Sabtu, 26 Jun 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Isu subsidi: Kapitalis dan kroni diutamakan, rakyat dimangsakan

Posted: 26 Jun 2010 01:30 AM PDT


Kalau kerajaan sentiasa membantu kapitalis dan memangsakan rakyat, sudah tentu rakyat tidak akan membantu kerajaan, apa lagi membiarkan hak mereka dirampas, ulas Jerit.


Datuk Seri Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (pada 27 Mei 2010) mengatakan bahawa kalau budaya subsidi dikekalkan di Malaysia, maka negara akan menjadi bankrupt sepertimana negara Greek sekarang. Katanya subsidi harus dihentikan kerana hutang kerajaan meningkat dan belanjawan negara defisit sebanyak RM47 bilion.

Kerajaan Malaysia sekarang mengadakan kempen untuk memberitahu rakyat keburukan subsidi dan bagaimana kita sedang boros dalam membelanjakan duit negara dengan subsidi dan merosakkan masa depan generasi akan datang. Pendek kata, kalau nak hidup guna duit sendiri, jangan harapkan bantuan kerajaan. Itulah mesej yang cuba disampaikan.

Sebelum kita menganalisa kenapa keadaaan ini berlaku, mari kita analisa barang-barang apa yang disubsidikan untuk rakyat.

Antara barangan yang diberi subsidi ialah beras, gula, gandum, minyak masak , perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan petrol. Subsidi untuk bahan-bahan inilah yang secara langsung dinikmati oleh rakyat.

Manakala subsidi yang lebih besar dinikmati oleh syarikat kapitalis seperti Syarikat Tenaga Bebas (IPP) iaitu YTL Power, Genting Sanyen dan Malakof dimana subsidi RM20 bilion diberi setiap tahun. Bukan itu sahaja, pinjaman tanpa faedah bernilai RM320 juta diberi kepada Syabas untuk tempoh 20 tahun. Subsidi dan juga bailout dilakukan dengan duit kerajaan untuk syarikat kroni kerajaan.

Selain itu, banyak duit kerajaan juga hilang akibat penyelewengan, rasuah pemberian kontrak tanpa tender dan sebab ketidakefisinian. Lebih kurang RM20 billion setahun hilang akibat masalah ini. Apa yang akan dan sedang dibuat untuk mengatasi masalah ini ? Sehingga kini rasuah dan penyelewengan masih berleluasa dan pembaziran wang terus berlaku akibat projek mega seperti Iskandariah dan projek gagal seperti jambatan bengkok.

Kerisauan Datuk Seri Idris Jala memang kena pada waktunya kerana hutang negara ialah 54 peratus dari pendapatan negara. Persoalannya, siapa yang menyebabkan hutang ini? 52 tahun negara ini ditadbir oleh kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional. Maka kalau bukan mereka siapa lagi? Keadaan ini berlaku akibat kesalahan dalam pentadbiran oleh kerajaan sekarang. Walaupun Perdana Menteri saling bertukar, tetapi sistemnya masih sama.

Bukannya negara tidak pernah ada budget surplus. Pada tahun 1990an, lima tahun negara ada budget surplus. Mana pergi duit ini semua? Kenapa lebihan itu tidak digunakan dengan menguntungkan negara ? Biasalah, lebihan disapu oleh ahli politik BN dan kroni-kroni mereka.

Pada masa sekarang hutang kerajaan melebihi RM300 bilion dan lebih 50 peratus dari hutang ini adalah dari zaman Mahathir. Bukan itu sahaja, faedah untuk hutang ini adalah RM12 bilion setahun. Maka untung Petronas hanya boleh digunakan untuk membayar hutang dan tidak boleh digunakan untuk membangunkan negara.

Nampaknya ketiadaan wang dan peningkatan hutang negara adalah akibat kesalahan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional. Maka kenapa rakyat pula dimangsakan sekarang? Kenapa subisidi bahan makanan hendak dikurangkan manakala tiada berita mengenai menghentikan subsidi kepada syarikat syarikat besar seperti YTL dan Genting ?

Pada tahun 2007 dan 2008 dan juga pada tahun-tahun sebelumnya, apabila harga petrol dinaikkan, kerajaan BN akan mengatakan bahawa duit subsidi yang ditarik balik itu akan digunakan untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam negara. Akan tetapi sehingga kini, janji kekal janji dan tiada perubahan dalam sistem pengangkutan negara. Maka rakyat tiada pilihan lain, dan terpaksa menggunakan kereta dan menanggung kos yang tinggi untuk pengangkutan. Duit lebihan subsidi pula masuk poket kroni mereka?

Cukup sudah dengan cerita dongeng BN dan kempennya yang hendak menyebabkan rakyat rasa bersalah. Bukan salah rakyat negara kita macam ini. Ini adalah salah pimpinan dan parti politik yang mentadbir negara. Maka kenapa kita harus tanggung akibatnya?

Subsidi bukannya amalan yang salah. Satu kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat harus membawa subsidi untuk mengurangkan kos hidup rakyat dan memastikan rakyat dapat perkhidmatan asas seperti hospital dan pendidikan dengan bayaran minimum. Duit subsidi bukannya duit bapa pemimpin negara ini. Ia adalah hasil usaha rakyat negara ini dan juga pelbagai cukai yang dibayar oleh rakyat negara ini. Maka memberi subsidi kepada rakyat bukannya satu masalah. Rakyat bayar segala jenis cukai dari cukai pendapatan hingga cukai perkhidmatan bila perlu walaupun gaji sebenar tidak naik naik dalam 10 tahun yang lepas. Sebaliknya menteri-menteri cukai jalan tak payah bayar. Banyak faedah yang dinikmati oleh mereka dan gaji pula tinggi. Kenapa penjimatan tidak berlaku dari atas, supaya rakyat boleh ambil teladan? Adakah logik, rakyat memilih wakil rakyat dan menteri dan mereka yang dipilih ini diberi gaji tinggi dan rakyat biasa pula ditarik subsidi.

Kerajaan BN haruslah sedar. Jangan tipu rakyat lagi. Kerajaan perlu dengan kadar segera implementasi tuntutan rakyat seperti Akta Gaji Minima, sistem pengangkutan awam yang baik, hak dan kebajikan pekerja yang dilindungi, Tabung pemberhentian kerja dan juga hentikan penswastaan perkhidmatan asas. Tanpa membuat perkara-perkara ini, kalau kerajaan hendak harapkan rakyat untuk memahami kedudukan meraka yang tenat, ia tidak akan berlaku.

Ingat, kalau kerajaan adalah pro rakyat, rakyat akan sanggup ikat perut membantu kerajaan. Akan tetapi kalau kerajaan sentiasa membantu kapitalis dan memangsakan rakyat, sudah tentu rakyat tidak akan membantu kerajaan, apa lagi membiarkan hak mereka dirampas.

Kohila
Sekretariat JERIT


Sumber: Aliran

Selangor Tubuh Perbadanan Wakaf, Pupuk Budaya Wakaf Wang Tunai

Posted: 26 Jun 2010 01:25 AM PDT


Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan menubuhkan Perbadanan Wakaf yang dirancang sejak sekian lama dan bakal diumumkan pada bila-bila masa saja.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid berkata, penubuhan Perbadanan Wakaf akan dapat menguruskan harta wakaf dengan lebih baik dan cekap, selain memupuk budaya mewakafkan wang tunai di kalangan umat Islam.

"Perbadanan Wakaf ini kelak boleh menambah baik sistem, prosedur dan gerak kerja yang sedia ada bagi memastikan amalan berwakaf ini memberi manfaat kepada masyarakat Islam khasnya dan Kerajaan Selangor amnya," kata Khalid ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Abdul Khalid berkata, amalan berwakaf bukan sahaja menjamin pahala berterusan, malah dapat mendidik pewakaf melakukan pengorbanan dan prihatin serta mengambil berat terhadap orang lain yang memerlukan bantuan.

Katanya, masyarakat dahulu berwakaf dalam bentuk tanah, bangunan, kereta dan barangan tetapi amalan itu sudah berubah dalam bentuk wang tunai sejajar dengan perubahan semasa dan keperluan masyarakat Islam ketika ini.

Katanya, amalan berwakaf wang tunai memudahkan urusan MAIS selaku pemegang amanah tunggal di Selangor dan sekali gus dapat mempelbagaikan penggunaannya dalam ruang lingkup niat atau tujuan wang diwakafkan.

"Wakaf wang tunai juga dapat membantu MAIS membangunkan aset-aset wakaf sedia ada seperti tanah wakaf dengan melaksanakan projek-projek pembangunan atau prasarana yang lebih produktif untuk kepentingan ummah," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Malam Amal Wakaf 2010 yang diadakan di Pusat Konvesnyen Shah Alam (SACC).

Khalid mengucapkan tahniah kepada MAIS yang telaah berusaha keras untuk memastikan masyarakat Islam di Selangor melaksanakan amalan berwakaf yang menjadi amalan mulai dan amat dituntut dalam Islam.

Abdul Khalid berkata, MAIS juga akan menubuhkan Perbadanan Wakaf yang telah dirancang sejak sekian lama dan bakal diumumkan pada bila-bila masa saja.

Abdul Khalid berkata, penubuhan Perbadanan Wakaf kelak akan dapat menguruskan harta wakaf dengan lebih baik dan cekap selain memupuk budaya mewakafkan wang tunai di kalangan umat Islam.

"Perbadanan Wakaf ini kelak boleh menambah baik sistem, prosedur dan gerak kerja yang sedia ada bagi memastikan amalan berwakaf ini memberi manfaat kepada masyarakat Islam khasnya dan Kerajaan Selangor amnya," kata Menteri Besar ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Abdul Khalid berkata, amalan berwakaf bukan sahaja menjamin pahala berterusan malah dapat mendidik pewakaf melakukan pengorbanan dan prihatin serta mengambil berat terhadap orang lain yang memerlukan bantuan.

Katanya, masyarakat dahulu berwakaf dalam bentuk tanah, bangunan, kereta dan barangan tetapi amalan itu sudah berubah dalam bentuk wang tunai sejajar dengan perubahan semasa dan keperluan masyarakat Islam ketika ini.

Katanya, amalan berwakaf wang tunai memudahkan urusan MAIS selaku pemegang amanah tunggal di Selangor dan sekali gus dapat mempelbagaikan penggunaannya dalam ruang lingkup niat atau tujuan wang diwakafkan.

"Wakaf wang tunai juga dapat membantu MAIS membangunkan aset-aset wakaf sedia ada seperti tanah wakaf dengan melaksanakan projek-projek pembangunan atau prasarana yang lebih produktif untuk kepentingan ummah," katanya.

Sumber: TVSelangor

Najib Diugut Badan Perisikan Singapura Berhubung Kes Altantuya?

Posted: 26 Jun 2010 01:20 AM PDT


SHAH ALAM 26 Jun - Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shahrin mendakwa badan perisikan Singapura berkemungkinan telah mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan menggunakan gambar model Mongolia, Altantuya Shaariibuu bersama beliau sebagai senjata bagi memaksa Najib memeterai perjanjian yang dianggap berat kerajaan Malaysia dan negara pulau itu.

Badrul Hisham aka CheGuBard berkata andaian ini berdasarkan kepada akuan bersumpah penyiasat persendirian, P Balasubramanian pada 1 Julai 2008 yang mengatakan Najib telah memperkenalkan Altantuya yang dikenali sebagai 'Aminah' kepada penasihat politik beliau, Abdul Razak Baginda di satu pameran berlian di Singapura.

"Maknanya Najib pernah berada di Singapura bersama Altantuya," kata CheGuBard dalam satu kenyataan media yang disiarkan dalam blognya.

Dalam lawatan tiga hari Perdana Menteri ke Singapura mulai 22 Mei lepas, Najib dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong telah mencapai persetujuan atas beberapa perkara pokok yang menjadi pertelagahan antara kedua negara sejak berdekad-dekad lalu.

Antara isu yang paling penting ialah persetujuan Malaysia untuk memindahkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar di Singapura ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.

Malaysia akan juga menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta apinya di WTCP.

Menurut Perkara-perkara Dipersetujui (PoA) antara kedua negara tanah milik KTMB seluas 271 hektar di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga keping tanah tambahan di Bukit Timah, akan diserahkan kepada M-S Pte Ltd, sebuah syarikat usaha sama Malaysia-Singapura untuk dimajukan.

Syarikat itu dijangka ditubuhkan sebelum 31 Disember ini dengan pegangan 60 peratus oleh Khazanah Nasional Berhad dan 40 peratus baki ekuiti oleh Temasek Holdings Limited, agensi pelaburan kerajaan Singapura.

"Hampir pasti kos operasi KTMB akan meningkat dan bayaran penyewaan WTCP milik Singapura akan membebankan pada masa akan datang.

"Maka KTMB bakal menyertai senarai syarikat milik kerajaan yang rugi seperti Pos Malaysia Berhad dan Sime Darby Berhad yang juga dibawah perlaburan Khazanah Nasional.

"Apa yang berlaku ialah kita bakal membentuk satu lagi perjanjian seperti perjanjian air dengan Singapura yang jelas amat berat sebelah dan menggadaikan kedaulatan negara," jelas CheGuBard.

Hsien Loong kemudiannya melakukan lawatan balas ke Malaysia sebulan selepas kunjungan Najib ke Singapura.

"Semua ini mengarut dan tak masuk akal. Selepas pengumuman di Singapura , banyak bantahan kedengaran di Malaysia. Namun Perdana Menteri Singapura hadir pula ke Kuala Lumpur seolah 'mengingatkan' Najib mengenai sesuatu agar Najib terus mempertegaskan persetujuan Malaysia dengan keputusan berat sebelah yang dipersetujui di Singapura.

"Seolah seperti ada sesuatu yang mengikat Najib untuk akur walaupun ia jelas merugikan negara. Dari aspek politik juga Najib jelas akan rugi kerana suara bantahan yang keras sudah mula kedengaran. Namun Najib seolah terpaksa meneruskan.

"Adakah Najib diugut dalam mempersetujui perjanjian ini? Adakah 'perisik' Singapura telah mengumpulkan rekod tersebut? Adakah rekod tersebut digunakan untuk mengugut Najib dalam akur dan bersetuju dalam satu lagi penggadaian hak dan kedaulatan negara?," soal beliau dengan tegas.

CheGuBard mendesak agar Najib tampil dan berterus terang kepada rakyat Malaysia.

Kata beliau lagi, jika benar Perdana Menteri diugut oleh badan perisikan Singapura untuk menyetujui satu perjanjian yang merugikan Malaysia dan menyentuh kedaulatan negara, rakyat Malaysia seharusnya bangkit bersatu menentang usaha tersebut.

"Walau apa pun tuduhan terhadap Perdana Menteri sebelum ini namun jelas mereka mempertahankan kedaulatan negara dan tidak mahu menerima tawaran rundingan Singapura yang jelas berat sebelah.

"Namun baru-baru ini hasil pertemuan tertutup Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rakan sejawat di Singapura kononnya telah menyelesaikan beberapa isu tertangguh sekian lama," jelas beliau.

CheGuBard yang juga penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata badan bukan kerajaan itu akan menghantar surat terbuka kepada Perdana Menteri mengenai isu ini dan sebanyak 20,000 salinan surat itu akan dicetak dan diedarkan seluruh negara bagi mempertingkatkan pemahaman rakyat agar bangkit mempertahankan kedaulatan Malaysia.

Sumber: Suara Keadilan

Friends Of Pakatan Ditubuhkan Di London

Posted: 26 Jun 2010 01:15 AM PDT


KUALA LUMPUR 26 Jun - Friends of Pakatan, sebuah persatuan penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat telah ditubuhkan di kota raya London, kata Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Beliau yang baru sahaja pulang dari London berkata, persatuan tersebut adalah gabungan profesional rakyat Malaysia yang menginap dan bekerja di United Kingdom yang mewakili semua kaum Melayu , Cina dan India.

Menurutnya, satu pertemuan bersama jawatankuasa penaja persatuan tersebut telah diadakan di kotaraya London baru-baru ini sempena dengan lawatan beliau ke United Kingdom (UK).

Katanya, majlis pelancaran Friends of Pakatan akan dilakukan pada awal Julai depan dengan dihadiri oleh pemimpin Pakatan Rakyat.

Menurutnya, Friends of Pakatan adalah satu lagi perkembangan positif tanda sokongan rakyat Malaysia terhadap Pakatan Rakyat.

"Ini adalah kerana persatuan ini menggabungkan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa di luar negara," katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, dalam pertemuan bersama jawatankuasa penaja persatuan tersebut, mereka telah memberikan komitmen yang cukup tinggi untuk bersama Pakatan bagi menyumbangkan kepakaran mereka membangunkan negara bersama dengan Pakatan.

"Selepas dari UK, mereka bercadang untuk melebarkan lagi Friends of Pakatan ke negara-negara lain seperti di Eropah dan juga di Amerika Syarikat," ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, pengerusi jawatankusa penaja persatuan tersebut, seorang juruterbang sebuah syarikat penerbangan di UK memaklumkan bahawa setakat ini mereka telah berjaya menghimpunkan seramai tiga ratus penyokong dan yakin lebih ramai akan menyertainya selepas majlis pelancaran nanti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok baru kembali dari lawatan selama seminggu ke UK bagi menghadiri beberapa siri jemputan organisasi Islam di sana.

Beliau telah dijemput berucap pada seminar The Future of The Muslim Ummah; Hopes and Challenges anjuran Islamic Unity Forum di London.

Nasharudin juga dijemput sebagai tetamu di Muslim Council of Britain di London.

Timbalan Presiden PAS itu kemudiannya ke bandar Nottingham sebagai tetamu kepada sebuah badan kebajikan Islam yang dikenali sebagai Muslim Hands International.

Di Nottingham, beliau turut diminta berucap di Masjid University of Nottingham.

Nasharudin juga turut ditemubual selama satu jam oleh TV Al-Hiwar, sebuah rancangan TV berbahasa Arab yang berpusat di London.

Sumber: Suara Keadilan

Kementerian Sumber Manusia Berbohong Tentang Akta Gaji Minima

Posted: 26 Jun 2010 01:10 AM PDT


SHAH ALAM 26 Jun - Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvam menyifatkan kenyataan Kementerian Sumber Manusia sebagai satu pembohongan dalam mengemukakan alasan mengapa kerajaan tidak mahu melaksanakan Akta Gaji Minima.

"Sejak hari pertama, Menteri berkenaan mengatakan bahawa mereka tidak dapat melaksanakan undang-undang ini kerana para majikan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Kementerian tersebut dalam kenyataan terdahulu mengatakan bahawa polisi dan falsafah Kerajaan adalah untuk mengikuti sistem pasaran dalam menentukan upah dan tidak akan melaksanakan Gaji Minima. Sekurang-kurangnya, ini adalah jawapan yang lebih jujur," kata Arutchelvam.

Arutchelvam mendedahkan alasan terbaru kerajaan untuk tidak melaksanakan undang-undang tersebut adalah kerana tidak mendapat respons yang meluas di dalam laman web kementerian terbabit.

Beliau menganggap alasan ini tidak masuk akal dan keterlaluan kerana bagaimana dasar utama berkaitan pekerja di negara ini mampu ditentukan oleh jumlah maklum balas yang diterima daripada sebuah laman web.

"Adakah ini bermakna bahawa jika laman tersebut mendapat ribuan maklum balas dalam e-mel meminta Menteri untuk meletakkan jawatan, maka ia akan terjadi?" soalnya.

"Pekerja di Malaysia sebenarnya tidak memiliki peluang tersebut. Tapi, nampaknya kementerian percaya bahawa kebanyakan pekerja di Malaysia yang bekerja selama 12 jam, bekerja lebih masa (over time), serta bekerja sambilan, akan mempunyai masa untuk melayari blog mereka," jelasnya dengan sinis.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), kesatuan sekerja yang terbesar di Malaysia, bersama-sama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik telah mendesak penggubalan Akta Gaji Minima.

Setiap tahun sejak sedekad lalu, deklarasi Hari Pekerja yang disertai oleh puluhan kumpulan dan pertubuhan secara konsisten menuntut pelaksanaannya, tetapi pihak kerajaan seolah-olah 'buta' dan 'memekakkan telinga' terhadap tuntutan tersebut.

PSM menyelar tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional yang dianggap telah menjual 'jiwa'nya kepada agenda kapitalis dan pemain ekonomi dunia dan telah melakukan sesuatu yang mungkin akan memberi tekanan kepada para pekerja di negara ini.

"Kerajaan Umno-BN nampaknya lebih gemar untuk membuat rundingan dengan para majikan, dengan cadangan untuk meluluskan rang undang-undang di parlimen yang kelihatan memudahkan mereka untuk memecat pekerja, dan mengelakkan dari pekerja untuk mendapat pampasan," jelas Arutchelvam.

Beliau menjelaskan Akta Gaji Minima akan menjamin pembayaran upah minimum pekerja.

Ini akan mengurangkan jurang antara kaya-miskin seperti Malaysia, yang merupakan antara negara yang menunjukkan antara kadar perbezaan pendapatan yang tertinggi di Asia.

Kaedah ini sebagai permulaan untuk membantu Rancangan Malaysia Ke-10 yang bertujuan untuk meningkatkan kadar pendapatan di negara ini, selain daripada mengelakkan eksploitasi terhadap golongan pekerja.

"Kerajaan Umno-BN nampaknya tidak mempunyai keazaman politik untuk melaksanakan undang-undang yang pro-pekerja. Mereka seolah-olah tidak mempunyai kekuatan untuk dan terpaksa patuh kepada 'tuan-tuannya'. Sekarang adalah masanya bagi para pekerja untuk berjuang dan mengembalikan haknya," tegas beliau lagi.

Majlis Pimpinan Negeri Selangor Sokong Perlantikan Faekah

Posted: 26 Jun 2010 01:05 AM PDT


SHAH ALAM 26 Jun - Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor mengalu-alukan perlantikan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor yang baru, Faekah Husin.

Perlantikan tersebut kata Timbalan Pengerusi MPN KEADILAN Selangor, Syed Shahir Syed Mohamud merupakan prerogatif Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang cukup bermakna kerana buat kali pertama seorang wanita telah diberi kepercayaan bagi mengisi jawatan tersebut.

Ini membuktikan keyakinan dan penghormatan kepimpinan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor kepada komitmen dan kemampuan kaum wanita.

"Faekah bukanlah seorang yang baru di dalam KEADILAN. Beliau adalah merupakan antara anggota profesional muda yang turun ke gelanggang perjuangan seawal era Gerakan Reformasi, 1998 dan terus kekal sehingga kini.

"Ramai mengenali beliau sebagai seorang aktivis parti dan pembantu yang setia (Setiausaha Politik) kepada Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selain pernah menggalas beberapa jawatan parti di peringkat negeri khususnya di Selangor," ujar beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Oleh hal yang demikian kata Syed Shahir lagi, MPN Selangor berkeyakinan tinggi bahawa Faekah akan dapat meneruskan perjuangan beliau dengan menggalas amanah baru ini dengan penuh komitmen, iltizam dan kesungguhan.

"Menteri Besar telah pernah bekerja bersama anak muda yang memegang jawatan ini dan kini tiba pula giliran wanita untuk membantu beliau dan kerajaan negeri dalam menjunjung amanah rakyat.

"Kita mengucapkan syabas dan tahniah kepada Faekah di atas perlantikan jawatan ini dan seperti mana biasa, kita akan terus memberikan sokongan untuk manfaat rakyat Selangor khasnya dan Malaysia amnya," kata beliau lagi.

Sumber: Suara Keadilan

AMK Selangor Sokong Penuh Kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim

Posted: 26 Jun 2010 01:00 AM PDT


SHAH ALAM 26 Jun - Dakwaan wujudnya gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan kerana itulah agenda utama musuh politik untuk mengganggu kestabilan Pakatan Rakyat khususnya KEADILAN dan seterusnya merampas kembali negeri itu.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainudin berkata AMK Selangor berdiri teguh bersama kepimpinan beliau

"AMK Selangor mengingatkan semua pendukung KEADILAN untuk terus berusaha mempertahankan dan menjunjung tinggi "mandat perubahan" yang diberikan rakyat 2 tahun yang lalu.

"Apakah beliau perlu digantikan kerana kekurangan dalam politik sedangkan beliau mempunyai kepimpinan dan pengurusan yang cekap?.

"Apakah perlu beliau digantikan kerana meletakkan kepentingan rakyat berbanding ahli-ahli parti sendiri?." soal beliau dalam satu kenyataan media semalam.

Menurut Khairul Anuar, sepanjang 50 tahun Umno-Barisan Nasional memerintah Selangor telah banyak harta rakyat dikaut oleh pimpinan politik parti tersebut sedangkan rakyat terus dibiarkan merana dan susah.

"Sepanjang 2 tahun kepimpinan Khalid, beliau tidak mengambil kesempatan untuk mengkayakan isteri, anak, menantu dan suku-sakatnya melainkan kesungguhan beliau untuk merakyatkan ekonomi Selangor.

"Tiada seinci pun tanah yang diambil untuk diri dan keluarga melainkan berusaha untuk merakyatkan tanah Selangor.

"Tiada lawatan sambil belajar ke Disneyland melainkan menyusun kembali anak-anak syarikat ini agar hasilnya dapat dinikmati rakyat berhak. Tak pernah terfikir oleh Menteri Besar Selangor sebelum ini untuk beri air percuma kepada rakyat seperti yang dilakukan Khalid.

"Sekali pun jauh kalau nak dibandingkan dengan Khalifah Umar Abdul Aziz namun kesungguhan dan ketegasan Khalid dalam menjaga amanah rakyat dapat dilihat jelas.

"Ini menunjukkan begitu tingginya integriti Menteri Besar Pakatan Rakyat ini.

"Walaupun beliau tidak terlepas dari melakukan kesilapan, sebagai parti yang sentiasa menyubur benih demokrasi, Kongres KEADILAN di Kota Bharu telah mendengar dengan jelas teguran dan kritikan perwakilan terhadap Khalid dan kami yakin beliau menerimanya dengan penuh terbuka," tegas beliau lagi.

Dalam pada itu, AMK Selangor juga menyeru kepada semua para pendukung KEADILAN untuk terus menghayati semangat reformasi yang menjadi laungan keramat perjuangan rakyat ini.

Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: