Sabtu, 10 Julai 2010

PARTI KEADILAN RAKYAT Cabang Bera, Pahang DM

PARTI KEADILAN RAKYAT Cabang Bera, Pahang DM


NAIKKAN TARAF LALUAN BANDAR BERA-TRIANG KEPADA 4 LORONG

Posted: 09 Jul 2010 09:52 PM PDT

Sudah tiba masanya jalan raya laluan utama di Bera di naikkan tarafnya menjadi empat lorong yang menghubungkan antara Bandar Bera (Persimpangan Kerayong) dengan Pekan Triang.

Ini kerana kita mendapati kenderaan yang menggunakan laluan tersebut daripada sehari ke sehari semakin bertambah sehinggakan berlaku kesesakan jalan yang begitu panjang di bandar ini.

Kesesakan yang teruk akan bertambah secara luar biasanya apabila musim perayaan seperti Hari Raya Puasa dan Tahun Baru Cina tiba kerana ramai perantau-perantau yang berada diluar daerah Bera ini akan kembali ke kampung masing-masing disini.

Di samping itu juga faktor daerah Bera ini berada di tengah-tengah laluan yang menghubungkan dua daerah iaitu Temerloh, Pahang dan juga Jempul, Negeri Sembilan ini juga adalah penyumbang utama laluan di bandar ini semakin sesak.

Faktor jalan yang sibuk serta terlalu kecil juga adalah antara penyebab utama kadang-kala kemalangan boleh berlaku disekitar bandar ini.

Justeru itu Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera menggesa agar pihak yang berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah Bera (MDB) dapat memikirkan perkara ini dengan serius.

BERSIH DESAK SPR AKUR TEKANAN RAKYAT UNTUK PRU-13 ADIL DAN TELUS

Posted: 09 Jul 2010 08:46 PM PDT

PUTRAJAYA 10 JULAI 2010:

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil serius kritikan dan komen daripada rakyat yang inginkan proses yang adil dan bebas dan tidak berpartisan.

Semalam, Bersih 2.0 menyerahkan memorandum kepada SPR meminta badan itu mempertimbangkan cadangan dan saranan rakyat berkenaan proses yang adil dan telus pada pilihan raya umum akan datang.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said yang berjanji akan memastikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menerima memorandum itu.

"Kesemua perkara, cadangan dan saranan yang dimasukkan di dalam memorandum tersebut disokong oleh undang-undang berkait dan juga amalan terbaik antarabangsa, maka SPR tiada sebab untuk tidak menggunakan dan mengaplikasikan kandungan memorandum ini," kata Ambiga pada sidang media selepas penyerahan memorandum.

Menurut Ambiga, Bersih 2.0 kini merupakan satu badan yang bebas daripada mana-mana pengaruh parti politik dan sehingga kini mempunyai hampir 60 badan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawahnya.

"Sokongan NGO ini jelas menunjukkan matlamat Bersih 2.0 sebagai badan yang bersih daripada politik berpartisan, dan sokongan NGO juga semakin bertambah setiap hari," tambah beliau yang juga bekas Pengerusi Badan Peguam Malaysia.

Kata beliau lagi, terdapat kira-kira empat juta pengundi yang belum berdaftar dan kelompok ini perlu diberi pendedahan dan didaftarkan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Tambahnya ini merupakan satu tanggungjawab yang patut disokong oleh SPR, bukannya memberi kekangan dalam pendaftaran pengundi baru.

"Kita menerima aduan daripada beberapa pihak bahawa SPR hanya mengeluarkan sejumlah borang sahaja dalam sebulan dan jumlah ini tidak mencukupi untuk mendaftarkan pengundi. Saya rasa SPR perlu memberi sokongan kepada mereka yang membantu memberi kesedaran dan mendaftarkan pengundi, yang mana merupakan tugas SPR," tegas Ambiga lagi.

Tegas beliau, antara perkara yang disentuh dalam memorandun itu termasuk cadangan pendaftaran pengundi secara otomatik, pemilihan Ahli Dewan Undangan dan juga pemilihan Ahli Dewan Negara.

"Kita juga meminta SPR untuk mengambil tindakan terhadap laporan pelanggaran undang-undang pilihan raya yang dibuat pada dua pilihan raya kecil lalu dan juga laporan pilihan raya lama yang sehingga kini dibiarkan tanpa tindakan.

"Apa gunanya mempunyai undang-undang pilihan raya yang begitu luas skopnya tanpa apa-apa tindakan untuk menguatkuasakannya?" ujar beliau.

Ditanya Bersih 2.0 akan mengadakan demonstrasi jalanan, Ambiga berkata Bersih sentiasa mengalu-alukan pandangan, kritikan dan saranan rakyat.

"Jika rakyat merasakan wujudnya permasalahan, kita minta datang berjumpa dan kita boleh membincangkan penyelesaian terbaik, tidak semestinya kita perlu membuat demonstrasi jalanan," kata beliau.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

KEADILAN CABANG BERA MENYOKONG TINDAKAN MDB

Posted: 09 Jul 2010 02:11 AM PDT

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera memandang serius akan kekecewaan beberapa peniaga di kawasan Pusat Pertumbuhan Desa Simpang Sebertak sebagaimana yang disiarkan didalam Akhbar Sinar Harian (Zon Bera) hari ini 09 Julai 2010 (Sila rujukan petikan akhbar dibawah) yang mendapati empat pintu lot kedai dikawasan tersebut masih lagi terbiar tanpa memulakan operasi perniagaan.

Keadaan itu menjadikan kedai-kedai tersebut terbiar yang boleh mengundang gejala yang tidak sihat seperti melakukan vandalism terhadap kedai-kedai tersebut disamping kebimbangan masyarakat setempat sekiranya ada aktiviti yang tidak bermoral berlaku didalam kedai yang terbiar itu.

Walaupun kedai tersebut telah di anugerahkan kepada yang berjaya tetapi sehingga kini masih tidak kelihatan untuk mereka memulakan operasi dan ini amatlah menghairankan kepada mereka yang benar-benar ingin berniaga dikawasan tersebut apatah lagi kawasan Simpang Sebertak ini merupakan tempat yang strategik untuk mencari rezeki di Felda Gugusan Bera ini.

Justeru itu KEADILAN Cabang Bera juga berharap agar mereka yang telah berjaya memperolehi kedai tersebut agar menyegerakan operasi perniagaannya dan tindakan Majlis Daerah Bera (MDB) yang telah mengeluarkan surat amaran dan peringatan kepada peniaga terbabit supaya segera membuka kedai di situ amatlah wajar sebagaimana yang telah disyaratkan.

Perkara ini diakui sendiri oleh oleh Yang Dipertua MDB, Datuk Ahmad Daud dan KEADILAN Cabang Bera berharap agar MDB bertindak dengan sewajarnya sekiranya peniaga-peniaga tersebut masih gagal untuk menjalankan operasinya.



SINAR HARIAN EDISI PAHANG - ZON BERA , 09 JULAI 2010
Tajuk: Kecewa Lot Kedai Terbiar

SIMPANG SEBERTAK – Beberapa peniaga melahirkan rasa kecewa, apabila lot kedai di bangunan Majlis Daerah Bera (MDB) di sini, masih tidak dibuka pemiliknya.

Apa yang mengecewakan mereka, peniaga yang berjaya memperoleh kedai di bangunan itu seolah-olah tidak bersyukur, sedangkan ada peniaga lain yang lebih memerlukan lot kedai berkenaan, gagal memperolehnya.

Pengerusi Penaja Pusat Pertumbuhan Desa Simpang Sebertak, Rosli Abu Kassim berkata, terdapat empat pintu lot kedai yang sudah diberikan kepada peniaga yang berjaya dalam temu duga, tetapi gagal membuka perniagaan mereka di situ hingga kini.

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menyebabkan kedai berkenaan terbiar, tetapi mengundang lebih ramai remaja melakukan vandalisme, sehingga menyebabkan pintu dan tingkap mengalami kerosakan.

"Apabila mereka diberi peluang ini, sepatutnya mereka menggunakannya sebaik mungkin. Bukannya berlumba-lumba memohon lot kedai itu dengan peniaga yang benar-benar memerlukan tapak untuk berniaga," katanya kepada Sinar Harian.

Rosli berkata, selain pintu kedai diconteng, beberapa keping tingkap turut dipecahkan individu tidak bertanggungjawab.

Katanya, ada kemungkinan lot kedai kosong itu digunakan mereka untuk melakukan aktiviti tidak sihat yang boleh menyumbang kepada peningkatan gejala sosial di kawasan tanah rancangan berhampiran.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, bangunan kedai tersebut sememangnya boleh menjadi tempat individu melakukan perbuatan negatif kerana ia agak tersorok daripada pandangan orang ramai.

Rosli berkata, keadaan semak di belakang bangunan kedai itu juga boleh menjadi habitat haiwan berbisa seperti ular atau sebagainya dan keadaan itu boleh mengancam penduduk berhampiran.

"Kita mahu MDB tegas dalam perkara ini. Jika peniaga yang layak itu tidak mahu membuka perniagaan mereka, sepatutnya mereka boleh membatalkan kelulusan peniaga terbabit.

"Masih ramai peniaga yang berebut-rebut untuk berniaga kerana kawasan ini merupakan lubuk rezeki, lebih-lebih lagi ia terletak di tengah-tengah Felda Gugusan Bera," katanya.

Mengulas perkara itu, Yang Dipertua MDB, Datuk Ahmad Daud berkata, MDB telah mengeluarkan surat kepada peniaga terbabit supaya segera membuka kedai di situ.

"Dalam surat itu juga dinyatakan tempoh untuk mereka membuka perniagaan di bangunan tersebut. Sekiranya gagal, MDB boleh mengambil tindakan sewajarnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.


http://www.sinarharian.com.my/pahang/content/story7923751.asp

Tiada ulasan: