N37 Batu Maung |
Umno Lesapkan Wang, Saham Melayu Posted: 21 Oct 2010 08:12 AM PDT KUALA LUMPUR 21 OKT : Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, saranan Presiden Umno yang menuntut semua pihak untuk tidak mempersoalkan kontrak sosial, tidak mencerminkan ketelusan dalam tindakan oleh pimpinan Umno-Barisan Nasional(BN). "Kontrak sosial menerusi tanggapan apa?.Adakah kontrak sosial membenarkan seseorang untuk makan rasuah? "(Kalau) kerajaan nak cakap tentang kontrak sosial, kita nak tanya apa sudah jadi dengan saham berjumlah RM52 bilion yang sepatutnya diberikan kepada orang Melayu dan orang bumiputera miskin," soalnya. Beliau mengulas konsep kontrak sosial yang diungkapkan oleh Datuk Seri Najib Razak, dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno, hari ini. Dalam teks ucapan Najib tersebut, dipetik menyorot peristiwa berkaitan perbalahan yang membabitkan perkauman pada abad ke-20 yang menyaksikan paparan kes-kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi "holocoust" di Benua Eropah, penyembelihan rakyat Palestin di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda. Najib turut dikatakan menyeru kepada generasi rakyat Malaysia yang mengambil pendirian untuk mempersoalkan kewajaran kontrak sosial kebangsaan yang telah dimuafakatkan pendahulu mereka sebelum ini. Dalam pada itu, Guan Eng turut mempertikaikan parti tunjang Barisan Nasional itu, apabila tidak menunjukkan sebarang langkah atau inisiatif yang proaktif diambil untuk membela nasib golongan miskin Melayu dan bumiputera. "Mengapa tidak ada Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mengenalpasti siapa yang melesapkan wang ini. RM52 bilion sudah kena 'kebas'. Takkanlah mereka tak ambil peduli langsung. Itu yang jadi tanda tanya dan persoalan utama. Kontrak sosial untuk siapa. Untuk diri sendiri atau untuk rakyat? "Kalau untuk diri sendiri, itu yang kita tentang, kerana kalau kita cakap tentang RM52 bilion, dia (Umno-BN) sendiri akui RM54 bilion yang diberikan tinggal RM2 bilion. Siapa yang ambil," soalnya. Oleh kerana itu, Guan Eng mempersoalkan tindakan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab untuk menghukum mereka yang didapati menyeleweng dan khianat kepada amanah yang diberikan. "Kita tahu ini semua pemimpin dan kroni BN dan Umno yang dapat. Adakah kerana itu mereka tak mahu buat sebarang siasatan," dakwanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. |
You are subscribed to email updates from N37 Batu Maung To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan