Selasa, 20 Julai 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Pakatan cadang kutip RM20 juta bagi tawan Putrajaya

Posted: 20 Jul 2010 04:05 AM PDT


SHAH ALAM, 20 Jul – Pakatan Rakyat akan melancarkan Tabung Impian Rakyat (Tiram) bernilai RM20 juta bagi mempersiapkan diri mereka ke Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Pengerusi Tiram, Datuk Husam Musa berkata, pelancaran tabung itu akan dibuat pada 7 Ogos ini di Stadium Melawati Shah Alam dengan dihadiri pemimpin kanan Pakatan.

"Sehingga kini, Datuk Seri Anwar dan Tok Guru Nik Aziz sudah mengesahkan penyertaan mereka," kata Husam yang dipetik oleh Harakahdaily.

Katanya, pelancaran tabung berkenaan akan dibuat dalam bentuk majlis makan malam untuk pungutan derma dengan mensasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM20 juta.

Mei lalu, Husam pernah menyatakan hasrat mengumpul dana RM20 juta sebagai dana Pakatan Rakyat dalam perjalanan menawan Putrajaya.

Menurut Harkahdaily, cadangan menubuhkan tabung itu diperolehinya setelah dia didakwa berjaya menggunakan peruntukan RM4 juta menyingkir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi dan melemahkan UMNO Kelantan pada pilihan raya umum 2008.

Tuduhan berkenaan dibuat bekas pembantunya, Syed Azidi Aziz atau lebih dikenali dengan nama Kickdefella.

"Kalau sebelum ini orang tuduh saya belanjakan RM4 juta untuk menghadapi pilihan raya 2008…terbukti dalam pilihan raya itu kita berjaya walaupun tuduhan itu tidak semestinya betul.

"Sekarang kita akan kumpulkan RM20 juta untuk ke Putrajaya," katanya.

Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan, sebelum ini juga membuat penjelasan bahawa Pas mahupun kerajaan negeri tidak pernah membayar sesiapapun sebanyak RM4 juta seperti yang didakwa untuk menjatuhkan kerajaan termasuk bekas perdana menteri itu.

Katanya, Pas sejak dari dulu mendapat bantuan kewangan dari sumbangan ahli-ahli mereka untuk membantu perjuangan parti itu dalam menegakkan syiar Islam di negara ini.

Sumber: Selangorkini

SPR Terima 165,624 Pendaftaran Pemilih Baru

Posted: 20 Jul 2010 04:03 AM PDT


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sejumlah 165,624 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih suku tahun pertama yang berlangsung dari April hingga Jun lepas.

Dalam tempoh yang sama, sejumlah 25,693 permohonan daripada pemilih berdaftar sedia ada diterima untuk pertukaran alamat pusat mengundi, menurut kenyataan SPR yang dikeluarkan di sini, Isnin.

Menurut kenyataan itu, Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi Suku Tahun Kedua 2010 akan dipamerkan mulai esok hingga Isnin depan di 999 tempat pameran di seluruh negara.

Sehubungan itu, warganegara Malaysia yang baru memohon sebagai pemilih, serta pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran alamat pusat mengundi, dinasihatkan menyemak rang daftar pemilih tambahan suku tahun kedua 2010 yang dipamerkan itu.

Pendaftar pemilih baru yang mendapati nama mereka tidak tersenarai boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B, dan perlu diserahkan kepada pengarah pilihan raya negeri masing- masing dalam tempoh tujuh hari dari tarikh rang daftar pemilih itu dipamerkan, kata SPR.

Kenyataan itu turut menyebut pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam rang daftar itu bagi satu-satu bahagian pilihan raya, boleh membuat bantahan dengan mengisi borang C.

SPR juga akan mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia, lucut hak warganegara, bersara daripada angkatan tentera atau polis di mana mereka hilang kelayakan sebagai pemilih pos dan sebagainya.

Sehubungan itu, SPR memohon kerjasama mana-mana waris untuk menghantar salinan sijil kematian atau permit mengubur anggota keluarga mereka yang telah meninggal dunia kepada SPR melalui pos, faks atau datang sendiri ke mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.

Pemilih berdaftar juga digalakkan menyemak daftar pemilih induk menerusi laman web SPR www.spr.gov.my bagi membetulkan sebarang kesilapan seperti ejaan nama, nombor kad pengenalan, jantina dan alamat rumah atau datang sendiri ke pejabat SPR di Putrajaya atau mana-mana pejabat SPR negeri, menurut kenyataan itu.

Bagi pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin pula digalakkan membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di sesuatu pusat mengundi yang lebih dekat dengan kediaman masing-masing. - BERNAMA

Bicara Kes Kugan Sambung Ogos

Posted: 20 Jul 2010 04:02 AM PDT


PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini, menetapkan Ogos ini untuk menyambung semula perbicaraan seorang konstable yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap A.Kugan, yang dilaporkan mati semasa berada di dalam lokap, tahun lepas.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menetapkan perbicaraan bersambung selama tiga hari bermula 18 Ogos ini.

Dalam kes ini, V.Navindran, 28, dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Kugan, 23, yang ditahan pada 15 Januari 2009 kerana disyaki terlibat dengan kes curi kereta.

Tertuduh yang diwakili peguam Datuk P.M.Nagarajan didakwa melakukan kesalahan itu di bilik soal siasat pejabat D9, Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya pada pukul 7 pagi, 16 Januari 2009.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.-bernama

The Rocket: Teresa Kok, Tony Pua Dipanggil KDN

Posted: 20 Jul 2010 04:01 AM PDT


Kementerian Dalam Negeri (KDN) memanggil pihak penerbitan akhbar 'The Rocket' bagi memberi keterangan berhubung surat tunjuk sebab mengenai isu pembaharuan permit dan artikel yang disiarkan akhbar itu.

NONETimbalan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi berkata antara individu yang memberi keterangan termasuk Setiausaha DAP Teresa Kok dan pengarang akhbar terbabit Tony Pua.

"Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mahmood Adam telah berjumpa dengan pihak penerbitan akhbar itu di pejabatnya pukul 7 malam semalam bagi memohon keterangan dan penjelasan berkaitan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh KDN pada 13 Julai lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata dalam pertemuan itu, pihak penerbitan akhbar terbabit telah dimaklumkan mengenai pelanggaran syarat-syarat yang dilakukan termasuk menerbitkan berita dalam versi Bahasa Cina dan Inggeris walaupun permit akhbar itu telah tamat tempoh.

dap rocket newspaper tabloid 170507"Pihak penerbitan juga lewat mengemukakan permohonan pembaharuan yang lengkap serta gagal mengemukakan lapan salinan penerbitan sebaik sahaja ia dicetak.

"Bagaimanapun pihak penerbitan The Rocket berjanji untuk memberi jawapan dan penjelasan mengenai ketidakpatuhan itu kepada kementerian dalam tempoh 48 jam,"katanya. - Bernama

Umno Anjur Konvensyen Bagi Rampas Semula Kedah

Posted: 20 Jul 2010 04:00 AM PDT


Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah akan menganjurkan konvensyen pada 31 Julai ini bagi membincangkan lapan perkara yang menjadi asas gerakan untuk mengambil semula negeri Kedah pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengerusinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata konvensyen sehari di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu akan dihadiri kira-kira 1,000 orang terdiri daripada pemimpin Umno peringkat negeri dan bahagian.

"(Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) Datuk Seri Shafie Apdal yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah akan menyampaikan ucaptama pada sebelah pagi, diikuti lapan sesi bengkel dengan setiap bengkel disertai antara 100 dan 120 peserta.

"Pelbagai isu akan dibincang pada sesi bengkel itu dan setiap peserta boleh menyuarakan idea dan cadangan bagi memantapkan perjalanan dan gerak kerja parti ke arah pilihan raya," katanya dalam kenyataan di Alor Star hari ini.

Beliau berkata resolusi daripada konvensyen itu akan menjadi 'blue print' terhadap gerak kerja Umno di peringkat negeri, bahagian dan cawangan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Resolusi konvensyen itu akan disalur kepada akar umbi bagi membolehkan mereka memahami tindakan yang telah disusun dalam memastikan kemenangan pada pilihan raya umum nanti," katanya.- Bernama

Kecurian Komputer Riba Manjeet Didalangi Pihak Tertentu?

Posted: 20 Jul 2010 03:59 AM PDT


SHAH ALAM 20 Julai - Kejadian pecah rumah yang berlaku di kediaman Manjeet Singh Dhillon, salah seorang peguam kepada bekas penyiasat persendirian, P Balasubramaniam menimbulkan tanda-tanya dan kecurigaan sama ada ianya didalangi oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam kejadian pecah rumah terbabit, bilik tidur utama di kediaman Manjeet telah diselongkar dan sebuah komputer riba miliknya juga telah dicuri.

Beliau dalam pada itu menyifatkan pihak yang mencuri komputer ribanya dalam kejadian pecah rumah semalam berkemungkinan mempunyai maksud yang tersirat kerana menurutnya hanya komputer riba miliknya sahaja yang telah dicuri oleh penceroboh berkenaan.

Rakan sejawat Manjeet, Americk Sidhu, ketika dihubungi Suara Keadilan berkata pencuri tersebut dipercayai memecah masuk melalui bumbung bilik air di dalam bilik utama di tingkat atas sebelum menggeledah seluruh rumah Manjit.

"Tidak ada apa-apa barang berharga yang hilang termasuk barang kemas milik isterinya tetapi apa yang diambil cuma sebuah komputer riba lama milik Manjeet.

Tambahnya semasa kejadian itu berlaku, pembantu rumahnya tidur di bilik tingkat bawah dan dia tidak menyedari pencuri telah menceroboh rumah tuannya itu.

Manjeet ketika dihubungi Suara Keadilan pula berkata tindakan itu seperti sudah dirancang kerana apa yang diambil hanyalah komputer riba yang tidak mengandungi apa-apa maklumat berhubung kes yang dikendalikannya ketika ini.

Beliau dalam pada itu berkata akan membuat laporan polis sekembalinya beliau daripada kota London selepas selesai mengiringi Bala menemui pendakwaraya Perancis berhubung skandal pembelian dua buah kapal selam jenis 'Scorpene'.

Dalam kejadian pertama pada 19 November 2009 beberapa bom petrol telah dibaling ke rumah Manjeet yang merupakan seorang peguam terkemuka dan juga bekas presiden Majlis Peguam, dipercayai ada kaitan dengan wawancara dengan Bala yang disiarkan dalam Youtube.

Kejadian yang berlaku pada pukul 7.20 malam itu telah menyebabkan rumahnya di Damansara mengalami kebakaran yang merosakkan dinding garaj rumahnya.

Manjeet berkata ketika itu, insiden tersebut mungkin satu amaran dan ancaman diri dan keluarganya ekoran kehadirannya dalam satu rakaman wawancara dengan Bala di Singapura.

Sumber: Suara Keadilan

Najib Perlu Serius Dalam Soal Rasuah

Posted: 20 Jul 2010 03:58 AM PDT


KUALA LUMPUR, 20 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa mempertimbangkan cadangan memberi kuasa pendakwaan kes rasuah kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Khas Suruhanjaya SPRM.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dalam sidang media yang diadakan, menyuarakan gesaan agar Najib membuat perbentangan rang undang-undang cadangan pindaan perlembagaan negara jika kerajaan betul-betul serius ingin membanteras rasuah di dalam negara ini.

Beliau, yang juga salah seorang anggota dalam jawatankuasa tersebut, berkata jawatankuasa berkenaan telah mengemukakan satu laporan kepada Najib iaitu 'Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah 2009' pada 9 Julai jam 3.30 petang di pejabatnya.

"Apa yang penting adalah beberapa cadangan yang telah kami masukkan dalam laporan itu bagi menangani masalah rasuah yang melanda negara ini terutamanya yang melibatkan kes berprofil tinggi. Najib mesti menjadikan cadangan ini sebagai satu yang penting dalam urus tadbir beliau selain itu juga saya cadangkan ia dimasukan ke dalam indeks prestasi utama (KPI) ini adalah usaha kita untuk membanteras unsur rasuah.

Kalau Najib serius inilah cadangan yang paling utama dan membuat pengubalan segera keatas perlembagaan negara ini supaya kuasa pendakwaan diberikan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM. Kita melihat kebanyakkan kes yang mempunyai profil yang tinggi tidak dapat dibuat pendakwaan kerana faktor-faktor tertentu, kebanyakkan kes yang dibawa ke Majlis Peguam Negara tidak ada pendakwaan dibuat," katanya lagi.

Sehubungan itu, tambah beliau lagi, kuasa pendakwaan itu perlu diberikan kepada SPRM untuk membuat setiap pendakwaan terhadap kes yang dirasakan perlu diketengahkan.

Menurutnya lagi, Badan pencegahan Rasuah (BPR) sebelum ini telah menyiasat 18 kes yang berprofil tinggi tetapi hanya dua kes sahaja yang didakwa iaitu kes Tan Sri Eric Chia terhadap PERWAJA dan juga bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam, tetapi sehingga sekarang kes berkenaan masih tidak diketahui kesudahannya.

Beliau seterusnya berkata SPRM mempunyai masalah untuk menyelesaikan kes yang telah dilaporkan kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk membuat dakwaan sehinggakan rakyat meletakkan tanggapan yang buruk kepada SPRM kerana gagal melaksanakan tugas mereka.

"Usaha kita ingin mengembalikan imej SPRM serta membasmi rasuah, sudah sampai masanya kita memberi kuasa kepada SPRM untuk melakukan pendakwaan agar kes yang mereka siasat di bawa kemuka pengadilan," sambungnya.

Beliau juga memberi jaminan kepada Najib jika kerajaan betul-betul serius ingin membuat pengubalan kepada perlembagaan, Pakatan Rakyat akan memberi sokongan semasa pengundian nanti. Beliau yang memberi jaminan ini kerana dalam keadaan kerusi di parlimen sekarang kerajaan sukar untuk membuat pindaan perlembagaan kerana kurang sokongan majoriti dua pertiga.

"Mungkin satu persoalan timbul di sini, untuk meminda perlembagaan negara memerlukan dua per tiga majoriti. Saya yang mewakili PAS, dan wakil DAP serta KEADILAN memberikan jaminan sekiranya Perdana Menteri datang ke Parlimen untuk meminda perlembagaan negara, dan sekarang mereka tidak ada majoriti dua per tiga, kami Pakatan Rakyat memberikan jaminan bahawa kita akan mengundi bagi membolehkan perlembagaan negara dipinda dan membolehkan pesuruhjaya SPRM manjalankan pendakwaan," katanya.

Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Akta SPRM 2008 itu bertujuan menasihati Perdana Menteri mengenai masalah rasuah di negara ini selain menerima laporan tahunan SPRM dan ulasan daripada Lembaga Penasihat SPRM.

Selain Salahudin yang mewakili Pakatan Rakyat, jawatankuasa itu diwakili oleh ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw dari DAP, dan ahli Dewan Negara Senator Zamri Yusuf dari KEADILAN

Sumber: Suara Keadilan

Kerajaan Persekutuan Tidak Perlu Terburu-buru laksana Projek Penyaluran Air Mentah

Posted: 20 Jul 2010 03:57 AM PDT


SHAH ALAM 20 Julai - Kerajaan negeri Selangor berpendapat hasrat Kerajaan Persekutuan terlalu terburu-buru untuk melaksanakan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor dengan hanya berdasarkan unjuran bahawa akan berlaku krisis bekalan air jika projek itu tidak dimulakan sekarang.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya hari ini berkata kerajaan negeri mengambil berat hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menyegerakan pelaksanaan PPAMPS walaupun anggaran kosnya telah meningkat dari RM2 bilion kepada RM8 bilion.

Menurut beliau, ia jelas apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui baru-baru ini, menuduh Selangor sengaja melengahkan pelaksanaan PPAMPS dan memberi amaran bahawa Selangor akan dipersalahkan jika berlaku krisis bekalan air pada masa akan datang.

Adalah dipercayai bahawa kedua menteri tersebut telah dikelirukan sehingga mempercayai bahawa krisis air akan berlaku pada 2014.

"Nasihat yang diperoleh oleh Kerajaan Selangor dari pakar industri air dan juga kajian berdasarkan pertumbuhan penduduk, jumlah penggunaan air dahulu dan sekarang dan kapasiti pengeluaran air, bekalan air yang sedia ada sekarang ini mampu menampung keperluan di Lembah Klang sehingga 2019.

"Kerajaan Negeri sedar projek ini ada kebaikannya, namun ia tidak perlu disegerakan tanpa mengambil kira pemahaman menyeluruh industri air termasuk proses penstrukturan semula industri air Selangor.

"Kami percaya masa yang sesuai untuk projek ini dilaksanakan adalah pada 2015 atau 2016 dan jika ia dipercepatkan tanpa kajian, kos itu akan meningkatkan beban hutang Kerajaan Malaysia," ujar Khalid dalam kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, Selangor menyarankan Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada alternatif lain dan tidak terlalu mudah melaksanakan projek mahal menggunakan wang rakyat.

Pertama, mengurangkan pembaziran air dengan mempromosikan kitar semula air, mengumpul dan memproses air hujan yang boleh dilakukan secara bersama kerajaan Persekutuan dan Selangor.

Kedua, sumber alternatif air yang boleh diteroka seperti air sungai, tasik dan memperkenalkan teknologi air bawah tanah. Ketiga, dengan mengurangkan kadar air tanpa hasil (NRW) dari 35% kepada kurang 20%, seperti yang berjaya dicapai oleh syarikat air Pulau Pinang.

Keempat, sistem penghantaran air yang cekap adalah penyelesaian terbaik bagi menampung permintaan pengguna. Oleh itu, perlu dipastikan air di utara Selangor dihantar dengan cekap ke wilayah selatan.

Pada masa yang sama beliau turut menegaskan Selangor mengamalkan pengurusan kewangan berhemat, bijaksana dan berharap Kerajaan Persekutuan turut melakukan perkara yang sama.

"Selangor meminta Kerajaan Persekutuan melakukan kajian menyeluruh, analisis, statistik secara terperinci mengenai pengeluaran air, penggunaan dan permintaan berdasarkan fakta dan angka berbanding membuat keputusan tergesa-gesa yang melibatkan wang pembayar cukai," tambah beliau lagi.

Sumber: Suara Keadilan

Umno Terlalu Lemah dan Terdesak Sekarang

Posted: 20 Jul 2010 03:55 AM PDT


KUALA LUMPUR 20 Julai - Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim melahirkan rasa kasihan melihat Umno yang begitu lemah atau 'pathetic' dan telah hilang maruah sejak kebelakangan ini sehingga terpaksa merayu bantuan PAS untuk memperkukuhkan kedudukannya.

"Sebagai seorang bekas ahli parti Umno yang telah lama memberi sumbangan dan khidmat sokongan pada parti tersebut dan walaupun telah dipecat, dimaki hamun setiap masa, saya berasa kasihan melihat Umno yang begitu lemah atau 'pathetic' dan hilang maruah sejak kebelakangan ini.

"Setiap hari mereka meminta belas kasihan PAS untuk menyelamatkan mereka. Mereka tidak berhenti-henti bercakap pasal 'Selamatkanlah Melayu dan Islam' sedangkan kita semua tahu maksud yang tersirat ialah 'Selamatkanlah Umno' yang sudah hilang kepercayaan rakyat sambil bergelumang dengan masalah dalaman hari ini.

"Yang terakhir sekali, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak meminta PAS bersetuju bertemu tanpa sebarang syarat. Ini menunjukkan betapa terdesaknya parti itu yang pada suatu masa dahulu disebut oleh Sanusi Junid sebagai parti Melayu Islam yang terbesar di dunia. (Buktinya tidak lain dari bangunan Umno yang tersegah besar itu yang dibiayai oleh Maybank). Ahli-ahli mereka sudah hilang keyakinan sehingga nak buat mesyuarat pun tak dapat dilakukan dengan sempurna. Mereka juga sendiri tertanya-tanya apakah relevannya parti itu pada zaman sekarang ini.

"Mereka tidak mahu menerima hakikatnya bahawa budaya politik dan perjuangan serta cara mereka itu sudah tidak boleh digunapakai lagi pada masa kini. Mereka percaya dengan menggunakan kekerasan, meningkatkan propaganda, dan menakutkan orang Melayu tentang kehilangan hak dan kedudukan mereka dalam negara jika tiada Umno, akan menarik kembali sokongan orang Melayu kepada mereka," kata Zaid yang dipetik blog beliau.

Zaid juga menjelaskan betapa silapnya teori politik Umno dan ada lima perkara, jika ianya dilaksanakan, mungkin boleh memberi sedikit ruang untuk parti itu dihidupkan kembali dan menyelamatkannya pada pilihan raya umum ke-13.

"Pertama, kes terhadap Anwar Ibrahim itu tidak diteruskan; kedua, memansuhkan ISA dan segala kuasa yang menahan orang politik; ketiga, bertindak dengan kata sepakat dan secara terhormat dengan Parti Pembangkang (Pakatan Rakyat) tentang dasar-dasar utama ekonomi negara dan pelaksanaannya; keempat, menyerahkan kepada kerajaan negeri kuasa dan hak mereka yang sah dan wajar; dan terakhir, memberi kebebasan kepada akhbar dan TV supaya berita menjadi sumber maklumat sebenar dan bukan alat dakyah politik.

"Sebagai bonus, ketua-ketua Umno dan yang berjawatan Menteri atau Ketua Menteri yang jelas korup dan sekian lama menyalahgunakan kuasa, diberhentikan serta merta dan digantikan dengan pemimpin yang boleh diterima rakyat.

"Ini adalah cara terhormat untuk sebuah parti sebesar itu berubah atau bertindak untuk memberi nafas dan iltizam baru kepada ahli-ahli mereka yang sekarang ini tenat dan bosan dengan keadaan. Ubahlah cara mereka mentadbir negara ini. Bukan dengan setiap hari menangis dan meminta supaya PAS menyelamatkan mereka," jelasnya lagi.

Walau bagaimanapun, Zaid yakin semua cadangan beliau itu tidak akan dilaksanakan.

"Orang yang dalam ketakutan selalunya tidak dapat berfikir dengan wajar dan inilah keadaan sebenar Parti Keramat ini. Biarlah si lunchai lompat dengan labu-labunya," tegas Zaid lagi.

Sumber: Suara Keadilan

Petronas Didakwa Paksa Wakil Penjual Guna Bank Adik Najib Untuk Urus Niaga

Posted: 20 Jul 2010 03:54 AM PDT


KUALA LUMPUR 20 Julai - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mendedahkan beliau menerima beberapa aduan daripada beberapa wakil penjual (stesen minyak) Petronas yang telah dipaksa membuka akaun di CIMB Bank selewat-lewatnya akhir bulan Ogos bagi tujuan urus niaga.

Beliau yang ditemui pada sidang media semalam mengecam arahan yang dikeluarkan itu serta menyifatkan ia sebagai paksaan sedangkan setiap wakil penjual Petronas mempunyai pilihan sendiri dan telah memiliki akaun bank sejak dari awal mereka berurus niaga.

"Saya ditemui oleh beberapa wakil penjual Petronas dan mereka memaklumkan telah menerima arahan secara paksa dari pihak Petronas agar menggunakan CIMB sebagai akaun urusan perniagaan mereka. Kebanyakkan kesal dengan arahan tersebut selain menyifatkan ia sebagai satu masalah yang besar kerana tidak semua tempat mempunyai cawangan CIMB Bank.

"Dari apa yang saya ketahui arahan tersebut dikeluarkan dengan alasan kerana mereka perlu menggunakan sistem bayaran terus 'auto debit' untuk menyenangkan urusan, sedangkan mereka mendakwa urusan jual beli yang dilakukan secara bayaran menggunakan cek tidak pernah menimbulkan masalah kepada mereka.

"Saya tidak faham kenapa perlu menggunakan perkhidmatan daripada CIMB, kenapa tidak boleh berurusan di bank-bank lain adakah sebab adik kepada Perdana Menteri berada di sana ataupun ada niat di sebaliknya. Secara jelas kebanyakkan wakil penjual berasa lebih selesa dengan urusan mereka sebelum ini kerana urusan bank yang mereka gunakan sentiasa memberi layanan yang memuaskan sehinggakan boleh melakukan urusan selepas waktu operasi bank tanpa sebarang bayaran tambahan.

"Tetapi untuk urusan melalui CIMB ini setiap kali berlakukan transaksi seribu keping maka kos sebanyak RM10 dikenakan manakala untuk setiap seratus keping yang seterusnya kos sebanyak seringgit dikenakan. Saya rasa inilah cara mereka ingin mengutip keuntungan 'atas angin' dari wakil penjual tersebut, kita tidak tahu berapa banyak keuntungan yang CIMB akan kutip untuk semua wakil penjual Petronas di negara ini," jelasnya.

Tambahnya lagi penggunaan akaun CIMB akan berkuatkuasa pada September nanti dan setiap wakil penjual perlu mempunyai akaun di CIMB bagi mengelak berlakunya kegagalan dalam urusan mereka nanti.

"Penggunaan akaun CIMB ini akan dikuatkuasa pada September nanti dan saya pasti kepada mereka yang tidak mahu membuka akaun di CIMB akan ditamatkan kontrak penjualan mereka.

"Bagi saya desakan secara paksa ini tidak patut dilakukan kerana ia tidak mengambarkan kebebas kepada wakil penjual untuk membuat pilihan. Pihak yang terbabit perlu teliti ketika membuat arahan kerana tidak semua tempat mempunyai cawangan CIMB.

"Pihak kerajaan mahupun CIMB tidak perlu menekan wakil penjual untuk mendapatkan keuntungan semata-mata, kita sebagai rakyat Malaysia boleh membuat pilihan sendiri dimanakah yang menjadim kesesuaian kepada kita untuk membuka akaun bagi sebarang urusan.

"Sebelum ini tidak pernah ada kos tambahan setiap urusan transaksi di bank tetapi bila menggunakan urusan di CIMB maka kos tambahan akan dikenakan mengikut jumlah kepingan wang kertas yang mereka ingin masukkan di dalam akaun mereka," sambungnya lagi.

Sumber: Suara Keadilan

Jho Low Buat Kejutan Sekali Lagi

Posted: 20 Jul 2010 03:48 AM PDT


SHAH ALAM 20 Julai - Ahli perniagaan muda kelahiran Malaysia, Taek Jho Low menimbulkan kejutan sekali lagi apabila beliau yang dikatakan rapat dengan artis Hollywood, Paris Hilton ditahan pihak berkuasa kerana memiliki dadah jenis marijuana.

Akhbar Perancis,Corse Matin melaporkan Paris Hilton ditahan di lapangan terbang Corsica selepas marijuana yang di bawa dalam begnya dihidu oleh anjing pengesan.

Dalam laporan tersebut, akhbar itu berkata, Hilton sedang melancong bersama dengan seorang personaliti yang rapat dengan pihak berkuasa di Malaysia ketika beliau ditahan oleh pihak berkuasa.

Menurut akhbar itu lagi, Hilton dikatakan menggunakan jet peribadi dengan "seseorang yang rapat dengan pihak berkuasa di Malaysia" dan di dalam perjalanan ke resort mewah Porto Cervo di Sardinia, Itali.

Jho Low yang dikatakan pemuda misteri daripada Malaysia itu dilihat telah membelanjakan sejumlah wang yang besar di kelab-kelab seluruh dunia dan beliau didakwa menjadi penasihat kepada syarikat antarabangsa dan telah dilantik sebagai lembaga pengarah dalam sebuah bank di Malaysia, UBG Bank, tahun lepas.

Bagaimanapun beliau dilepaskan pihak berkuasa setengah jam setelah disoalsiasat.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya menyiasat latar belakang seorang rakyat Malaysia bernama Jho Low lulusan Wharton School of Business dan bagaimana beliau mampu memperolehi kekayaan sebegitu banyak dalam usia 28 tahun.

Shamsul mendakwa Jho juga terlibat sebagai penasihat kepada Terengganu Investment Authority, badan yang ditubuhkan untuk mengurus pelaburan hasil daripada royalti minyak negeri itu.

Pada perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK 2009 yang diadakan pada bulan Mei lalu, Shamsul mendakwa beliau mendapat maklumat pemuda ahli perniagaan itu juga memainkan peranan untuk merampas tanah kem TUDM di Sungai Besi bersama anak Perdana Menteri dan Datin Seri Rosmah Mansor.

"Kita desak SPRM menyiasat siapa Jho Low ini, bagaimana dia memdapat kekayaan sehingga The New York Times melaporkan bagaimana anak muda ini berbelanja beratus ribu dolar berseronok di kelab-kelab eksklusif di bandaraya itu dalam beberapa bulan dan terus berbelanja besar.

"Semua maklumat berkenaan individu ini adalah daripada media luar negara dan kemudiannya dilaporkan oleh media tempatan. Ini menimbulkan keraguan siapa gerangan Jho Low ini dan bagaimana dia boleh menjadi begitu kaya dalam usua muda dan mempunyai kaitan dengan tokoh politik," ujar beliau.

Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: