Selasa, 5 Oktober 2010

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Tekad Mahasiswa Sahut Cabaran Di Galas

Posted: 05 Oct 2010 03:26 AM PDT

Dari TVSelangor

Gerakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menjangka lebih 2,000 mahasiswa akan menyertai kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat, tanpa mempeduli amaran daripada Menteri Pengajian Tinggi supaya tidak terlibat. dalam PRK itu.

Setiausaha SMM, Mohd Ridzuan Othman menyifatkan amaran awal Datuk Seri Khaled Nordin semalam sebagai arahan yang tidak masuk akal dan bukan sesuatu yang mutlak walaupun Khaled berhak mengeluarkan kenyataan sedemikian tetapi terpulang kepada mahasiswa untuk membuat penilaian.

“Pertamanya kita seluruh Mahasiswa sering peka berkenaan dengan isu-isu semasa yang melingkari mahasiswa dan negara ini.

“SPR belum lagi bermesyuarat dan memutuskan tarik pilihan raya kecil Galas tetapi Menteri telah pun mengeluarkan arahan kepada mahasiswa supaya tidak turun ke Galas. Adakah Menteri sedang bermimpi di siang hari?” katanya yang menyatakan mahasiswa tidak akan turun beramai-ramai ke Galas.

“Kami sahut cabaran menteri yang sewenang-wenangnya ingin mengenakan Auku (Akta Universiti dan Kolej Universiti) kepada mahasiswa yang turun ke Galas.

“Saya juga ingin memberi mesej jelas kepada menteri bahawa mahasiswa bukan budak kecil yang boleh ditakut-takutkan,” katanya yang menganggarkan lebih 2,000 mahasiswa bakal ke Galas untuk hadir sebagai kuasa ketiga dalam masyarakat.

“Jika mahasiswa tidak dibenar hadir pilihan raya kecil, ke mana mahasiswa akan pergi apabila pilihan raya umum berlangsung? Semua negeri ini menjadi 'haram' bagi mahasiswa. Adakah mahasiswa perlu ramai-ramai ke luar negara?” katanya.

Mustaffa Kamil Persoal Politik ‘Busuk’ PERKASA

Posted: 04 Oct 2010 10:55 PM PDT

Dari Malaysiakini

Naib Presiden PKR Musttaffa Kamil Ayub mempersoalkan ‘sokongan’ Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) terhadapnya yang dicurigai sebagai percubaan melaga-lagakan pemimpin parti itu.

“Sekiranya beliau mahu melihat saya bersengketa dengan saudara Azmin (Ali) dan saudara Zaid (Ibrahim), saya nak tegaskan bahawa seluruh pemimpin PKR matang dalam menangani politik busuk PERKASA-Umno ini,” katanya.

Menurut Mustafa (kiri), PKR sebagai parti berbilang kaum tidak akan berkompromi dengan sikap ‘perkauman’ NGO Melayu itu.

Tolak anasir ekstrim

“Sesungguhnya PKR adalah parti untuk semua bangsa. Ayuh kita tolak anasir ekstrim PERKASA dan Umno ini,” kata Mustaffa yang bertanding merebut jawatan timbalan presiden PKR.

Semalam, Ketua Wira PERKASA, Arman Azha Abu Hanifah meminta semua ahlinya yang menganggotai PKR menolak Azmin sebagai timbalan presiden PKR, sebaliknya mengalihkan sokongan mereka kepada Mustaffa.

Ini kerana, menurut Arman Azha (kanan), Azmin sebagai naib presiden parti itu sekarang didakwa tidak berpendirian dan hanya bertindak sebagai “budak kopi” kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya harap semua anggota PKR memilih Mustaffa Kamil Ayub sebagai timbalan presiden. Beliau daripada ABIM (Angkatan Beliau Islam Malaysia), (beliau) ada agenda Islam,” kata Arman Azha.

Beliau juga mendakwa, sebanyak 35 peratus NGO Melayu dengan keanggotaan 300,000 orang itu turut merupakan anggota PKR.

Dalam persaingan merebut jawatan nombor dua parti itu, Mustafa merupakan salah seorang yang menawarkan diri bertanding, di samping Azmin dan Penyelaras Pakatan Datuk Zaid Ibrahim.

Bercakap dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini, Mustaffa bagaimanapun berkata, jika sokongan yang diberikan PERKASA itu ikhlas, beliau mengucapkan terima kasih.

“Saya nak tanya, adakah ikhlas. Kalau ikhlas saya ucap terima kasih,” katanya sambil menegaskan perkara itu tidak bermakna beliau menyokong NGO Melayu itu.

Katanya, walaupun menyokong membahaskan perkara berkaitan Islam dalam ruang lingkup perlembagaan, tetapi pendekatan chauvinis dan esktrim seperti PERKASA hendaklah ditolak.

Sokong bawa rebah

Ditanya tentang kepentingan sokongan itu kepadanya, Mustaffa berkata ia menarik minat ahli parti dan media.

“Tetapi saya kena pastikan supaya tak dilihat sokong membawa rebah,” katanya.

Berhubung dakwaan PERKASA bahawa 35 peratus anggota NGO itu juga merupakan anggota PKR, Mustaffa berkata “tak ada angka sedemikian”.

Sementara itu, mengulas kenyataan Azmin terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir yang dibidas pelbagai pihak, Mustaffa berkata seluruh ahli PKR berkongsi pandangan dengan bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

“Apakah tidak boleh mana-mana pemimpin PKR mengkritik Tun? Kalau Tun seorang negarawan, beliau tidak akan aniaya rakyat dan fitnah bekas timbalan perdana menteri. Mengapa perlu bengis apabila Tun dikritik pada penghujung usianya?” soalnya kembali.

Tiada ulasan: