Isnin, 29 September 2014

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


[CATATAN] Islam, ekstremisme dan tatakelola yang baik

Posted: 29 Sep 2014 12:19 AM PDT

Program berganti program mengisi masa senggang saya sebermula minggu lepas. Alhamdulillah hari ini saya berkesempatan hadir ke Program Syarahan ‘Memerangi Ekstremisme’ anjuran Diwan Reformasi, Demokrasi dan Upaya Masyarakat dengan kerjasama Pejabat Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia di Unisel Shah Alam. Program ini menampilkan Prof. Dr. Abdullah Sheikh Abd Majeed Al-Zindani, Timbalan Dekan di Al-Eman University sebagai pengucap utama.

Dalam ucapan pengenalan saya menjelaskan betapa wujud prasangka dan tuduhan tersasar yang mengaitkan Islam dan Ekstremisme, pun begitu tidak menyeluruh. Aliran pemikiran di kalangan pemikir Muslim ada yang cenderung merungkai perihal kezaliman dan ekstremisme ini. Justeru dalam usaha dan upaya memerangi keganasan, maka wacana bersabit keadilan dan wassatiyyah (kesederhanaan) harus diutamakan, khususnya dalam adab al-khilaf.

Ini sejajar dengan apa yang dinasihati Sheikh Hasan Al-Hudaibi betapa ‘pendakwah bukan penghukum’. Seyogia perbincangan kitab tersohor Sheikh Taha Jabir Al-Elwani ‘Adab Al-ikhtilaf Fi al-Islam’ wajar dianjur dan dibedah sebaiknya.

Menyingkapi isu ini, seputar isu-isu keliling Pakatan Rakyat mutakhir ini, himbauan krisis di Selangor yang bermula bulan lepas menghampiri penghujung, inshaa-Allah. Diakui, persepsi rakyat ke atas Pakatan Rakyat dan KEADILAN khususnya pasti terusik, namun saya menyakini ini sebahagian daripada jalur-jalur proses pematangan politik. Meski media mengasak dengan pelbagai versi dan episod, perbezaan pandangan kalangan Pakatan Rakyat tetap diselesaikan dengan wacana santun di samping menghormati pandangan semua pihak.

Meskipun KEADILAN tegas dan percaya bahawa penyelesaian akhir harus disandar pada proviso dan peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor yang dipegang seawal krisis tercetus sehingga ke hari ini, makanya kita menyakini bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor akan terus memulakan era baharu disamping diperkukuh dengan penghormatan kita pada Sistem Raja Berperlembagaan yang menaungi kita.

Berkenaan ratusan pelajar yang dilarang dan dihalang dari menduduki peperiksaan kerana gagal membayar yuran peperiksaan juga telah saya rujuk kepada Menteri Besar dan tindakan segera harus diambil. Kerajaan yang mengamalkan tatakelola yang baik harus prihatin terhadap masalah rakyat bawahan. Ini masalah penguasa yang bicara soal bangsa dan negeri dengan 'reserve' berbilion-bilion tapi gagal urus soal pelajaran untuk anak-anak miskin.

Dengan kepimpinan Saudara Azmin Ali selaku Menteri Besar Selangor yang baharu, Selangor akan terus dipacu menjadi ikon untuk Pakatan Rakyat terus menyakinkan rakyat seterusnya menjejak Putrajaya inshaaAllah.

Seeru ‘ala barakatillah.

ANWAR IBRAHIM

Tiada ulasan: