Selasa, 31 Ogos 2010

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR


Perutusan Kemerdekaan 2010 oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Posted: 30 Aug 2010 08:38 PM PDT

Adalah menjadi kebiasaan menjelang tarikh 31hb Ogos setiap tahun, maka diulang-ulang naratif sejarah menuntut kemerdekaan dari penjajah. Naratif itu pula tidak pernah berubah apatah lagi dicabar. Melalui media yang dikongkong, "sejarah" ini adalah versi muktamad, tiada yang benar melainkan yang terpampang dan disogok itu. Walaupun begitu siapakah mampu menahan Kebenaran?

Mutakhir ini sering pula ada golongan yang seperti hilang sudah karamah diri, tanpa segan silu menuding mereka yang lain sebagai pengkhianat dan pembelot. Hilang sudah senjata untuk berhujah, mereka memperalat sentimen perkauman sempit dan agama demi laba politik semata-mata. Makanya siapa di antara kita yang mahu menafikan perbuatan golongan tadi itulah yang sebenarnya mengkhianati makna Kemerdekaan?

Kemerdekaan pastinya mempunyai makna teristimewa dan penting buat seluruh Rakyat Malaysia. Ianya menyedarkan kita akan kewujudan sebuah negara yang menjadi tempat berteduh dan berlindung. Jarang sekali Kemerdekaan dicapai tanpa sebuah perjuangan, walau wadah perjuangan itu tidak semestinya menumpahkan darah. Perjuangan hatta dengan tinta sekalipun tetap sebuah perjuangan. Apa yang lebih penting adalah niat dan makna yang mendasari perjuangan tersebut. Kekalutan yang ditimbulkan golongan pelampau serta tidak bertanggungjawab di negara ini menuntut kita untuk kembali menyelami makna sebuah Kemerdekaan dan erti sebuah perjuangan.

Menjelang 53 tahun kita mencapai Kemerdekaan, marilah kita bersama-sama beriltizam untuk:

-Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153

-Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.

-Memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

-Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih berkuatkuasa.

-Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi.

-Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.

Moga usaha kita semua untuk memaknai erti sebuah Kemerdekaan diredhai dan diberkati hendaknya.
Dirgahayu Malaysia tanahairku.

ANWAR IBRAHIM
KETUA UMUM KEADILAN

Merdeka 53: Membudayakan Demokrasi

Posted: 30 Aug 2010 07:49 PM PDT


Tahun ini, ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia melangkah ke angka 53. Pastinya pada usia kemerdekaan sebegini, sewajarnya Malaysia telah digarap menjadi sebuah negara yang merdeka sebenar-benar merdeka daripada sebarang kepompong politik usang dan rakus.

2010 menyaksikan ulangtahun kemerdekaan Malaysia disambut di dalam barakah Ramadhan al-Mubarak, bulan di mana umat Islam melalui proses penyucian diri dengan berjuang melawan hawa nafsu daripada membungkam diri dan jiwa. Perkaitan signifikan Ramadhan al-mubarak dan kemerdekaan ini harus digabung-jalin, bagaimana roh kemerdekaan itu harus dikecap dengan menghindarkan negara dan rakyat daripada sebarang bentuk penindasan luar dan dalam.

Dewasa ini kita dipertontonkan dengan pudar dan lunturnya semangat kemerdekaan dan pemahaman makna merdeka di kalangan generasi pasca merdeka. Maka yang terus dipersalahkan ialah generasi muda, tanpa sesekali kalangan penguasa melihat betapa lompongnya sistem politik, ekonomi dan sosial yang tidak jauh bezanya daripada zaman kolonial dahulu.

Sistem politik negara yang menjadi akar kepada pembangunan negara terus dilacur dengan sentimen agama dan perkauman yang busuk lagi membusukkan, dengan mengapi-apikan sentimen di kalangan rakyat pelbagai kaum tanpa memikirkan impak kepada masa depan negara.

Merdeka seharusnya dimaknakan dengan pembudayaan demokrasi dan pembebasan diri daripada sebarang polemik perkauman dan agama yang mengkal. Tetapi ini tidak berlaku di bawah Umno-BN, memperlihatkan bagaimana media saban hari memuatkan perihal isu-isu sempit yang nyata mengelirukan rakyat.

Tidak ada maknanya merdeka jika generasi muda masih dipasung mindanya, tanpa pendedahan kepada muafakat dan musyawarah dalam kepelbagaian. Dan semoga tahun 2010 ini memberi makna baru kemerdekaan negara, sebagaimana yang dilaung oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman lewat Pemasyhuran Kemerdekaan 53 tahun yang lampau.

Salam kemerdekaan daripada seluruh kepimpinan dan keluarga besar Angkatan Muda KEADILAN Malaysia buat seluruh rakyat dan generasi muda Malaysia. Ayuh kita singkap makna merdeka, kita pupuk jiwa merdeka, yang sebenar-benarnya merdeka!

Shamsul Iskandar Mohd Akin

Ketua

Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Tiada ulasan: