Anwar Ibrahim |
- Hipokrasi UMNO Dalam Memperjuangkan Bangsa
- Dr.Zulkefli Calon ‘Galas Harapan Rakyat’
- Belanjawan 2011 Acuan Najibnomics Dan Mahathirisme
- Mahathir Yang Terus Fobia
Hipokrasi UMNO Dalam Memperjuangkan Bangsa Posted: 21 Oct 2010 05:11 PM PDT Dari Tv Selangor Pengakuan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bahawa hak istimewa orang Melayu sudah ‘terkunci kemas’ dan tidak boleh digugat tanpa perkenaan Majlis Raja-Raja Melayu adalah bukti jelas bahawa parti itu tidak mampu membela orang Melayu. Perkara ini dinyatakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan akhbar bagi mengulas ucapan dasar Najib pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di PWTC hari ini. Menurut Izzah, kunci ini juga mendedahkan fitnah politik Umno yang mengatakan bahawa parti itu Melayu dan Melayu itu Umno adalah tidak benar sama sekali. Kerana kunci ini terletak di tangan Raja-Raja Melayu yang sebenarnya adalah Raja-Raja kepada semua rakyat Malaysia. “Fitnah politik Umno ini hanya digunakan untuk menguntungkan golongon Umno yang kecil dan memiskinkan rakyat jelata yang ramai seperti yang didedahkan oleh Ketua Pemudanya sendiri di mana setelah 53 tahun Merdeka, 60 peratus orang Melayu luar bandar masih dilanda kemiskinan,” katanya. Mengulas berkenaan tekad Najib yang mahu terus mempertahankan Putrajaya, Izzah sebaliknya berkata, tekad ini menjadi panggilan keramat untuk rakyat membebaskan Putrajaya daripada Umno. “Sudahlah dan cukuplah kerana tiba masanya semua Raja dan rakyat memegang kunci ini dan bukan Umno yang menjadi pemfitnah dan hipokrit perjuangan bangsa,” jelasnya. Dalam kenyataan itu juga, beliau turut menyatakan azam dan tekad jika Pakatan Rakyat mentadbir negara ini. Adalah menjadi tanggungjawab Pakatan Rakyat untuk membuka ruang-ruang baru yang akan mensejahterakan semua rakyat dan mendemokrasikan negara yang berbilang kaum ini. Kunci ini juga mesti membuka kontrak politik baru dimana undang-undang anti-demokratik seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti(AUKU) dan sebagainya mestilah dihapuskan segera. “Kunci ini juga menentukan bahawa undang-undang anti-demokratik ini tidak lagi diperlukan kerana hak Melayu telah dikunci kemas melainkan undang-undang anti-demokratik bukan sahaja untuk mengunci tetapi merantai rakyat untuk kepentingan Umno sahaja,” katanya. |
Dr.Zulkefli Calon ‘Galas Harapan Rakyat’ Posted: 21 Oct 2010 05:07 PM PDT Dari Malaysiakini Pemangku yang dipertua PAS Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad telah diumumkan sebagai calon PAS untuk pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November ini. Pemilihan beliau diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat di Dataran Ilmu yang terletak bersebelahan dengan Masjid Faiz di Gua Musang malam ini. Dr Zulkefli adalah bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2008. Berusia 44 tahun, Dr Zulkefli merupakan anak ketujuh daripada 10 adik beradik. Beliau adalah lulusan ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan, Universiti Malaya pada tahun 1992. Dr Zulkefli mengendalikan klinik sendiri di Chiku 3, Gua Musang. Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim, 48, akibat barah usus pada 27 September lalu. Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim, berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, dengan mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi. Chek Hashim mendapat 4,399 undi, menewaskan penyandang dari BN, Mohd Saufi Deraman 3,753 undi. Selain Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS, turut hadir di majlis pengumuman calon tersebut ialah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham. DUN galas mempunyai 10,330 pengundi yang terdiri daripada 65.4 peratus Melayu, 22.3 peratus Cina dan 1.8 peratus India Bakinya 10.5 peratus terdiri daripada pengundi dari kalangan Orang Asli yang seramai kira-kira 2,000 orang. Galas adalah salah satu daripada tiga DUN dalam parlimen Gua Musang yang diwakili oleh Tengku Razaleigh, yang dianggap sebagai kubu kuat BN. Kerusi tersebut jatuh ke tangan PAS dalam pilihan raya umum 2008, dilaporkan kerana peralihan undi bukan Melayu. Sementara itu, BN akan mengumumkan calonnya untuk pilihan raya kecil DUN Galas dan parlimen Batu Sapi Ahad ini. Tengku Razaleigh bersetuju menjadi pengarah pilihan raya kecil BN bagi DUN Galas, tetapi menolak dilantik sebagai calon. |
Belanjawan 2011 Acuan Najibnomics Dan Mahathirisme Posted: 21 Oct 2010 04:49 PM PDT Tarikh: 21 Oktober 2010 Perspektif KPRU Perspektif KPRU: Belanjawan 2011 Acuan Najibnomics Dan Mahathirisme Pendahuluan Apa yang unik (bukan UNIK) sangat dengan Belanjawan 2011? Kita tak perlukan kaca mata 3-D, kaca mata 2-D sudah memadai untuk mengupas kulit Belanjawan sehinggalah saraf-sarafnya – sebelah kiri warna Mahathirisme, sebelah kanan warna Najibnomics. Legasi Mahathirisme tergolong kepada yang positif dan yang negatif. Tetapi yang diwarisi Najibnomics setakat ini hanyalah legasi negatif malahan dibesar-besarkan skalanya sehingga menjangkaui pencapaian legasi negatif Mahathirisme. Meskipun begitu, pemimpin Kerajaan BESAR NAFSU masih tersenyum dengan pencapaian sebegitu negatif sedemikian besar dan penuh dengan khayalan sehingga hendaklah dibina Warisan Merdeka yang berangan-angan hendak menyentuh bulan yang membawa kegelapan. Dasar Mahathirisme masih bersarang kuat dalam kotak pemikiran Najib Razak. Segala-galanya besar; perbelanjaan besar, Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang terlalu berkuasa dan pelancaran projek-projek mewahnya jelas berniat untuk menanamkan legasi pemerintahannya seperti Mahathir. Berbilion-bilion ringgit wang rakyat dipergunakan sewenang-wenangnya demi memuaskan nafsu tamak, haloba, serta cita-cita peribadinya. Sebilangan kecil elit dalam rangkaian politik perniagaan disandarkan harapan untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang terbukti telah merosakkan struktur ekonomi sejak era pemerintahan Mahathir. Hasrat Najib dalam mentransformasikan ekonomi politik negara sehingga digelar sekumpulan pengkaji Universiti Harvard sebagai Najibnomics[1] rupa-rupanya lanjutan kepada episod besarnya Mahathirisme. Belanja Besar Itu Sifat Najibnomics Belanjawan 2011 bukan sahaja memberi keutamaan kepada projek mega, malahan pemimpin Kerajaan BESAR NAFSU mempunyai kecenderungan untuk mengagumi projek pembinaan infrastruktur besar-besaran sebagai warisan kepimpinannya. Menara Berkembar Petronas umpamanya disifatkan sebagai simbol kemegahan negara dan monumen kepada semangat Malaysia Boleh. Tidak sampai dua tahun berkuasa, Warisan Merdeka yang bernilai RM5 bilion diperkenalkan oleh Najib kepada rakyat jelata sebagai satu lagi kononnya mercu kebanggaan negara dan mendatangkan kesan limpahan ekonomi yang besar. Daripada Mahathirisme kepada Najibnomics, saiz menjadi ukiran pencapaian agenda transformasi ekonomi negara. Alasan Najib untuk mempertahankan pembinaan Warisan Merdeka juga tiada bezanya dengan alasan penyokong Mahathirisme iaitu semakin besar sesuatu projek tersebut, semakin besarlah keuntungan yang diperolehi. Realitinya, semakin besar sesuatu projek tersebut, semakin besarlah tanggungan kerugian yang bakal dipikul oleh kerajaan. Apa yang dikesali, Najib didapati obses kepada teori ekonomi firaun Mahathir. Era JPM BESAR Bermula Ungkapan era kerajaan mengetahui segalanya sudahpun berakhir menimbulkan tanda tanya dalam benak fikiran rakyat. Sekiranya benar dakwaan Najib bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudahpun berakhir, nampaknya era JPM BESAR dan tahu segalanya sedang bermula dengan hebatnya! Mengapakah dikatakan demikian? Hal ini kerana apabila perbelanjaan Kerajaan Persekutuan berkembang sebanyak 33% sejak tahun 2007, perbelanjaan JPM melonjak sebanyak 130% dalam tempoh yang sama. Akibat pemusatan kuasa JPM, sekarang lebih 50 buah agensi terletak di bawah kendaliannya dan masih ditokok tambah tanpa segan dan sekatan. UNIK bukanlah agensi terakhir. UNIK bukanlah sesuatu yang unik. Agensi-agensi penting yang sewajarnya bertanggungjawab kepada Parlimen seperti Petronas dianaktirikan kepada JPM atau lebih tepat Perdana Menteri. Lebih menghairankan, apakah rasionalnya meletakkan Biro Tatanegara (BTN) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di bawah JPM? Malahan, Perdana Menteri sendiri turut menyelia 1MDB dan Ekuinas seolah-olah beliau sahajalah yang mengetahui segala-galanya. Langkah tersebut mirip penekanan seorang filasuf Perancis, Alexis de Tocqueville yang pernah menulis "A central power, however enlightened and wise imagines it to be, can never be alone foresee all the details of the life of a great nation. Such a task exceeds human strength"[2] Kroni Besar Acuan Najibnomics Amalan kronisme dengan kroni-kroni besar memang jelas dalam kedua-dua pentadbiran baik Mahathir ataupun Najib. Sistem ekonomi yang dikawal secara langsung dengan tahap penglibatan kerajaan yang keterlaluan merupakan faktor mengapa kronisme dan rasuah berleluasa di Malaysia. Rakyat telah menyaksikan bagaimana banyak syarikat besar negara telah diselamatkan oleh kerajaan atas alasan menyelamatkan pekerjaan. Atas mitos JPM BESAR dan tahu segalanya, keuntungan diswastakan manakala kerugian dinasionalisasikan. Contohnya, kajian yang dilakukan oleh Simon Johnson dan Todd Minton menyimpulkan bahawa kronisme meningkat selaras dengan kawalan modal dan membuktikan bahawa hanya firma atau syarikat yang berkaitan dengan Mahathir mengalami kenaikan harga saham sejurus krisis Kewangan Asia pada tahun 1997.[3] Jika diimbas kembali era Mahathirisme berpandukan buku Barry Wain, senarai yang disyaki mengandungi elemen skandal atau elemen kontroversi lain cukup besar saiznya secara total dan secara anggaran (KPRU_Lampiran). Contohnya, Mahathir pernah menyelamatkan syarikat Perwaja Steel daripada kerugian RM10 bilion. Masih ingat isu penyelamatan UEM? Masih ingat isu penyelamatan Renong menggunakan dana EPF? Sementara Kerajaan BESAR NAFSU berhujah kuat mengenai pendapatan tinggi, amalan kroni besar membawa implikasi sebaliknya di mana yang berusaha dan bekerja dengan gigih terhukum kerana tidak mempunyai pertalian politik kepada kerajaan dan parti politik. Justeru, yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana. Sistem kapitalis dipersalahkan manakala demokrasi terpimpin ala Mahathir disanjung tinggi oleh Najib berikutan penjelmaan legasi negatif Mahathirisme dalam acuan terkini yang bernama Najibnomics. Dimensi Politik Najibnomics Jika diteliti belanjawan 2011, keunikan Najibnomics menonjol sekali dengan belanja besar, projek besar dan peruntukan besar JPM. Sesungguhnya, dimensi politik ala Mahathir juga mencorakkan pemerintahan Najib. Najibnomics terserlah dengan legasi politik Mahathirisme yang negatif. Politik populis yang mendominasi pembentangan Belanjawan 2011 tidak lain tidak bukan tujuannya untuk meraih sokongan jutaan pengundi tanpa rasa bersalah terhadap kerosakan sistem ekonomi kemudiannya. Defisit yang terpaksa ditanggung hampir satu setengah dekad terus membengkak akibat projek mega yang tidak strategik mengikut keperluan politik Kerajaan BESAR NAFSU. Seterusnya, rakyat yang terus terpinggir dari arus dasar pembangunan mempunyai daya kebergantungan yang tinggi terhadap Kerajaan BESAR NAFSU. Institusi kerajaan yang terlibat dalam gejala kronisme yang berasaskan politik naungan (patronage politics) dan budaya rent-seeking di Malaysia berlaku sejak era pemerintahan Mahathir lagi. Rosaknya sistem kehakiman, perundangan dan eksekutif akibat daripada perlanggaran hukum pengasingan kuasa ternyata membawa padah politik dan ekonomi negara. Rakyat pula terus dicengkam dengan pelbagai tekanan dan intimidasi daripada kerajaan. Keseluruhan jentera; polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya digunakan sepenuhnya untuk mencapai penguasaan secara total ke atas kehidupan rakyat jelata. Daripada era Mahathirisme kepada Najibnomics, percubaan penguasaan hegemoni secara total dilakukan secara berterusan. Jika hari ini disuapkan dengan janji manis pendapatan tinggi dan gaji minimum, keesokan hari disuapkan pula dengan penekanan kebebasan media. Jika hari ini disuapkan dengan projek mega yang berangan-angan hendak menyentuh bulan yang membawa kegelapan, keesokan hari disuapkan pula dengan berita Wartawan Malaysiakini dihalau keluar dari Persidangan UMNO. Tatkala rakyat dibuai dengan kehidupan negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, kebebasan ala Mahathir dijadikan rujukan utama Najib untuk menekan pembangkang, media alternatif serta gerakan massa! Najib secara terang-terangan menawarkan sejumlah wang kepada rakyat Sibu sewaktu pilihan raya kecil Sibu pada bulan Mei lalu. Kartunis Zunar menjadi mangsa ketidakadilan gara-gara menulis kisah satira politik Najib dan isteri. Sejauh manakah kebebasan yang dikatakan oleh Mahathir dan Najib menjadi praktis di Malaysia? Bukankah Perlembagaan Persekutuan dan kehakiman sepatutnya menentukan semak dan imbang (check and balance) kuasa eksekutif daripada melanggar prinsip negara hukum? Bagi Mahathir dan Najib, isu keadilan sosial dan demokrasi bukanlah keutamaan pemerintahannya. Malahan, tiada pun "NKRA" untuk keadilan sosial dan tiada pun usaha untuk mengembalikan integriti sistem kehakiman negara. Dalam kenyataan[4] yang lepas, KPRU pernah mencadangkan 5 Bidang Politik Utama Negara (NKPA) sebagai langkah perintis mengangkat kembali keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan negara. Apakah tuntutan pembaharuan dimensi politik dipandang berat oleh Kerajaan BESAR NAFSU bertunjangkan Najibnomics? Apakah pembaharuan dimensi ekonomi ala Najib dapat dilakukan tanpa pembaharuan dimensi politik? |
Posted: 20 Oct 2010 10:26 PM PDT Oleh MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya masih terus fobia dengan kehadiran bekas Timbalannya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam politik negara. Fobianya Mahathir seolah-olah beliau sentiasa dihantui bayang-bayang Anwar, walau ke mana beliau pergi. Sepatutnya pada usia extra emas seperti sekarang ini, bekas Presiden Umno itu harus banyak berehat dan meluangkan masa dengan anak cucu cicit. Tidak perlu hirau politik negara. Baru-baru ini pun bekas PM itu dimasukkan ke sebuah hospital di Australia kerana keadaan kesihatannya tidak stabil. Ingatkan bila beliau dalam keadaan tidak sihat, beliau akan berhenti bersuara. Namun, nampaknya Mahathir ini kata orang Utara jenis ‘ketegaq’ (keras kepala). Tidak hirau sakit demam, tidak hirau usia dah lanjut, masih hendak campur urusan politik juga. Dalam satu sesi dialog pada program forum antarabangsa baru-baru ini, Anwar yang sudah dipecat, dipukul dan dihumban dalam penjara sejak 12 tahun lepas, masih menjadi ‘ulam’ beliau. Katanya, keputusan mengheret Anwar ke muka pengadilan atas tuduhan meliwat kira-kira 12 tahun lalu merupakan satu tindakan tepat dan bukan konspirasi. “Sebagai seorang yang rasional mustahil kes Anwar ini hasil daripada konspirasi. Kes Anwar membabitkan institusi kehakiman dan di dalam institusi ini, konspirasi sukar dilakukan kerana kita terpaksa berhadapan dengan banyak pihak. “Kita bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan satu dua orang tetapi lebih 100 orang. Antaranya hakim, pendakwa, polis, saksi-saksi dan mangsa. Ini bukan kerja mudah kerana banyak pihak yang akan terlibat,” katanya pada sesi soal jawab itu. Dakwanya, sepanjang 22 tahun memimpin negara, beliau tidak pernah sekali mempelawa hakim hadir untuk majlis-majlis rasmi sama ada di kediamannya atau di tempat lain kecuali Ketua Hakim Negara. “Saya faham kedudukan hakim dan etika yang harus mereka patuhi. Sebagai hakim mereka perlu bebas daripada dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk golongan pemimpin kerana akhirnya mereka yang akan membuat keputusan bagi satu-satu kes,” katanya. Bagi penulis, ironinya, mengapa selepas 12 tahun Anwar dipecat dan selepas tujuh tahun Mahathir bersara, beliau masih terpaksa mempertahankan tindakan memecat Anwar? Bagaimana mungkin Mahathir boleh menafikan campur tangan beliau dalam urusan kehakiman negara. Semua orang tahu walaupun Ketua Hakim Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi ianya adalah di atas nasihat Perdana Menteri. Dalam logik mudah, PM yang berkuasa melantik Ketua Hakim. Isu Mahathir campur tangan dalam kehakiman bukannya baru. Rakyat tidak lupa bagaimana beliau terbabit dalam konspirasi memecat Tun Salleh Abas pada tahun 1988 yang lalu. Kes Tun Salleh adalah satu isu besar yang merosakkan sistem kehakiman negara, sehingga menyebabkan rakyat meragui keadilan mahkamah kita. Ini berlaku zaman Mahathir menjadi PM. Jika pada waktu itu (1988) pun beliau sudah campur tangan, apakah tidak mungkin tahun 1998 beliau tidak campur tangan? Dah tua-tua begini usahlah Mahathir hendak nafi. Budak-budak sekarang sudah cerdik. Dalam kes Anwar secara spesifik. Bagaimana Mahathir boleh mengatakan beliau tidak ada konspirasi dan tidak campurtangan, sedangkan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah (arwah) dan penggantinya, Tan Sri Abdul Gani Patail, duduk di bawah ketiak PM? Ketika Anwar dibawa ke mahkamah selepas beberapa hari ditahan dan diseksa, dipukul sehingga lebam mata, Mahathir beriya-iya mendakwa Anwar memukul diri sendiri untuk meraih simpati rakyat. Akhirnya terbukti melalui satu suruhanjaya, didapati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor (ketika itu) yang memukul Anwar. Ketegaqnya Mahathir ketika itu Allah sahaja yang tahu. Beliau beriya-iya mendakwa Anwar memukul dirinya sendiri, bila didapati sebaliknya, sedikit pun beliau tidak mahu meminta maaf. Isu itu sudah lama berlalu, penulis sekadar mencatat sedikit rentetan sahaja. Seterusnya, selepas Anwar dibebaskan pada November 2004, beliau tidak pernah menyerang Mahathir, malah enggan memburuk-burukkan bekas ketuanya. Walaupun banyak kepahitan dialami Anwar, akibat daripada gelagat Mahathir, Anwar cuba ‘berjiwa besar’. Beliau enggan bertelingkah dengan orang yang sudah bersara. Biar banyak mana salah bekas PM tersebut, biarlah rakyat yang menghukumnya. Namun bekas PM itu masih enggan duduk diam. Beliau terus menyerang dan mempersalahkan Anwar, di mana sahaja platform yang beliau sempat bersuara. Mengapa Mahathir fobia sangat? Mengapa alergi sangat dengan Anwar? Khabarnya begitu fobia Mahathir dengan Anwar sehingga beliau enggan hadir ke majlis makan malam sempena 50 tahun Parlimen di PWTC, 15 Oktober lepas. Pada majlis itu Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menjadi tetamu VVIP. Tun Abdullah Ahmad Badawi hadir, Dato’ Seri Najib Tun Razak hadir, semua VIP dan sebahagian besar bekas Ahli Parlimen turut hadir. Entahlah mungkin juga masa itu Mahathir tidak sihat. Oleh itu, jika Umno-BN semakin lemah, semakin ditolak rakyat, bukan semuanya 100 peratus kerana Anwar. Ada salah Mahathir, ada salah Abdullah Badawi dan ada juga salah Najib. Apakah semua ini disuarakan kerana Mahathir bimbang, jika Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Persekutuan nanti, beliau akan disumbat ke dalam penjara? Usahlah fikir macam itu, beliau dah terlalu tua, kesian juga kita kepadanya. Sepatah komen Anwar sewaktu sembang-sembang sambil menunggu lif di Parlimen dengan penulis, dalam nada berseloroh, “Orang tua ini tidak habis-habis menyerang saya, nanti kalau dikata nyanyuk, marah pula.” Kata-kata spontan Anwar itu disambut gelak besar rakan-rakan Ahli Parlimen yang berada di situ. |
You are subscribed to email updates from Anwar Ibrahim To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan