanraya kecil) Hulu Selangor. Apa ini, tak beri ruang? tak beri kesempatan? Di mana forum besar, (kita) tonjolkan (Zaid)," jelas beliau.

Kata beliau lagi, pembentukan insan seorang pemimpin dan ahli yang baik sudah pasti mengambil masa dengan memberikan contoh, walaupun Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kelihatan lemah dan mudah disakiti tetapi Azizah merupakan seorang yang tegas dalam pendiriannya dan tidak goyah, maka amat sesuai menyandang jawatan Presiden parti.

"Kita melalui liku-liku yang susah, daya tahan itu kena ada. Nak jadi utama, tak mudah," katanya lagi.

Anwar menjelaskan, tindakan Zaid itu dilihat sebagai satu bentuk desakan dari pihak tertentu untuk mengugurkan beliau dari arena politik tempatan kerana sebelum ini beliau sudah beberapa kali ditangkap, diugut serta dihina semata-mata untuk menghalang perkembangan perjuangan beliau dan PKR.

"Saya nak ulang, satu-satunya cara anda fikir anda boleh, persulitkan kedudukan kita ini hanya dengan serang gunakan orang dalam. Orang kata, tengok, siapa duduk dengan Anwar tak boleh lama?


"Tapi saudara, kekuatan saya ini tidak daripada Tan Sri dan Datuk-Datuk Seri yang kaya. Kekuatan saya selama ini yang memajukan dan mempertahankan saya ialah sokongan dari akar umbi rakyat," jelas beliau.


Sumber: TVSNEWS

Setelah Gagal Strategi Fitnah Umno-BN Kini Cuba Sabotaj KEADILAN Dari Dalam Parti

Posted: 12 Nov 2010 12:19 AM PST

AI44SIMPANG RENGGAM 12 Nov - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Umno-Barisan Nasional menerusi agen propagandanya, Utusan Malaysia kini cuba mencetuskan krisis dan suasana tegang dalam parti setelah segala usahanya untuk memfitnah dan mentohmah pemimpinnya menemui kegagalan.

Kata Anwar antara usaha tersebut adalah seruan agar beliau dan Naib Presiden, Azmin Ali mengundur daripada parti yang dibuat oleh individu tertentu dalam KEADILAN atas dakwaan beliau dan Ahli Parlimen Gombak itu punca kepada segala masalah dalam parti.

"Kalau saya umum hari ini,'dengan ini saya Anwar mengisytiharkan keluar daripada KEADILAN' Umno akan buat kenduri besar-besaran esok. Malah mereka akan sambut perayaan korban lebih awal daripda Hari Raya Haji," Anwar berseloroh di depan lebih 1,000 penyokong di majlis ramah mesra anjuran KEADILAN Cabang Simpang Renggam semalam.

Dalam nada yang lebih serius Anwar yang juga Ketua Oposisi menyakinkan kepada anggota parti bahawa segala usaha dan komplot tersebut tidak akan berjaya.

"Semasa saya dalam kerajaan dan pernah memegang jawatan sebagai Pemangku Perdana Menteri, semua tokoh-tokoh kaya yang berpangkat daripada Datuk, Datuk Seri, Tan Sri, Tun mengelilingi saya dan angguk kepada semua kata-kata saya tetapi selepas saya dipenjarakan, dipukul setengah mati, ditelanjangkan satu satu panggilan kepada Azizah untuk bertanyakan khabar anak-anak pun tidak ada daripada orang seperti ini.

"Siapa yang bantu perjuangan saya, mereka yang tinggal Kampung Kerinci yang setiap malam memasak nasi dan memberi air kepada penyokong, pemandu teksi yang membawa penyokong ke rumah saya tanpa meminta wang tambang dan rakyat biasa yang berkorban tanpa meminta apa-apa pembalasan. Mereka inilah sebenarnya tunggak kekuatan menegakkan keadilan di negara ini.

"Tokoh korporat yang kaya, bekas menteri yang kaya boleh datang dan pergi dalam parti kita tapi yakinlah kalau parti ini menjaga hak dan kebajikan rakyat bawahan kita akan berjaya, insyaAllah.

"Yakinlah kejayaan adalah hampir jangan kita lupa pada PRU-12 Pakatan Rakyat menang di Semenanjung denga 51 peratus undi, Umno-BN hanya dapat 49 peratus, mereka dah kalah. Kita hanya perlukan 5 peratus lagi dan insyaAllah kita akan ambil alih Putrajaya dan buat perubahan untuk rakyat. Jadi saya menyeru semua anggota parti, pendokong pakatan Rakyat serta rakyat berusaha sikit lagi da bersabar," tegas Anwar bersemangat sambil disambil tepukan gemuruh para hadirin.

Anwar berkata media Umno seperti Utusan Malaysia tidak berhenti-henti menyerang KEADILAN dan juga pemimpin Pakatan Rakyat kerana mereka mengetahui potensi besar yang ada pada Pakatan Rakuyat untuk menubuhkan kerajaan persekutuan selepasd PRU-13 nanti.

"Apa yang mereka tidak serang. Utusan kata saya mula-mula agen Amerika, lepas tu agen Yahudi, kemudian agen Hindu, lagi agen Cina. Jadi sekarang ni Anwar dah jadi macam agen 007 James Bond," beliau ketawa.

Beliau menambah Umno-BN melalui jentera media mereka juga memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai anti-Melayu, juga Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin kerana memberi geran tanah kepada rakyat Cina miskin dan seterusnya menuduh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengamalkan rasuah.

"Apabila Umno tuduh Tok Guru Nik Aziz rasuah, saya tahu Umno-BN sudah sampai ke penghujung modal mereka untuk memfitnah. Sudah tidak ada apa lagi yang mereka ada jadi mereka cuba sabotaj KEADILAN sekarang dari dalam," jelas Anwar.

Menyentuh mengenai keperibadian yang perlu ada kepada anggota KEADILAN, beliau memuji sikap bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng yang tidak meminta-minta sebarang jawatan dalam parti setelah menyertai perjuangan lebih setahun lalu.

"Saya tanya Datuk Chua samada beliau ingin bertanding, Kata beliau beliau masih baru dalam parti dan mahu membantu mengukuhkan jentera parti terutamanya di Johor sebab kita yakin pada pilihan raya umum akan datang kita yakin mampu mengambil alih Johor. saya lihat beliau menjelajah seluruh negeri Johor dan negara membantu parti tanopa meminta jawatan, kedudukan dan sebagainya. Inilah sikap yang baik sebagai seorang ahli parti. Jadi tidak semua bekas Menteri tidak baik dan ambil kesempatan," sindir Anwar.

Anwar juga sempat menyentuh mengenai Pemilihan Majlis Pimpinan Pusat 2010 dan menggesa agar anggota parti menggunakan hak yang ada pada mereka dengan bijaksana.

"Saya mahu semua anggota parti keluar mengundi. Gunakan hak dengan sebaik mungkin dan jangan cuai. Sekarang kita ada dua calon Timbalan Presiden iaitu Azmin dam Mustaffa, jadi mereka boleh pilih antara kedua-dua calon ini," kata beliau lagi.

Sebelum ini seorang lagi calon bagi jawatan tersebut, Datuk Zaid Ibrahim telah mengumumkan Selasa lalu bahawa beliau menarik diri daripada pertandingan serta melepaskan semua jawatan dalam parti termasuk sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan.

Anwar sebelum itu mengadakan sidang akhbar bersama Persatuan Koresponden Asing Singapura dan kemudianya mengadakan pertemuan dengan Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor pada sebelah petang dan diikuti dengan majlis dialog bersama anggota KEADILAN di Pulai.

Dr Idris Ahmad Pangku Pengerusi MPN WP

Posted: 12 Nov 2010 12:19 AM PST

pkr1KUALA LUMPUR 12 Nov - Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat Negeri Wilayah Persekutuan mengumumkan perlantikan Ketua cabang Segambut, Dr Idris Ahmad sebagai pemangku Pengerusi MPN WP sementara menunggu perlantikan pengganti jawatan tersebut oleh Presiden.

Perlantikan itu susulan keputusan Datuk Zaid Ibrahim yang merauk diri daripada pertandingan Timbalan Presiden dan melepaskan semua jawatan dalam parti termasuk Pengerusi MPN WP 9 November lalu.

Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangannya, Karim Othman berkata proses pemilihan kepimpinan parti 2010 akan diteruskan tetapi menggesa Parti menubuhkan satu badan bebas untuk menyiasat dengan segera segala aduan bagi memastikan proses pemilihan berjalan dengan adil
dan telus.

"MPN WP memberi sokongan penuh kepada kepemimpinan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Datuk Seri Wan Azizah Dato Wan Ismail serta kepemimpinan parti," kata beliau.


Sumber: Suara Keadilan

Mustaffa Tetap Bertanding Timbalan Presiden, Mahu JPP Bertindak Atas Memorandum

Posted: 12 Nov 2010 12:18 AM PST

MK2PETALING JAYA 12 Nov - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Mustaffa Kamil Ayub berkata beliau membuat keputusan untuk terus bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan Majlis Pimpinan Pusat 2010 walaupun mengambil langkah tersebut dalam
keadaan protes.

Dalam satu kenyataan media hari ini Mustaffa menegaskan tindakan ini berdasarkan keyakinan beliau bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan meneliti, mengkaji serta mengambil tindakan terhadap memorandum yang dihantar beliau 9 November lalu.

Memorandum tersebut antara lain meminta JPP memastikan Pemilihan 2010 yang telah dan sedang berlangsung sekarang benar-benar bersih, bebas dan adil mengikut etika Pemilihan 2010 yang dikeluarkan oleh badan itu.

"Sesungguhnya saya ingin menegaskan bahawa 'demi mempertahankan prinsip keadilan' saya dan rakan-rakan meletakkan keyakinan dan harapan kepada Pengerusi JPP agar segera membuat siasatan terhadap manipulasi pemilihan melalui aduan dan bantahan daripada cabang-cabang yang telah diterima dan yang akan menghantar bantahan seterusnya untuk tindakan praktis daripada JPP.

"Sebagai sebuah parti yang berhasrat untuk mewujudkan Politik Baru, Budaya Baru seperti yang pernah dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin dan anggota parti 12 tahun yang lalu, ianya hendaklah benar-benar dihayati dan dilaksanakan dalam Parti Keadilan Rakyat termasuklah dalam proses Pemilihan 2010 yang berlangsung kini dengan meletakkan sistem demokrasi yang tulen berlaku dalam parti dan di negara ini.

Kekuatan dan prestasi Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat (PR) terus diintai oleh Barisan Nasional (BN) dan mereka sentiasa mencari usaha-usaha yang berterusan untuk memecah dan melemahkan parti kita dari semasa kesemasa. Saya ingin mengingatkan anggota dan penyokong KEADILAN dan PR supaya jangan terpengaruh dengan manupulasi media tertentu yang sentiasa mencari jalan untuk terus menjatuhkan kredibiliti pemimpin rakyat iaitu Anwar Ibrahim," tegas Mustaffa dalam kenyataan beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Perak menyanjung jasa, sumbangan dan kesan besar yang di bawa Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam politik negara khususnya menggerakkan perubahan rakyat sehingga berlakunya 'Tsunami Politik 2008'.

"Keupayaan beliau memperjuangkan isu-isu penyelewengan pemerintah dan penyedaran rakyat terhadap perubahan kepimpinan negara amat diperlukan oleh KEADILAN dan PR di negara ini. Saya mengenali Anwar Ibrahim sejak sekian lama dan semua rakyat mestilah mendokong kepimpinan beliau.

"Sekaligus saya ingin membuat penyataan bahawa tanggapan sebahagian anggota parti mengenai kehadiran saya bersama Zaid Ibrahim meminta Anwar Ibrahim berundur adalah tidak benar sama sekali. Kehadiran saya bersama Zaid Ibrahim seperti termuat didalam akhbar adalah atas prinsip bersama yang meminta JPP berlaku adil dalam proses Pemilihan 2010 ini dan menyekat unsur-unsur manipulasi yang berlaku dalam pemilihan.

"Saya sedar dan faham bahawa kehadiran saya itu telah diambil kesempatan oleh pelbagai pihak termasuk sesetengah pimpinan parti untuk menjatuhkan kredibiliti saya. Jangan biarkan politik adu domba, fitnah berlaku dalam parti kita. Jangan kerana saya selaku anggota parti memberikan pandangan berbeda, senang untuk pihak yang tidak bertanggungjawab menfitnah saya dan akar umbi yang menyokong saya," jelas beliau lagi.

Mustaffa berkata hasil pertemuan dengan Pengerusi JPP, Dr Molly Cheah semalam tiga rumusan muafakat serta komitmen utama telah dicapai iaitu:-

1. JPP akan diangkat sebagai sebuah badan yang benar-benar berautonomi.

2.Sebuah panel pemantau pakar akan diwujudkan bagi memantau tahap ketelusan dan integriti JPP dalam Pemilihan 2010.

3.Melaksanakan tindakan-tindakan berdasarkan cadangan-cadangan yang di buat didalam memorandum terutamanya mengenai pengendalian aduan-aduan dan bantahan-bantahan yang telah dikemukakan samada diperingkat pemilihan cabang mahupun pusat bagi membaiki kesilapan lalu.

Mustaffa juga berkata berasaskan kepada situasi serta bersesuaian dengan "Politik Nilai" sebagai cagaran dan misi, beliau menawarkan diri bertanding Timbalan Presiden sambil menegaskan:-

1. JPP hendaklah segera meneliti dan membuat semakan terhadap aduan dan bantahan yang di terima.

2. JPP hendaklah menjalankan siasatan terhadap ketidakadilan, ketidaktelusan yang berlaku sejak pemilihan MATC dan pemilihan MPP kini.

"Sememangnya saya amat memahami rintihan dan keluhan anggota dan pimpinan akar umbi mengenai masalah yang berbangkit serta ketidakpuasan hati yang berlaku, lantas mahu memboikot atau menarik diri dari proses pemilihan, atau memohon menangguhkan Pemilihan 2010, namun demi kepentingan parti jika Pemilihan 2010 tetap diteruskan, saya akan kekal bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden walaupun didalam protes. Tindakan ini juga sebagai menghormati pandangan dan keyakinan anggota-anggota di peringkat akar umbi, yang menginginkan saya terus bertanding bagi Timbalan Presiden KEADILAN.

"Saya dengan penuh komitmen mengajak semua anggota parti bersama dengan saya mempertahankan survival dan maruah parti. Sesungguhnya saya merayu kepada semua anggota parti yang mengundi nanti supaya memberikan saya peluang untuk memenuhi harapan rakyat ini.

"Sekiranya saya diberi peluang, saya akan melaksanakan polisi rakyat dalam parti dengan mengangkat semula suara rakyat akar umbi, anggota parti dan golongan Reformis sebagai suara utama parti. Saya juga akan memastikan kelangsungan politik nilai dalam parti seperti sederhana,toleransi, kasih sayang serta menolak politik fitnah dan politik wang dalam parti," kata Mustaffa lagi.


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: