Selasa, 31 Ogos 2010

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Kem PLKN Anak Emas, Kem Tentera di Anak Tiri ?

Posted: 30 Aug 2010 04:17 PM PDT

Kolam renang memang elok. Kalau ada duit lebih apa salahnya. Adakah Kementerian Pertahanan mempunyai banyak lebihan duit ? Tapi adakah ianya lebih utama. Apakah semua kem tentera di Malaysia ada kolam renang ? Macamana nak senggara kolam renang bersaiz olimpik dalam hutan ? Pasti kosnya lebih tinggi daripada nak senggara kolam renang yang terdapat di bandar. Siapa pula yang akan dapat kontrak senggera semua kolam renang ini, yang mungkin lebih tinggi dari kos membina kolam renang.

*************************
Kolam renang di kem PLKN
Utusan Malaysia 31 Ogos 2010

PULAU PINANG 30 Ogos - Semua 78 kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negara ini bakal mempunyai sebuah kolam renang bersaiz olimpik sekiranya cadangan pembinaannya dipersetujui Kementerian Pertahanan kelak.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, cadangan itu bertujuan menambah keyakinan pelatih apabila menjalankan aktiviti dalam air.

Menurutnya, langkah membina kolam renang yang dianggarkan bernilai RM500,000 setiap satu juga merupakan satu pelan jangka panjang bagi memastikan setiap program yang melibatkan penggunaannya dapat dilaksanakan dengan jayanya.

"Sekarang ini di semua kem PLKN kita ada kolam latihan untuk melakukan aktiviti seperti berkayak dan ia masih tetap akan digunakan walaupun kita ada cadangan hendak bina kolam renang.

"Pembinaan kolam renang itu juga antara lain bagi mengelakkan sebarang ancaman pencemaran seperti leptospirosis ketika mereka (pelatih) membuat latihan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Ambang Merdeka sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 di Dewan PLKN Seri Mutiara di Balik Pulau, dekat sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak tujuh kumpulan yang mewakili dua buah kem iaitu masing-masing Kem PLKN Seri Mutiara dan Kem PLKN White Resort di sini membuat persembahan bertemakan Warisan Negara.

Mengulas lanjut, tambahnya, pembinaan kolam renang berkenaan dicadangkan oleh beberapa pengusaha kem dan buat masa ini kem PLKN di Junaco Park, Sibu, Sarawak telah memulakan inisiatif tersebut.

"Perkara ini masih di peringkat awal dan kita akan meminta nasihat daripada Kementerian Pertahanan sama ada langkah membina kolam renang di kem PLKN sesuai atau tidak.

"Sehubungan itu, JLKN akan membentangkan cadangan yang baik ini kepada pihak kementerian pada mesyuarat yang bakal diadakan sebelum hujung bulan ini," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_17.htm

Dakwaan fasiliti nuklear di PD tidak benar - MB

Posted: 30 Aug 2010 04:11 PM PDT

SEREMBAN 30 Ogos - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menyangkal khabar angin kononnya beliau mahu fasiliti nuklear yang pertama di negara ini dibina di bandar peranginan, Port Dickson.

Beliau yang terkejut sebaik sahaja diminta memberikan respons berhubung dakwaan tersebut berkata, bandar peranginan itu tidak sesuai untuk dibina apa juga projek berkaitan nuklear.

''Berita ini sesuatu yang baru dan mengejutkan. Kenapa pula saya mahu melobi supaya fasiliti nuklear ini dibina di Port Dickson.

''Kita bersusah payah mahu menjadikan Port Dickson sebagai destinasi pelancongan terbaik di negara ini, tiada sebab mengapa saya mahu melobi untuk mendapatkan fasiliti nuklear di situ," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Negeri di sini petang ini.

Beberapa laman web sebelum ini membuat pelbagai spekulasi kononnya fasiliti nuklear pertama, selain lojinya amat sesuai dibina di Port Dickson.

Malah salah satu laman web tersebut mendakwa Mohamad sedang melobi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar fasiliti berkenaan dapat dibina di bandar peranginan berkenaan.

''Kita harus bertanya diri sendiri adakah Port Dickson mempunyai kemudahan merawat sisa nuklear. Ia adalah amat tidak bertanggungjawab menyatakan saya melobi untuk dibina fasiliti berkenaan di Port Dickson. Itu tidak benar sama sekali.

''Saya sendiri pun tidak tahu mengenai perkara ini. Port Dickson adalah kawasan pelancongan dan saya tidak nampak di manakah kawasan yang paling sesuai untuk dibina fasiliti nuklear ini," tegasnya.

Mohamad sebelum ini berkata, kerajaan negeri akan terus meningkatkan usaha mempromosi pelancongan di Port Dickson, malahan dalam draf pembangunannya juga dinyatakan bahawa dari kawasan Batu 1 hingga Batu 18, ia akan digunakan bagi tujuan pembangunan pelancongan.

Dari Batu 18 pula ia akan diperuntukkan bagi penempatan penduduk manakala kawasan perindustrian pula dikhaskan di sekitar Lukut, Chuah iaitu dekat Port Dickson dan sempadan Sepang di Selangor.

Beliau juga sebelum ini menegaskan, kerajaan negeri tidak akan menjadikan kawasan hutan simpan di Port Dickson untuk apa juga pembangunan sebagai langkah untuk tidak mencemarkan keindahan alam sekitar termasuk kawasan hutan bakau berhampiran.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm

Johor : Masalah meloyakan

Posted: 30 Aug 2010 04:10 PM PDT

Berita Harian 31 Ogos 2010

Penduduk Rumah Pangsa Taman Kota Murni dakwa sisa buangan kilang berdekatan cemari kawasan sekitar

BATU PAHAT: Kira-kira 200 penduduk Rumah Pangsa Taman Kota Murni di Jalan Kota Murni 1, di sini hidup terhimpit dan tertekan apabila terpaksa bergelumang dengan pencemaran udara dan menghidu busuk dari kawasan industri sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kewujudan kawasan industri berkenaan yang mempunyai 49 lot kilang mengusahakan pelbagai produk termasuk makanan, kotak serta tekstil itu, sebelum ini tidak menimbulkan masalah kepada penduduk kerana ia dibangunkan serentak dengan rumah pangsa yang menjadi kediaman mereka. Bagaimanapun, selepas beberapa tahun hidup berjiran, tiba-tiba kebelakangan ini penduduk makin resah apabila kualiti hidup mereka terjejas akibat pencemaran udara.

Tinjauan Edisi Johor ke kawasan rumah pangsa kilang terbabit mendapati segelintir kilang di situ melepaskan pelbagai air dan cecair hasil industri termasuk air basuhan, pemprosesan serta kotoran yang disalurkan ke longkang di situ yang melalui sungai di tepi rumah pangsa berkenaan yang kemudian mengalir ke Sungai Batu Pahat, hingga menjadikan udara di kawasan sekitarnya busuk.

Apa yang menjadi persoalan, bagaimana kilang terbabit boleh menyalurkan air pemprosesan industri terus ke longkang dan sungai tanpa dirawat sehingga hidupan di sungai di sini hampir pupus disebabkan air sungai yang bertoksik.

Keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan perbelanjaan jutaan ringgit bagi merawat semula kualiti air di sungai berkenaan berikutan kelemahan pemantauan pihak berkuasa.
Suri rumah di kawasan itu, Norhayati Samsudi, 40, yang tinggal di rumah pangsa berkenaan berkata, menghidu bau kurang menyenangkan di situ sudah menjadi rutin penduduk di situ terutama yang mempunyai lot rumah berhadapan kawasan kilang terbabit.

"Pencemaran bau ini semakin serius tahun lalu apabila sungai yang mengalir di tepi rumah pangsa kami mula mengeluarkan bau kurang menyenangkan sehingga kadang-kala meloyakan terutama apabila angin bertiup ke arah rumah kami.

"Bayangkan, lapan tahun lalu sungai di sini airnya sangat jernih dan menjadi tempat mandi kanak-kanak. Malah, saya dan penduduk di sini selalu menjala di sungai yang kaya dengan hasil hidupan udang dan ikan sungai, tetapi sejak tahun lalu bukan saja semua hidupan berkenaan sudah tiada lagi disebabkan pencemaran tetapi kami juga terpaksa menghidu bau busuk," katanya ketika ditemui di kawasan sungai berkenaan yang terletak hanya 40 meter dari kawasan rumah pangsa berkenaan.

Zaid Ali, 37, seorang juruteknik yang juga tinggal di rumah pangsa berkenaan berkata, kakaknya pernah menegur beberapa pengusaha kilang di situ dan menasihatkan mereka supaya lebih menghormati penduduk di situ serta tidak sewenang-wenangnya membuang segala kekotoran di longkang berkenaan kerana akan menimbulkan pencemaran udara dan bau.

"Namun, nampaknya pengusaha berkenaan tidak mengambil tindakan sewajarnya dan tetap juga meneruskan tabiat mereka sehingga penduduk yang terpaksa menerima akibatnya," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Masalahmeloyakan/Article

Tiada ulasan: