Sabtu, 28 Ogos 2010

PARTI KEADILAN RAKYAT Cabang Bera, Pahang DM

PARTI KEADILAN RAKYAT Cabang Bera, Pahang DM


KETUA AMK: 3 PENJURU, NURUL IZZAH TAK TANDING

Posted: 27 Aug 2010 02:58 PM PDT

Perebutan kerusi ketua Pemuda PKR (AMK) hampir pasti menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandangnya Shamsul Iskandar Md Akin dan dua anggota majlis pimpinan pusat (MPP) Badrul Hisam Shaharin dan Rafizi Ramli.

Bagaimanapun, anak sulung ketua umum parti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail — Nurul Izzah (kiri) difahamkan tidak berhasrat merebut mana-mana jawatan kanan dalam sayap parti itu sebaliknya mahu menumpukan tugasnya sebagai ahli parlimen.

"Kalau bertanding pun mungkin hanya di peringkat cabang Lembah Pantaisahaja," kata sumber-sumber yang dekat dengannya kepadaMalaysiakini semalam.

Menjelang pemilihan parti November tahun ini, pertembungan antara Shamsul dan Badrul memang sudah dijangkakan.

Bagaimanapun kemunculan kembali Rafizi – yang pernah meletakkan jawatan sebagai anggota MPP dan exco AMK pada 2004 – agak mengejutkan selepas 'ditarik' daripada dunia korporat ketika sedang meningkat naik dalam kariernya.

Pada masa yang sama, ketika kedua-dua 'lawannya' dilihat malu-malu mengumumkan hasrat mereka, Rafizi tanpa bersembungi lagi mengakui menawarkan diri bagi bertanding di jawatan itu.

"Ya, saya akan bertanding jawatan ketua AMK," katanya kepda Malaysiakini sambil menjelaskan pengumuman rasmi berhubung perkara tersebut akan dibuat pada minggu depan.

Menurut Rafizi – bekas pemimpin pelajar di United Kingdom – beliau menawarkan diri bertanding bagi memperkenalkan "model pendekatan baru" anak muda yang "bukan semata-mata bersandarkan ghairah dan semangat".

Kumpulan 'direstui' Anwar

Secara realistik bagi memengangi pilihan raya, Rafizi berpendapat, AMK perlu pendekatan baru bagi menarik sokongan anak muda sebagai golongan penentu yang dalam masa yang sama "kurang berminat dalam politik".

"Kita perlu melepasi (perasaan) sentimental reformasi (1998)," kata bekas pegawai kanan di Petronas Carigali Sdn Bhd dan Pharmaniaga Berhad itu yang kini bertugas sebagai Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Beliau dikatakan akan beregu dengan ADUN Batu Caves Amiruddin Shari yang kini naib presiden AMK sebagai timbalan ketua.

Kumpulan ini yang khabarnya 'direstui' Anwar ini difahamkan disokong sekumpulan ahli parlimen muda PKR, antaranya Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia) dan Sim Tze Tzin (Pantai Jerejak).

Sementara Shamsul pula mendapat dokongan seorang lagi naib ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainudin, juga seorang aktivis kesatuan sekerja yang pernah ditahan di bawah akta kontroversi ISA.

"Ya, saya tawarkan diri sebagai timbalan ketua AMK bagi membantu Shamsul Iskandar (sebagai ketua AMK)," katanya kepadaMalaysiakini.

Difahamkam Khairul dipilih berganding dengan Shamsul – seorang peguam – kerana gandingan lamanya, Mohd Fariz Musa sudah melebihi umur 40 tahun.

Namun dipercayai walaupun perlembagaan baru PKR menetapkan pemimpin AMK mestilah disandang oleh mereka yang berumur 35 tahun ke bawah, tetapi ini hanya akan dikuatkuasakan pada sesi akan datang bagi mempersediakan sayap parti itu kepada "peralihan".

'Berseorangan belum tentu sunyi'

Sementara itu, berbeza dengan Rafizi dan Shamsul, Badrul yang meraih populariti dengan pelbagai 'gimik' politik dan kepetahannya berceramah pula masih dilihat lone ranger atau berseorangan.

Beliau yang kerap bergerak melalui Solidariti Anak Muda Malaysia – NGO yang diasaskannya – enggan mendedahkan lagi siapa gandingannya atau menawarkan diri.
"Saya tidak akan umumkannya. Terpulanglah kepada akar umbi (untuk menentukannya)," kata Badrul kepada Malaysiakini.

Menganggap pemilihan parti sebagai "urusan keluarga", bekas guru itu berkata: "Dalam keluarga, takkanlah kita harus kata adik lebih baik daripada abang, (atau) abang lebih baik daripada adik".

Katanya, tenaga itu lebih baik digembleng bersama bagi menumbangkan kerajaan BN.

Mengulas tentang tanggapan beliau berseorang dalam PKR, sambil ketawa Badrul berkata: "Berseorangan belum tentu sunyi, berdua belum tentu tak sunyi."

Sementara itu, walaupun hampir pasti berlaku pertembungan tiga penjuru November nanti, seorang lagi pemimpin cabang Hasmi Hashim – satu-satunya calon yang pernah menentang Shamsul pada sesi lalu, masih tidak jelas kedudukannya.

Kalah teruk dalam pertandingan lalu, Hasmi, seorang penggiat budaya dilihat masih mengintai peluangnya.

"Kali ini (saya) akan dengar, timbang dan bincang dengan anggota AMK, pimpinan dan keluarga dulu," katanya yang kritikal kepada kumpulan Shamsul dan Badrul itu.

PKR bakal mengadakan pemilihan parti secara langsung bermula dengan proses pencalonan di peringkat cabang (bahagian) lewat bulan ini, sebelum mengundi memilih pucuk pimpinan tertinggi parti itu pada November depan.


* Sumber Malaysiakini, 26 Ogos 2010 – Jimadie Shah Othman

AMK SENADA DENGAN WANITA KETENGAH RAMAI CALON MUDA BAGI JAWATAN TINGGI PARTI

Posted: 27 Aug 2010 02:45 PM PDT

Angkatan Muda KEADILAN Malaysia (AMK) mengalu-alukan pengumuman senarai calon oleh Wanita KEADILAN yang bakal bertanding untuk jawatan-jawatan utama parti.

Dalam satu kenyataan media, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pengumuman itu jelas menggambarkan komitmen parti untuk mengenengahkan suara wanita selaras dengan perjuangan konsisten Wanita KEADILAN untuk mengisi kuota 30 peratus jawatan dalam peringkat kepimpinan.

"Inisiatif Wanita KEADILAN mengenengahkan calon-calon wanita muda seperti Siti Aishah Shaik Ismail dan Gan Pei Nei untuk bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat adalah sesuatu yang sangat positif untuk landskap politik baru negara.

"AMK menyatakan komitmen yang sama dalam mengenengahkan calon-calon AMK untuk jawatanjawatan strategik di dalam parti. Pengumuman dalam masa terdekat akan dilaksanakan demi memastikan kelangsungan suara generasi muda di dalam parti dapat diterjemahkan di dalam barisan kepimpinan baru KEADILAN kelak untuk sama-sama memimpin harapan rakyat ke arah merealisasikan Malaysia yang lebih adil dan demokratik," kata Shamsul.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

PAKATAN RAKYAT DESAK SIASAT KEHILANGAN RM52 BILION SAHAM UNTUK BUMIPUTERA

Posted: 27 Aug 2010 02:41 PM PDT

Serangan Umno-Barisan Nasional terhadap Pakatan Rakyat dengan menggunakan sentimen perkauman adalah untuk menutup penyelewengan dan kegagalan mereka mengurus khazanah negara termasuk skandal rompakan saham yang dikhaskan bagi Bumiputera dan rakyat termiskin bernilai RM52 bilion.

Sehubungan itu Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar mendesak satu suruhanjaya diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat secara terperinci kehilangan jumlah saham sebegitu besar kepada Bumiputera.

Anwar berkata isu ini pernah dibangkitkan tahun lalu oleh beberapa orang ahli parlimen termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Bagi saya, isu yang melibatkan hak orang Melayu dan kaum Bumiputera ini masih belum dapat diselesaikan. Mana pergi agihan saham untuk Bumiputera dan faedahnya kepada siapa?.

"Kalau benar kita ambil berat untuk menjamin hak mereka, orang Melayu yang miskin dan terpinggir itu harus dibantu. Kini hanya tinggal RM2 bilion sahaja yang tinggal bagi pegangan ekuiti Melayu," kata Anwar pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat di inu pejabat KEADILAN di Tropicana di sini semalam.

Ketika ditanya mengenai isu undang-undang hudud di negara ini, Anwar berkata sistem perundangan di negara ini mengamalkan sistem demokrasi, tetapi agama Islam mendapat tempat yang istimewa sebagai agama Persekutuan, selain jaminan hak kepada penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran mereka.

"Kita memperkukuh institusi yang ada melalui dialog peradaban dan sebagainya. Kita turut menekankan muafakat dan kerjasama antara budaya, agama dan memperbaiki hubungan kaum.

"Oleh yang demikian, berkenaan pertindihan antara undang-undang sivil dan syariah, kita menuntut untuk ditubuhkan suruhanjaya diraja bagi mengkaji perkara tersebut."Kita mesti berikan ruang untuk setiap parti mengungkap pandangan mereka mengikut prinsip parti. Tetapi dalam Pakatan Rakyat, kita terikat dengan konsensus atau persefahaman yang kita meterai bersama, perkara ini telah dijelaskan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang lalu," tegas Ketua Pembangkang lagi.

Beliau juga menyelar tindakan Umno-BN yang mengapikan sentimen perkauman sempitdan agama dengan tujuan memecah belahkan keharmonian masyarakat di negara ini.

"Politik usang yang bersifat peras ugut dan memesongkan fakta ini digunakan oleh pemimpin Umno-BN, kerana mereka kini berada dalam keadaan terdesak untuk teruskan kelangsungan kuasa mereka. Demi mencapai cita-cita politik tersebut, pelbagai jentera kerajaan seperti Biro Tatanegara dan media seperti Utusan Malaysia diperkuda untuk menggugat kesejahteraan rakyat," kata Anwar.

Turut sama pada sidang media itu termasuk Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

KEADILAN LAKAR SEJARAH BARU GUNA KAEDAH UNDI LANGSUNG BERMULA HARI INI

Posted: 27 Aug 2010 08:48 AM PDT

SHAH ALAM 27 OGOS 2010:

Proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang buat pertama kalinya dalam sejarah parti politik tanahair menggunakan pendekatan undi terus atau 'satu ahli satu undi' dalam menentukan barisan pucuk pimpinan untuk tempoh tiga tahun bermula hari.

Kelantan dan Kedah menjadi dua negeri yang mengorak langkah dalam proses yang akan memakan masa beberapa minggu sehingga tarikh pemilihan peringkat cabang yang akan bermula 17 September.

Masing-masing lima cabang di Kedah - Langkawi, Kubang Pasu, Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah dan Kelantan - Tumpat, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang akan mula menerima kertas pencalonan mesyuarat agung tahunan.

Hanya anggota yang berdaftar sebelum 27 Jun dibenarkan mengundi bagi 18 jawatan di peringkat cabang termasuk pengerusi, timbalan pengerusi, naib pengerusi serta 15 ahli jawatankuasa.

Angkatan Muda KEADILAN dan Wanita pula masing-masing menawarkan 20 dan 10 jawatan dalam sayap mereka.

Permulaan awal bermakna 10 cabang terbabit akan menjadi kelompok cabang paling dahulu menjalankan pemilihan secara undi langsung dalam KEADILAN yang akan bermula 17 September.

Proses pencalonan akan dijalankan dilokasi yang telah dikenalpasti disetiap cabang antara pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang.

Proses pencalonan ini dipantau ketat oleh pegawai pemantau yang dilantik parti berjumlah 150 orang bagi seluruh negara sehingga habis tempoh pada 12 September.

Nama anggota parti yang dicalonkan akan dipamerkan untuk bantahan selama tiga hari dan selepas sekiranya tiada bantahan dalam tempoh tersebut senarai calon yang layak bertanding akan diumumkan empat hari kemudian oleh jawatankuasa pemilihan pusat.

KEADILAN mempunyai 218 cabang termasuk di Sabah dan Sarawak dengan jumlah ahli hampir 500,000.

Pemilihan akan dibahagikan kepada dua komponen iaitu mesyuarat tahunan cabang serta pemilihan pucuk pimpinan peringkat cabang dan kemuncaknya bagi memilih pimpinan tertinggi parti termasuk jawatan presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Cabang akan mengundi untuk memilih barisan pimpinan pusat antara 29 Oktober dan 21 November manakala keputusan rasmi akan diumumkan pada Kongres Nasional pada 28 November.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Tiada ulasan: