Jumaat, 12 November 2010

Haniza Talha - Landscaping New Politics

Haniza Talha - Landscaping New Politics


‘Jom Kerja’: Sebanyak 20,000 peluang pekerjaan ditawarkan di Selangor

Posted: 12 Nov 2010 12:44 AM PST

SHAH ALAM, 12 Nov – Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini diberitahu bahawa sebanyak 20,000 peluang pekerjaan ditawarkan di Selangor sempena promosi program 'Jom Kerja' yang bermula November tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Theresa Kok berkata, statistik itu diperoleh daripada Persatuan Pekilang-pekilang Malaysia (cawangan Selangor).

Beliau berkata, sepanjang lima siri program 'Jom Kerja' yang diadakan bermula November tahun lepas sehingga Oktober tahun ini, seramai 5,562 calon datang mendaftar dan seramai 2,441 pemohon berjaya ditemu duga.

"Program jelajah 'Jom Kerja' ini diadakan dari satu daerah ke satu daerah dan menerima sambutan memberangsangkan daripada rakyat Selangor yang tiada pekerjaan dan ada juga di kalangan mereka mencari peluang pekerjaan baru," katanya semasa menjawab soalan Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang).

Ahmad Yunus ingin tahu jumlah peluang pekerjaan yang ditawarkan dan sambutan rakyat Selangor terhadap peluang pekerjaan di negeri itu.

Kok berkata, daerah Klang mencatatkan penyertaan tertinggi calon yang menghadiri temu duga, iaitu seramai 2,060 orang.

BERNAMA


Pemulihan Sungai Klang perlu ditangani bersama

Posted: 12 Nov 2010 12:21 AM PST

SHAH ALAM, 12 Nov – Perlaksanaan projek pemulihan dan pembangunan Sungai Klang memerlukan kesefahaman antara kerajaan negeri, Kerajaan Pusat dan pemaju swasta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, projek ini mampu digerakkan dengan lebih pantas dan menyeluruh jika ketiga-tiga pihak bersetuju untuk duduk semeja dan bergabung tenaga menjayakan rancangan untuk rakyat Selangor ini.

Di Dewan Negeri Selangor hari ini, Tan Sri Khalid berkata, kerajaan negeri telah pun merangka kertas kerja memulih dan membangunkan Sungai Klang.

Projek ini adalah sebahagian daripada rancangan rangsangan ekonomi negeri, membangunkan tebing-tebing strategik di sepanjang Sungai Klang untuk sektor hartanah, komersil, pembekalan air dan mobiliti.

"Kita sudah bersedia untuk bekerjasama, malah telah menyerahkan pelan pemulihan dan pembangunan Sungai Klang kepada Kerajaan Pusat. Kita bersetuju dengan konsep 'Sungai Kehidupan' yang dirancang Kerajaan Pusat, dan bersetuju untuk mengazetkan kawasan-kawasan yang terbabit bagi menjayakan konsep itu," kata Khalid.

Menjawab soalan dari Dewan, Tan Sri Khalid berkata, pihaknya menangguhkan dahulu perlaksanaan projek pemulihan Sungai Klang sementara menunggu maklum balas daripada Kerajaan Pusat.

Ini kerana kerajaan negeri amat berminat dengan rancangan 'Sungai Kehidupan' kelolaan Kerajaan Pusat, konsep yang berkongsi matlamat dengan rancangan kelolaan kerajaan negeri.

"Adalah lebih baik sekiranya kita bekerjasama dengan Kerajaan Pusat, daripada buat secara berasingan. Beri masa untuk perbincangan yang menyeluruh antara Kerajaan negeri, Kerajaan Pusat dan swasta," tegasnya.

Tan Sri Khalid menjelaskan kepada dewan bahawa rancangan kerajaan negeri untuk pemulihan dan pembangunan Sungai Klang bersandarkan kepada inisiatif swasta, dan tidak membabitkan peruntukan daripada Belanjawan Negeri.

"Kita bersandarkan kepada konsep dana inisiatif swasta. Kita mengalakkan dana daripada pihak swasta untuk mengerakkan projek ini. Manakala Kerajaan Pusat menggunakan dua konsep, iaitu dana dari Kumpulan Wang dan juga dari inisiatif swasta," ujar Khalid.

Kerajaan negeri menganggarkan kos projek pemulihan Sungai Klang mencapai RM1.4 bilion, manakala Kerajaan Pusat pula memperuntukkan RM1 trilion untuk projek 'Sungai Kehidupan'.

SUMBER: SELANGORKINI


MB: Cari sumber air lebih murah di Selangor

Posted: 12 Nov 2010 12:19 AM PST

SHAH ALAM 12 Nov – Kerajaan Negeri Selangor harus mencari sumber air lebih murah dan cekap bagi mengatasi masalah bekalan air di Selangor, demikian kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Untuk itu, projek pembersihan Sungai Klang dilihat sebagai alternatif yang lebih cekap dan murah daripada mengimport air mentah dari Pahang.

Beliau mengulas perkara ini pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) pagi tadi bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan (Adun) Batang Kali, Mohd Isa Abu Kassim, yang bimbang dengan krisis bekalan air di Selangor pada masa depan.

Berkenaan Projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2), beliau berkata, ia tidak akan dilaksanakan buat masa ini.

"Pelaksanaan projek itu tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana ia melibatkan kos yang tinggi. Jika tiada penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor dan pembinaan loji rawatan air itu diteruskan, rakyat akan menanggung beban dari segi kos," katanya.

Abdul Khalid berkata, sehingga kini masalah itu tidak berlaku di negeri ini, walau bagaimanapun kerajaan negeri perlu membuat persiapan bagi menangani masalah bekalan air di Selangor pada masa depan.

SUMBER: SELANGORKINI


Tiada ulasan: