Sabtu, 26 Jun 2010

Zulkifli Noordin

Zulkifli Noordin


JUDI SUDAH BATAL, ARAK BILA?

Posted: 26 Jun 2010 05:34 AM PDT


Salam 2 all.

Saya mengucapkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak atas keputusan tidak memberikan lesen pertaruhan sukan kepada syarikat Ascot Sdn. Bhd. Keputusan yang di umumkan semalam memberikan kelegaan kepada umat Islam khususnya dan rakyat umumnya. Langkah berani ini diharap akan memberi isyarat positif kepada rakyat bahawa Kerajaan Persekutuan sangat memberi perhatian kepada suara rakyat. Tahniah kepada umat dan rakyat yang telah berdiri menyatakan pendirian membantah pemberian lesen pertaruhan sukan ini. Apa yang penting kita lakukannya kerana ALLAH, bukan kerana kefahaman politik yang sempit.

Sekarang saya mahu bertanya kepada mereka yang menghalalkan hasil arak. Apakah kalian juga berani melakukan perubahan yang sama? Atau apakah kalian masih berdegil dengan pandangan bahawa hasil judi haram tetapi hasil arak halal? Mengapa kalian begitu berani mengubah-ubah hukum ALLAH demi sedikit habuan politik keduniaan yang terlalu sedikit? Tidak takutkah kalian kepada murka ALLAH? Tidak gentar kalian kepada api neraka?

Atau habuan politik dunia terlalu berharga untuk kalian sehingga sanggup mempermainkan hukum ALLAH!? Kalau tidak malu kepada ALLAH dan Nabi pun, malulah kepada kepiah dan serban yang terkatup dikepala kita itu. Janganlah kita sekadar menjadi Pak Janggoat yang sekadar berjanggoat didagu tapi telur tergantung dibelakang!!

Moga ALLAH memberikan kita kekuatan iman dan istiqomah dalam perjuangan memartabatkan risalah Islam yang syumul ini.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
14 Rejab 1431
26 Jun 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

(Lapuran akhbar Utusan Malaysia hari ini 26.06.2010)

Tiada lesen pertaruhan sukan

KUALA LUMPUR 25 Jun – Kerajaan membuat keputusan muktamad untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn. Bhd. (Ascot Sports) atas pertimbangan agama dan kesan politik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, pendirian itu dibuat selepas mengambil kira pandangan majoriti masyarakat yang secara jelas tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan di peringkat dasar untuk memberi kelulusan sebelum ini.

"Walaupun ada pihak menyokong dan menentang perkara itu, kerajaan mendapati secara jelas majoriti masyarakat tidak bersetuju lesen tersebut dikeluarkan.

"Oleh itu dengan ini, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen tersebut tidak akan dikeluarkan," katanya.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO mengumumkan keputusan berkenaan pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu di sini malam ini.

Polemik isu itu bermula apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek membuat kenyataan di Dewan Negara pada 6 Mei lalu bahawa kerajaan akan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen judi bola sepak semasa kejohanan Piala Dunia bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian haram di negara ini.

Pengumuman berkenaan mendapat bantahan pelbagai pihak antaranya Badan Perhubungan UMNO Johor, Perak dan Kedah, Pergerakan Pemuda UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, Perdana Menteri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 7 Jun lalu menegaskan, kerajaan belum lagi mengeluarkan atau memberi lesen kepada Ascot Sports untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.

Mengulas lanjut, Najib berkata, keputusan berkenaan disokong sepenuhnya MT UMNO dalam perbincangan malam ini.

"Keputusan itu dibuat sebulat suara, walaupun ada satu dua pendapat berbeza pada peringkat awal tetapi semua akur dan menerima," katanya.

Mengenai lesen yang pernah dikeluarkan kepada Ascot Sports, Perdana Menteri berkata, ia diluluskan pada 1989 tetapi syarikat tersebut telah menyerahkannya semula pada 1990 kerana menghadapi kerugian besar.

Katanya, sejak tarikh itu Ascot Sports beberapa kali cuba memperbaharuinya dan baru-baru ini kerajaan pada dasarnya memberi kelulusan dengan syarat tertentu yang perlu dipenuhi.

"Selain itu, kerajaan pada masa sama ingin mendapatkan pandangan umum sebelum lesen dikeluarkan memandangkan masyarakat berbilang kaum di negara ini mempunyai pandangan mereka sendiri dalam melihat kewajaran pemberian lesen dari sudut agama, ekonomi dan sosial

"Walaupun niat kerajaan selama ini adalah untuk mengawal aktiviti haram dan pertaruhan sukan haram yang ditaksirkan begitu besar sehingga ada yang kata perjudian haram itu melebihi RM10 bilion dan melibatkan kegiatan jenayah yang lain" katanya.

Dalam pada itu, Najib turut menjelaskan, kerajaan juga mengambil keputusan bahawa dalam apa keadaan sekalipun, orang Islam tidak dibenarkan sama sekali terlibat dalam pertaruhan sukan sama ada membeli, bekerja atau menjadi lembaga pengarah dalam syarikat berkaitannya.

"Syarat-syarat ini adalah sesuatu yang begitu tegas ditentukan kerajaan," katanya.

Mengenai reaksi parti komponen Barisan Nasional (BN), Najib berkata, beliau percaya keputusan itu dapat diterima kerana ia lebih mengutamakan rakyat.

Beliau turut memberitahu, Ascot Sports juga tidak akan diberikan sebarang pampasan kerana di bawah akta yang diperuntukkan, Menteri Kewangan pada bila-bila masa mempunyai kuasa untuk menarik balik lesen pertaruhan itu.

PASTIKAN KEADILAN BUAT

Posted: 26 Jun 2010 05:25 AM PDT

Salam 2 all.

Saya kesal dengan peristiwa kematian Allahyraham adik Naim Mustaqim Mohd. Sobri (16), pelajar Putera Maktab Tentera DiRaja daripada Company Bravo disyaki akibat dibuli. Seingat saya ini kes pertama kes buli yang menyebabkan kematian berlaku di Maktab Tentera DiRaja.

Saya berharap pihak berkuasa segera menyiasat perkara ini dan tidak membiarkan mana-mana pihak mempolitikkan peristiwa ini. Saya meletak kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk memastikan keadilan diberikan kepada keluarga Allahyarham.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
13 Rejab 1431
25 Jun 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@

Lima pelajar tingkatan lima Maktab Tentera Diraja (RMC) yang ditahan berhubung kes kematian seorang pelajar tingkatan empat maktab itu awal pagi semalam, dikenakan tahanan reman selama tujuh hari.

M
enurut Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supt Abdul Rahim Hamzah Othman, polis hari ini mendapat perintah tahanan reman ke atas lima orang pelajar senior maktab tersebut, yang kini ditahan di Balai Polis Sungai Besi bagi siasatan.

Kelima-lima pelajar itu ditahan petang semalam bagi membantu siasatan kes kematian Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri yang dipercayai akibat dibuli dan didera.

Abdul Rahim Hamzah sebelum ini berkata lima pelajar senior itu diserahkan oleh pihak tentera kepada pihak polis jam 6.30 petang semalam.

Mohammad N

aim Mustaqim dilaporkan meninggal dunia antara jam 11.30 malam tadi dan 1.20 pagi semalam.

Laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh pihak tentera di Balai Polis Sungai Besi pada jam 2 pagi semalam.

Dalam laporan itu, allahyaham pengsan dan kemudian dibawa ke hospital di dalam kem dan diberi pertolongan cemas CPR.

Kemudian apabila mangsa disahkan meninggal dunia, pihak tentra membuat laporan polis.

Jenazah pelajar malang itu kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) oleh anggota polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abdul Samah Mat berkata kelima-lima pelajar yang berumur 17 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Provost Marshal dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan di hantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

"Kami akan siasat sama ada mereka terlibat ataupun tidak dalam kes itu dan tempoh penahanan reman terhadap pelajar terbabit belum ditentukan," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini, lapor Bernama.

Abdul Samah berkata polis tidak menolak kemungkinan punca kematian Mohammad Naim Mustaqim adalah disebabkan buli.

"Lihat daripada segi luaran anggota badan mangsa tidak terdapat sebarang luka...bagaimanapun kita akan tunggu keputusan bedah siasat daripada Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk tindakan susulan," katanya.

Abdul Samah berkata dalam tahun ini kejadian sedemikian pertama kali berlaku namun terdapat laporan pergaduhan yang melibatkan institut pengajian tinggi di Kuala Lumpur sebelum ini.

Bagaimanapun tiada laporan diterima oleh polis daripada keluarga mangsa yang berasal dari Baling.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian, katanya.

Tiada ulasan: