Khamis, 28 Oktober 2010

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal Negeri Pahang Letak Jawatan

Posted: 27 Oct 2010 09:07 PM PDT

Itulah berita berita yang cuba disensasikan oleh Syukri atau CMK dari Pahang Daily Online. Berita ini cuba disensasikan juga oleh beberapa buah akhbar seperti The Straits Times dan China Press. Mereka talipon kepada saya dan bertanya saya samada benarkah saya telah meletakkan jawatan dan saya telah bertanya kepada pemberita itu akan sumber maklumatnya.
Dia kata daripada salah seorang pimpinan PKR Negeri Pahang tetapi dia enggan memberitahu sumber itu.
Saya kata bahawa beliau kenalah rojok kembali kepada sumber yang dia terima kerana nampaknya pimpinan yang berkenaan itu cukup ghairah supaya saya dikeluarkan dari pimpinan Negeri.
Pendirian saya adalah sangat jelas. Di peringkat Negeri Pahang, saya menyokong pimpinan Dato Fauzi Abdul Rahman, dan sejak dia memegang jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pahang, PKR Pahang telah bertambah mantap dan kukuh, dan saya seronok bertugas dibawah pimpinan Dato Fauzi.
Saya juga menyokong kukuh pencalonan YB Fuziah Salleh agar beliau menang didalam pemilihan sebagai Naib Presiden.
Di peringkat PKR Pusat, saya adalah penyokong tegar Dato Seri Anwar Ibrahim, Dato Seri Wan Azizah dan Dr Syed Husin Ali, mereka adalah tempat rojok saya.
Diperingkat awal, saya memulakan sokongan kepada Datuk Zaid Ibrahim sebagai Timbalan Presiden sehinggalah beliau memperlekehkan pimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim, Dato Seri Wan Azizah dan Dr Syed Husin Ali dan beliau menentang keputusan PKR dan PR yang dibuat pada 20hb Mei 2008 untuk memboikot Utusan Malaysia.
Memang diperingkat PKR Pahang, saya tidak mengaku bahawa saya adalah orang yang paling aktif. Tetapi saya lakukan kerja saya selaku Pengerusi Biro Felda PKR Pahang dan Pengerusi Biro Orang Asal PKR Pahang sebaik mungkin, dan bukan saja telah berjaya mengadakan Konvensyen Peneroka-Peneroka Felda di Jerantut dan Konvensyen Orang Asal di Temerloh, Biro Felda juga menjalankan kegiatan di rancangan-rancangan Felda di Pahang dengan penubuhan ranting-ranting baru, memperjuangkan peratusan KPG yang munasabah untuk peneroka-peneroka, menuntut geran tanah peneroka-peneroka, menuntut pengembalian dari wang dana tanam semula untuk peneroka-peneroka dan kini sedang menyiapkan tindakan dan dokumen untuk menyaman Felda berhubung dengan KPG jika Felda enggan berunding, dan kira-kira lebih 2 ribu peneroka akan terlibat dengan tuntutan saman ini.
Setiap hari Biro Felda dan Biro Orang Asal menjalankan kerja-kerja di Pahang samada dalam bentuk ceramah, atau dialog. Kalau dilihat dari jadual harian, terlalu amat sedikit hari-hari yang tidak ada program samada untuk Orang Asal dan Peneroka Felda.
Semalam saya bersama Dato Fauzi dan Man Kadir berada di Felda Lakum, malam ini saya dan Dato Fauzi, Man Kadir dan Rosli Ahmad berada di Felda Jengka 22, esuk saya akan berada di Felda Palong 6, malam-malam atau hari-hari sebelum ini saya berada di Penderas bagi penubuhan Biro Orang Asal di mana Ramli Lugan dilantik sebagai Pengerusi Biro Orang Asal PKR Kuala Krau dan hampir 40 orang mewakili setiap kampong di perkampongan Orang Asal Kuala Krau dengan setiap kampong diwakili didalam Biro oleh 3 atau 4 orang Jawatankuasa, sebelumnya saya berada di Felda Jelai 4, Felda Jelai 3, Serting 2, Palong 10, dan setelah saya bercuti selepas pengundian di Kuala Krau pada 31hb Oktober 2010 dan bercuti keluar Negara bersama keluarga akan mengadakan perjumpaan di Felda Kepis Kuala Pilah, Palong 4 dan Palong 5, Felda Jengka 13, dan penubuhan Ranting Baru di Felda Jengka 12 dan perjumpaan di Felda Jengka 22, dan kembali ke Perjumpaan penting di Felda Jengka 9 dan Felda Jengka 6.
Orang lain mungkin sibuk mencari undi calon masing-masing, saya meneruskan tugas saya di Rancangan Felda termasuk di kawasan yang menyokong Datuk Zaid di Tampin, Negeri Sembilan.
Selagi saya memegang jawatan yang diamanahkan kepada saya, Insya Allah, saya buat kerja, kerana saya ada satu keyakinan bahawa BUAT KERJA BELUM TENTU MENANG, TAK BUAT KERJA SUDAH TENTU TIDAK MENANG, DAN KALAU MENANG PUN ITU ADALAH FLUKE!
Saya mengakui bahawa ramai yang tidak suka dengan cara saya. Saya yakin bahawa menjadi pilihan sukarela untuk mana-mana rakyat memilih mana-mana parti politik yang dia suka, tetapi apabila sudah membuat pilihan, maka individu itu sudah tertambat dengan tanggungjawab Perlembagaan parti itu. Saya suka menegur kepada kawan-kawan yang tidak buat kerja, dan tentulah kawan-kawan ini terasa hati, ada yang berkata: Macam Dia Sorang Je Buat Kerja, Kawan lebih lama dari dia, dan macam-macam lagi.
Saya sebenarnya hampir sudah serik menegur kerana hasil dari sikap itu, ramai kawan-kawan tidak menyukai saya walaupun hasrat saya untuk mengajak kawan-kawan bergerak dengan lebih usaha lagi demi untuk perkembangan dan kekuatan parti.
Didalam masa pemilihan antara Azmin-Zaid-Mustaffa ini, ramai yang menyukai saya kerana kesungguhan saya berkempen untuk Azmin, tetapi tidak kurang juga mereka yang menyokong Zaid mencemuhi saya. Itu adatlah dalam pertandingan. Tetapi ada juga kaki kempen Zaid bukan saja menghentam peribadi Azmin, tetapi peribadi saya kerana saya berkempen untuk Azmin.
Mereka mempersoalkan kenapa saya dibenarkan memegang hingga 5 jawatan dalam parti iaitu Pengerusi Biro Felda, Pengerusi Biro Orang Asal, Pengerusi Zon Tengah (wakil Biro Politik PKR Pahang), Ketua Cabang Kuala Krau dan Pengerusi Biro Felda PKR Pusat.
Ertinya, kenapa Dato Fauzi melantik saya mempengerusikan Biro Felda PKR Pahang, Biro Orang Asal PKR Pahang, dan Pengerusi PKR Zon Tengah (Maran, Jerantut, Temerloh, Bera dan Kuala Krau).
Boleh ditanyakan kepada Dato Fauzi samada saya memohon atau merayu untuk jawatan-jawatan ini, bahkan saya meminta Dato Fauzi supaya dilantik kepada pemimpin-pemimpin lain, kerana bagi saya amat perlu menumpukan di Kuala Krau suatu kawasan yang pekat birunya.
Keyakinan Dato Fauzi terhadap saya kenalah saya pikul dengan amanah. Tetapi apabila sudah ada orang yang paling rapat dengan Dato Fauzi mempersoalkan jawatan-jawatan yang saya pegang, maka saya dengan senang hati mengembalikan jawatan-jawatan yang saya pegang itu kepada yang memberinya iaitu Dato Fauzi supaya diagih-agihkan kepada pemimpin-pemimpin yang lain, dan bagi saya terlepasnya jawatan-jawatan itu dari saya meringankan bahu saya untuk memudahkan saya memberi tumpuan kepada PKR Kuala Krau.
Saya tidak meletakkan jawatan, tetapi mengembalikan jawatan-jawatan itu kepada Dato Fauzi untuk beliau melantik rakan-rakan yang lain.
Tetapi "perletakan" jawatan saya itu tidak pernah saya nyatakan kepada mana-mana media, jauh sekali kepada CMK atau Syukri dari Pahang Daily Online dan Syukri tidak pernah menalipon saya, dan memang saya tahu Syukri sentiasa memberikan liputan negatif kepada saya kerana saya menyokong YB Azmin Ali.
Pertandingan didalam parti ini adalah pertandingan yang sehat, dan semua anggota akan akur keatas keputusannya nanti, dan pasti kita akan bertaut kembali.
Saya yakin di Pahang ini berbelah bahagi diantara sokongan terhadap Azmin Ali dan Datuk Zaid, tetapi sebagai seorang yang terlibat diperingkat akar umbi, saya dapati YB Azmin Ali mendahului pertandingan ini jauh kehadapan di Negeri Pahang ini.
Mereka yang menyokong Azmin Ali adalah mereka yang mahu melihat Reformasi diteruskan hingga ke Putrajaya, dan cita-cita ini adalah hasrat golongan majoriti anggota-anggota PKR bukan sahaja di seluruh Pahang bahkan di seluruh Malaysia. Insya Allah, YB Azmin Ali akan dimandatkan menjadi Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat.
Adakah saya memboikot PKR Pahang dan bernaung hanya di PKR Pusat? Saya adalah orang organisasi, dan dari segi organisasi, Ranting tunduk kepada Cabang, Cabang tunduk kepada Negeri dan Negeri tunduk kepada Pusat (bacalah Perlembagaan), tiada berprinsip jika seseorang itu menjadi Ketua Cabang tetapi memboikot Negeri. Saya adalah Ketua Cabang dan tetapi menganggotai PKR peringkat Negeri walaupun tidak memegang apa-apa jawatan Biro diperingkat Negeri.

Tiada ulasan: