Seramai 400,000 ahli layak mengundi dalam pemilihan pucuk pimpinan PKR yang akan bermula esok sehingga 21 November depan.
Ahli di 69 daripada 222 cabang PKR mengundi esok, lusa dan hari Ahad ini. Mereka ialah ahli tujuh cabang di Kedah, Kelantan (10), Pahang (14), Negeri Sembilan (8), Perak (17), Perlis (3), Pulau Pinang (6) dan Melaka (4).
Mereka akan mengundi memilih timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengekalkan jawatan presiden tanpa bertanding.
Manakala ahli Pemuda dan Wanita akan memilih ketua, timbalan, naib dan exco masing-masing. Menurut pekeliling ibupejabat PKR, proses pengundian untuk memilih pucuk pimpinan parti itu akan berlangsung pada hujung minggu.
Pemilihan bagi jawatan timbalan presiden menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara dua naib presiden - Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub - serta penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.
Bagi naib presiden pula, 17 calon layak bertanding jawatan tersebut, manakala 132 calon akan bersaing kerusi MPP.
Bagi jawatan Ketua AMK pula, ia menyaksikan persaingan dua penjuru antara penyandangnya Shamsul Iskandar Md Akin dengan ahli MPP Badrul Hisham Shaharin.
Manakala bagi jawatan Ketua Wanita pula, penyandangnya Zuraida Kamaruddin dicabar oleh Animah Ferrar dan Suraya Sudin.
Sementara itu, di Kedah, lima cabang akan mengundi esok - Langkawi, Kubang Pasu, Alor Star, Kuala Kedah dan Pokok Sena. Manakala dua cabang lagi akan mengundi pada hari Sabtu (Kulim-Bandar Baharu dan Padang Serai).
Di Kelantan pula,lima cabang - Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Pengkalan Chepa - akan mengundi esok, manakala lima lagi akan mengundi lusa - iaitu Kubang Kerian, Bachok, Ketereh, Tanah Merah dan Pasir Puteh.
Di Pahang, tujuh cabang - Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Indera Mahkota, Kuantan dan Pekan - akan mengundi pada hari Sabtu. Tujuh cabang lagi - Paya Besar, Maran, Kuala Krau, Temerloh, Bentong, Bera dan Rompan - akan mengundi pada hari Ahad.
Di Negeri Sembilan, enam cabang - Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rasah, Seremban dan Telok Kemang - akan mengundi pada hari Sabtu. Dua lagi cabang - Rembau dan Rompin - akan mengundi pada hari berikutnya.
Bagi Perak pula, sembilan cabang - Gerik, Lenggong, Larut, Parit Buntar, Bagan Serai, Bukit Gantang, Taiping, Padang Rengas dan Sungai Siput - akan mengundi pada hari Sabtu. Manakala lapan cabang lagi - Tambun, Ipoh Timur, Ipoh Barat, Batu Gajah, Kuala Kangsar, Beruas, Parit dan Kampar - akan mengundi pada hari Ahad.
Di Perlis - ketiga-tiga cabang PKR di negeri - Padang Besar, Kangar dan Arau - semuanya akan mengundi pada hari Sabtu.
Manakala enam cabang di Pulau Pinang - Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh, Batu Kawan dan Bukit Mertajam - akan mengundi pada hari Ahad.
Di Melaka pula, empat cabang - Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu dan Bukit Katil - akan mengundi pada hari Ahad.
Sementara itu, pentadbir Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Raden Shamsulkamar Raden Shamsudin berkata ibupejabat menetapkan masa pemilihan berlangsung jam 10 pagi hingga 4 petang.
Manakala proses pengiraan undi pula akan dilakukan sejurus selepas pusat pengundian ditutup.
Mengenai keputusan pemilihan di cabang-cabang berkenaan, Raden Shamsulkamar berkata ia bergandung kepada jumlah ahli yang mengundi,
"Kalau cabang yang ramai ahlinya, mungkin lewat malam atau awal pagi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.
Beliau berkata, pihaknya juga membenarkan calon atau wakil calon memantau ketika pengiraan undi dijalankan.
"Seramai 200 pengawas dilantik untuk menguruskan pemilihan cabang di seluruh negara," katanya.
Menurutnya, jumlah pengawas adalah berbeza-beza bergantung kepada jumlah ahli dan tahap "sensitiviti dan kehangatan" di cabang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan