Isnin, 4 Oktober 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Mustaffa Kamil persoal politik 'busuk' PERKASA

Posted: 04 Oct 2010 10:48 PM PDT


Naib Presiden PKR Musttaffa Kamil Ayub mempersoalkan 'sokongan' Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) terhadapnya yang dicurigai sebagai percubaan melaga-lagakan pemimpin parti itu.


"Sekiranya beliau mahu melihat saya bersengketa dengan saudara Azmin (Ali) dan saudara Zaid (Ibrahim), saya nak tegaskan bahawa seluruh pemimpin PKR matang dalam menangani politik busuk PERKASA-Umno ini," katanya.

Menurut Mustafa (kiri), PKR sebagai parti berbilang kaum tidak akan berkompromi dengan sikap 'perkauman' NGO Melayu itu.
Tolak anasir ekstrim

"Sesungguhnya PKR adalah parti untuk semua bangsa. Ayuh kita tolak anasir ekstrim PERKASA dan Umno ini," kata Mustaffa yang bertanding merebut jawatan timbalan presiden PKR.

Semalam, Ketua Wira PERKASA, Arman Azha Abu Hanifah meminta semua ahlinya yang menganggotai PKR menolak Azmin sebagai timbalan presiden PKR, sebaliknya mengalihkan sokongan mereka kepada Mustaffa.


Ini kerana, menurut Arman Azha (kanan), Azmin sebagai naib presiden parti itu sekarang didakwa tidak berpendirian dan hanya bertindak sebagai "budak kopi" kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya harap semua anggota PKR memilih Mustaffa Kamil Ayub sebagai timbalan presiden. Beliau daripada ABIM (Angkatan Beliau Islam Malaysia), (beliau) ada agenda Islam," kata Arman Azha.

Beliau juga mendakwa, sebanyak 35 peratus NGO Melayu dengan keanggotaan 300,000 orang itu turut merupakan anggota PKR.

Dalam persaingan merebut jawatan nombor dua parti itu, Mustafa merupakan salah seorang yang menawarkan diri bertanding, di samping Azmin dan Penyelaras Pakatan Datuk Zaid Ibrahim.
Bercakap dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini, Mustaffa bagaimanapun berkata, jika sokongan yang diberikan PERKASA itu ikhlas, beliau mengucapkan terima kasih.


"Saya nak tanya, adakah ikhlas. Kalau ikhlas saya ucap terima kasih," katanya sambil menegaskan perkara itu tidak bermakna beliau menyokong NGO Melayu itu.

Katanya, walaupun menyokong membahaskan perkara berkaitan Islam dalam ruang lingkup perlembagaan, tetapi pendekatan chauvinis dan esktrim seperti PERKASA hendaklah ditolak.
Sokong bawa rebah

Ditanya tentang kepentingan sokongan itu kepadanya, Mustaffa berkata ia menarik minat ahli parti dan media.

"Tetapi saya kena pastikan supaya tak dilihat sokong membawa rebah," katanya.

Berhubung dakwaan PERKASA bahawa 35 peratus anggota NGO itu juga merupakan anggota PKR, Mustaffa berkata "tak ada angka sedemikian".

Sementara itu, mengulas kenyataan Azmin terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir yang dibidas pelbagai pihak, Mustaffa berkata seluruh ahli PKR berkongsi pandangan dengan bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

"Apakah tidak boleh mana-mana pemimpin PKR mengkritik Tun? Kalau Tun seorang negarawan, beliau tidak akan aniaya rakyat dan fitnah bekas timbalan perdana menteri. Mengapa perlu bengis apabila Tun dikritik pada penghujung usianya?" soalnya kembali.

Sumber: Malaysiakini

Azizan: BN punca tarif air naik di Kedah

Posted: 04 Oct 2010 10:45 PM PDT


Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak mempertahankan pendiriannya menyalahkan kerajaan negeri terdahulu berhubung kenaikan tarif air di negeri itu oleh Syarikat Air Darul Aman (Sada) mulai bulan ini.

Beliau mendakwa kerajaan BN sebelum ini adalah penyebab utama kerajaan negeri pimpinannya terpaksa menanggung beban hutang dengan kerajaan pusat sebanyak RM1.7 bilion.

"RM1.7 bilion itu meliputi keseluruhan hutang yang ditanggung kerajaan negeri melalui projek air, perumahan dan projek di kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech, dan bukannya hutang projek bekalan air bersih," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di kediaman rasminya di Alor Setar, semalam.

Azizan mengulas kenyataan ketua pembangkang Kedah yang juga bekas menteri besar Datuk Seri Mahdzir Khalid Ahald lalu bahawa beliau cuba memutarbelitkan fakta untuk merasionalkan keputusan kerajaan negeri menaikkan tarif air sebanyak 27 peratus mulai Jumaat lalu.

Sebelum ini, beliau mendakwa kenaikan tarif air tersebut berpunca daripada penstrukturan semula industri air yang dilaksanakan kerajaan pusat pada 2006, bertujuan menyelesaikan pinjaman oleh kerajaan negeri berhubung bekalan air.

Pada sidang akhbar berkenaan, Azizan berkata kenaikan tarif air tersebut juga perlu dilaksanakan kerana kerajaan negeri terpaksa membayar kepada dua syarikat pengendali rawatan air di negeri itu, Taliworks Sdn Bhd dan Air Utara Indah Sdn Bhd.

"Di Langkawi, kerajaan terpaksa membelanjakan RM39 juta setahun untuk membayar kepada Taliworks. Namun kerajaan negeri hanya memperoleh RM14 juta sahaja kutipan daripada pengguna, dan kerajaan terpaksa membayar sebanyak RM25 juta lagi bagi membiayai kos rawatan air yang dilakukan oleh syarikat berkenaan.

"Ia sama bagi Syarikat Air Utara Indah yang mengenakan caj sebanyak 18 sen bagi satu meter padu air, namun kerajaan negeri juga terpaksa menanggung kerugian sebanyak 48 peratus ekoran air tidak sampai kepada pengguna 100 peratus," katanya.

Beliau berkata ini disebabkan masalah paip yang menyalurkan air ke kediaman rosak, dan sedang diperbaiki oleh kontraktor terbabit.

- Bernama

Buang bayi: Kerajaan hilang punca, kontang idea

Posted: 04 Oct 2010 10:40 PM PDT


KUALA LUMPUR, 5 Okt: PAS berpandangan hajat Datin Seri Rosmah Mansor hendak ke Centrum voor Integrale Gezinsgorg (CIG) di Brussels, Belgium pada 5 Oktober (hari ini) bagi mendapatkan pelbagai input untuk menangani permasalahan buang bayi adalah tindakan yang tidak munasabah, seolah-olah kerajaan sudah hilang punca dan kontang idea.

"Fenomena ini sepatutnya dirujuk kepada mereka yang arif di negara ini sahaja bukannya di negara yang, iklim dan sosial budayanya berbeza," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Tambahnya, tindakan yang dibuat oleh Datin Seri Rosmah untuk merujuk negara Brussels bagi mengatasi masalah anak luar nikah, seolah-olah anak yatim yang kaya dengan harta peninggalan bapanya, tetapi masih lagi meminta sedekah kepada orang ramai.

"Begitulah juga tindakan Datin Rosmah ibarat memohon sedekah dan ehsan daripada orang lain, sedangkan kita mempunyai rujukan iaitu Islam," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Soalnya, kenapa begitu takut hendak merujuk kepada pendekatan Islam yang lebih menyeluruh dan telah terbukti berjaya.

Katanya, kaedah yang perlu digunakan mestilah merujuk kepada apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. iaitu pendekatan mencegah dan mendidik.

Beliau menjelaskan, Baginda s.a.w. telah berjaya membetulkan masyarakat jahiliah yang rosak dalam masa 23 tahun yang menjadi kekaguman ahli kaji masyarakat barat yang berpandangan kerosakan masyarakat jahiliah hanya dapat dirawat dalam masa 100 tahun lebih.

Sumber: Harakah Daily

CCTV akan kawal 'tetamu' pusat maksiat di Selangor

Posted: 04 Oct 2010 10:38 PM PDT


SHAH ALAM, 5 Okt: Kerajaan negeri Selangor sedang menyusun semula pusat-pusat hiburan di negeri itu agar ia tidak disalahgunakan untuk menjadi tempat maksiat khasnya perjudian dan pelacuran.

Antaranya adalah dengan membuat rekabentuk (design) semula tempat-tempat itu agar ia lebih terbuka dan bakal diletakkan kamera litar tertutup (CCTV) untuk merakam semua kegiatan dan pengunjung ke pusat-pusat itu.

"Kita sukar untuk menutupnya tetapi kita akan kawal dia agar tidak disalahgunakan untuk kegiatan yang tidak baik," kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam wawancara khas dengan Harakahdaily, Harakah dan Siasah di pejabatnya petang semalam.

Beliau mengulas serangan bertubi-tubi dari Umno dan umat Islam berikutan pertambahan yang ketara pusat-pusat hiburan dan kesihatan yang disalahgunakan dengan menjadikannya pusat perjudian dan pelacuran serta kegiatan tidak sihat yang lain.

"Kita mahu lihat juga sebenarnya apa yang boleh dibuat oleh kerajaan BN dalam menghadapi gejala ini dan kita akan ikut. Misalnya apa yang kerajaan Negeri Sembilan dan Perak boleh buat di tempat masing-masing.

"Namun mereka tak buat apa-apa juga. Kita sendiri telah berbincang dengan beberapa universiti untuk merekabentuk semula tempat ini agar lebih transparen. Bila begitu, kita harap kegiatan yang tidak baik tidak akan berlaku.

"Bila kita siap, kita akan pastikan semua operator pusat-pusat sebegini mematuhi peraturan yang kita tetapkan. Jika tidak lesen tidak akan dikeluarkan dan tindakan boleh kita ambil," katanya.

Khalid mengaku, agak sukar untuk membanteras pusat-pusat sebegini begitu sahaja kerana ia bergantung kepada permintaan.

"Kalau orang ramai datang, permintaan tinggi, ia akan bertambahlah," kata Khalid.

Beliau juga tidak mahu menyalahkan polis atau pihak-pihak berkuasa lain kerana tidak bertindak ke atas pusat-pusat sebegini.

"Kita tahu bilangan polis kita amat terhad. Tak mampu mereka mengejarnya. Jadi kita kena ada inovasi dalam menghadapi perkara ini. Sebab itu bagi saya, kita kena design semula dan kawal dari situ.

"Kalau kita hanya tutup sahaja, yang haram pula akan tumbuh macam cendawan, lagi susah untuk dikawal," kata Khalid.

Sebelum ini, exco beliau, Ronnie Liu dalam wawancaranya dengan Harakahdaily mendakwa polis dan imigresen labih berkuasa untuk bertindak ke atas pusat-pusat hiburan dan kesihatan yang disalahgunakan di negeri itu kerana bidang kuasanya lebih luas berbanding dengan kerajaan tempatan di bawah kerajaan negeri.

Dalam wawancara kali ini, Khalid berharap, melalui rakaman CCTV untuk semua pusat ini akan mencegah orang-orang yang ada maruah untuk datang ke tempat sebegitu.

Ketika ditanya bila ia akan dilaksanakan, Khalid berkata, ia berada di peringkat kajian dan bila ianya selesai, kerajaan negeri Selangor akan melaksanakannya segera.

Sumber: Harakah Daily

Galas: Buruk sungguh Umno layan Razaleigh

Posted: 04 Oct 2010 10:36 PM PDT


KUALA LUMPUR, 5 Okt: Umno menjadikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak ubah seperti kukur kelapa yang dipergunakan apabila perlu dan diperosok di ceruk dapur apabila tidak perlu.

"Buruk sungguh cara para pemimpin Umno melayan pemimpin veteran mereka yang selama ini mereka sanjung-sanjung jasa dan sumbangannya kepada parti itu, orang-orang Melayu dan negara.

"Orang-orang Umno memperlakukan Tengku Razaleigh seperti kukur kelapa. Nak pakai, ditunggangi, kalau mereka terluka ketika mengukur kelapa, kukur dimaki dan setelah habis dipergunakan, basuh pun tidak terus diperosok di ceruk-ceruk dapur," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu yakin, rakyat tentulah menerima layanan yang jauh lebih buruk lagi dari Umno kalau pemimpin veteran mereka pun dilayan seburuk itu.

"Apa yang mesti disedari oleh rakyat terutama para pengundi di Galas ialah keghairahan melampau-lampau Umno untuk menghina Tengku Razaleigh.

"Para pemimpin Umno kini seolah-olah berlumba-lumba untuk menghina bekas Menteri Kewangan itu," kata beliau sambil mengingatkan rakyat bahawa mereka juga tidak akan terlepas dari penghinaan seburuk itu dari Umno.

Mahfuz berkata, jika hari ini para pemimpin Umno berebut-rebut menghina bekas Naib Presiden parti mereka, suatu hari nanti mereka akan berebut-rebut menghina rakyat pula.

"Hari ini mereka membalas dendam terhadap Tengku Razaleigh apabila cuba memaksa beliau bertanding di Galas tanpa mempedulikan kedudukan bekas Naib Presiden Umno itu, selepas ini para pemimpin Umno akan membalas dendam kepada rakyat," katanya.

Para pemimpin Umno berdendam kepada Tengku Razaleigh kerana tidak mahu menjadi pak turut mereka termasuk dalam isu royalti minyak kepada negeri-negeri termasuk Kelantan, kata beliau.

"Sama seperti mereka berdendam kepada Tengku Razaleigh, Umno juga berdendam kepada rakyat kerana memalukan parti itu dan Barisan Nasional (BN) yang dikepalainya dalam pilihan raya umum 2008 lalu," katanya.

Mahfuz walau bagaimanapun yakin tidak mudah bagi para pemimpin Umno menganiaya Tengku Razaleigh yang sudah begitu matang dan mahir dengan sepak terajang mereka.


Sumber: Harakah Daily

Galas: Umno belum tunai janji di Manek Urai

Posted: 04 Oct 2010 10:35 PM PDT


TEMERLOH, 5 Okt: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Umno BN amat bermasalah menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas kerana janji mereka semasa PRK Manek Urai belum ditunaikan.

Menurutnya, sedangkan kawasan Dun Manek Urai terletak bersebelahan dengan Dun Galas.

"Mereka akan bermasalah dalam kempen kerana rakyat akan buat perbandingan. Masalah Manek Urai tak selesai lagi, mungkin itu yang menyebabkan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin takut jadi pengarah pilihan raya Umno BN," katanya sinis.

Justeru, beliau selaku Pengarah Pilihan raya PAS bagi PRK Galas berkata, peluang PAS mempertahankan kerusi Dun Galas adalah cerah berdasarkan kajian yang menunjukkan latar belakang masyarakatnya yang peka dengan perkembangan semasa.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menambah, pengundi Dun Galas adalah golongan yang telah mendapat nikmat hasil daripada pembangunan yang dilakukan kerajaan negeri terutama selepas terbinanya bandar baru di situ.

"Kita percaya pengundi di Galas akan terus memberikan sokongan kepada PAS untuk meneruskan agenda pembangunan di situ," katanya.

Ini, ujarnya ditambah dengan latar belakang masyarakatnya yang telah memperolehi nikmat pembangunan hasil daripada pertumbuhan bandar baru.

"Wakil kita (Allahyarham Chek Hashim) dulu pun telah memberikan khidmat yang amat baik kepada rakyat ini semua akan membantu kita," katanya.


Sumber: Harakah Daily

MATC melabuhkan tirai, pemilihan pimpinan pusat jadi tumpuan

Posted: 04 Oct 2010 12:58 AM PDT


PETALING JAYA: Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) sudah melabuhkan tirainya semalam dan kini fokus utama membabitkan pemilihan pimpinan pusat bagi jawatan tertinggi seperti presiden, timbalan presiden, naib presiden dan majlis pimpinan pusat (MPP).

Pemilihan bagi peringkat nasional ini akan bermula hujung Oktober dengan beberapa negeri seperti Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Sabah, Melaka, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan memulakan proses tersebut.

Kira-kira 450,000 ahli sekali lagi akan menjalankan tanggungjawab mengundi bagi memilih jawatan tertinggi dalam parti itu.

Setelah tiga minggu pemilihan cabang dilaksanakan, pelbagai corat-coret berlaku bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini menginjak lapan tahun penubuhannya secara rasmi.

PKR yang pertama kalinya memperkenalkan sistem 'satu ahli satu undi' turut menyaksikan 13 cabang ditangguh mesyuaratnya disebabkan beberapa insiden timbul seperti masalah teknikal bagi kertas undi, kekacauan yang didakwa wujud anasir luar, pergaduhan di beberapa cabang serta bantahan oleh calon-calon yang bertanding.

Antara 13 cabang itu termasuklah Kapar, Klang, Petaling Jaya Selatan, Kuala Langat (semua di Selangor),Pasir Gudang, Tebrau, Kota Tinggi (Johor), Saratok, Lubuk Antu, Serian (Sarawak), Jerai dan Merbok (Kedah) dan di Kuala Nerus (Terengganu).

Ekoran masalah yang tercetus ini, sedikit sebanyak menguji kematangan anggota dan parti dalam melaksanakan sistem baru itu.

Daripada 204 cabang seluruh negeri, 141 daripadanya berjaya menjalankan menjalankan mesyuarat seperti sedia kala tanpa sebarang masalah.

Pemilihan pada kali ini menyaksikan beberapa nama seperti ahli parlimen Telok Kemang Datuk Kamarul Bahrin Abas, Adun Bukit Lanjan Elizeberth Wong dan Adun Batu Uban Raveentharan Subramaniam, serta pemimpin senior Mustaffa Kamil Ayub tewas kepada pencabar masing-masing bagi jawatan ketua cabang.

Manakala calon 'pilihan' seperti ahli parlimen Gombak Azmin Ali, N Gobalakrishnan (Padang Serai), Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim (Kuala Selangor), Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan William Leong (Selayang) berjaya mempertahankan jawatan ketua cabang masing-masing semalam.

Azmin dahului pencalonan timbalan presiden

Memetik laporan bernama, Azmin Ali kini mendahului pencabar utama Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim dengan 92 pencalonan bagi jawatan timbalan presiden.

Zaid pula memperoleh 35 undi diikuti Mustaffa dengan 17 undi pencalonan.

Manakala pengarah strategik PKR Tian Chua mendapat dua undi dan ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh menerima satu pencalonan.


Sumber: Free Malaysia Today

Rakyat Sabah Kagumi Kaedah Pemilihan Langsung KEADILAN

Posted: 04 Oct 2010 12:38 AM PDT


PENAMPANG 4 Okt – Kaedah pemilihan secara langsung yang diperkenal KEADILAN digemari, bahkan dikagumi rakyat Sabah yang menganggapnya sebagai kaedah yang adil dan wajar kerana memulangkan hak memilih kepada ahli akar umbi.

Mengakui wujud beberapa kelemahan, Naib Presiden PKR, Dr Jeffery Ketingan berkata, kaedah yang pertama kali diguna pakai parti politik di negara ini, menzahirkan demokrasi tulen.

"Ahli parti di Sabah sangat baik responnya kalau hari ini kita lihat satu contoh ramai yang datang untuk menunjukkan minat mereka, kesanggupan mereka untuk datang dan mengundi," katanya dipetik daripada TV Selangor.

Beliau berkata, ahli parti rakyat Sabah menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan corak pemilihan langsung tetapi menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) memperbaiki sistem sedia ada.

Menganggap masalah pemilohan sentiasa wujud dalam mana-mana parti politik, Dr Jeffery mendapati kebanyakan ahli parti berpuas hati dengan pelaksanaan proses pemilihan langsung itu dan berharap ia diteruskan pada masa depan.

Ketua Cabang Papar, James Ghani yang hadir sebagai pemerhati pula menyifatkan kehadiran lebih 3,000 ahli parti cabang Penampang menunjukkan minat dan sokongan ahli parti, khususnya masyarakat Kadazan Dusun.


Sumber: Selangorkini

Buku Teks Agama Percuma Untuk Pelajar Selangor

Posted: 04 Oct 2010 12:37 AM PDT


KUALA LUMPUR, 4 Okt – Mulai sesi persekolahan 2011, para pelajar sekolah rendah agama(SRA) seluruh negeri Selangor akan menerima buku teks agama percuma di bawah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali berkata, seramai 125,250 pelajar yang melibatkan 206 SRA akan menerima kemudahan itu.

Menurut beliau, pemberian tersebut menelan kos sebanyak RM4,261,738, yang diluluskan melalui sumber Lembaga Zakat Selangor (LZS).

"Kerajaan negeri Selangor juga bercadang untuk melebarkan skim dan kemudahan ini ke sekolah agama menengah, kelas al-Quran dan fardu ain dan prasekolah Jais pada masa depan," ujarnya yang juga Adun Gombak Setia.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga telah meluluskan kenaikan elaun pembersih kawasan di SRA gred B dari RM100 kepada RM500 dan SRA gred C dan prasekolah Jais dari RM100 kepada RM300.

"Sementara untuk keceriaan dan membersihkan kawasan di semua SRA gred A telah diswastakan," katanya pada sidang media di kediamannya di Pinggiran Taman Tun DrIsmail, dekat sini, kelmarin.


Sumber: Selangorkini

Ketua Cabang Kuala Selangor Kekal Milik Khalid

Posted: 04 Oct 2010 12:35 AM PDT


KUALA SELANGOR, 4 Okt – Tan Sri Khalid Ibrahim mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Cabang KEADILAN, Kuala Selangor dengan majoriti selesa.

Proses pengiraan yang berlarutan hingga tengah malam tadi itu menyaksikan Menteri Besar Selangor memperoleh 772 undi, mengatasi pencabarnya Muhammad Kamil Vaanan(348 undi) dan Mazli Saring (122 undi).

Dalam status facebook Abdul Khalid yang dimuatkan tepat jam 1 pagi, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua ahli KEADILAN yang menaruh kepercayaan pada beliau untuk mengetuai Cabang Kuala Selangor.

Jawatan timbalan ketua dimenangi Tanarshu a/l Krishnan apabila memperoleh 395 undi, menewaskan Thirmoorthy a/l Periasamy (258 undi), Rajakumar a/l Sinnathambi (184 undi), Nor Azhar Jamil (139 undi) dan Ibrahim Mahidin (94 undi).

Persaingan jawatan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang, dimenangi Rajasegaran a/l Thanggavilu yang menerima 202 undi, melebihi pesaingnya, Mohd Faizal Baharudin (120 undi) dan Suresh Bathumallai (116 undi).

Bobinath a/l Vello atau Bobinath dipilih sebagai timbalan ketua AMK cabang apabila memperoleh 263 undi, mengalahkan pencabar tunggal, Remy Iskandar Mustaphar (164 undi).

Muhammad Mu'az Muhammad Jizan pula menang jawatan naib ketua AMK cabang, tanpa bertanding.

Bagi kerusi ketua Wanita KEADILAN Cabang, Mariana Abdullah yang mendapat 223 undi menang, mengatasi Siti Zalaha Abdul Rashid (159 undi) dan Latipah Sulaiman (120 undi).

Timbalan kepada Mariana adalah Wasanthee a/p Sinnasamy apabila menerima 191 undi berbanding Rahani Yusoff (177 undi) dan Saratha a/p Munieandy (117 undi).

Naib ketua Wanita KEADILAN cabang dimenangi Palaniamah a/p Perumah selepas mendapat 267 undi, mengalahkan Norsani Abdul Rahman (104 undi) dan Faridah Abdul Rahman (101 undi).

Tiada maklumat mengenai persaingan kerusi naib ketua cabang.


Sumber: Selangorkini

Tiada ulasan: