Selasa, 31 Ogos 2010

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


MB Selangor: Langat 2 Hanya Lepas Selesai Struktur Air

Posted: 31 Aug 2010 02:29 AM PDT

Dari Malaysiakini

Kerajaan Selangor hanya akan meneruskan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) selepas perbincangan penstrukturan semula industri air dengan pemegang konsesi swasta dan agensi persekutuan diselesaikan dengan baik.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri tidak pernah membantah projek Langat 2, tetapi mempertikaikan mengapa kerajaan pusat memberi keutamaan terhadap projek tersebut.

“Kita menerima Projek Langat 2, tetapi ia tidak perlu dibuat dengan terburu-buru. Sekarang kerajaan negeri mahu menyelesaikan isu penstrukturan semula indusri perkhidmatan air di Selangor.

“Kita menegaskan sekali lagi bahawa perlu memberi keutamaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air berbanding projek Langat 2,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan mendakwa Khalid memberi persetujuannya pada mesyuarat Majlis Sumber Air Negara ke-5 di Putrajaya, semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Khalid berkata, beliau hairan bagaimana Muhyiddin mengeluarkan kenyataan bahawa Selangor telah memberikan izin untuk projek rawatan air Langat 2 itu.

Justeru, menteri besar juga menggesa agar Muhyiddin menahan diri daripada membuat sesuatu andaian pada masa depan.

“Kita akan meneruskan rundingan untuk menyelesaikan isu penstrukturan semula industri perkhidmatan air yang buntu sejak tahun lalu.

“Kita mahukan perjanjian lebih baik, perkhidmatan lebih baik dan harga lebih baik untuk rakyat – itulah matlamat kami,” kata Khalid.

Kunjungan Ke Limbang Sarawak

Posted: 31 Aug 2010 01:59 AM PDT

Hari ini saya, Datuk Dr. Chua Jui Meng, dan sdr Baru Bian tiba di Limbang,Sarawak. Sangat mengujakan apabila ketibaan kami disambut ribuan rakyat di kota Limbang.

Program ceramah diadakan di restoran tempatan.Meskipun sambutan hangat,permit sebagaimana biasa dinafikan oleh polis setempat.pun begitu ia tidak menjadi halangan bagi rakyat untuk mendengar dengan lebih dekat mengenai komitmen tuntas Keadilan dan Pakatan Rakyat untuk memperjuangkan hak rakyat Sarawak.

Sekalung tahniah kepada Dr. Lau dan Jawatankuasa Cabang atas program yang dianjurkan dengan jayanya.

Inilah realiti dan kenyataan di daerah – nyata sekali berbeda dengan suara rasis dan sinis yg dicanang di Kuala Lumpur. Malangnya – tiada liputan, termasuk dari media alternatif!

Anwar Ibrahim

Tiada ulasan: